Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Saturday, August 31, 2019

Ujian Kecergasan


Pada hari Selasa itu aku dan Ain sedang makan tengah hari di sebuah restoran Cina yang sinonim dengan panggilan kedai Mee Tarik Pusanika. Bagi aku harganya berpatutan iaitu RM6 (setelah diskaun pelajar) dengan kuantiti nasi yang banyak serta tiga jenis pilihan lauk. Aku memilih ayam goreng kegemaran, telur yang dimasak bersama buah tomato dan sambal kentang. Keadaan di restoran ini juga aku rasakan bersih dan kondusif. Setelah aku menjamah separuh daripada juadah itu, aku menerima satu panggilan telefon yang nombornya agak asing bagi aku. Aku dan Ain hanya merenung paparan pada skrin itu. Aku pula masih was-was untuk menjawab panggilan itu kerana baru dua hari lepas aku menerima panggilan bank yang katanya aku pengguna debit yang bertuah dan terpilih untuk mengikuti skim insuran. Panggilan itu aku akhiri dengan "Maaf, mungkin saya tidak bertuah kali ini" noktah. Berbalik kepada cerita tadi, aku memilih untuk menjawab panggilan telefon itu setelah Ain menasihati mungkin itu panggilan penting (namun jika panggilan bank, sudah pasti kalian boleh meneka dialog yang akan aku suarakan). Ternyata itu ialah panggilan daripada salah sebuah Majlis Perbandaran. Katanya aku terpilih untuk menghadiri ujian kecergasan yang akan diadakan enam hari lagi. Makanan tengah hari yang masih berbaki separuh di atas pinggan sudah tidak mampu untuk aku telan kerana macam-macam perasaan yang sudah bercampur gaul dalam jiwa aku.

Petang itu sebelum aku meregangkan otot untuk menjalani latihan kecergasan, aku terlebih dahulu bertanya kepada Encik Google. Rata-ratanya ujian kecergasan ini melibatkan larian 2.4 km, bangun tubi, teka tubi, lompat jauh serta duduk dan jangkau. Maka bermulalah rutin aku selama 5 hari. Pada setiap petang aku akan berlari di sekitar kolej kediaman dan aku akan cuba mencatat masa. Dua hari berikutnya pula hujan dan aku hanya akan buat workout di bilik. Kelemahan aku ialah bangun tubi/ bangkit tubi dan sekali lagi aku meminta pertolongan Encik Google untuk mengetahui teknik dan cara mengawal pernafasan untuk mengekalkan stamina. Dua hari berturut aku merasakan sakit pada bahagian perut tapi aku biarkan sahaja dan aku meneruskan latihan sehinggalah rasa sakit itu hilang sendirinya. Pada hari keenam pula aku tidak melakukan sebarang latihan untuk memberi ruang pada tubuh untuk berehat.

Hari ketujuh merupakan hari ujian itu berlangsung. Aku tiba di perkarangan dewan 40 minit lebih awal sebelum sesi pendaftaran. Calon yang hadir mungkin dalam lingkungan 100 orang. Itulah perlawan yang aku pilih dan harus tempuhi. 100 orang bersaing untuk jawatan yang tidak sampai 5 kekosongan pun. Setelah itu berat dan ketinggian kami diambil sebelum dipecahkan mengikut kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada 17 orang dan aku berada dalam kumpulan yang ketiga. Kami diberikan satu borang yang merangkumi semakan untuk bangun tubi (1 minit), tekan tubi (1 minit), lari ulang alik (beep test), lompat jauh berdiri dan duduk dan jangkau. Kami diagihkan ke check point berdasarkan kumpulan. Memandangkan aku dalam kumpulan 3, kumpulan ini harus memulakan ujian kecergasan dengan lari ulang alik dan aku merasakan itu adalah malapetaka buatku di awal pagi. Untuk lari ulang alik sebanyak enam kategori iaitu larian tidak melebihi 10 saat, 9 saat, 8 saat, 7 saat, 6 saat dan 5 saat berdasarkan jarak yang diberikan (jarak tidak pasti) serta larian haruslah sebanyak 8 kali untuk setiap kategori saat. Kakitangan MP memilih 2 orang yang sukarela untuk memulakan larian dan malangnya aku masih belum 'rela' untuk memulakan larian. Whistle ditiup dan kedua-dua calon memulakan larian untuk kategori tidak melebihi 10 saat. Peserta pertama meneruskan larian manakala peserta kedua menyerah kalah untuk kategori 9 saat setelah selesai larian 8 kali ulang alik untuk 10 saat. Kakitangan MP bertanya siapa ingin meneruskan larian? Lalu aku tampil ke hadapan sebagai calon ketiga (setelah menjadikan calon pertama dan kedua sebagai contoh) daripada 17 calon tadi. Aku memulakan larian daripada kategori 10 saat sehinggalah 7 saat. Secara totalnya, aku hanya mampu lari dengan menepati masa yang diberikan sebanyak 32 kali dan tewas untuk kategori 6 saat (larian lebih 6 saat tidak dikira). Sepanjang larian itu, ada juga suara-suara kakitangan yang menyuruhku berhenti berehat sahaja. Dengan pantas aku menjerit "Tak nak!" sambil mneruskan larian. Sebagai peserta ketiga, aku punya banyak masa untuk berehat sebelum menunggu calon lain dan meneruskan untuk seksyen yang seterusnya.

Setelah 17 calon selesai, kami dibawa ke seksyen seterusnya iaitu duduk dan jangkau manakala seksyen larian kami tadi telah diganti dengan kumpulan lain pula. Duduk dan jangkau ini mempunyai 5 bacaan iaitu 1 paling rendah dan 5 paling tinggi. Rata-rata calon aku kira tidak punya masalah di seksyen ini dan kebanyakannya mendapat bacaan 5. Tapi jangan ambil mudah!

Kemudian kami dibawa ke seksyen bangkit tubi. Bangkin tubi ini calon dikehendaki membuat bangkit tubi sebanyak mungkin dalam masa 1 minit. Jujur aku katakan aku agak lemah untuk seksyen ini. Kami dipecahkan mengikut pasangan yang mana calon lain akan membantu aku untuk menahan kaki dan membuat kiraan. Mujur calon yang bersama aku ketika itu seorang yang supportive dan memberikan kata-kata semangat sepanjang 1 minit itu berkangsung dan aku mampu melakukan 22 bangkit tubi dalam masa 1 minit. 

Seksyen yang berikutnya ialah tekan tubi dalam 1 minit. Untuk seksyen ini, aku telah menghabiskan 1 minit dengan sebanyak 35 tekan tubi. Aku lihat calon lain sudah mulai keletihan pada seksyen ini dan aku juga merasakan perkara yang sama kerana untuk tekan tubi yang ke-30, aku sudah mulai rasa menggelatar pada bahagian bahu dan pergelangan kaki. Ya, mungkin kami hampir kehabisan tenaga.

Manakala untuk seksyen yang terakhir ialah lompat jauh berdiri. Untuk kategori ini, aku mendapat 1.5 m daripada 2 m (keseluruhan).

Setelah semua selesai, kami duduk kembali dalam kumpulan dan setakat ini hanya dua kumpulan telah selesai semua seksyen. Sambil menunggu, aku dan calon lain sempat bersembang tentang pengalaman masing-masing dan masalah yang dihadapi sepanjang 'meraih' peluang untuk mencari pekerjaan. Sempat juga mata aku menjeling-jeling ke arah seksyen larian ulang alik tadi yang betul-betul berada di hadapan tempat kami berkumpul. Larian ulang alik sebagai pembuka ujian kecergasan buat kumpulan kami yang pada awalnya aku merasakan sebagai malapetaka, sebaliknya bertukar kepada sebuah kesyukuran. Manakan tidak, lihat saja tempat kami berkumpul betul-betul menghadap tempat larian, sudah pasti sedikit sebanyak menjadi tekanan buat calon-calon pada ketika itu.

Maka selesailah ujian kecergasaan pada hari itu. Dan iya, aku lenguh-lenguh badan selama 3 hari! Tapi itulah penglaman.