1.0 PENGENALAN
Sejarah
Sarawak telah menyaksikan penguasaan kekuasaan keluarga Brooke yang bermula
pada tahun 1841 dan berakhir 105 tahun kemudian. Berikutnya, satu episod baru
telah bermula dalam sejarah Sarawak apabila Jepun telah mengambil alih dan menduduki
Sarawak dari Disember 1941 sehingga September 1945. Selepas tamatnya Perang
Dunia Kedua, Sarawak telah diambil alih oleh British. Hal ini telah menyebabkan
berlakunya perubahan taraf Sarawak iaitu dari sebuah negeri “merdeka”[1] di
bawah pemerintahan Brooke menjadi sebuah tanah jajahan mahkota British.[2]
Perang Dunia Kedua telah membawa
kepada kemusnahan yang teruk kepada Sarawak. Selepas perang, Sarawak perlu
dibina semula serta memerlukan perbelanjaan yang banyak. Keadaan ekonomi pada
ketika itu adalah sangat menyedihkan. Hal ini dapat dilihat apabila
padang-padang minyak telah musnah dan kebun-kebun getah juga terbiar.[3]
Oleh kerana mengalami kerosakan dan kerugian besar, Rajah Charles Vyner Broke
mendapati bahawa Sarawak terlalu miskin untuk membangunkan semula negerinya.
Beliau berpendapat bahawa hanya kerajaan British sahaja yang sanggup untuk berbuat
sedemikian. Rajah Charles Vyner Brooke berharap sekiranya Sarawak diletakkan di
bawah kerajaan British, Sarawak dapat menjadi sebuah negeri moden kerana
mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta pengalaman teknikal yang diperlukan
untuk pembangunan sebuah negeri moden.
Usia Rajah Charles Vyner Brooke juga
telah lanjut tetapi beliau berkeberatan untuk menyerahkan pentadbirannya kepada
anak saudaranya, Anthony Brooke mahupun pada adiknya, Betram Brooke. Hal ini
demikian kerana, beliau tidak yakin kepada warisnya untuk memerintah Sarawak
dengan baik. Selain itu, Sarawak memerlukan bantuan ekonomi dan teknikal daripada
British. Bantuan daripada British tidak akan berlaku sekiranya Sarawak masih di
bawah pemerintahan Dinasti Brooke. Masalah peribadi keluarga Brooke ditambah
dengan keadaan ekonomi yang mundur telah mendesak Rajah Charles Vyner Brooke
mengambil keputusan untuk menyerahkan negeri Sarawak kepada kerajaan British.
Dengan itu alasan keadaan Sarawak selepas perang dijadikan peluang yang baik
untuk menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Britain.
Majoriti daripada penduduk Sarawak
bersetuju sekiranya Sarawak diserahkan kepada kerajaan Britain. Namun begitu, pada
masa yang sama, terdapat juga golongan yang menentang penyerahan tersebut.
Orang Dayak dan orang Cina menyokong perubahan ini kecuali segelintir kecil
yang menentang. Kebanyakan orang Melanau juga bersetuju dengan keputusan
tersebut. Sementara itu, orang Melayu pula berpecah kepada dua kumpulan, iaitu
satu kumpulan yang menerima baik penyerahan Sarawak dan majoriti orang Melayu
yang menentang dengan hebat. Gerakan penentangan ini lebih dikenali sebagai
gerakan anti-penyerahan (anti-cession
movement). Pelbagai surat bantahan telah dihantar ke London dan demonstrasi
telah dilakukan. Namun, bantahan daripada penduduk Sarawak ini tidak mendapat
reaksi positif daripada kerajaan Bristih, sebaliknya British tetap meneruskan
usahanya untuk menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan. Pada awalnya,
perjuangan penentangan ini bermula secara aman tetapi telah mencapai kemuncak
apabila berlakunya pertumpahan darah pada penghujung tahun 1949.
2.0 FAKTOR
GERAKAN ANTI-PENYERAHAN
Penelitian
tentang kedudukan politik orang Melayu Sarawak pada tahun 1946 hingga 1958
tidak seharusnya melupakan perkembangan yang telah berlaku sebelum era tersebut
hel ini demikian kerana, perkembangan inilah yang kemudiannya telah menjadi
asas kepada pergerakan politik Sarawak. Sebagai contoh, Persatuan Melayu
Sarawak (PMS) yang ditubuhkan pada tahun 1939, telah memainkan peranan yang
penting dalam gerakan anti-penyerahan dari tahun 1946 hingga tahun 1951.
Gerakan anti-penyerahan telah dikaitkan
dengan pelbagai faktor. Terdapat dua pendapat yang menimbulkan kontroversi
berkenaan perkara tersebut. Pendapat pertama mengatakan bahawa gerakan
anti-penyerahan bukanlah satu gerakan untuk kemerdekaan, tetapi merupakan gerakan
orang Melayu untuk mendapatkan kembali keistimewaan mereka seperti semasa zaman
Brooke. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa gerakan anti-penyerahan merupakan
satu gerakan kemerdekaan kerana pada ketika itu, ungkapan-ungkapan kemerdekaan
telang dilaung-laungkan.[4]
Ramai penulis barat yang mempercayai bahawa gerakan anti-penyerahan adalah
merupakan gerakan untuk mengembalikan semula hak keistimewaan orang Melayu
sebagaimana yang diperoleh oleh mereka semasa zaman Brooke.
Selain itu, terdapat juga penulis
tempatan yang menyatakan bahawa dengan menjadikan Anthony Brooke sebagai raja
yang keempat, hal ini bermakna bahawa gerakan anti-penyerahan bukanlah gerakan
kemerdekaan kerana orang kulit putih menjadi raja. Namun begitu, pendapat
tersebut telah disanggah oleh penulis seperti Yusof Peter Heaton, James P.
Ongkili dan Sanib Said yang menyatakan bahawa gerakan anti-penyerahan merupakan
satu gerakan menuntut kemerdekaan. Sanib Said menyatakan bahawa gerakan ini
sebagai satu gerakan untuk membebaskan diri daripada British berdasarkan alasan
bahawa tidak semua orang Melayu mendapat hak keistimewaan. Hal ini demikian
kerana, golongan yang mendapat keistimewaan adalah seperti golongan kelas
perabangan Kuching. Oleh kerana gerakan ini disertai oleh orang Melayu kelas
bahawan dan orang Dayak, maka gerakan ini bukanlah merupakan gerakan untuk
mengembalikan hak istimewa orang Melayu. Usaha untuk mengembalikan pemerintahan
Brooke pula hanyalah dianggap sebagai alat untuk perjuangan.
Golongan anti-penyerahan juga
mendakwa bahawa perjuangan mereka bukanlah perjuangan Rajah Muda, tetapi
merupakan perjuangan rakyat Sarawak. Gerakan anti-penyerahan yang dianggap
sebagai gerakan anti-British sememangnya tidak dapat dinafikan ekoran daripada
tindakan mereka yang menentang British. Berdasarkan akhbar Utusan Sarawak:
“Bangsa
Timor telah sedar. Ini boleh di-saksikan dengan terang menahan taraf kebangsaan dan kemerdekaan itu
wajib pada demokrasi dan Islam. Merosak
dan menghapuskan taraf itu berlawanan dengan kedua2nya. Hidop-nya subor taraf
itu ia-lah mengambil berat memajukan puak2 raayat yang terkebelakang.Tetapi
pengakuan hendak mengangkat mereka itu dengan menghapuskan hak kebangsaan dan
hak kemerdekaan mereka dalah menipu mereka
dengan terang.”[5]
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa
sentimen antipenjajah sememangnya telah tersemat dalam diri orang Melayu. Walau
bagaimanapun, gerakan anti-penyerahan boleh dianggap sebagai bukan menuntut
kemerdekaan secara tulen. Hal ini demikian kerana, gerakan mereka telah
dikaburi dengan tuntutan agar pemerintahan Brooke dikembalikan dengan anggapan
bahawa kerajaan Brook adalah sebuah kerajaan yang mempertahankan kemerdekaan
rakyat Sarawak. Oleh itu, tuntutan rakyat Sarawak agar keluarga Brooke menjadi
raja adalah dikatan semata-mata untuk mengekalkan kemerdekaan Sarawak yang
telah mencecah 100 tahun. Majalah Kenchana pada April 1947 mengatakan bahawa:
“Disini
tentu ada pula pertanyaan, kalau hendak merdeka atau mepertahankan kemerdekaan, mengapa perlu minta dikembalikan Raja Brooke, pada hal ia pun Bangsa British
juga? Mengapa tidak minta beraja bangsa
sendiri? Ini adalah menunjokkan kepada dunia, bahwa umat Sarawak tidak benchi atau bermusohan dengan bangsa
British yang ‘maha adil’ itu menaungi
kerajaan Sarawak yang merdeka, tetapi bukan meminta merampas kemerdekaannya.”[6]
Terdapat beberapa alasan yang telah
dinyatakan bagi menunjukkan bahawa Sarawak telah merdeka di bawah pentadbiran
Brooke. Antaranya ialah:[7]
a) Tahun
1841 dianggap sebagai satu tarikh Sarawak mencapai kemerdekaan.
b) Pemerintahan
Raja Melayu Brunei tidak dianggap oleh mereka sebagai merdeka.
c) Penyerahan
Sarawak kepada James Brooke menyebabkan Sarawak merdeka terpelihara selama 100
tahun.
Alasan yang diberikan bagi
membuktikan Sarawak merdeka di bawah Brooke adalah disebabkan oleh taraf
kemerdekaan itu yang telah diperakui oleh kerajaan Amerika dan British.
Berdasarkan pandangan tersebut, sebahagian daripada ahli gerakan
anti-penyerahan mengakui hak ketuanan Brooke terhadap negeri Sarawak. Oleh itu,
mereka tidak menganggap Brooke sebagai penjajah. Hubungan rapat Brooke dengan
rakyat pribumi dan keistimewaan yang diberikan oleh Brooke kepada pribumi
khususnya Melayu telah mengukuhkan lagi kenyataan tersebut. Oleh itu, mereka
tidak merasakan bahawa Brooke merupakan satu penjajahan.
“Sesungguhnya
sekalian umat Sarawk mempunyai keperchayaan yang sepenoh2 dan setegoh2nya bahawa Sarawak merdeka dengan hak
ketuanan sepenoh2nya berada di tangan
bumiputera mesti akan dikembalikan dengan berajakan
Anthony Brooke dan bernaong dibawah panji2 keadilan kerajaan British.”[8]
Terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan pendirian tersebut timbul. Pertama, orang Melayu yakin bahawa
mereka akan dapat pemerintahan sendiri sekiranya mendapat bimbingan daripada
Brooke berdasarkan janji-janji Brooke di dalam Perlembagaan 1941. Kedua,
penyerahan Sarawak kepada Britain memperlihatkan bahawa negeri itu akan dijajah
secara mutlak oleh Britain. Namun begitu, hal ini adalah berbeza dengan
penajjahan Brooke yang memberikan peluang kepada mereka untuk turut serta dalam
pentadbiran. Brooke juga telah dianggap
sebagai raja mereka meskipun Brooke adalah berketurunan British. Hal ini dapat
dilihat melalui pandangan beberapa orang ahli gerakan anti-penyerahan yang menganggap
bahawa dengan berada di bawah pentadbiran Brooke, maka situasinya adalah
berbeza berbanding kedudukan Sarawak di bawah kerajaan British. Perbezaan
tersebut adalah seperti:[9]
a) “Raja
kuasa tertinggi”. Raja dilantik menurut adat resam Sarawak.
b) Sarawak
ditadbir oleh kerajaan negeri Sarawak berpusat di Kuching.
c) Sarawak
merdeka di bawah naungan British
d) Rakyat
Sarawak mempunyai kebangsaannya sendiri.
Pemerentahan Kolonial
a) Gabenor menjadi wakil kerajaan British
yang tidak dilantik oleh rakyat.
b) Sarawak ditadbir oleh Colonial Office.
c) Mempunyai taraf tanah jajahan British.
d) Kebangsaan Sarawak terlepas menjadi
raayat British kerana “penaalokan”.
Sesetengah pendapat yang mengatakan
bahawa tindakan golongan anti-penyerahan yang ingin mengembalikan Raja Brooke
hanyalah sebagai satu alat. Meskipun kenyataan tersebut memperlihatkan ada
kebenarannya, tetapi sikap sedemikian hanyalah wujud dalam kalangan segelintir
pemimpin anti-penyerahan terutamnya golongan muda yang tidak menyenangi Anthony
Brooke seperti Johari Anang. Sikap yang menganggap Anthony Brooke sebagai
individu yang seharusnya menjadi raja keempat masih lagi wujud dalam kalangan
ahli gerakan anti-penyerahan bahkan sikap sebegini masih kekel sehingga tahun
1960-an.[10]
Oleh itu, gerakan anti-penyerahan adalah dilihat sebagai satu gerakan yang
bersifat anti-penjajahan dan anti-British tetapi tuntutan kemerdekaan yang
dilakukan bukanlah tuntutan kemerdekaan yang tulen.
3.0
TOKOH GERAKAN ANTI-PENYERAHAN
3.1 Parti Kebangsaan Melayu Sarawak
(PKMS)
Datu
Patinggi Abang Haji Abdillah
Datu
Patinggi Abang Haji Abdillah merupakan penaung kepada PKMS yang awalnya
dikenali sebagai Persatuan Melayu Sarawak (PMS). Nama penuh beliau ialah
Patinggi Abang Haji abdillah bin Datu patinggi Abang Haji Mohamed kassim.
Beliau merupakan pemimpin Melayu yang gigih menentang penjajahan Sarawak oleh
kerajaan British, dilahirkan pada tahun1862. Beliau menjadi Guru pada tahun
1887. Pada tahun 1905, beliau berkhidmat dalam Pejabat KerjaRaya dan seterusnya
Jabatan Polis sebagai Sub-lnspektor pada tahun 1917. Pada tahun 1921,
beliau dianugerahkan gelaran Datu
Bandar. Seterusnya beliau diberi gelaran Datu Petinggi pada tahun 1937oleh Raja
Vyner Bmoke. Beliau telah dilantik sebagai penaung pertama PKMS yang ditubuhkan
pada tahun 1939. Dalam pemerintahan Brooke, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah
sangat disegani oleh pihak kerajaan sebagai seorang pentadbir yang benwibawa,
cekap dan bijak. Apabila ketiadaan Rajah
danTuan Muda, beliau memangku dan mcngambil alih tugas-tugas
pentadbiran. Beliau meninggal dunia pada 22 November 1946.[11]
Terdapat
banyak penubuhan kelab dan persatuan namun penubuhan dan kelab-kelab ini
bagaimanapun tidaklah penting dan berperanan dalam konteks membangkitkan
kesedaran masyarakat Melayu Sarawak secara ketara sehinggalah muncul persatuan
Melayu Sarawak pada tahun 1939. PMS ditubuhkana lapan orang Datu, pemimpin
tradisional Melayu di Kuching yang merupakan organisasi bercorak tradisional.
Dengan terdirinya PMS maka kesedaran berpesatuan dalam kalangan orang Melayu
telah timbul kerana PMS tidak terhad di kawasan Kuching sahaja. Persatuan ini
lebih membela nasib orang Melayu serta menyaingi organisasi yang ditubuhkan
oleh orang cina. Namun mereka bukan anti cina.
Persatuan ini tidak menunjukkan
tanda-tanda menentang Brooke kerana mereka merupakan persatuan yang didirikan
oleh golongan Datu atau Aristokrat. Pemimpin PMS, datu patinggi yang menjadi
penaung dan Datu Amar pengerusi persatuan merupakan orang kanan dalam
pentadbiran Brooke. Pada tahun 1941, temenggong menjadi timbalan presidennya.
Sambutan yang diberikan masyarakat
Melayu amat menggalakkan. Dalam mesyuarat agung tahun 1940, PMS telah menarik
seramai 500 orang Melayu di seluruh Sarawak, manakala dalam pada tahun 1941
pula 700 orang telah menghadirinya. Mereka mengadakan beberapa congress
termasuk congress persatuan Melayu di Singapura pada tahun disember 1940,
melalui kongres ini kesedaran terhadap kepentingan orang membela kedudukan
orang Melayu dari segi politik, pelajaran dan ekonomi telah tersemai di hati
pemimpin orgnisasi itu, idea baharu daripada pertemuan dapat diperoleh.
Berdasarkan kepimpinan yang wujud serta kegiatan yang dijalankan, PMS bukanlah
persatuan yang bercorak politik tetapi menjadi wadah kepada masyarakatnya.[12]
3.2
Sarawak Dayak Association (SDA)
Philip Jitam
Sementara
ini terdapat juga orang Dayak yang tidak begitu bersetuju dengan penyerahan
Sarawak kepada kerajaan British. Orang Iban, khasnya di Bahagian Pertama telah
menubuhkan persatuan untuk menyertai golongan anti-penyerahan Sarawak. SDA
telah ditubuhkan di bawah pimpinan Philip Jitam bagi tujuan itu. Beliau pernah
mengeluarkan satu kenyataan dengan tujuan menentang perubahan taraf Sarawak
menjadi tanah jajahan mahkota British. Kenyataannya dalam Bahasa Iban itu
diterjemahkan seperti berikut:
“…Therefore
on behalf of my colleagues and with honesty to myself I oppose the Cession.
Further I cannot compel myself to agree even in principle, since in the first
instance, this proposal of Cession does not appear to have been mutually agree
upon; unless and until reconciliation has been effected and mutual consent has
been given, than I consider it inappropriate to bring this subject for
discussion.”
Beliau juga
pernah bercakap bagi pihak persatuan Dayak berkenaan dengan soal tersebut
dengan menegaskan sokongan akan diberi kepada penyerahan sekiranya sembilan
prinsip dalam perlembagaan Sarawak itu dihormati. Dalam ha1 ini beliau
menyatakan:
“We
want to know whether these Nine Cardinal Principles would be observed by His
Majesty’sGovernment after the Cession? If we have the assurance that these
principles would be respected, then we will not only
agree to the Cession but the will support His Highness the Rajah.”
Selain itu terdapat juga orang Dayak
dan Bumiputera lain yang memerlukan lebih
banyak
masa untuk mempertimbangkan perkara tersebut tetapi akhirnya mereka akan
mengikut keputusan Raja sebagai tanda menghormati raja mereka. Terdapat juga
orang Iban dan kumpulan Bumiputera lain yang menyokong penyerahan memandangkan
ia adalah hasrat Raja, asalkan dipastikan hak-hak seperti adat lama dipelihara.
[13]
SDA merupakan satu-satunya pertubuhan
anti-penyerahan Dayak. la ditubuhkan pada 1 Mac 1946 oleh sekumpulan kecil
orang Bidayuh dan lban dari Bahagian Pertama serta Kedua yang telah menetap di
Kuching. Philip Jitam mengundi menentang penyerahan dalam Majlis Negeri pada 15
Mei 1946 selepas beliau sedar bahawa penyerahan itu tidak disokong oleh Tuan
Muda, Betram Brooke. Dalam kegiatan anti-penyerahan, SDA bekerjasama rapat
dengan PKMS dan ia juga bimbang terhadap dominasi orang Cina. Namun ahli-ahli
SDA menolak untuk mengikuti tindakan PKMS dalam meletak jawatan di bawah Surat
Pekeliling No. 9.
3.3 Pergerakan Pemuda Melayu (PPM)
Rosli Dhobi dan awang Rambli
Dalam tahun
1946, Pergerakan Pemuda Melayu telah ditubuhkan di Sibu, Sarawak. Di
antara puluhan persatuan yang ditubuhkan khas bagi menentang
penyerahan Sarawak kepada Britain, Pergerakan Pemuda Melayu
merupakan sebuah badan yang terpenting dan radikal di luar bandar
Kuching. Kalau Malayan Union telah dirancang oleh
kerajaan British untuk Tanah Melayu, selepas Perang Dunia Kedua, maka
negeri Sarawak pula telah disyorkan supaya diserahkan kepada Kerajaan
British untuk dijadikan tanah jajahan. Tindakan Kerajaan
British ini telah menyemarakkan nasionalisme bumiputera negeri Sarawak.
Untuk tujuan ini rakyat bumiputera telah bangkit menetang penjajahan dengan
menubuhkan persatuan-persatuan, terutama sekali di sekitar bandar
Kuching. Orang-orang Melayu di Sibu, bandar yang kedua terbesar, tidak
mahu ketinggalan menentang Penyerahan Sarawak.
Maka pertengahan tahun 1946 Pergerakan Pemuda Melayu
telah ditubuhkan. Mesyuarat penubuhan persatuan ini telah diadakan di Kampung
Datu, Nombor 2, Sibu. Dalam masyarakat tersebut Sirat Hj. Yaman telah dipilih
menjadi Presiden, Awang Rambli Deli menjadi Setiausaha Agung, Mohamad Abet
sebagai Bendahari dan Abang Han Ahmad menjadi Setiausaha
Penerangan. Pergerakan Pemuda Melayu telah berkembang di Bahagian Ketiga
dengan pesatnya di bawah pimpinan Awang Rambli Deli. Cawangan-cawangan telah
ditubuhkan di Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sareikei, Matu,
Igan, Dalat dan Mukah dengan jumlah ahli sebanyak 30, 000 orang. Disamping itu
Awang Rambli secara senyap-senyap telah membentuk satu kumpulan kecil dalam
Pergerakan Pemuda Melayu dengan nama Rukun Tigabelas.
Ahli Kumpulan Sulit ini terdiri dari Awang Rambli,
Bujang Suntong, Abang Han Ahmad, Che Osman Che Ahmad, Morni Onei, Othman
Dollah, Ahmad Hj. Abu Bakar, Awang Osman Moh, Wan Zain Abdullah dan Rosli
Dhobi. Tujuan Rukun Tigabelas ialah untuk menebus kemerdekaan Sarawak dengan
cara kekerasan. Mereka bersumpah untuk membunuh setiap orang putih dan
pemimpin-pemimpin Melayu yang belot. Pada 3 Disember 1949, Rosli Dhobi telah diarahkan
untuk menyerang Gabenor Sir Duncan Stawart yang melakukan lawatan rasmi di
bandar Sibu. Akibat serangan itu Sir Duncan Stewart telah mendapat luka parah
dan akhirnya meninggal dunia. Ekoran daripada itu Pergerakan Pemuda Melayu
telah diharamkan dan ahli-ahli Rukun Tigabelas telah ditangkap. Awang Rambli,
Rosli Dhobi dan Bujang Suntong telah didapati bersalah dan dihukum gantung
sampai mati sementara yang lain dihukum penjara. Pergerakan Pemuda Melayu
seterusnya lenyap begitu saja, tetapi perjuangannya tetap tercatit dalam
sejarah nasionalisme bumiputera Sarawak.
3.4 Kaum Ibu (PKMS)
Lily Eberwaine
Tanggal 16hb Mac 1947, Kesatuan Kaum Ibu ditubuhkan dan penubuhannya
mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu-ibu di Sarawak ketika itu dan
keahlian mereka yang seramai 1000 orang di dominasi oleh bekas tenaga pengajar
wanita yang telah turut sama meletakkan jawatan bagi membantah Circular 9/46
yang diusulkan oleh pihak pentadbiran Kerajaan Kolonial British pada waktu itu.
Kebanyakan daripada ahli-ahli Kesatuan Kaum Ibu ramai dianggotai oleh
wanita-wanita daripada Kuching dan Sibu. Pengerusi Kaum Ibu pada waktu itu
adalah Cikgu Lily Eberwein, seorang Guru Besar di Permaisuri Malay’s School.
Allahyarhamah merupakan seorang wanita berbangsa Eurasian hasil perkahwinan
Melayu Sarawak dan seorang penjawat awam Kerajaan Brooke. Allahyarhamah
merupakan bonda kepada mantan menteri kabinet Sarawak iaitu Datuk Habsah Harun.
Episod sesi penerangan dan sokongan terhadap Anti Penyerahan Sarawak 1946 bermula di rumah-rumah panjang dan kampong-kampung terpencil di seluruh Sarawak. Wanita-wanita besi ini telah mempertaruhkan nyawa mereka samada dengan berjalan kaki melalui perjalanan darat dan juga menggunakan perahu untuk kawasan kampong yang terpencil. Lily Eberwaine telah berusaha mendapatkan cap jari sebagai bukti mereka tidak bersetuju dengan penyerahan ini. [14]Hasilnya ramai wanita-wanita dari pelbagai lapisan di rumah-rumah panjang dan kampong-kampung tanpa mengira bangsa dan budaya mahupun agama bersama-sama menyokong Gerakan Anti Penyerahan 1946. Inilah pengorbanan besar wanita-wanita besi ini di sebalik Gerakan Anti Penyerahan 1946 suatu waktu dahulu. Kejayaan demonstrasi besar-besaran Anti Penyerahan 1946 yang disertai oleh wanita-wanita bangsa Sarawak dengan membawa sepanduk serta meletakkan sepanduk serta mengibarkan bendera Negara Sarawak suatu waktu dahulu adalah hasil kesedaran dan pengorbanan yang dilakukan oleh wanita-wanita besi ini.
Wanita besi kedua adalah Setiausaha kepada Kesatuan Kaum Ibu iaitu Datuk Ajibah Abol. Allahyarhamah Datuk Ajibah Abol merupakan seorang guru dan rakan sekerja kepada Allahyarhamah Lily Eberwein di Permaisuri Malay’s School.
Datuk Ajibah Abol merupakan mantan menteri wanita pertama di dalam Kabinet Sarawak suatu waktu dahulu (1973 – 1976) Mereka berdualah yang telah menjadi wakil kepada Kesatuan Kaum Ibu di dalam setiap mesyuarat Anti Cessionist yang dikelolakan oleh Datuk Patinggi Ali di rumahnya “Darul Kurnia”. Di setiap mesyuarat inilah mereka bersama-sama mengatur strategi tindakan dan aksi Gerakan Anti Penyerahan 1946.
Komuniti pengelola Anti Penyerahan Sarawak mengetahui bahawa kejayaan gerakan anti penyerahan tidak hanya boleh diadakan di kawasan Bandar-bandar sahaja malah ianya harus disemarakkan di seluruh ceruk rantau bumi Sarawak pada waktu itu. Maka tugas itu telah dipikul oleh Kesatuan Kaum Ibu yang telah secara relahati memikul tugas berat ini. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di ketika itu hampir majority daripada mereka yang berada di dalam Gerakan Anti Penyerahan tidak mempunyai sumber pendapatan lagi kerana mereka telah meletak jawatan kerana membantah circular 9/46. Kerana inginkan gerakan membantah ini menjadi satu kenyataan, maka tampillah Kesatuan Kaum Ibu yang telah sanggup mengorbankan segala wang ringgit malah bergolok bergadai dengan barang kemas mereka bagi menampung perbelanjaan untuk ke kawasan pendalaman di Sarawak.
4.0 KESAN GERAKAN DALAM KONTEKS SEMANGAT
KEBANGSAAN
4.1 KEMUNCULAN
PERTUBUHAN-PERTUBUHAN BAHARU
Gerakan anti-penyerahan telah memperlihatkan penentangan masyarakat
tempatan terhadap penyerahan Sarawak kepada British. Parti Kebangsaan Melayu
Sarawak (PKMS) yang merupakan parti pertama yang bangkit menentang penyerahan
telah mendapat cemuhan British kerana menganggap penentangan itu hanya mewakili
jumlah masyarakat yang tidak ramai iaitu hanya seramai 2000 orang. Namun
begitu, setelah pemimpin PKMS, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah meninggal
dunia pada tahun 1946, pertubuhan yang membantah penyerahan semakin bertambah.
Pada tahun 1946 sehingga awal 1947, sebanyak 52 buah pertubuhan anti-penyerahan
telah ditubuhkan seperti Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Pergerakan Pemuda
Melayu, Sibu (PPM).[15]
BPS yang berpusat di Kuching ditubuhkan pada tahun 1947 oleh pemuda
Melayu yang berpelajaran yang tidak suka kepada pimpinan PKMS. Pemimpin
pertubuhan ini ialah Suut Hj, Tahir sebagai Presiden dan Abang Kassim sebagai
Setiausaha Agung. Pertubuhan ini menentang penguasaan golongan aristokrat dalam
politik Melayu.[16]
Mereka menganggap PKMS sebagai pertubuhan orang-orang tua yang berfikiran
konservatif, pasif dan tidak mempercayai idea serta pimpinan orang muda.[17]
Pertubuhan ini bukan sahaja dianggotai oleh pemuda Melayu malah turut mencuba
mencari sokongan daripada pemuda Dayak.
PPM pula merupakan pertubuhan yang
berpusat di Sibu dan ditubuhkan pada tahun 1946. PPM dipimpin oleh Sirat Hj. Yaman
sebagai Presiden, Awang Rambli sebagai Setiausaha Agung. Ahli-ahli pertubuhan
ini terdiri daripada pemuda-pemuda dari Bahagian Ketiga Sarawak. Di bawah
pimpinan Awang Rambli, PPM menjadi pertubuhan anti-penyerahan yang aktif dan
kuat sehingga mendakwa mempunyai 30 000 orang ahli dan mempunyai
cawangan-cawangan di Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sarikei, Matu,
Daro, Igan, Dalat, Oya dan Mukah.[18]
Pertubuhan-pertubuhan anti-penyerahan ini bukan sahaja bergerak di
Sarawak, masyarakat Sarawak yang berada di Singapura untuk bekerja juga turut
menubuhkan satu pertubuhan dikenali sebagai United Sarawak National Association
(USNA). Pertubuhan ini dipimpin oleh Sirat Mohamad sebagai Presiden, Awang
Kipli sebagai Pengerusi dan Annuar Ahmad sebagai Setiausaha. USNA berpusat di
Geylang dan mempunyai ahli seramai 300 orang menggabungkan orang Melayu, Iban
dan sebilangan orang Cina.[19]
USNA tidak seperti pertubuhan lain di Sarawak kerana USNA mempunyai strategi
yang tersendiri dan tidak berhubungan secara langsung dengan pertubuhan yang
berada di Sarawak. USNA hanya memberikan tumpuan kepada edaran publisiti kepada
gerakan-gerakan di Sarawak. Mereka mencetak pamplet-pamplet supaya menyokong
anti-penyerahan di Singapura dan diedarkan di Sarawak. Pertubuhan ini mempunyai
hubungan yang baik dengan ahli politik Tanah Melayu dan Indonesia khususnya
golongan sayap kiri.[20]
Gerakan anti-penyerahan ini juga telah membawa kepada kemunculan
pertubuhan-pertubuhan baharu yang lain termasuklah Angkatan Semangat Anak
Sarawak (ASAS), Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), PKMS Kaum Ibu, Persatuan
Melayu Miri, Persatuan Melayu Limbang, Perhimpunan Kebajikan Awam, Kesetiaan
Kaum Muda Matu, Kesetiaan Melayu Simanggang, Kesetiaan Club Dalat, Sulam Mas
Seria, Kaum Ibu PPM dan Angkatan Bintawa-Astana Sarawak (ABAS).[21]
Kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu ini dalam jangka masa setahun
yang dianggarkan sebanyak 52 buah persatuan memperlihatkan bahawa masyarakat
Sarawak telah mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi untuk mempertahankan
tanah air daripada dijajah oleh British. Dengan adanya pertubuhan-pertubuhan
ini, masyarakat lebih mudah berbincang, menyalurkan idea dan menyemai semanagat
kebangsaan. Walaupun tidak berjaya, pertubuhan golongan muda bersifat radikal
ini telah memberi nafas baru kepada masyarakat Sarawak agar mempertahankan
tanah air dengan jiwa dan raga. Kesanggupan anak-anak muda terutamanya Rukun 13
yang muncul daripada PPM mengambil risiko bertindak agresif memperlihatkan
keperkasaan jiwa mereka. Kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu ini telah
menggalakkan semangat kebangsaan untuk terus bercambah.
4.2 MENINGKATKAN
SEMANGAT UNTUK BERKERAJAAN SENDIRI
Dengan adanya semangat kebangsaan yang tinggi, sudah semestinya mereka
mahukan satu pemerintahan yang dipimpin oleh rakyat tempatan sendiri. Gerakan
anti-penyerahan telah membawa kesedaran dan semangat kepada masyarakat Sarawak
untuk berkerajaan sendiri. Semangat itu bukan sahaja tumbuh dalam kalangan
lelaki tetapi kaum wanita juga mahukan kerajaan sendiri sehingga tidak gentar
untuk mempunyai gerakan sendiri.[22]
Lily Ebrawine ada menyatakan,
“ Kami kaum ibu Sarawak sama berjuang dengan kaum bapa dan tidak
berhenti menuntut kemerdekaan tanah air kami supaya kembali seperti dulu”.[23]
Semangat ini telah menuntut masyarakat Sarawak untuk menubuhkan
pertubuhan-pertubuhan bagi menentang penyerahan dan menuntut pengekalan
kemerdekaan. Mereka mahu Sarawak dikembalikan kepada keluarga Brooke kerana
mereka menganggap Brooke tidak menjajah malah Brooke yang telah memerdekakan
Sarawak. Hal ini disebabkan oleh hubungan rapat Brooke dengan masyarakat
tempatan dan adanya keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat tempatan
terutamanya orang Melayu.[24]
Orang Melayu percaya bahawa mereka akan dapat memerintah sendiri dan mempunyai
kerajaan sendiri selepas itu jika keluarga Brooke memerintah kerana mereka
boleh mendapat bimbingan daripada Brooke.
Tambahan pula, semasa Sarawak di bawah pemerintahan Charles Vyner Brooke
ciri-ciri untuk pemerintahan diserahkan kepada masyarakat tempatan itu sudah
ada. Hal ini dibuktikan dengan pembentukan perlembagaan pertama Sarawak pada
tahun 1941. Satu badan yang dinamakan Majlis Tertinggi dibentuk sebagai badan
rujukan tertinggi. Selepas itu, Brooke membentuk Majlis Negeri dengan 25 ahli
dan memberi peluang kepada masyarakat tempatan melahirkan keinginan, cadangan
dan menyuarakan ketidakpuasan.[25]
Pemerintahan berasaskan perlembagaan ini memberi harapan kepada masyarakat
untuk berkerajaan sendiri kerana pemerintahan bercorak ini mengizinkan
penglibatan rakyat dalam pemerintahan.[26]
Oleh kerana itu, masyarakat amat berharap pemerintahan kembali kepada keluarga
Brooke agar proses untuk berkerajaan sendiri itu dapat diteruskan.
Gerakan-gerakan anti-penyerahan ini telah memberikan impak yang besar
dalam diri masyarakat untuk berkerajaan sendiri memandangkan telah bangkitnya
semangat nasionalisme dalam diri mereka. Sesebuah masyarakat yang telah
dipimpin oleh bangsa lain dalam tempoh yang lama semestinya mempunyai kesukaran
untuk membina kembali kerajaan baru. Pertubuhan-pertubuhan yang muncul telah
membangkitkan kembali semangat perpaduan dan cintakan tanah air seterusnya
menanamkan keinginan untuk berkerajaan sendiri dengan bimbingan pemerintah yang
dipercayai.
4.3 PERTUMBUHAN PESAT
PARTI POLITIK
Oleh kerana gerakan anti-penyerahan gagal menghalang penyerahan Sarawak
kepada British, British telah menguasai Sarawak atas kepentingan ekonomi. Namun
begitu, desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan
penjajahan menyebabkan British bersikap lebih terbuka. Dasar liberalisasi
seolah-olah diamalkan dan pemimpin politik dibenarkan untuk membentuk
pertubuhan, berucap dan berkempen.[27]
Lantaran daripada wujudnya gerakan anti-penyerahan, banyak pertubuhan telah
diasaskan. Gerakan membawa kepada pengalaman yang banyak kepada masyarakat
Sarawak untuk berpolitik dan berpertubuhan.[28] Hal
ini telah memudahkan masyarakat Sarawak untuk menubuhkan parti politik.
Sarawak United People’s Party (SUPP) merupakan perintis dalam arena
politik Sarawak. SUPP yang ditubuhkan pada 12 Jun 1959 telah menjadi ilham
kepada orang Melayu dan Dayak untuk menubuhkan parti politik sendiri. Parti ini
ditubuhkan oleh segolongan orang Cina yang berpendidikan, kebanyakannya
daripada suku Hakka dan Hokkien.[29]
SUPP dipimpin oleh Ong Kee Hui dan Stephen Yong Kuet Sze sebagai Setiausaha
Agung. Parti ini pada awalnya merupakan parti bersifat majmuk, keahliannya
tidak menampakkan monopoli satu kaum. Selain orang Cina, orang Iban, Dayak dan
Bidayuh juga menganggotai parti ini sebagai ahli biasa.
Kemunculan SUPP dan
sokongan orang ramai terhadap pertubuhan itu telah menyemarakkan lagi rasa
kesedaran politik dalam kalangan golongan atasan Melayu tentang pentingnya
penubuhan parti politik untuk menjaga kepentingan mereka. Tambahan pula,
Anthony Brooke telah mendorong PKMS menubuhkan parti politik untuk memelihara
kepentingan orang Melayu.[30]
Rentetan itu, orang Melayu mula menubuhkan Parti Negara Sarawak (Panas) dan
Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) manakala orang Dayak pula menubuhkan
Sarawak National Party (SNAP) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).[31]
Memandangkan masyarakat Sarawak terdiri daripada masyarakat berbilang
kaum, parti politik yang terasas juga terpengaruh dengan struktur perkauman
tersebut. Parti politik yang bersifat perkauman tumbuh pesat demi memenuhi
aspirasi kaum dan pemimpin politik dengan mudah mendapat sokongan dengan
menggunakan dan memanipulasi isu primordial (perkauman).[32]
Penubuhan parti-parti politik ini telah membawa masyarakat Sarawak khususnya
golongan yang terlibat dalam politik untuk memikirkan masalah masyarakat
terutamanya masalah ekonomi. Parti-parti politik ini yang akhirnya menyertai
pilihan raya dalam membentuk Sarawak yang berkerajaan sendiri.
5.0 KESIMPULAN
Gerakan
anti-penyerahan telah meninggalkan kesan yang penting dalam perkembangan
sejarah walaupun gerakan tersebut telah gagal mencapai tujuannya dalam
mengembalikan pemerintahan Brooke di Sarawak. Pergerakan anti-penyerahan telah
memainkan peranan yang penting dalam membawa Sarawak ke arah pembentukan
Malaysia. Hal ini demikian kerana, salah satu sebab yang mendorong pihak
British menyokong penuh pembentukan Malaysia ialah mereka sedar bahawa mereka
tidak disukai oleh golongan anti-penyerahan di Sarawak. Secara keseluruhannya,
penglibatan penduduk Sarawak dalam pergerakan politik tempatan telah
memperlihatkan bahawa mereka sedar dan giat dalam lapangan politik di Sarawak
sejak tahun 1940-an, tetapi kegiatan politik yang wujud pada ketika itu adalah
yang bukan parti politik. Ia boleh dikategorikan sebagai kegiatan politik pada
peringkat pertama, iaitu tahap yang belum lagi melibatkan penubuhan parti
politik di Sarawak.
Jika dilihat dari sudut positif,
pengambilan Sarawak sebagai tanah jajahan mahkota British telah memberi
kebaikan kepada semua kaum di Sarawak termasuklah orang Cina. Kebudayaan, cara
hidup yang bermanfaat dipelihara dan kedudukan istimewa kaum Bumiputera ke atas
hak-hak tanah telah dikekalkan. Tanah jajahan telah berkembang dengan stabil
menuju ke arah pemulihan daripada kesan perang dan penaklukan Jepun.
Pentadbiran kolonial juga telah menambahkan kadar kemajuan dalam ekonomi,
sosial dan meningkatkan taraf hidup penduduk Sarawak. Langkah pertama yang
dilakukan oleh pihak berkuasa idalah dengan memimpin negeri Sarawak ke arah
berkerajaan sendiri. Pendek kata, pentadbiran British telah mempercepatkan
negeri Sarawak ke arah berkerajaan sendiri dan kemudian kemerdekaan yang
diharap-harapkan oleh semua penduduk Sarawak. Penglibatan kerajaan British
telah membawa politik Sarawak ke arah yang lebih matang dan berkembang dengan
lebih rancak.
6.0 RUJUKAN
Ahmad Nidzammuddin Sulaiman. 1994. Politik Sarawak. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,
Hashim Fauzy Yaacob. 2013Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan British 1946-1963. Selangor:
Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Ho
Hui Ling. 2001. Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951. Persatuan Sejarah
Malaysia.
Leigh M. 1988. The
Rising Moon : The Political Change in Sarawak. Kuala Lumpur
Nidzam Sulaiman. 2006. Pakatan dalam Politik Sarawak. Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sabihah Osman, The
Malay-Muslim Response To Cession of Sarawak To The British Crown 1946-1951, JEBAT Vol. 13,
Bangi : Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sanib Said. 2010 Malay
Politics In Sarawak 1946-1966: The Search For Unity And Political Ascendancy. University Malaysia Sarawak.
[1] Dalam konteks ini, penduduk Sarawak
semasa di bawah pemerintahan Brooke mengakui bahawa raja Brooke telah member
kemerdekaan kepada Sarawak daripada jajahan Brunei.
[2] Ho
Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001, Persatuan Sejarah Malaysia, hlm. 43.
[4] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah
Penjajahan British 1946-1963, 2013, Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.,
hlm. 154.
[8] Ibid.
[11] Ho
Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001, Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 50.
[12] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah
Penjajahan British 1946-1963, 2013, Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.,
hlm 137.
[13] Ho
Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001, Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 61.
[14]
Sanib Said, Malay Politics In Sarawak 1946-1966: The Search For Unity And
Political Ascendancy, University Malaysia Sarawak, 2010, Hlmn 65
[15]
Sanib Said, Malay Politics in Sarawak 1946-1966 : The Search for Unity and
Political Ascendancy, 1985, Singapore : Oxford University Press, hlm. 48.
BPS dan PPM ialah pertubuhan yang dilahirkan apabila
berlakunya perpecahan di dalam PKMS.
[16]
Nidzam Sulaiman, Pakatan dalam Politik Sarawak, 2006, Bangi : Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 181.
[17]
Sanib Said, 1985, hlm. 48.
[18]
Ibid. Hlm. 49.
[19]
Ibid.
[20]
Ibid.
[21]
Ibid.
[22]
Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan
British 1946-1963, 2013, Bangi : Utusan Printcorp, Hlm. 153.
[23]
Ibid. Hlm 153-154.
[24]
Ibid. Hlm. 156.
[25]
Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 170.
[26]
Ibid.
[27]
Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 182.
[28]
Sabihah Osman, The Malay-Muslim Response To Cession of Sarawak To The British
Crown 1946-1951, JEBAT Vol. 13, Bangi : Jabatan Sejarah Universiti
Kebangsaan Malaysia, hlm. 169.
[29]
Leigh, M. The Rising Moon : The Political Change in Sarawak, 1988, Kuala
Lumpur : Antara, hlm. 19.
[30]
Ibid. Hlm. 183.
[31]
Ahmad Nidzammuddin Sulaiman & et.al, Politik Sarawak, 1994, Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 23.
[32]
Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 188.
DISEDIAKAN OLEH:
NUR SARAHAH MOHD SUPIAN
SITI NURQALILA OMAR
NUR SYAHIRAH KHIR
SITI NURQALILA OMAR
NUR SYAHIRAH KHIR
1 comment:
Bukan Patinggi Ali tapi Datu Patinggi Abg Abdillah di kediaman Darul Kornia
Post a Comment