1.0 PENGENALAN
Gerakan
radikal di Tanah Melayu boleh dianggap sebagai suatu gelombang politik
masyarakat Melayu yang selama ini terkenal
dengan sikap konservatif dan sentiasa menurut perintah golongan atasan
dan raja. Sifat ini sememangnya telah wujud dalam diri masyarakat tradisional
sebelum berlakunya pembentukan sebuah negara baru yang berteraskan fahaman
demokrasi dan kemerdekaan politik daripada penjajah luar. Gerakan radikal boleh
diklasifikasikan sebagai suatu gerakan politik yang tidak mendukung sepenuhnya
sistem politik tradisional yang berteraskan istana dan kekuasaan mutlak
raja-raja Melayu.[1]
Gerakan seperti ini menolak pemerintahan lama yang dipegang oleh raja-raja dan
pembesar yang membentuk kelas pemerintahan masyarakat Melayu tradisional.
Idea radikalisme ini telah tercetus
daripada gerakan politik di Barat iaitu idea ini telah dimulakan oleh gerakan
politik di Perancis pada kurun ke-19. Gerakan radikal di Perancis dilakukan
adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil bahagian yang lebih
terbuka dan luas bagi membicarakan isu-isu politik dan perlembagaan. Gerakan
ini juga menggalakkan dan mendukung kebebasan awam termasuklah hak bersuara dan
berbahas secara terbuka, tetapi tersusun dan berorganisasi serta menuntut lebih
banyak pembelaan dan keadilan sosial. Hal ini tercetus sebagai kesan Revolusi
Perancis, yang membuang institusi raja dan menegakkan kuasa rakyat dalam
menentukan pemerintahan negara.
Tanah Melayu mengalami perkembangan
politik yang penting pada abad ke-20. Pada era ini, kebangkitan kesedaran
kebangsaan dalam kalangan orang Melayu muncul dengan lebih teratur melalui
aktiviti gerakan dan organisasi yang lebih terpimpin. Usaha tersebut telah
timbul kerana masyarakat Melayu ingin melahirkan rasa tidak puas hati terhadap
pentadbiran kerajaan British yang telah sekian lama mengongkong penduduk Tanah
Melayu dengan pelbagai agenda ekonomi, politik dan sosialnya. Golongan ini
telah berjaya membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu
bagi menghadapi tuntutan bukan Melayu dan penguasaan British dalam sistem
politik di Tanah melayu.
2.0 GERAKAN
RADIKAL DI TANAH MELAYU
2.1 Angkatan Wanita Sedar (AWAS)
Gerakan nasionalisme Melayu di
antara tahun 1914 hingga 1941 telah muncul dan mencapai kemuncakknya selepas
perang Dunia Kedua. Gerakan nasionalisme pada asanya adalah sebahagian daripada
gerakan untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan mewujudkan
sebuah negara yang merdeka dan membangun. Bagi mencapai matlamat tersebut,
golongan wanita adalah tidak terkecuali dalam memainkan peranannya dalam
mewujudkan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Semasa pendudukan Jepun, Jepun
telah menyekat pendidikan golongan wanita dan banyak sekolah pada ketika itu
telah ditutup. Walau bagaimanapun, British telah membina semula infrastruktur
dan memulihakan semula keadaan selepas perang. Pada tahun 1947, lebih daripada
3000 orang wanita Melayu yang memasuki sekolah Inggeris dan terdapat juga yang
memasuki sekolah vernakular dan sekolah agama.[2]
Melalui
perkembangan pendidikan dalam kalangan wanita, hal ini telah mengubah pandangan
serta persepsi golongan wanita terhadap isu politik. Wanita Melayu telah
terdedah dengan idea-idea moden serta emansipasi dan akhirnya menyebabkan
mereka sedar tentang ketidakadilan pihak kolonial serta mula menyedari tentang
hak serta kedudukan sosial mereka. Pada Mac 1946, peranan golongan wanita
semakin rancak apabila mereka membantah pembentukan Malayan Union. Menurut
seorang pegawai British:
“In town, there were demonstration with
5,000 to 10,000 people standing in front
of us. But the most remarkable thing of all-by for the most remarkable things of all-was the part the women
were playing in the great national movement.
In the 14 years I lived in Malaya,I scarcely spoke to a Malay women. But today, they go up on
political platform and make speeches ... That has
all happened in the short space of six months. If one can say there is such a thing as a national movement, then here
it is”
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa golongan
wanita yang mempunyai pendidikan serta terdedah dengan idea-idea telah
menyedari tentang peranan mereka untuk mewujudkan gerakan semangat kebangsaan
di Tanah Melayu.
Antara
gerakan wanita radikal pada ketika itu ialah Angkatan Wanita Sedar
(AWAS).
Angkatan Wanita Sedar (AWAS) merupakan salah satu cabang wanita Parti
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Jabatan wanita PKMM ini mempunyai
tiga orang ketua iaitu Khadijah Ali, Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh.[3]
Namun begitu, di antara ketiga-tiga tokoh tersebut, Shamsiah Fakeh telah
menjadikan susunan wanita PKMM lebih teratur dan pergerakannya telah mencapai
kemajuan. Hal ini terbukti apabila cawangan wanita PKMM sudah bertapak di
peringkat negeri bahkan juga di peringkat kampung. Selain itu, AWAS juga
mempunyai perlembagaan dan slogannya yang tersendiri iaitu tangan kanan
digenggam dengan jari telunjuk ditegakkan seperti isyarat memberi amaran. Perkembangan AWAS dapat dilihat semakin
berkembang apabila ketua Parti AWAS, iaitu Shamsiah Fakeh telah berkahwin
dengan Ahmad Boestamam yang merupakan ketua parti Angkatan
Pemuda Insaf (API). Hal ini telah menjadikan perjuangan AWAS dan API
semakin rancak dalam arena politik. Hal ini juga dapat dilihat apabila setiap
kali parti API menjalankan gerakan, maka di situ juga adanya gerakan parti
AWAS.
Semangat perjuangan yang ditunjukkan
oleh Shamsiah Fakeh sendiri sudah membuktikan bahawa beliau merupakan seorang
yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi meskipun beliau merupakan seorang
wanita. Parti AWAS merupakan satu badan yang tetap kekal dalam gabungan dan
menjadi sebahagian daripada PKMM sehinggalah PKMM tidak lagi beroperasi bermula
pada bulan Jun 1948 disebabkan oleh undang-undang darurat yang telah
diisytiharkan di Tanah Melayu pada ketika itu. Walaupun parti ini sudah tidak
lagi beroperasi, tetapi gerakan tersebut tetap meninggalkan banyak kesan kepada
dasar dan tindakan yang diambil British. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa
gerakan radikal kaum wanita adalah tidak terkeculi dalam mewarnai gerakan
kebangssan di Tanah Melayu
2.2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM)
Selain daripada gerakan radikal
wanita, terdapat juga gerakan radikal lain yang turut mewarnai semnagt
kebangsaan di Tanah Melayu. Parti politik yang wujud serta memainkan peranannya
dalam menentang British di Tanah Melayu antaranya termasuklah, Parti Kebangsaan
Melayu Malaya (PKMM). PKMM telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak
selepas diadakan rundingan dan persetujuan beberapa pemuda iaitu golongan
Ahmad Boestaman dan golongan
Mokhtaruddin Laso. Golongan Ahmad Boestamam berfahaman sosialis, manakala
golongan Mohtaruddin Lasso berfahaman komunis. Pada awal penubuhan parti ini
turut diresapi dengan fahaman yang berideologikan komunis tetapi akhirya Dr
Burhanuddin Helmi telah membersihkan PKMM dari pengaruh komunis. PKMM mempunyai
ideologi dan matlamatnya yang tersendiri.
Penubuhan PKMM mendukung objektif
menyatukan bangsa Malaya serta semangat kerjasama antara bangsa lain yang
tinggal di negara ini sehingga mencapai matlamat utama bagi mewujudkan
perpaduan penduduk Malaya (Malayan United Front).[4]
Dari segi objektif penubuhannya sahaja, sudah dapat dirungkai seperti apa dan
atas tujuan apa parti ini ditubuhkan pada ketika ini. Frasa Malayan United Front adalah merupakan
cita-cita PKMM yang amat jelas. PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Helmi
bukan sahaja menolak ideologi komunis, malah beliau turut metekankan unsur
perjuangan bangsa Melayu dan keislaman dalam kepimpinan beliau semasa meneraju
PKMM. Kata-kata retorik “Hang Tuah Takkan Melayu Hilang di Dunia” menjadi
pegangannya serta dasar perjuangan yang ingin diterapkan di dalam PKMM.
Namun, PKMM yang diharapkan sebuah
parti yang dapat mencabar kedudukan UMNO dan lebih bersifat radikal adalah
lebih sukar untuk dibawa oleh Dr Burhanuddin. Akhirnya, beliau dijadikan
Penasihat Umum PKMM oleh tokoh-tokoh yang lebih radikal seperti Ishak Haji
Muhammad dan Ahmad Boestamam. Malah, kepimpinan PKMM yang diperjuangkan oleh
kedua-dua tokoh ini memperlihatkan suatu perjuangan yang lebih bersifat agresif
dan radikal. Sememangnya ideologi dan matlamat yang dibawa oleh PKMM adalah
satu iaitu untuk menggugat kedudukan British sebagai penjajah di Tanah Melayu.
Lantaran itu mereka memilih untuk tidak bekerjasama dengan British dan memberikan tekanan politik kepada
pemerintahan British.
Pergerakan
PKMM menjadi lebih radikal apabila parti ini mula bergabung dengan
pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain menjadi Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan
PKMM mahukan kuasa yang lebih, bukan hanya mengembalikan kuasa raja-raja dan
menolak prinsip jus soli. Perjuangan
yang mereka impikan adalah mengusir penjajah British secara sepenuhnya di Tanah
Melayu. PKMM menginginkan hak mengundi, sebuah majlis mesyuarat yang mempunyai
kuasa dan bukan didalangi oleh pihak British semata-mata.[5]
PKMM juga sanggup bekerjasama dengan orang bukan Melayu untuk mendapatkan kuasa
politik daripada Kerajaan British. PKMM dan All Malayan Council of Joint Action
(AMCJA) telah menggubal satu Perlembagaan Rakyat yang menuntut pemberian kuasa
dari Kerajaan British kepada rakyat Tanah Melayu, termasuk menjadikan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa rasmi Tanah Melayu. Kerjasama yang ditonjolkan antara
orang Melayu dan bukan Melayu telah memberi tekanan yang hebat kepada Kerajaan
British pada ketika ini.
Namun
begitu, perjuangan PKMM semakin tiba ke penghujung apabila berlaku Darurat pada
tahun 1948. Setelah darurat diisytiharkan pada 19 Jun 1948, tokoh-tokoh dan
anggota PKMM telah ditangkap berama-ramai oleh pihak British. Mereka telah dituduh
sebagai komunis dan dianggarkan penangkapan orang Melayu yang ditangkap pada
ketika itu adalah lebih daripada 1,000 orang.[6]
PKMM yang dianggap radikal telah diharamkan oleh Kerajaan British. Walaupun
British diberikan kuasa penuh untuk melakukan penangkapan, hal ini bukan
bermakna bahawa gerakan berhaluan kiri akan lenyap begitu sahaja. Tokoh-tokoh
berhaluan kiri masih mengorak langkah untuk menubuhkan dan memasuki parti-parti
baru yang ditubuhkan selepas tahun 1955 atau selepas zaman pemenjaraan mereka
berakhir.[7]
Walaupun perjuangan PKMM tidak memperlihatkan usahanya ke arah memerdekakan
Tanah Melayu, namun perjuangan radikal yang ditonjolkan oleh pemimpin PKMM
seperti Ahmad Boestamam berupaya untuk memberikan tekanan yang hebat kepada
pihak British sehingga pengharaman ke atas parti ini dilakukan.
2.3 Kesatuan Melayu Muda (KMM)
Penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM)
pada tahun 1937 oleh golongan nasionalis yang berpendidikan Melayu serta
dipengaruhi oleh gerakan nasionalis Indonesia telah memperlihatkan pertumbuhan
politik yang bersifat agresif. Parti ini ditubuhkan telah ditubuhkan oleh
Ibrahim bin Haji Yaacob dan dianggotai oleh kebanyakan penuntut Maktab
Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Presiden parti ini adalah Ibrahim Yaacob,
Mustapah Hussain sebagai Naib Presiden, Hassan Haji Mnan sebagi Setiausaha,
Othman Mohd Nor sebagai Penolong Setiausaha dan Idris Hakim sebagai Bendahari.
Antara ahli jawatankuasa yang dipilih adalah Ishak Haji Muhammad, Abdul Karim
Rashid, Bahar Abiik, Sulung Chik, Onn Haji Siraj, Abdul Smad Ahmad dan Abdullah
Kamil.[8] Antara dasar dan matlamat
perjuangan KMM sebagai sebuah parti politik Melayu pertama yang ditubuhkan
dapat di lihat di mana Musta Hussin telah menerangkan mengenai dasar dan
matlamat perjuangan KMM yang berbeza dengan parti yang ada sebelum ini.
Menyedari orang Melayu
agak ketinggalan dalam pelbagai bidang telah menyebabkan Ibrahim Yaakob dan
rakan-rakannya nekad menubuhkan KMM yang seterusnya akan menjadi persatuan
politik yang berpengaruh di Tanah Melayu. Kepimpinan KMM juga dilihat amat
cenderung dan terpengaruh dengan penulisan-penulisan dari Indonesia yang banyak
menyeru kepada kebebasan dan kemerdekaan daripada pihak penjajah. Oleh yang
demikian, kepimpinan KMM mahu menuntut kemerdekaan daripada penjajah British
dengan apa cara sekali pun.[9] Perkara
ini jelas menunjukkan yang KMM ditubuhkan bukan sekadar untuk memberi kesedaran
politik terhadap masyarakat tempatan di Tanah Melayu tetapi mempunyai cita-cita
yang lebih besar iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah ini.
KMM juga mengkritik raja-raja Melayu yang dilihat gagal
untuk melindungi hak dan menjaga kepentingan orang Melayu daripada penindasan
dan hal ini sekali gus telah melahirkan semangat kebangsaan yang semakin
meluap-luap. KMM juga yakin bahawa persatuan berasaskan kenegerian hanya akan
merugikan orang Melayu. Oleh itu, perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah
Melayu seharusnya digerakkan bagi membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman
penjajah dalam pelbagai aspek yang merangkumi politik, sosial dan ekonomi.
Usaha seterusnya dalah dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia yang
dikenali sebagai ‘Melayu Raya’. Oleh kerana perjuangan KMM yang anti-British
dan anti-feudal, pergerakan KMM dikawal ketat oleh pihak penjajah. Manakala
golongan elit bangsawan juga memainkan peranan dan gerakan untuk menangkis idea
perjuangan KMM dari tersebar di Tanah Melayu.
Selain itu, perjuangan
KMM juga banyak dibantu melalui penulisan karya-karya yang menerapkan ideologi
mereka. Ishak Haji Muhamad merupakan salah seorang tokoh KMM yang banyak
menyumbang memperjuangkan KMM dari segi penulisan. Salah satu karya beliau yang
agak popular diperkatakan ialah ‘Putera Gunong Tahan’. [10] Karya
ini merupakan novel sindiran beliau yang pertama yang mengkritik dan menyindir
masyarakat Tanah Melayu, pemimpin tempatan serta penjajah. Sindiran beliau
dalam novel ini sebenarnya ingin menyedarkan masyarakat Tanah Melayu supaya
bangkit mempertahankan Tanah Melayu dan tidak terpedaya dengan janji-janji
manis penjajah ketika itu kerana ia hanya bertujuan untuk terus menjajah Tanah
Melayu.
Gerakan KMM telah menimbulkan kebimbangan pihak British,
Kerajaan British telah mengambil langkah untuk mengawal setiap pergerakan KMM.
Antara tindakan awal yang dilakukan oleh British ialah ‘membersihkan’ SITC pada
tahun 1931. Antaranya ialah Pengetua SITC O.T Dussek telah dibersarakan, Harun
Aminurrashid dihantar ke Brunei, Abdul Hadi Hassan dipindahkan ke Kelantan dan
Zaaba dipindahkan ke Singapura. Sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua, para
pemimpin KMM telah ditangkap bahkan dipenjarakan di Singapura. Akhirnya KMM
telah dibubarkan oleh kerajaan British. Namun semasa pendudukan Jepun, KMM
telah dibenarkan bergiat dalam politik tetapi dikawal ketat. Jepun telah
menggunakan KMM untuk mendapat sokongan orang Melayu ketika menduduki tanah
Melayu. Tambahan pula, KMM pada ketika itu juga tidak mendapat sokongan
golongan birokrat Melayu yang menguasai pemikiran orang Melayu.
KMM telah memahat sejarahnya yang tersendiri apabila
menjadi gerakan yang cuba menyedarkan masyarakat tempatan terutamanya orang
Melayu agar sedar akan kedudukan politik mereka dan juga cuba membangkitkan
semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu . Dasar-dasar British yang
dilihat membebankan orang Melayu telah menyebabkan KMM bangun untuk menentang
dasar-dasar tersebut. Peranan raja yang dilihat gagal untuk menjaga hak dan
kepentingan orang Melayu juga telah menjadikan KMM sebagai golongan atau
gerakan yang bangkit untuk memperjuangkan hak mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa
KMM juga memainkan peranan yang penting dalam mewarnai gerakan kebangsaan di
Tanah Melayu.
4.0 KESIMPULAN
Perkembangan politik di Malaysia mempunyai sejarahnya
yang tersendiri dan amat menarik untuk dikaji. Dalam menggerakkan kesedaran
nasionalisme, golongan radikal dilihat telah memainkan perananya yang
tersendiri dengan cara yang tersendiri untuk membangkitkan kesedaran dalam
kalangan masyarat di Tanah Melayu khususnya orang-orang Melayu. Gerakan radikal
wanita ternyata telah mewarnai gerakan kebangsaan di Tanah Melayu. Golongan
wanita juga mulai sedar bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab ke arah
kemerdekaan. Semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh golongan
wanita telah membuktikan bahawa mereka mempunyai semangat perjuangan yang
tinggi.
Selain daripada golngan wanita, terdapat juga gerakan
radikal lain seperti PKMM dan KMM. Meskipun terdapat pelbagai rintangan yang
dihadapi oleh gerakan-gerakan ini sepanjang penubuhannya tetapi gerakan-gerakan
tersebut sedikit sebanyak telah berjaya membangkitkan semangat nasionalisme
orang Melayu. Oleh itu, gerakan-gerakan ini juga tidak terkecuali dalam
mewarnai gerakan kebangsaan di tanah Melayu.
5.0 RUJUKAN
Abdul Rahman Hj. Ismail. 2006.
Nasionalisme Dan Revolusi Di Malaysia Dan Indonesia,
2006, Pulau Pinang: USM.
Ishak
Saat. 2007. Sejarah Politik Melayu
Pelbagai Aliran. Shah Alam: Karisma Publication.
Mohamed
Salleh Lamry. 2006. Gerakan Kiri Melayu
Dalam Perjuangan Kemerdekaan Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohamed
Salleh Lamry. 2006. Gerakan Kiri Melayu
dalam Perjuangan Kemerdekaan. Bangi:
Universiti Kebangsaan Malaysia
R.
Roff William. 2003. Nasionalisme Melayu.
Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Ramlah Adam. 2004.
Gerakan Radikalisme di Malaysia 1938-1965.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Syed Muhd Khairudin Aljunied. 2013. Against Multiple Hegemonies: Radical Malay Women in Colonial Malaya, Journal of Social History. New York:
Oxford University Press.
Zainal
Abidin. 1977. Semangat Perjuangan Melayu.
Bangi: JEBAT, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
[1] Ramlah Adam, Gerakan Radikalisme di Malaysia 1938-1965, 2004, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. xiii.
[2] Syed Muhd Khairudin Aljunied, Against Multiple Hegemonies: Radical Malay
Women in Colonial Malaya, Journal of
Social History, 2013, New York: Oxford University Press, hlm. 3.
[3]Mohamed
Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu Dalam
Perjuangan Kemerdekaan, 2006, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia, hlm 78.
[4]Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, 2007, Shah Alam: Karisma
Publication, hlm. 90.
[5] Zainal Abidin, Semangat
Perjuangan Melayu, 1977, Bangi:
JEBAT, Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 2.
[6] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan
Kemerdekaan,2006, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 100.
[7] Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, 2007,
Shah Alam: Karisma Publication, hlm. 93.
[8]
Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu
dalam Perjuangan Kemerdekaan, 2006, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia,
hlm. 38.
[9] Abdul Rahman Hj.
Ismail. Nasionalisme Dan Revolusi Di Malaysia Dan Indonesia, 2006, Pulau
Pinang: USM, hlm. 86.
[10]William
R. Roff, Nasionalisme Melayu, 2003,
Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm. 249.
3 comments:
Terima kasih, sangat membantu saya nak siapkan pembentangan final year :)
mantapppppp saya fahammmm
Grateful for sharring this
Post a Comment