Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Wednesday, March 29, 2017

PERANAN NON-GOVERNMENT ORGANIZATION (NGO) DALAM MEMPERJUANGKAN ISU PALESTIN


Sejak kewujudan negara Israel pada tahun 1948, semakin banyak NGO telah tampil ke hadapan untuk membantu rakyat Palestin. Dalam erti kata lain, NGO bukanlah satu fenomena baru dalam isu Palestin. Sejak ketiadaan negara Palestin, NGO telah memainkan peranan penting untuk menjaga kebajikan rakyat Palestin. Sebagai contoh, sektor NGO telah menyumbang 60% untuk penjagaan kesihatan, 100% untuk pertanian, dan 30% untuk institusi pendidikan yang mana kebanyakannya adalah tadika.[1] Hal ini jelas memperlihatkan bahawa NGO sangat memainkan peranan yang penting ekoran daripada kesukaran hidup yang dialami oleh rakyat Palestin. Hal ini bukan bermakna bahawa rakyat Palestin tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupan mereka dan hanya berharap kepada NGO, namun disebabkan oleh pelbagai bentuk sekatan dan halangan dari Rejim Zionis menyebabkan mereka sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Oleh itu, bantuan daripada NGO sangatlah diperlukan.

            Jenis-jenis NGO di Palestin pula adalah berbeza-beza mengikut keperluan dan ideologi yang disokong. Pada tahun 1970, sekurang-kurangnya tiga jenis NGO telah muncul, terutamanya di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Mereka terdiri daripada nasionalis, kumpulan berorientasikan Marxis, dan Islam. Dengan pengecualian NGO Islam (yang berada di luar Palestine Liberation Organization (PLO)[2], dan memperoleh sumber kewangan terutamanya daripada kutipan zakat di Palestin dan melalui organisasi), kebanyakan NGO ini telah bergabung dan berakar umbi dalam pelbagai puak PLO. Mereka terutamanya yang berkaitan dengan puak berhaluan kiri seperti Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP), Democratic Front for the Liberation of Palestine (PFLP), dan Parti Komunis atau kini dikenali sebagai Palestine Peoples Party.[3]

            Pertubuhan NGO sebahagian besarnya berdasarkan kepada badan-badan profesional yang mereka wakili seperti guru-guru, penulis, ahli kesatuan buruh, wartawan, peguam, persatuan perubatan, jurutera, dewan perniagaan, petani (jawatankuasa pertanian), dan lain-lain organisasi amal. Tambahan pula, ia adalah sukar untuk mengira dengan tepat tentang jumlah sebenar NGO Palestin tetapi menurut kajian Carapico, terdapat kira-kira 400 NGO yang bergiat aktif membantu rakyat Palestin.[4] Ia juga dianggarkan bahawa kira-kira 10-40 peratus daripada semua NGO ini adalah berorientasikan Islam. Secara umumnya perjuangan utama NGO di Palestin adalah memfokuskan kepada isu kemerdekaan kebangsaan menentang penjajahan Israel, dan juga untuk menyediakan perkhidmatan asas seperti kesihatan, tempat tinggal, makanan dan pendidikan kepada rakyat Palestin.

            Di peringkat antarabangsa, pada 8 Disember 1949, United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat pula telah ditubuhkan dengan kelulusan resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu 302 (IV). Resolusi ini memberikan sokongan perundangan dan kesihatan kepada pelarian di wilayah Palestin dan mereka yang berada di sekitar kawasan tersebut. Melalui operasi UNRWA, UNWRA telah menyediakan pendidikan, perkhidmatan kesihatan, barangan keperluan dan perlindungan kepada pelarian Palestin di kem-kem di Jordan, Lebanon, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat. Selain itu, United Nations Development Programme (UNDP) khususnya, dilihat terus komited melalui kerjasama dengan Palestinian National Authority (PNA) melalui  Program Assistance to the Palestinian People (PAPP). UNDP telah beroperasi di wilayah Palestin melalui PAPP sejak Ogos 1980. Penglibatan ini dapat dilihat dari segi pembangunan dalam aspek sosio-ekonomi penduduk, pengaksesan sumber air, perkhidmatan sosial, pengukuhan kemudahan kesihatan, dan pembinaan semula infrastruktur dan pembangunan sektor pertanian.[5]  

            Seterusnya, NGO yang mempertahankan hak asasi manusia seperti Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International pula mula menyerlah sejak tahun 1990-an dan sering tampil ke hadapan untuk menentang segala bentuk agenda yang dijalankan oleh Israel. Pada tahun 2002, pelbagai bentuk kempen anti-Isreal semakin giat dijalankan oleh NGO di peringkat antarabangsa ini dan ia turut disertai oleh NGO lain seperti MIFTAH, Palestinian Committee for the Protection of Human Rights and the Environment, BADIL, Al Haq, dan Palestinian NGO Network (PNGO).[6] Pada tahun 2004, NGO antarabangsa ini telah menyertai kempen Palestin yang mengutuk tindakan Israel sebagai tindak balas ke atas serangan dan keganasan yang telah dilakukan. Bagi menggerakkan agenda ini, sebanyak 21 buah NGO telah menyokong untuk tindakan untuk mengeluarkan siaran akhbar, surat dan laporan yang menyeru agar PBB untuk mengambil tindakan dan menuntut agar Amerika Syarikat dan EU menghukum Israel.[7]

            Pada tahun 2009, tentera Israel telah menjalankan satu operasi ketenteraan utama digabungkan di Semenanjung Gaza. Operasi itu berlangsung selama 23 hari dan pengeboman dijalankan  melalui darat, laut dan udara dan serangan ke Gaza oleh tentera Israel. Berdasarkan Kementerian Kesihatan Palestin, dianggarkan seramai 1,326 rakyat Palestin telah terbunuh semasa tempoh peperangan tersebut yang mana 430 mangsa adalah terdiri daripada kanak-kanak dan 110 wanita. Seramai 5,450 rakyat Palestin pula yang tercedera termasuk 1,855 orang kanak-kanak dan 795 wanita. Rumah dan infrastruktur telah musnah dan dianggarkan sebanyak 21,000 buah rumah telah musnah dalam pertempuran tersebut.[8]

            Melalui kempen yang dijalankan oleh NGO dan peranan yang dijalankan oleh rakyat Palestin telah cuba untuk menekan usaha menangkap dan mendakwa Israel berdasarkan dakwaan "jenayah perang" dan "pelanggaran undang-undang antarabangsa". Antara tahun 2000 hingga 2010, lebih 12 kes untuk mensasarkan Israel telah dimulakan di Belgium, United Kingdom, Kanada, Amerika Syarikat, Sepanyol dan negara-negara lain. Percubaan juga diketuai oleh NGO Palestin Eropah yang dibiayai seperti Al Haq, Palestinian Center for Human Rights (PCHR), Al Mezan, dan BADIL. NGO antarabangsa lain adalah termasuk Human Rights Watch, Amnesty International, International Federation of Human Rights (France), dan Center for Constitutional Rights (New York) yang turut terlibat secara langsung dalam usaha tersebut.[9]

           Bagi kerajaan Malaysia pula, usaha untuk membantu rakyat Palestin telah lama diperjuangkan. Bantuan yang diberikan adalah dalam pelbagai bentuk antaranya termasuklah dari segi penghormatan diplomatik dan sokongan sosio-ekonomi yang sentiasa berterusan. Oleh itu, tidak wujud persaingan antara kerajaan dan pihak NGO kerana kedua-duanya telah menunjukkan komitmen dan sokongan yang padu terhadap rakyat Palestin bagi memastikan penghormatan dan kemerdekaan negara mereka dikembalikan. Meskipun berlainan latar belakang, namun matlamatnya tetap sama iaitu demi memelihara keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Palestin. Meskipun Perdana Menteri Malaysia sering silih berganti, namun peranan Perdana Menteri Malaysia dalam menyuarakan usul mengenai isu Palestin tidak pernah diabaikan. Tambahan pula, Malaysia juga merupakan negara yang lantang mengkritik isu Palestin-Israel di persidangan OIC (Organisation of Islamic Cooperation).

            Malaysia terkenal khususnya melalui NGO Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa memberikan sokongan terhadap rakyat Palestin. Komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam membantu rakyat Palestin dapat dilihat telah bermula sejak era Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, selaku Perdana Menteri Malaysia yang pertama (1957-1970). Tun Abdul Razak turut menegaskan pendirian Malaysia bahawa:

            “Our stand against Israeli aggression is clear and unequivocal. Within the limits of our means we have given support to the Palestinian people to regain    their land and their right.”[10]

Malaysia juga telah memberikan sumbangan yang besar untuk membantu rakyat Palestin bermula dengan penubuhan pejabat PLO di Kuala Lumpur pada tahun 1974 (yang kemudiannya diberi status Kedutaan pada tahun 1989) untuk sentiasa membuat isu Palestin sebagai tajuk berita utama di kebanyakan Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sidang kemuncak OIC, dan lain-lain persidangan hak asasi manusia antarabangsa.[11]

            Hal ini membuktikan bahawa Malaysia tidak memandang ringan terhadap konflik di Palestin dan Malaysia merupakan antara negara yang berani menyuarakan pendirian untuk memelihara keamanan di Palestin. Meskipun sebagai sebuah negara yang sedang membangun, keberanian yang ditonjolkan oleh Malaysia sedikit sebanyak membuktikan bahawa negara ini mampu membuka minda dan mencelikkan mata masyarakat dunia tentang nilai-nilai kemanusiaan yang sering dilupakan khususnya oleh negara kuasa besar demi menjaga kepentingan negara masing-masing. Tindakan Tun Dr Mahathir yang juga sering memperjuangkan isu rakyat Palestin dengan mengambil kesempatan berucap di Perhimpunan Agung PBB, beliau tidak pernah gagal dalam membangkitkan isu Palestin pada setiap tahun. Komitmen Tun terhadap Plaestin dapat dilihat melalui hubungan baik yang terjalin denngan ketua PLO iaitu Yaser Arafat. Yaser Arafat telah melawat ke Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1984, 2000 dan 2001, bahkan beliau telah membuat perbandingan antara Malaysia dengan negara Arab yang lain dengan mengatakan bahawa hubungan antara Palestin dan Malaysia adalah lebih rapat berbanding dengan negara Arab.[12]

            Sejak tragedi OCL, terdapat banyak NGO antarabangsa termasuk NGO Malaysia berasa terpanggil untuk menamatkan serangan tentera Israel di Gaza. Bagi NGO Malaysia, nasib rakyat Palestin walaupun sebelum OCL di Gaza, telah menjadi antara agenda utama dalam misi mereka untuk menegakkan isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa. Antara NGO Malaysia yang turut terlibat dalam menjalankan kempen kesedaran serta menyalurkan pelbagai program dan bantuan untuk mangsa kekejaman Israel dapat dilihat dalam jadual 2.1.

Jadual 2.1: Senarai NGO Malaysia yang memperjuangkan isu Palestin

No.
Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia
1
Al-Mustafa Foundation Malaysia
2
Aman Palestin Berhad
3
Aqsa Syarif Berhad
4
Dewan Pemuda Masjid Malaysia
5
Global Peace Mission
6
Haluan Malaysia
7
Islamic Relief Malaysia
8
Kelab Putera 1 Malaysia
9
Malaysian Medical Relief Society (MERCY Malaysia)
10
Malaysian Social Research Institute (MSRI)
11
Muslim Care Malaysia
12
Palestine Centre of Excellence (PACE)
13
Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM)
14
Perdana Global Peace Organisation (PGPO)
15
Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM)
16
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
17
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
18
Pertubuhan Mawaddah Malaysia
19
Sekretariat ABIM Pusat
20
Sekretariat HALUAN Palestin
21
Sekretariat MAPIM
22
Viva Palestina Malaysia (VPM)
23
Yayasan Amal Malaysia
24
Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF)
25
Yayasan Salam Malaysia
26
Yayasan Wanita Islam (YATI)

            Kesemua NGO ini telah banyak memainkan peranan dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan untuk Palestin termasuklah dalam aspek untuk membangunkan infrastruktur, memberikan bantuan pendidikan, kesihatan, memulihkan sektor ekonomi dan sebagainya. Kesemua NGO ini juga tidak terkecuali dalam menjalinkan hubungan dan membentuk kerjasama antara setiap NGO bagi memastikan misi kemanusiaan yang hendak dijalankan dapat berjalan dengan lancar demi membantu rakyat di negara bergolak itu. Buktinya, beberapa NGO seperti HALUAN, ABIM, JIM, PACE, Aqsa Syarif, Dewan Pemuda, Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan VPM telah bekerjasama dalam projek  “Lifeline4Gaza – Break The Siege” bagi menghantar bantuan ke Gaza.[13] Melalui projek ini juga, mereka menyertai konvoi antarabangsa yang diketuai oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri atau lebih dikenali sebagai I.H.H.) bersama dengan NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza (ECESG). Melalui projek kerjasama ini, hal ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan hubungan yang baik dalam kalangan NGO di Malaysia dan juga luar.





                [1] Ibid., hlm. 56.

                [2] Penubuhan Palestine Liberation Organization (PLO) pada Januari 1964 semasa Persidangan Kemuncak Aran pertama yang dihadiri oleh 13 orang perwakilan di Kaherah anjuran Presiden Nasser adalah langkah untuk menyatukan gerakan pembebasan Palestin. Penubuhan PLO adalah bertujuan agar dapat menjadi wakil rakyat Palestin yang kuat dengan sokongan negara-negara Arab yang lain bagi mencapai kebebasan dan keamanan untuk Palestin. Seorang warga Palestin iaitu Ahmad Shuqeiri selaku diplomat di Syria dan Liga Arab telah dilantik untuk mengetuai PLO. Pada Mei 1964, beliau telah mula menjelajah wilayah-wilayah Arab dan kem-kem pelarian di Palestin bagi mendapatkan sokongan dan rekrut baru. Rujuk Siti Rohana Bt Hj. Omar, Gerakan Penentangan Rakyat Palestin Terhadap Kerajaan Israel (1948-1987), 1999, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 51.

                [3] Asmady Idris, Organisasi Bukan Kerajaan dan Isu-isu Kemanusiaan Di Gaza, Palestin, International Journal of West Asian Studies, Sabah: Universiti Malaysia Sabah, 2012, hlm. 55.

                [4] Ibid.
                [5] Ministero degli Affari Esteri, International Organizations in the Palestinian Territories   and Gaza Strip, http://www.itcoop-jer.org/en/content/international-organizations-palestinian-territories-and-gaza-strip, [1 Jun 2016].

                [6] Jerussalem Center for Public Affairs, The Role of NGOs in the Palestinian Political        war Against Isreal,  http://jcpa.org/role_of_ngos_in_the_palestinian-political_war/, [1 Jun 2016].

                [7] Ibid.

                [8] United Nation, Occupied Palestinian Territory Gaza Flash Appeal, 2009, hlm. 1.

                [9] Ibid.
                [10]Anidah Robani, The Palestinian Issue: A Malaysian Perspective, Kuala Lumpur: IIUM Press, 2009, hlm. 14.

                [11] Asmady Idris, Organisasi Bukan Kerajaan dan Isu-isu Kemanusiaan Di Gaza, Palestin, International Journal of West Asian Studies, Sabah: Universiti Malaysia Sabah, 2012, hlm. 59.

                [12]Ahmad Faisal Muhamad, The Struggle for Recognition in Foreign Policy: Malaysia under Mahathir 1981-2003, United States: ProQuest LLC, 2008, hlm. 227.
                [13] Haluan, NGO-NGO Malaysia Dan Wakil IHH Lancar Projek Lifeline4Gaza, http://www.haluan.org.my/v5/extensions/kenyataan-media/377-ngo-ngo-malaysia-dan-wakil-ihh-lancar-projek-lifeline-4-gaza [1 Jun 2016]

LATAR BELAKANG ISU KONFLIK PALESTIN-ISRAEL


Konflik Palestin-Israel bukanlah suatu isu yang baru sebaliknya telah berlarutan sejak sekian lama. Sejak negara Israel secara rasminya telah diisytiharkan iaitu pada 15 Mei 1948, ternyata konflik ini telah berlaku lebih enam dekad. Sejarah Palestin moden pula telah menyaksikan bahawa Palestin telah jatuh ke tangan pihak British sejak tahun 1917. Kejatuhan Palestin ke tangan British adalah ekoran daripada kekalahan tentera Turki Uthmaniyyah yang telah dikalahkan oleh tentera British semasa di bawah pimpinan General Allenby.


            Jika ditelusuri dalam aspek sejarah, kerajaan Islam terakhir yang menaungi Palestin adalah semasa di bawah pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Pada tahun 1516, Palestin telah menjadi wilayah di bawah naungan Empayar Islam Uthmaniyyah yang telah diambil alih daripada kerajaan Mamluk dalam Perang Marj Dabak berdekatan dengan Halab.[1] Semasa di bawah pemerintahan Uthmaniyyah, Baitulmaqdis dan Palestin merupakan wilayah terbuka yang boleh dilawati oleh golongan Kristian dan Yahudi untuk mereka melakukan ibadah. Namun begitu, golongan Yahudi sering ditindas di Barat terutamanya di wilayah Eropah Timur. Bagi membela nasib golongan ini, mereka telah menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) yang secara rasminya ditubuhkan pada tahun 1897.[2] Tujuannya adalah untuk mendapatkan sebuah negara bagi bangsa Yahudi.

            Kelemahan Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang memerintah Palestin di antara tahun 1516-1917 telah memudahkan laluan untuk menjayakan projek Yahudi-Zionis di Palestin. Pasukan British di bawah pimpinan General Allenby ketika itu telah berjaya menawan Palestin daripada naungan Uthmaniyyah dan berjaya menawan Palestin pada bulan Disember 1917.[3] Selepas Perang Dunia Pertama, Baitulmaqdis dan Palestin telah jatuh ke tangan British. Rentetan daripada penjajahan tersebut, bermulalah perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin di bawah naungan British dari 1918-1947. Pertubuhan Zionis sememangnya mempunyai rancangan untuk mewujudkan sebuah negara bagi bangsa Yahudi. Hal ini dapat dilihat apabila Zionis membuat rancangan dengan memberikan tumpuan kepada empat perkara iaitu:[4]

  1.         i.            Melakukan promosi, mengikut kesesuaian, tentang penjajahan Palestin
melalui sistem pertanian Yahudi dan pekerja industri.

      ii.            Mewujudkan organisasi dan kerjasama dengan seluruh jentera Yahudi
dengan cara menguasai institusi, tempatan atau antarabangsa dengan
mengikut undang-undang setiap negara.

    iii.            Menguatkan dan meningkatkan kesedaran serta sentimen kebangsaan
Yahudi.

    iv.            Melakukan persediaan untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan, jika
perlu, untuk menjalankan tujuan serta agenda Zionis.

            Bagi menjayakan matlamat tersebut, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Yahudi termasuklah cuba untuk meraih simpati daripada kuasa-kuasa besar seperti Britain. Kesannya, Britain telah bersetuju untuk menyokong penubuhan sebuah negara untuk orang Yahudi di Palestin. Hal ini dapat dilihat melalui Deklarasi Balfour yang bertarikh 2 November 1917 iaitu:

            “His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of      a national home for the Jewish people, and will use their best endeavours to facilitate the achievement of this object, it being clearly understood that nothing shall be done which may prejudice the civil and religious rights of existing non-Jewish communities in Palestine, or the rights and political status      enjoyed by Jews in any other country.”[5]

            Berdasarkan perkara yang telah termaktub di dalam Deklarasi Balfour, hal ini jelas membuktikan bahawa Britain menyokong penubuhan negara bagi bangsa Yahudi. Ironinya, penubuhan negara tersebut adalah terletak di Palestin yang merupakan tempat bagi bangsa Arab yang majoritinya adalah terdiri daripada orang-orang Islam dan sebahagiannya adalah terdiri daripada orang Kristian. Apabila mereka telah memperoleh ‘mandat’ daripada Britain, maka mereka telah mempergiatkan usaha ke arah penyatuan orang Yahudi di Eropah terutamanya di Timur Eropah untuk berhijrah ke Palestin. Zionis telah menuntut untuk mewujudkan sebuah negara untuk orang-orang Yahudi dengan mengaitkan bahawa orang Yahudi mempunyai sejarah lama di Palestin. Namun begitu, alasan dengan mengaitkan sejarah lama untuk mendapatkan sesuatu tanah atau daerah adalah tidak termasuk di dalam undang-undang antarabangsa.[6]

            Oleh  kerana tidak dapat merealisasikan matlamatnya dengan menggunakan hujah tersebut, Israel telah menggunakan alternatif lain bagi mendapatkan sebuah negara dengan merampas, menduduki bahkan menghalau penduduk Palestin dari tanah air mereka sendiri. Bagi merealisasikan matlamat ini, Zionis telah melakukan pelbagai bentuk kezaliman termasuklah menghalau penduduk kampung keluar dari kampung-kampung mereka, mewujudkan ketidakstabilan dan huru-hara bahkan sanggup membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa seperti peristiwa Deir Yasin yang berlaku pada tahun 1948. Peristiwa ini merupakan titik hitam ke atas Penduduk Deir Yasin. Perkampungan ini yang pada awalnya merupakan sebuah kampung yang aman damai dan terletak di sebelah barat Jerusalem. Namun begitu, tindakan kejam tentera Yahudi yang dikenali sebagai Irgun Leumi telah menjalankan pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk Deir Yasin dan pada 9 April 1948.

            Menurut Ketua Delegasi Persatuan Palang Merah Antarabangsa iaitu Jaques de Reyneir, beliau menyatakan  bahawa 300 orang penduduk telah terbunuh dengan pelbagai bentuk penyeksaan.[7] Pembunuhan yang dilakukan dengan arahan secara jelas oleh ketua-ketua Irgun  telah menyaksikan pembunuhan yang dilakukan ke atas orang tua, wanita dan kanak-kanak, bahkan dibunuh dengan menggunakan bom grenad dan pisau oleh pasukan tentera Yahudi. Hal ini jelas membuktikan bahawa demi mencapai matlamatnya, Zionis sanggup melakukan apa sahaja tanpa rasa belas kasihan bahkan dilihat turut melanggar hak asasi manusia. Menurut Ibrahim Abu Al-Hayja’ di dalam bukunya iaitu Children Under Occupation:

            “The Fourth Geneva Convention of 1949 relative to the Protection of Civilian       Person in time of war FORBADE all sorts of aggression against life and security of civilians protected by the present of convention. Article 147 of the convention considers any aggression against the right to life a gave breach [to the convention]. Article 6 of the United Nation Convention on the Right of Child says, “States Parties recognize that every child has the inherit right to     life”. The second part of the same Article says, “States Parties shall ensure to the maximum extent possible the survival and development of the child.””[8]

            Kekejaman yang dilakukan oleh tentera Yahudi ini bukan sahaja penyeksaan dari segi fizikal bahkan mental. Bagi penduduk yang terselamat, tentera Irgun telah membawa mereka menaiki trak dan diarak bahkan dipamerkan di jalan-jalan sekitar Jerusalem bagi menandakan bahawa tindakan pembunuhan dan pembersihan etnik ini merupakan suatu bentuk kemegahaan dan kemenangan ke atas orang Yahudi. Tindakan yang dilakukan oleh tentera Irgun ini sama sekali tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia. Penduduk Deir Yasin yang terselamat terpaksa menyaksikan sendiri pembunuhan yang dilakukan ke atas keluarga mereka dengan kejam dan akhirnya memberikan kesan yang mendalam ke atas diri mereka sendiri. Sudah tentu pengalaman perit yang dialami ini tidak akan dilupakan dengan sebegitu mudah. Jumlah mangsa dalam kalangan masyarakat Arab-Palestin yang kehilangan tempat tinggal pula tidak dapat ditentukan dengan sahih kerana tiada sebarang data yang diperoleh berdasarkan tempat asal atau tempat kelahiran mereka. Secara totalnya, keseluruhan penempatan Arab telah dikosongkan dan penduduk asal telah diarahkan keluar.

            Pada 14 Mei 1948, tanpa menghiraukan kemarahan orang Arab, Israel telah mengibarkan bendera barunya dengan Lambang Bintang Daud manakala orang Arab pada ketika itu telah mengumumkan perang. Lebih dari 1,500 pejuang Palestin terbunuh ketika melawan pasukan Inggeris dan ada yang ditahan kerana menentang Yahudi.[9] Ketika berlakunya perang pada 15 Mei 1948, lebih dari 750, 000 orang Arab Pelestin yang meninggalkan segala yang mereka miliki dan pergi meninggalkan negaranya. Akibat daripada peperangan ini, ribuan penduduk telah lari ke Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dan negara-negara jiran seperti Syria dan Lubnan. Israel juga bertindak menghancurkan perkampungan dan menyebabkan penduduk asalnya tidak mungkin akan kembali lagi. Kekalahan tentera sukarela Arab dan Palestin dalam pertempuran selama 6 bulan (Disember 1947 – Mei 1948) menentang Israel telah menjadikan Ben Gurion dilantik sebagai Perdana Menteri Pertama.

            PBB telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk membincangkan masalah Palestin iaitu United Nation Special Committee on Palestine (UNSCOP)  yang diwakili oleh negara Kanada, Czekoslovakia, Guatemala, The Netherlands, Peru, Sweden dan Uruguay. Jawatankuasa ini mencadangkan penubuhan negara Palestin dan Yahudi dengan kuasa autonomi masing-masing. Di bawah Plan Pembahagian yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation), Semenanjung Gaza dan Tebing Barat diletakkan di bawah penguasaan Jordan dan Mesir manakala selebihnya menjadi negara Israel.[10] Penubuhan negara Israel ini ternyata memanjangkan lagi konflik Arab-Israel.

            Pengusiran etnik yang dilakukan adalah dapat dilihat melalui tiga tahap. Tahap yang pertama adalah dari Disember 1947 hingga akhir musim panas pada tahun 1948. Pada tahap pertama ini perkampungan penduduk Palestin dihancurkan bahkan mereka diusir keluar. Pada tahap yang kedua iaitu enam bulan berikutnya, seramai 452, 780 penduduk Palestin yang telah diusir dari kawasan-kawasan yang menjadi jajahan Israel  dalam UN Partition Plan.[11] Pada tahap yang ketiga iaitu pada tahun 1954, hanya 100, 000 yang tetap tinggal di tempat asal mereka dan menjadi kelompok minoriti Palestin yang menjadi warga Israel. Penduduk yang selebihnya iaitu seramai 800,000 telah diusir, melarikan diri kerana ketakutan dan terkorban dalam pembunuhan yang dilakukan oleh Israel. Oleh itu, dapat dilihat bahawa sekitar 80% penduduk Palestin yang diusir dan hidup dalam keadaan yang tidak menentu sehingga kini.

            Semasa berlaku perang pada tahun 1967 (Perang 6 hari), Israel telah berjaya mengalahkan kesatuan tentera negara-negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan. Kesannya, Israel telah dapat menawan seluruh Palestin dengan penguasaan terhadap Semenanjung Sinai dari Mesir, Bukit Golan dan Syria serta Semenanjung Gaza dan Tebing Barat dari Jordan.[12] Campurtangan PBB dalam dalam konflik ini telah menghasilkan Resolusi 242 Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu yang diluluskan pada November 1967, telah mengarahkan agar Israel keluar dari wilayah-wilayah yang ditakluki pada perang 1967. Namun begitu, sehingga kini hanya Semenanjung Sinai sahaja yang diserahkan kembali kepada Mesir melalui Perjanjian Camp David 1979. Keengganan Israel untuk keluar dari wilayah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejajar dengan Resolusi 242 Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu telah mendapat kecaman dari majlis itu dan tidak terkecuali seluruh dunia khususnya negara-negara Arab.

            Kehidupan penduduk di Gaza semakin merosot sejak sekatan yang dilakukan oleh Israel pada tahun 2007. Penduduk di Gaza termasuk di Tebing Barat telah dikelilingi oleh tembok dan disekat oleh rejim Zionis. Sekatan yang dilakukan telah menyebabkan lebih dari 1.4 juta penduduk yang terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak terperangkap di Gaza dengan tanah keluasan yang hanya 40 kilometer panjang dan 9.5 kilometer lebar. Hal ini telah menyukarkan keadaaan ekonomi dengan keluasan tanah yang terhad sehingga menyumbang kepada kemiskinan dalam kalangan penduduk di Gaza. Berdasarkan keseluruhan penduduk di Gaza, seramai 1.1 juta penduduk yang hidup sebagai pelarian.

            Dalam keadaan dan kehidupan yang tidak menentu ini, hampir 80% penduduk di Gaza terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa dan jumlah pengangguran telah meningkat lebih daripada 40%. Hal ini kerana sebelum wujudnya sekatan terhadap penduduk Gaza, seramai 110, 000 pekerja yang terlibat dalam sektor swasta namun seramai 75, 000 pekerja yang telah kehilangan pekerjaan berikutan sekatan yang dilakukan oleh Zionis.[13] Manakala dalam aspek kesihatan, kesihatan penduduk merosot dengan teruk. Ramai golongan muda dan bayi sangat memerlukan bantuan perubatan. Tambahan pula, penduduk sangat memerlukan bekalan air yang bersih dan mereka terpaksa mendapatkan bekalan air bersih dari pantai  (kedua-dua Palestin dan Israel berkongsi dua lembangan air bawah tanah di sepanjang pantai Mediterranean).

            Hal ini tidak bermakna bahawa Semenanjung Gaza mempunyai sumber air yang tidak mencukupi tetapi kualiti air adalah tidak sesuai untuk kegunaan domestik dan pertanian. Hal ini adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh eksploitasi berlebihan jangka panjang yang menyebabkan kepada tahap kemasinan dan pencemaran nitrat. Dengan pertumbuhan pesat penduduk, kira-kira 3.8%, ia adalah mustahil untuk penduduk Gaza bergantung semata-mata kepada satu sumber air sahaja. Selain daripada sekatan, ketegangan politik antara Fatah (PLO) dan Hamas, khususnya dalam Pilihan Raya selepas perundangan 2006 (yang dimenangi oleh Hamas), juga terus menjejaskan keadaan di Gaza. Kedua-dua pihak mempunyai kaedah dan strategi yang berbeza dalam memenangi hati semua rakyat Palestin. Perebutan tanpa henti antara mereka malangnya telah membawa kepada konflik ketenteraan yang dikenali sebagai "Battle of Gaza" yang berlaku di antara 7 hingga 15 Jun 2007.[14]

            Namun begitu, tanpa menafikan bahawa keputusan Israel untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza yang dikenali sebagai Operation Casting Lead (OCL) yang berlangsung selama 22 hari (dari 27 Disember 2008 hingga 18 Januari, 2009) adalah titik perubahan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Gaza. OCL bukan sahaja membunuh lebih daripada 1,400 rakyat Palestin, tetapi menurut United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) yang menjadi tuan rumah UN Shelter Cluster melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 3,600 tempat perlindungan juga hancur dan pelarian adalah sekitar 21,000 orang termasuk kira-kira 10,500 kanak-kanak.[15] Di samping itu, OCL juga merosakkan lagi 280 (ada yang mengatakan 250 sekolah) daripada 641 buah sekolah di Gaza. Peristiwa tragis OCL telah menjadikan Palestinian Non-Governmental Organizations (PNGO) terpanggil untuk menghentikan keganasan yang berlau serta menggesa kedua-dua Fatah dan hamas untuk berdamai demi kepentingan dan kebaikan rakyat Palestin.



                [1] Mohd Roslan Mohd Noor, Konflik Israel – Palestin Dari Aspek Sejarah Moden Dan Langkah Pembebasan Dari Cengkaman Zionis, Jurnal Al-Tamadun Bil. 5, Universiti Malaya, 2010, hlm. 73.

                [2] Ibid.

                [3] Ibid.

                [4]Ibid., hlm. 76.

                [5] Ibid.
                [6] Ibid., hlm. 77.

                [7] Ibid., hlm. 79.
                [8] Ibrahim Abu Al-Hayja’, Children Under Occupation,, Mesir: Al-Falah Foundation, 2007, hlm. 3.

                [9] Rian Yuliani, Konflik Arab Israel: Pengusiran Etnis Palestina dan Diaspora Etnis Palestina, Jakarta: Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, 2011, hlm. 3

                [10] Siti Rohana Bt Hj. Omar, Gerakan Penentangan Rakyat Palestin Terhadap Kerajaan Israel (1948-1987), Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm. 5.

                [11] Rian Yuliani, Konflik Arab Israel: Pengusiran Etnis Palestina dan Diaspora Etnis Palestina, Jakarta: Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, 2011, hlm. 6.

                [12] Siti Rohana Bt Hj. Omar, Gerakan Penentangan Rakyat Palestin Terhadap Kerajaan Israel (1948-1987), Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1999, hlm. 6.

                [13] Asmady Idris, Organisasi Bukan Kerajaan dan Isu-isu Kemanusiaan Di Gaza, Palestin, International Journal of West Asian Studies, Sabah: Universiti Malaysia Sabah,  2012, hlm. 55.

                [14] Ibid.

                [15] Ibid.