Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Thursday, May 19, 2016

KEPENTINGAN GEOSTRATEGIK DALAM DASAR LUAR AMERIKA PADA ABAD KE-20.


PENGENALAN
Konsep geostrategik memperlihatkan kepentingan negara-negara tertentu yang diletakkan dalam konteks geopolitik yang lebih luas sama ada kawasan tersebut mempunyai kepentingan strategik atau mempunyai kepentingan kepada Amerika untuk memperoleh bahan mentah yang penting terutamanya mineral.[1]

1)         PERTAHANAN & KETENTERAAN
·       Salah satu kepentingan geostrategik dasar luar Amerika dapat dilihat dalam aspek pertahanan dan ketenteraan Amerika. Aspek pertahanan dapat dilihat dengan jelas semasa Perang Dingin (1947-1991) apabila berlakunya ‘peperangan’ ideologi antara Amerika dan Soviet Union (USSR). Sejak itu Amerika terus berusaha untuk mengukuhkan dan menguatkan aspek pertahanan dan ketenteraan negaranya
·   Kepentingan geostrategik Amerika misalnya dapat dilihat melalui Doktrin Truman. Doktrin Truman telah dirangka untuk meningkatkan keupayaan tentera Amerika Syarikat dan Turki untuk melancarkan perang terhadap USSR. USSR pula menekankan keperluan untuk meningkatkan keselamatannya di Selat Dardanelles dan Laut Hitam yang mempunyai kedudukan strategik dalam aspek pertahanan.
·      Pada awal 1947, hampir semua pegawai-pegawai awam dan tentera bersetuju mengenai keperluan untuk memberikan bantuan ketenteraan ke Turki. Oleh itu, di bawah Doktrin Truman, pegawai-pegawai Amerika Syarikat telah merangka program bantuan untuk meningkatkan keupayaan pertempuran tentera Turki, tentera udara dan tentera laut, untuk membantu membina jalan raya yang strategik, dan untuk mengisi kembali senjata Turki.
·       Turki menjadi fokus utama dan kemudian sekutu rasmi Amerika Syarikat, bukan kerana jangkaan mana-mana serangan USSR berlaku di Turki, tetapi kerana potensi utiliti Turki dalam melancarkan perang, melindungi pengkalan udara dan melindungi sumber minyak Timur Tengah. Amerika Syarikat melancarkan perang kerana mahu menggunakan kemudahan Turki dan tenaga kerja untuk meneutralkan ancaman kapal selam USSR di Mediterranean, dan untuk melancarkan serangan udara ke atas sumber-sumber petroleum USSR.[2] Oleh itu, kedudukan strategik Turki dilihat mampu menjaga kepentingan geostrategik Amerika jika Turki berada di bawah penguasaan Amerika.

·    Kepentingan geostrategik Amerika juga dapat dilihat di Indochina. Setelah perang antara Perancis dan Vietnam berakhir pada tahun 1945, Eisenhower melahirkan kebimbangannya terhadap teori domino. Jika satu domino misalnya Vietnam jatuh ke tangan Komunis, maka negara-negara yang berhampiran akan turut menerima pengaruh Komunis. Oleh itu, Eisenhower telah meletakkan Ngo Dinh Diem sebagai pemimpin rasmi Vietnam Selatan dan mula menghantar bantuan ketenteraan berupa penasihat pada tahun 1955. Hal ini jelas memperlihatkan tindakan Amerika yang meletakkan pemimpin pro-Amerika serta memberikan bantuan ketenteraan merupakan salah satu bentuk pertahanan Amerika bagi membendung kuasa Komunis.

·  Kebangkitan Komunis di Indochina semakin meruncing. Semasa era Kennedy, penguasaan komunis di Laos menyebabkan Kennedy terpaksa menandatangani perjanjian untuk mengiktiraf dasar berkecuali Laos (neutral). Namun begitu, perjanjian ini telah dicabuli oleh Komunis apabila tentera Komunis menggunakan laluan Ho Chi Minh melalui Laos. Oleh itu, bagi mengelakkan hal ini berlaku di Vietnam, melalui Memorandum Keselamatan Negara No.52, Kennedy telah menjelaskan dasar Amerika untuk membendung dominasi Komunis dan membentuk masyarakat Vietnam Selatan yang demokratik. Pada tahun 1961 semasa berlakunya Perang Vietnam, Kennedy telah menghantar seramai 16, 000 tentera Amerika ke Vietnam Selatan untuk membantu gerakan menentang Vietnam Utara yang pro-Komunis.[3]

·    Amerika juga telah menjalankan Cristmas Bombing secara rahsia dan besar-besaran ke atas Kemboja yang menjadi pengkalan pihak Komunis (Mac 1960-April 1970). Hal ini diikuti pula dengan serangan darat ke atas Kemboja.

·       Bukan itu sahaja, dengan mengambil contoh kes di Iran, Iran juga berfungsi sebagai pengkalan tentera Amerika untuk menentang Soviet.[4] Namun begitu, Amerika telah meminta Iran untuk membayar gaji anggota tenteranya walaupun Amerika telah menggunakan Iran sebagai pengkalan tenteranya dan tidak perlu membayar apa-apa.

·       Pada tahun 1950, Majlis Keselamatan Negara (NSC) telah merangka dokumen NSC-68 yang merumuskan Perang Dingin sebagai pergelutan global yang menyeluruh dan menggesa agar perbelanjaan ketenteraan bagi senjata nuklear dan NATO dipertingkatkan berikutan penglibatan Amerika dalam Perang Korea.[5] Perbelanjaan pertahanan telah meningkat lebih daripada 10% kadar GNP.

·       Amerika juga dilihat terus mengamalkan dasar menyokong rejim authoritarian dan diktator yang mempunyai kepentingan langsung dengan Amerika. Amerika bukan sahaja memberikan  bantuan ketenteraan di Vietnam Selatan, tetapi turut memberikan bantuan kewangan kepada Shah Iran, Marcos di Filipina, rejim Apertied Afrika Selatan dan junta tentera Argentina, Korea Selatan dan Brazil. Kesemuanya mempunyai matlamat yang sama iaitu bagi mengukuhkan pertahanan Amerika dan menyekat pengaruh Komunis.

·   Amerika juga menumpukan dasar détente (penyelesaian konflik untuk mengurangkan ketegangan) terhadap USSR. Terdapat beberapa perjanjian yang telah dipersetujui antara kedua-dua kuasa besar ini berkaitan dengan senjata nuklear. Krisis peluru berpandu Cuba menjadi pembuka jalan kepada persefahaman Amerika dengan USSR berkenaan bahaya ujian senjata nuklear. Akhirnya, mereka bersetuju untuk menandatangani Test Ban Threaty (1963).[6] Tujuannya adalah untuk mengelakkan perang nuklear dan krisis berakhir apabila Amerika bersetuju untuk tidak menyerang Cuba dan mengundurkan peluru berpandunya dari Turki dan sebagai balasannya, USSR akan mengeluarkan semua peluru berpandunya di Cuba.

·       Amerika dan USSR juga telah bersetuju mengenai SALT (Perjanjian Mengehadkan Senjata Strategik) (1972) dan SALT II (1979) yang bertujuan memperlahankan perlumbaan senjata dan mengimbangi kedudukan nuklear kedua-dua negara. Perjanjian Senjata Nukelar Jarak Sederhana (INF) turut ditandatangani pada tahun 1987.

·       Selain daripada mengadakan perjanjian bagi mengurangkan ketegangan dan menjaga pertahanan Amerika, Amerika juga mengambilan langkah untuk meningkatkan bajet ketenteraan. Misalnya, bajet ketenteraan Amerika meningkat dari USD157 billion pada tahun 1981 kepada USD273 pada 1986. Tujuannya adalah untuk menyambung semula pembinaan peluru berpandu MX, menambah kekuatan kapal selam nuklear Trident, dan melaksanakan Stretegic Defense Initiative (SDI) atau dikenali sebagai Star Wars.[7] SDI dianggap boleh melindungi Amerika daripada peluru berpandu yang tiba. Namun begitu, SDI memerlukan kos yang amat mahal.

2)         EKONOMI
·       Kepentingan geostrategik dalam dasar luar Amerika juga melibatkan aspek ekonomi. Seperti yang sedia maklum, ekonomi merupakan salah satu keperluan nasional yang sangat penting bagi sesebuah negara. Perubahan dasar isolasi Amerika kepada dasar campur tangan pada abad ke 19 jelas menunjukkan bahawa hubungan yang terjalin dengan negara lain adalah untuk menjaga kepentingan ekonomi dan juga aspek pertahanan.

·       Aspek geostrategik juga memberikan kepentingan kepada Amerika dalam penguasaan sumber mineral seperti minyak. Kawasan Timur Tengah merupakan kawasan yang sering bergolak dan menjadi medan perebutan banyak kuasa asing bagi memenuhi keperluan nasional masing-masing. Sebagai contoh, Iran merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak dan dahulunya menjadi asset penting bagi Britain tanpa campur tangan kuasa lain. Amerika mula memandang tinggi kepentingan sumber tersebut dan menandatangani kontrak dengan kerajaan Iran pada 1921.[8] Melalui perjanjian tersebut, Amerika dibenarkan untuk mengekploitasi minyak Iran dalam tempoh 50 tahun.

·       Arang batu telah menggantikan sumber minyak dan ianya sangat diperlukan terutamanya dalam sektor pengangkutan dan perindustrian sehinggakan ianya menjadi komoditi yang amat menguntungkan dalam pasaran dunia. Iran yang menjadi pengeluar minyak terbesar di dunia menjadi faktor pendorong Amerika untuk terus menjaga Iran daripada jatuh ke tangan pihak komunis, USSR. Jesteru itu, Amerika banyak menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan, sosial dan ketenteraan untuk mengelakkan Iran terpengaruh dengan unsur komunis dan menaikkan imej Amerika sebagai pendukung demokrasi.

·       Selain daripada Iran, Amerika juga menunjukkan minat di kawasan Timur Tengah yang lain. Satu pakatan Bersekutu yang diketuai oleh presiden George H.W Bush dalam Perang Teluk 1991 merupakan suatu tindak balas ke atas tindakan Iraq menyerang dan menawan Kuwait. Amerika berusaha keras dalam menentang Iraq yang pada ketika itu diketuai oleh Saddam untuk mendapatkan kepentingan sumber minyak Kuwait. Selain itu, Amerika juga bimbang sekiranya penguasaan Iraq ke atas Kuwait akan menjejaskan kepentingan Amerika di Timur Tengah. Saddam tewas hanya beberapa hari perang berlansung namun Bush tidak meneruskan usaha menggulingkan Saddam berdasarkan pegangan Bush yang mahu mewujudkan dunia tanpa keganasan.[9]

·       Hasil eksploitasi sumber minyak di Timur Tengah seperti Iran dan Iraq memberi kelebihan yang sangat besar kepada Amerika kerana keuntungan tersebut digunakan untuk menguatkan lagi pertahanan Amerika dengan membeli senjata canggih seterusnya semakin mengukuhkan kedudukan Amerika sebagai kuasa hegemoni dunia.

·       Pembinaan Terusan Panama juga memperlihatkan kepentingan geostrategik kepada Amerika daripada aspek ekonomi. Usaha untuk membina terusan ini sudah dimulakan sejak abad 19 namun berlaku permasalahan dengan pihak Columbia yang tidak bersetuju dengan harga pampasan yang telah dipersetujui. Usaha pembebasan Panama daripada Columbia berjaya dilakukan pada tahun 1903 di bawah pimpinan Roosevelt dan pada tahun 1914, terusan berjaya dibina. Amerika telah menandatangani perjanjian perlindungan pada tahun 1904 dan membayar $10juta kepada Republik Panama untuk mendapatkan hak pembinaan terusan. Kejayaan dalam membina terusan tersebut memberi keuntungan besar kepada Amerika dalam aspek perdagangan kerana ianya telah memendekkan perjalanan kapal perdagangan Amerika antara San Francisco, California dan New York.

·       Sekatan ekonomi juga dijalankan oleh Amerika sebagai suatu reaksi bagi melemahkan atau meredakan konflik yang berlaku. Sebagai contoh, sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas China merupakan reaksi AS terhadap peristiwa Tianannmen. Presiden Amerika iaitu Bush melancarkan sekatan ekonomi untuk melahirkan ketidaksetujuan terhadap tindakan kerajaan komunis China dalam pembaharuan pentadbiran ekonomi yang menimbulkan ketidakpuashatian rakyat mereka. Gerakan demokrasi yang dilakukan oleh mahasiswa China menuntut keadilan supaya pihak kerajaan memberi keadilan kepada semua rakyat. Amerika bertindak menyekat hubungan ekonomi dengan China dalam aspek perdagangan, bantuan kewangan, penjualan senjata dan sebagainya.[10]

·       Selain daripada China, Amerika juga mempengaruhi PBB untuk melakukan sekatan ekonomi ke atas Iraq. Tindakan tersebut adalah untuk memaksa Iraq menghentikan penguasaan ke atas Kuwait dan segera berundur. Amerika di bawah pentadbiran Bush menggunakan kekuatan militernya dengan alasan untuk memulihkan keamanan di kawasan Timur Tengah. Sekatan yang dimulakan selepas empat hari Iraq menyerang Kuwait iaitu pada tahun 1990 telah berlanjutan sehingga tahun 2003 dan Iraq juga perlu membayar pampasan atas tindakan mereka. Sekatan yang dikenakan ke atas Iraq adalah dalam bentuk perdagangan dan kewangan namun ianya tidak hanya seperti yang dibayangkan kerana ramai orang awam menjadi mangsa sepanjang pengawalan ketat tersebut dijalankan. Hal ini membuktikan sekatan ekonomi ke atas Iraq mempunyai kepentingan geostrategiknya iaitu memberi pulangan sumber minyak Kuwait kepada Amerika. [11]

·       Seterusnya, aspek geostrategik dalam dasar luar Amerika dapat dilihat melalui Marshall Plan. Rancangan ini yang dijalankan pada tahun 1947 iaitu selepas tamat Perang Dunia Kedua merupakan suatu bantuan kewangan, ketenteraan dan teknikal oleh Amerika untuk membangunkan negara-negara Eropah yang telah hancur. Matawang dollar Amerika menjadi sangat berharga bahkan telah menggantikan pound sterling sebagai matawang antarabangsa. Bantuan yang diberikan memberi impak positif bukan sahaja kepada kepada negara penerima bantuan bahkan ianya meningkatkan imej Amerika sebagai kuasa besar.[12]

·       Dasar lend-lease yang diaplikasikan semasa Perang Dingin memberikan kelebihan kepada Amerika kerana banyak kuasa besar seperti Britain memerlukan Amerika sebagai tempat bergantung dan harapan untuk menyeimbangkan situasi di dunia Eropah yang baru sahaja tamat perang. Hanya Amerika yang dilihat sebagai satu-satunya kuasa yang mampu mengawal dan menjaga keamanan serta menyekat kebangkitan Jerman daripada terus menimbulkan huru hara. Dasar tersebut memudahkan Amerika untuk melebar luaskan pengaruh demokrasi dalam mewujudkan keamanan dunia.

3)         SEKATAN IDEOLOGI KOMUNIS
·       Geostrategik penting dalam pembentukan dasar luar Amerika untuk menyekat ideologi komunis. Konsep geostrategik dilihat sesuai dan mempunyai kekuatan tersendiri untuk diaplikasikan ke dalam dasar luar Amerika bagi menyekat ideologi komunis. Hal ini kerana, ideologi komunis yang dibawa oleh USSR telah menggugat kepentingan Amerika khususnya dan kuasa-kuasa barat lain amnya apabila USSR mula melaksanakan dasar untuk menguasai lokasi-lokasi yang strategik melalui ideologinya.

·   Kebimbangan Amerika terhadap ancaman komunis terbukti apabila USSR semakin aktif meluaskan pengaruhnya di Eropah Timur contohnya pada Februari 1948, komunis telah mengambil alih Chechoslovakia.

·       Lantaran itu, bagi membendung masalah yang lebih teruk berlaku, Amerika telah mengambil pendekatan untuk menggulingkan pemerintah-pemerintah yang cenderung menyerap ideologi komunis melalui peranan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Fidel Castro yang telah merampas kuasa pada tahun 1959 dan mengisytiharkan dirinya sebagai komunis serta meminta bantuan daripada USSR menjadi satu ancaman kepada kepentingan ekonomi Amerika.

·       Operasi Bay of Pigs yang dilakukan pada April 1961 di Cuba menjadi contoh keinginan Amerika yang tinggi bagi menggulingkan pemerintah komunis.[13] Amerika merancang empat tindakan bagi menggulingkan rejim Castro iaitu melalui pembentukan rakyat Cuba yang menentang Castro, membangunkan komunikasi massa untuk menyebarkan propaganda kepada rakyat Cuba supaya menentang Castro, pembentukan sebuah organisasi yang menjurus kepada penentangan terhadap rejim Castro dan melatih pelarian Cuba untuk diserap ke dalam separa tentera di luar Amerika.[14] Namun begitu, operasi ini gagal.

·       Di Iran pula, Amerika telah menggulingkan rejim Mossadegh dan menggantikannya dengan Shah Reza Pahlavi pada tahun 1952 kerana ketidakstabilan politik di Iran memungkinkan pihak komunis merampas kuasa.[15] Amerika juga menggulingkan pemerintahan Arbenz di Guatemala kerana dikhuatiri boleh menjadi pengkalan kuasa komunis di Amerika Latin.[16]

·       Penubuhan North Atlantic Treaty Organization (NATO) pada tahun 1949 juga menjadi penampan untuk menyekat ideologi komunis yang semakin menular di kawasan Eropah. NATO berfungsi untuk menghalang peluasan kuasa USSR, melarang kebangkitan tentera nasionalis di Eropah dan menggalakkan integrasi politik Eropah.[17] NATO dapat menguatkan pakatan barat dan seterusnya menghalang komunis daripada menguasai Eropah.

·       Amerika turut melaksanakan campur tangan apabila berlakunya Perang Korea yang mana tentera Korea Utara menceroboh Korea Selatan pada 25 Jun 1950. Presiden S. Truman telah menghantar pasukan tenteranya yang diketuai oleh Jeneral MacArthur di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kerana melanggar janji perdamaian.[18] Perang ini tamat dengan persetujuan gencatan senjata pada 27 Julai 1953.

·       Pada tahun 1962, Amerika mendapati USSR telah meletakkan peluru berpandu di Cuba. Rentetan itu, Amerika melalui Presiden John F. Kennedy terus mengambil tindakan dengan mengepung pulau tersebut yang dikenali sebagai The Blockade of Cuba.[19] Kepungan dilaksanakan bermula pada 21 Oktober 1962. Krisis dan kepungan ini diselesaikan melalui Test Ban Treaty pada tahun 1963.

·       Persaingan ideologi masih belum berakhir apabila berlakunya Perang Vietnam. Perang Vietnam yang pada asalnya lebih kepada perang saudara menjadi semakin rumit kerana campur tangan Amerika. Tindakan Amerika yang memberi bantuan ketenteraan kepada Vietnam Selatan menyebabkan Vietnam Utara merasa kerugian dan meminta bantuan USSR. Perang ini akhirnya bukan lagi dilihat sebagai perang saudara tetapi perang antara kuasa Amerika dan USSR. Perang ini tamat pada 1 Mei 1975 apabila Vietnam Utara berjaya menawan Saigon dan Amerika berjaya dikalahkan.

·       China yang telah jatuh ke tangan komunis di bawah pimpinan Mao Tse Tung turut menjadi salah satu ancaman besar kepada Amerika. Lantaran itu, bagi menyekat ideologi komunis daripada terus berkembang, Presiden Richard Nixon telah membuat lawatan ke China pada bulan Februari 1972. Kedua-dua negara ini telah mempunyai kekuatan dan keberanian untuk melakukan perubahan terhadap hubungan mereka berbanding semasa pentadbiran Kennedy dan Johnson.[20] Lawatan tersebut telah berjaya menghasilkan pengisytiharan Shanghai Communique yang menandakan komitmen kedua-dua negara untuk menjernihkan semula hubungan diplomatik.[21]

·       Melalui Doktrin Reagan, Amerika sekali lagi melaksanakan campur tangan pada era Perang Dingin kedua bagi membendung ideologi komunis di Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin. Di Timur Tengah, Reagan menjalankan campur tangan dalam Konflik di Lubnan dengan membantu Israel apabila tentera Islam Lubnan yang bergabung dengan Syria dan USSR berperang menentang tentera Kristian Lubnan dan Israel. Di Afrika pula, Amerika memberi bantuan kepada pemerintah Angola untuk menggulingkan kerajaan Marxis. Manakala di Amerika Latin, Amerika terlibat dalam operasi sulit untuk menumbangkan rejim Sandinista yang mendapat pengaruh Marxis dan menyebelahi Cuba di Nicaragua.[22]

KESIMPULAN
            Dasar luar Amerika yang berteraskan kepada kepentingan nasional memberi imej jelas kepada aspek geostrategik dalam perluasan gagasan pendemokrasian yang dipegang. Situasi dalam pasca Perang Dunia Kedua memperlihatkan USSR sebagai sebuah kuasa yang akan mengancam usaha Amerika dalam mencipta dunia yang bersifat demokratik. Kesannya, Amerika menjadi satu kuasa besar yang sentiasa memandang setiap isu atau peristiwa yang berlaku di peringkat antarabangsa memberi kesan negatif dan mampu menghalang hasrat Amerika untuk membentuk masyarakat dunia agar mencontohi sistem serta nilai-nilai AS. Kebergantungan kuasa lain serta kejatuhan komunis memberi kekuatan kepada Amerika sehingga menjadi kuasa hegemoni dunia.


DISEDIAKAN OLEH:
ANIS SYAFINAZ
NUR SARAHAH
SITI NURQALILA



[1] Johnson, R. H. Exaggerating America’s Stakes in Third World Conflicts, International Security, Vol. 10(3), 1985-1986, The MIT Press, hlm. 33.
[2] Melvyn P. Leffler, Strategy, Diplomacy, and the Cold War: The United States, Turkey, and NATO, 1945-1952,  dalam The Journal of American History, Vol. 71, No. 4, Organization of American Historians, hlm. 808.
[3] Muhamad Takiyuddin Ismail, Aliran Neokonservatif dalam Dasar Luar Amerika Syarikat: Satu Analisis Terhadapat Pengembangan Idea, Peranan dan Pengaruh, 2007, Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia, hlm, 28.
[4] Masih Muhajeri, Dimensi Revolusi Islam, 1984, Kuala Lumpur: Islamic Media and Communication, hlm. 32.
[5] James M. McCormick, American Foreign Policy &Process, 2005, Boston: Wadsworth, hlm 52.
[6] James M. McCormick, American Foreign Policy &Process, 2005, Boston: Wadsworth, hlm 90.
[7] Muhamad Takiyuddin Ismail, Aliran Neokonservatif dalam Dasar Luar Amerika Syarikat: Satu Analisis Terhadapat Pengembangan Idea, Peranan dan Pengaruh, 2007, Sintok: Penerbit Universiti Utara Malaysia, hlm, 165.
[8] Arif Abd Hamid, Nik Anuar Nik Mahmud & Kamaruzaman Yusoff, Kudeta 1953: Komplot Amerika-Britain Dalam Menjatuhkan Kerajaan Mosaddeq, 2009, Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 10-23.
[9] Muhamad Takiyuddin Ismail, 2007, Aliran Neokonservatif Dalam Dasar Luar Amerika Syarikat: Satu Analisis Terhadap Pengembangan Idea, Peranan dan Pengaruh, Universiti Utara Malaysia, hlm 39-40.
[10] Dianne E. Rennack, China: Economic Sanctions, 2006, The Library of Congress, hlm 2-6.
[11] Muhamad Takiyuddin Ismail, 2007, Aliran Neokonservatif Dalam Dasar Luar Amerika Syarikat: Satu Analisis Terhadap Pengembangan Idea, Peranan dan Pengaruh, Universiti Utara Malaysia, hlm 39-40.
[12] Mohd Nadzri Kassim, Hegemoni Politik dan Ekonomi AS, 2009, Dewan Ekonomi, hlm 42-43.
[13] Vandenbroucke, L. S. Anatomy of a Failure : The Decision to Land at The Bay of Pigs, Political Science Quaterly Vol. 99(3), Nov 1985, New York : Academy of Political Science, hlm. 471.
[14] Central Intelligence Agency, Official History of The Bay of Pigs Operation : Vol. 1, Air Operations, March 1960-April 1961, hlm. 409-410.
[15] Arif Abd. Hamid & etc. Kudeta 1953 : Komplot Amerika - Britain dalam Menjatuhkan Kerajaan Mosaddeq, 2009, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 38.
[16] Muhamad Takiyuddin Ismail, Aliran Neokonservatif dalam Dasar Luar Amerika Syarikat : Satu Analisis Terhadap Pengembangan Idea, Peranan dan Pengaruh, 2007, Penerbit Universiti Utara Malaysia, hlm. 27.
[17] Anon, A Short History of NATO, 2012, Belgium : NATO Public Diplomacy Division, hlm. 1.
[18] Hess, Gary R. Presidential Decisions for War: Korea, Vietnam and the Persian Gulf, 2001, New York: Johns Hopkins UP.
[19] Forrester, N. A. Legal and Practical Consequences of A Blockade of Cuba, Supplemental Opinions of The Office of Legal Counsel Vol. 1, Washington : Office of Legal Counsel, hlm. 486.
[20] Overholt W. H. President Nixon’s Trip to China and Its Consequences, Asian Survey, Vol. 13(7), Julai 1973, California : University of California Press, hlm.707.
[21] Muhammad Takiyuddin Ismail, hlm. 32..
[22] Ibid. Hlm. 36-37.

Monday, May 16, 2016

Tips Menjaga Vincci Shoes Anda




Jenama kasut Vincci telah menjadi jenama pilihan ramai wanita Malaysia sejak dahulu lagi. Selain daripada tawaran harga kasut yang amat berpatutan, Vincci juga sentiasa menawarkan rekaan kasut yang trendi dan berkualiti tinggi. Dari koleksi boots, heels, wedges, pumps dan sandals, semuanya ditawarkan di butik-butik Vincci yang boleh anda temui di pusat membeli-belah berhampiran anda. Well, khusus untuk para penggemar Vincci shoes, berikut merupakan beberapa tips penjagaan koleksi Vincci shoes favourite anda untuk tempoh pemakaian yang lebih lama!

1. Simpan dalam kotak kasut
Untuk penjagaan yang rapi, sentiasa simpan semula kasut anda tersebut ke dalam kotak kasut yang anda dapati semasa pembelian. Ini dapat mengelakkan kasut anda daripada digigit binatang perosak dan seumpamanya.

2. Cuci dan bersihkan
Kerap mencuci atau membersihkan kasut anda tersebut dengan langkah-langkah yang betul. Cara paling mudah adalah dengan mengambil kain yang lembap dan bersihkan kesan-kesan kotoran pada kasut tersebut.

3. Sentiasa kering
Untuk menjaga material kasut anda, pastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang kering. Jangan sesekali simpan kasut yang lembap di dalam kotak kasut atau rak kasut.

4. Jangan pakai kasut yang sama terlalu kerap
Penggunaan kasut yang sama terlalu kerap akan menyebabkan tapak kasut tersebut cepat haus atau tipis. Langkah paling mudah adalah dengan tidak memakai kasut yang sama terlalu kerap.

5. Pakai ikut situasi
Jika anda tahu anda akan melakukan aktiviti yang lasak, elakkan daripada memakai kasut yang anda benar-benar gemari. 

Protect your heels!

Sunday, May 1, 2016

Kursus Pra-Perkahwinan


Hai!
Dua hari yang bermanfaat sebab menghadiri kursus pra-perkahwinan yang dianjurkan UKM dengan kerjasama JAIS. Tak pernah terlintas di fikiran untuk menghadiri kursus sebegini di alam universiti (Haha!). Bila bagi tahu nak pergi kursus, mak dan abah pun galakkan sebab cari ilmu katanya. Sebenarnya dah berapa kali cuba untuk daftar kursus ini, tapi tidak ada rezeki. Kali pertama pergi Pusat Islam UKM, katanya pendaftaran untuk pelajar Tahun 3 sahaja (masa tu masih di Tahun 2). Tapi sempat daftarkan nama sebagai backup jika ada peserta yang menarik diri. Tahun 3 (semester pertama) juga cuba untuk daftarkan diri, tapi tarikh bertindih dengan program lain. Akhirnya kali ketiga (Tahun 3, semester akhir) baru ada rezeki untuk hadiri kursus. Kursus pra-perkahwinan ni diadakan selama dua hari (Sabtu dan Ahad, 8.30 am-5.30 pm/ 4pm) dengan yuran RM55 (student price). Sepanjang kursus (dua hari berturut-turut) asyik gelak tanpa henti sebab penceramah semuanya kelakar! (Penceramah awesome!) Walaupun bergelak ketawa, tapi perkongsiannya mantap. Lebih-lebih lagi apabila kesemuanya mempunyai pengalaman berumah tangga dan segala bentuk perkongsian yang dikongsikan bersama peserta. Apabila menyebut tentang alam perkahwinan, bunyinya seperti indah. Hakikatnya, kita menggalas amanah yang diberikan Allah SWT. Jika amanah itu digalas dengan sebaiknya, maka insya-Allah hingga ke Jannah. Jika sebaliknya... (tak nak cakaplah!). Last but not least, carilah ilmu sebanyak mungkin dan lengkapi diri dengan ilmu sebelum ke alam perkahwinan. :)