1.0 PENGENALAN
Selat
Melaka atau suatu ketika dahulu dikenali sebagai Laut Melayu merupakan suatu
nama yang sudah tidak asing lagi oleh pelayar dan pedagang Arab yang tiba ke
Nusantara untuk berdagang di Dunia Melayu. Terdapat beberapa kajian awal yang
telah dilakukan oleh para sarjana yang mengatakan bahawa asas peradaban Melayu
adalah berteraskan kegiatan perdagangan dan kehidupan maritim. Pada umumnya,
terdapat sembilan lautan yang memisahkan dan mencantumkan Dunia Melayu, iaitu
Laut Melayu, Laut Jawa, Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Banda, Laut Flores,
Laut Sulawesi, Laut Maluku dan Laut Seram.[1]
Sembilan lautan yang terdapat di laut Melayu ini telah membentuk satu jaringan
ekonomi yang penting serta penyumbang ke arah pembentukan sesebuah peradaban
dan kegiatan perdagangan. Oleh itu, Dunia Melayu yang dibentuk oleh masyrakat
maritim dilihat telah berjaya menyatukan masyarakat maritim di Asia Tenggara.
Terdapat beberapa penempatan awal
kerajaan Melayu yang mana antaranya ialah
Beruas, Kedah, Sungai Lang dan Melayu (Sumatera) yang telah wujud sejak
awal abad Masihi lagi.[2]
Hal ini jelas memperlihatkan kehebatan orang Melayu pada ketika itu yang begitu
aktif dalam menguasai perdagangan yang melalui Laut Melayu. Menurut Nordin
Hussin di dalam bukunya yang bertajuk Perdagangan
dan Peradaban di Laut Malayu, terdapat tiga aspek utama yang telah
membentuk peradaban Melayu iaitu lautan, pelayaran dan perdagangan.[3] Ketiga-tiga aspek inilah
yang telah menyatukan kehidupan masyarakat Melayu yang mendiami sekitar kawasan
Laut Malayu.[4]
Pada ketika itu, terdapat pelbagai
pelabuhan di sekitar Laut Melayu yang merupakan tempat pengumpulan dan
perdagangan barangan dan juga komoditi tempatan untuk didagangkan kepada
pedagang yang datang dari Timur dan Barat. Peranan Laut Melayu begitu terserlah
apabila Laut Melayu menjadi penghubung kepada jalan perairan iaitu di antara
barat dan timur. Terdapat juga beberapa bukti penemuan tapak industri besi di
Jeniang dan di Sungai Batu, Kedah serta dianggarkan dibina pada abad ke-2
Masihi. Berdasarkan penemuan tersebut, kedua-dua penempatan tersebut
menggambarkan bahawa wujudnya sebuah kerajaan yang berteraskan maritim dan
aktiviti perdagangan menjadi tunjang utama ekonomi masyarakatnya pada ketika
itu.[5] Usaha dalam menguasai Selat Melaka ini adalah disebabkan
oleh kedudukan strategik Selat Melaka yang menghubungkan laluan perdagangan
timur dan barat dan persaingan di antara Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC)
dan Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) ini menurut Nordin Hussin adalah
kerana, mereka sedar bahawa sesiapa yang mendominasi dan mengawal Selat Melaka
ini akan turut menguasai kekayaan menerusi kegiatan perdagangan di Selat Melaka
ini.
Memang
tidak dinafikan bahawa, hampir kesemua peradaban Melayu awal yang terbentuk di
sekitar Laut Malayu adalah berteraskan kepada dunia kelautan dan perdagangan. Rentetan daripada pembentukan dan perkembangan peradaban Melayu awal di Laut Malayu, maka muncul sesebuah kerajaan di
selatan Semenanjung Tanah Melayu iaitu Kerajaan Johor-Riau. Seperti peradaban
Melayu awal yang lain, kerajaan Johor-Riau juga ialah sebuah kerajaan yang
berteraskan kepada dunia kelautan dan perdagangan. Ia terletak di tengah-tengah jalan perdagangan antara timur dan barat.
Dengan kedudukan geografi yang strategik ini, kerajaan Johor Riau telah
membentuk peradabannya yang berteraskan kepada kegiatan perdagangan, perkapalan
dan kegiatan maritim.[6] Oleh itu, masyarakat
pedagang dan maritim yang mewarnai suasana pembentukan dan perkembangan
kerajaan-kerajaan awal Melayu seperti Srivijaya dan Melaka juga dapat dilihat
kehadirannya dalam arena politik kerajaan Johor Riau.
Walau bagaimanapun,
terpisahnya kehidupan dan petempatan masyarakat Melayu telah disatukan semula
oleh dunia maritim dan akhirnya membentuk kepada percambahan peradaban
masyarakat Melayu. Kesannya, kedatangan pelayar dari setiap pelosok dunia telah
membawa kepada perkembangan dan peningkatan peluang ekonomi berasaskan
perdagangan antarabangsa dan antara wilayah. Hasil daripada limpahan kehadiran
mereka ini telah mewujudkan kehadiran secara berterusan para pedagang dengan
pelbagai barang dagangan, dan pelbagai komuniti yang mendiami di wilayah
sekitarnya semakin aktif dalam mengusahakan perdagangan antarabangsa.[7]
2.0 KEPENTINGAN ZAMAN AWAL MODEN
(1400-1840AN)
Zaman
awal moden telah menyaksikan pelbagai perubahan yang berlaku di Asia Tenggara. Setiap
perubahan tersebut adalah ekoran daripada peranan yang dimainkan oleh penduduk
tempatan dan juga campur tangan kuasa luar sehingga mendatangkan pelbagai
perubahan dan kesan ke atas sesebuah kawasan sama ada dari segi politik, ekonomi, mahupun
sosial. Oleh itu, terdapat pelbagai aspek yang boleh dikaji bagi menghuraikan kepentingan
pada zaman awal moden dalam memahami sejarah Asia Tenggara.
2.1 Perkembangan Aktiviti
Perdagangan
Zaman
awal moden telah menyaksikan bahawa wujudnya perkembangan yang pesat dalam
bidang perdagangan di Laut Melayu. Aktiviti
perdagangan memainkan peranan yang penting kepada orang Melayu kerana
perdagangan merupakan salah satu sumber ekonomi terpenting pada ketika itu.
Oleh itu, orang Melayu amat dikenali dengan gelaran masyarakat perdagangan dan
aktiviti perdagangan ini pula lebih tertumpu kepada aspek maritim. Hal ini demikian
kerana, Laut Melayu adalah menjadi titik yang menghubungkan antara Barat dan
Timur. Laut Melayu bertindak sebagai jalan air serta laluan perdagangan antara
China dan India. Hal ini turut disokong oleh kuasa Eropah iaitu dengan
mengatakan bahawa sesiapa yang menguasai Laut Melayu maka mereka dapat menguasai kekayaan perdagangan secara
sepenuhnya.[8]
Laut Melayu merupakan kawasan yang
sangat strategik jika dikaji dari sudut geografinya. Laut Melayu merupakan
tempat transit serta menjadi pembekal bahan-bahan segar dan makanan kepada
golongan pedagang yang ingin berlayar jauh. Laut Melayu juga merupakan tempat
untuk mengumpul segala barangan yang datang dari gugusan kepulauan Melayu untuk
diedarkan kepada pedagang yang datang dari India dan China. Kedudukannya yang strategik
juga telah menjadikan Laut Melayu sebagai tempat yang selamat untuk para
pedagang berhenti dan berlindung sementara menunggu perubahan tiupan angin ke
timur dan ke barat.[9]
Jika ditelurusi melalui aspek
sejarah, para pedagang India sejak dahulu lagi telah berdagang di Laut Melayu
untuk mendapatkan barangan seperti emas, rempah-ratus dan herba yang digunakan
dalam bidang perubatan yang dibawa dari pelbagai tempat dan wilayah di gugusan
kepulauan Melayu. Laut Melayu bukan sahaja didatangi oleh pedagang dari India,
malahan terdapat juga pedagang dari Arab, Parsi dan selatan China. Walaupun
pedagang dari selatan China amat jarang berdagang di Laut Melayu sejak abad
ke-16, namun mereka masih menjalankan aktiviti perdagangan di Laut Melayu dan
wilayah di sekitarnya. Kekayaan hasil bumi yang terdapat di Laut Melayu
menjadikannya sebagai sebuah kawasan tumpuan serta mempunyai daya tarikan.
Selain itu, arah aliran tiupan angin
monsun juga dilihat sebagai antara penyumbang kepada perkembangan aktiviti
perdagangan di Laut Melayu. Hal ini demikian kerana, para pelayar amat
bergantung kepada tiupan angin monsun untuk menuju ke sesuatu destinasi. Perubahan
arah tiupan angin monsun telah berjaya menyatukan para pedagang dari Lautan
Hindi, gugusan kepulauan Melayu dan Tanah Besar China. Hal ini demikian kerana,
perdagangan antara Barat dan Timur serta antara Laut Melayu dan gugusan
kepulauan Melayu amat terikat kepada arah aliran tiupan angin monsun. Angin
monsun di barat daya akan membawa pedagang dari gugusan kepulauan Melayu ke
kepulauan rempah, manakala angin monsun timur laut akan membawa mereka ke
Sumatera dan pelabuhan di Laut Melayu. Namun begitu, segala aktiviti
perdagangan tetap ditentukan oleh tiupan angin monsun walaupun pelabuhan di
Laut Melayu boleh disinggahi pada bila-bila masa khususnya pada kesemua musim
angin monsun.
Bulan
April merupakan bermulanya angin monsun yang pertama manakala bulan September
merupakan permulaan bagi angin monsun yang kedua dan para pedagang dari India
akan memulakan pelayaran mereka ke Laut Melayu dan arah ke Timur bermula awal
bulan Mei. Pada ketika itu, mereka akan menetap sehingga bulan Januari sebelum
pulang ke India. Selain daripada pedagang India, pedagang dari China turut
mendapat faedah apabila tiupan angin monsun tenggara membantu mereka untuk
pulang ke tanah besar China. Seperti yang berlaku kepada pedagang India,
pedagang China juga terpaksa tinggal di Laut Melayu setelah tiba di Laut Melayu
pada bulan Disember sehingga penghujung bulan Jun untuk kembali semula ke tanah
besar China. Ketiadaan teknologi pelayaran yang canggih pada ketika itu telah menjadikan
pelayar khususnya para pedagang amat bergantung sepenuhnya kepada tiupan angin
monsun. Kedudukan Laut Melayu yang strategik menjadikan Laut Melayu sebagai
suatu kawasan transit dan pada masa yang sama berlakunya aktiviti perdagangan
yang giat dijalankan.
Perubahan angin monsun telah
mendatangkan kesan untung rugi bagi pedagang yang datang ke Laut Melayu.
Pedagang yang tiba awal berpeluang untuk mendapatkan serta mengumpul barangan
yang berharga. Para pedagang ini lazimnya akan membeli barangan tersebut dengan
harga yang murah dan mereka akan menjual semula barangan tersebut dengan harga
yang lebih tinggi daripada harga asal bagi memperoleh pulangan yang lumayan.
Para pedagang juga turut menempatkan wakil di setiap pelabuhan untuk
menjalankan aktiviti perdagangan mereka contohnya, para pedagang Eropah.
Pedagang Eropah turut membina kota serta petempatan bagi tujuan penyimpanan
khususnya barang dagangan dan juga untuk petempatan wakil mereka demi
kepentingan politik mereka di situ.[10]
Pedagang yang tiba di kebanyakan
pelabuhan penting di Asia Tenggara boleh dibahagikan kepada dua kumpulan yang
utama. Kumpulan yang pertama ialah pedagang jarak jauh yang datang daripada
Eropah, India dan China. Kumpulan pedagang yang kedua pula ialah pedagang jarak
dekat yang datang dari pelbagai pelabuhan di gugusan Kepulauan Melayu. Peniaga
dan saudagar-saudagar ini pula boleh dibahagikan kepada empat kumpulan yang utama.
Kumpulan yang pertama datang daripada pedagang dan saudagar Eropah dari
syarikat-syarikat perniagaan yang utama, VOC dan EIC, dan pedagang Eropah yang
lain seperti Portugis, Denmark, Sepanyol, Perancis dan
peniaga-peniaga negara Inggeris. Kumpulan yang kedua pula ialah
pedagang India yang datang dari subbenua India, termasuklah Chulia Muslim,
Hindu, Moor dan Gujarati. Seterusnya ialah kumpulan ketiga iaitu pedagang Cina
daripada China, manakala kumpulan yang terakhir ialah pedagang yang datang dari
gugusan (orang asli, Burgher, China, Arab, Culia dan Hindu).
Terdapat pelbagai barangan yang
diperdagangkan oleh pedagang dari benua kecil India-Asia Tenggara-China dan
komoditi tersebut boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu barang buatan
yang telah siap, barang untuk kegunaan manusia, bijih, hasil hutan dan hamba.[11]
Para pedagang dari benua kecil India-Asia Tenggara-China lazimnya
memperdagangkan barangan keperluan harian seperti garam, gula, bijirin dan
tekstil. Selain itu, barangan seperti kain sutera, kain kapas dan tekstil,
pinggan mangkuk, porselin, tembikar, barangan kaca, barang kemas wanita, emas
bertatahkan permata dan dan batu permata yang dipotong dan digilap juga turut
diperdagangkan dan barangan-barangan tersebut merupakan kategori barang-barang
yang telah siap.[12]
Terdapat juga barang dagangan yang terdiri daripada bahan mentah yang
diperdagangkan dalam perdagangan maritim dan daratan.
Komoditi yang dikeluarkan di Asia
Tenggara telah mendapat permintaan yang tinggi di Tanah Besar China. Contohnya,
gamat atau trepang telah mendapat permintaan yang tinggi dari China dan
hasilnya hanya boleh didapati di dasar laut di kepulauan Melayu. Namun begitu,
gamat tidak mendapat permintaan yang tinggi di benua kecil India. Selain gamat,
sarang burung yang boleh dimakan, gading gajah, hasil hutan untuk perubatan
daripada binatang dan herba juga sentiasa mendapat permintaan yang tinggi
daripada pedagang China. Pedagang China juga lebih mahukan lada hitam dan lada
hitam sentiasa menjadi komoditi yang mendapat permintaan yang tinggi daripada
orang Asia dan Eropah. Pedagang China, Arab dan India juga kerap membuat
permintaan komoditi seperti gam resin, kemenyan dan kayu wangian bagi tujuan
keagamaan. Hal ini berbeza pula dengan pedagang Parsi kerana mereka lebih gemar
untuk mendapatkan rempah ratus seperti cengkeh, buah pala dan mace.[13] Tidak
semua komoditi mendapat permintaan yang tinggi di semua tempat kerana
permintaan tersebut adalah bergantung dengan kepentingan masing-masing. Namun
begitu, masih terdapat komoditi yang sentiasa mendapat permintaan di mana-mana
di Asia. Contohnya, beras mendapat permintaan di mana-mana sahaja kerana beras
merupakan makanan ruji orang Asia.
Pada abad ke-16 hingga ke-19,
komoditi yang mendapat permintaan yang banyak di Asia Tenggara adalah seperti
lada hitam, rempah ratus, emas, bijih timah dan hasil hutan seperti rotan, kayu
gaharu dan cendana. Manakala permintaan tinggi dari seperti kain kapas, candu
dan pelbagai barangan siap dari India dan China. Asia Tenggara juga terkenal
dengan pengeluaran kain batik serta tenunan dari Jawa, Bugis, Aceh dan
Terengganu. Namun begitu, permintaan kain kapas dari India adalah lebih tinggi
berbanding Asia Tenggara dan China kerana kain kapas tersebut adalah lebih
bermutu, tenunan yang lebih cantik, berwarna emas, memiliki motif dan warna
kain yang pelbagai. Antara tarikan lain kain kapas India juga adalah kain
tersebut dijual pada harga yang berpatutan dan membolehkannya dimiliki oleh
setiap lapisan masyarakat.
Pada abad ke-18, emas merupakan
sumber penting kepada pendapatan eksport Melaka dan juga merupakan eksport yang
utama pada ketika itu. Kebanyakan emas datang dari daerah Minangkabau yang
dilombong secara meluas di negeri
pengeluar emas utama seperti Patapahan, Indragiri dan Jambi. Pada 1749, jumlah
nilai emas dari daerah tersebut adalah sebanyak 53,640.7 guilders.[14] Hasil
hutan seperti rotan, gading gajah, sagu, dammar, kayu gaharu, herba dan ubatan
seperti batu bezoar juga didagangkan yang mana kebanyakannya di bawa dari
Sumatera dan pedalaman Semenanjung Tanah Melayu.[15]
Walaupun begitu, VOC tidak melihat perdagangan hasil hutan sebagai suatu yang
penting dan menguntungkan ketika VOC memerintah Melaka. Justeru itu, aktiviti
ini kebanyakannya dijalankan serta dikuasai oleh pedagang Burghers Belanda,
manakala Belanda hanya memperoleh pendapatan menerusi cukai yang dikenakan.
Bahan eksport yang penting di Melaka
juga adalah seperti lada hitam. Lada hitam lazimnya diperolehi daripada
Sumatera dan wilayah sekitarnya. Walaupun Melaka bukanlah pengeluar lada hitam
yang penting, namun ia tetap berfungsi sebagai pengawal pasaran, dan perjalanan
perdagangan bahan tersebut dari Palembang dan Jambi.[16]
Sewaktu Melaka di bawah penguasaan Belanda, Belanda juga gagal menguasai
sepenuhnya pasaran dan perniagaan lada hitam di kawasan Laut Melayu. Hal ini
demikian kerana, aktiviti yang dimainkan olehpedagang swasta yang berdagang di
Johor-Riau yang amat mudah mendapatkan lada hitan dengan harga yang murah serta
banyak.
Kain dari India juga merupakan komoditi
utama dan penting yang dieksport semula dari Melaka untuk dihantar ke pelabuhan
Melayu di Dunia Melayu. Pada awalnya, perniagaan dan perdagangan kain India
dari Pantai Koromandel dilakukan oleh pedagang India dan India Muslim dari
benua kecil India. Belanda telah menafikan pemberian pas perdagangan kepada
pedagang dari India untuk membawa kain kerana Belanda bertekad untuk mengawal
dan menguasai arah aliran perdagangan di Laut Melayu. Tambahan pula, pas
perjalanan membawa kain mestilah diambil atau dibeli di Melaka. Tindakan
tersebut merupakan salah satu cara untuk memastikan semua pedagang kain yang
membawa kain India membawa semua barangan tersebut ke Melaka. Pada abad ke-17,
rancangan untuk menguasai sepenuhnya secara monopoli perdagangan kain di Laut
Melayu terpaksa dibubarkan kerana semakin ramai pedagang yang datang tidak
singgah ke Melaka atau mengelakkan pelayaran ke Melaka. Namun, mereka telah
membuat pelayaran secara terus ke pelabuhan Melayu seperti Aceh, Ujong Salang,
Kedah, Perak dan Johor-Riau.[17]
Kedatangan pedagang Inggeris adalah
sangat dinanti-nantikan di kepulauan. Pedagang Inggeris lazimnya akan membawa
barangan yang mendapat permintaan yang tinggi seperti gula, sutera, dan kain
India. Pedagang Portugis yang datang dari China ke Melaka sewaktu dalam
perjalanan ke Madras dan pantai Malabar gula, saltpetre, sutera, porselin, alum dan redwood. Pedagang dari Jawa iaitu Jawa-Cina, Jawa-Melayu,
Jawa-Burghers Belanda, lazimnya akan datang ke Melaka dengan membawa hasil
agrikultur, makanan dan hasil hutan. Pada September 1780, terdapat 9 kapal yang
datang dari pelbagai kawasan di Jawa tiba ke Melaka; 4 dari Gresik, 1 dari
Suarabaya, 3 dari Semarang dan 1 dari Cheribon.[18]
Barangan yang datang dari Jawa kebanyakannya ialah beras, garam, kekacang, minyak,
kain Jawa, tembakau Jawa,dan gula Jawa, manakalabarangan yang diambil dari
Melaka adalah seperti gambir, amballo, dammar dan belacan/terasi.[19]
Corak perjalanan nampaknya telah menjadi salah satu di mana ramai belayar dari
pelabuhan mereka terus ke Melaka, bahkan mereka berhenti di pelabuhan-pelabuhan
lain yang terdapat di Selat atau di Batavia hanya ketika perjalanan mereka
pulang.
Pedagang Moor kebanyakannya datang
dari Surat, Negapatnam dan Porto Novo di India. Kapten yang kerap ke Melaka
adalah seperti Syed Mohammad dari Porto Novo. Beliau pernah belayar di antara
Nagapatnam dan Melaka bersama dengan 200-lasten
kapal yang lengkap dengan senjata bersama dengan 8 meriam dan 59 orang anak
kapal. Pada Februari 1780, iaitu ketika perjalanan balik dari Melaka ke
Nagapatnam, kebanyakan barangan yang di bawa oleh beliau ialah makanan dan
produk agrikultur. Pada Oktober 1780, beliau telah datang semula ke Melaka,
dengan membawa barangan dari Pulau Koromandel, seperti kain India dan garam.
Beliau telah menetap di Melaka selama 4 bulan dan pada Februari 1781, beliau
kembali ke Nagapatnam bersama dengan barangan yang datang dari China dan
kawasan gugusan kepulauan.[20]
Kebanyakan pedagang Melayu pula
datang dari Sumatera. Barangan yang kerap dibawa oleh mereka adalah hasil hutan
dan makanan seperti sagu, nasi dan padi. Kebanyakan pedagang cenderung untuk
membawa hanya sejenis produk ketika dalam perjalanan ke Melaka, namun mereka
akan kembali ke Sumatera dengan barangan termasuklah kain India, garam dan
tembakau Jawa. Pedagang Bugis yang kebanyakannya datang dari Riau dan Selangor,
tetapi pada sekitar tahun 1790, kebanyakannya datang dari Selangor, Trengganu
dan Trantan. Laluan yang selalu digunakan adalah meliputi Riau, Melaka dan
Selangor. Pedagang Bugis akan datang membawa kain Bugis atau tidak membawa
sebarang barangan langsung tetapi akan membawa pulang pelbagai jenis kain India
yang terdapat di Melaka.
2.2 Wujud Pelabuhan dan Bandar
Pelabuhan
Gugusan kepulauan Melayu-Indonesia adalah
terletak di persimpangan iaitu di antara benua kecil India dan China yang
dikenali sebagai tempat perjalanan perdagangan yang sibuk di bahagian Timur.[21]
Kedudukan Laut Melayu yang strategik dan terlindung daripada tiupan angin
monsun serta pelbagai barangan perdagangan yang ditawarkan telah menjadikan
Laut Melayu sebagai suatu kawasan yang mempunyai daya tarikan. Berikutan
wujudnya aktiviti perdagangan yang pesat di Laut Melayu, maka wujudnya banyak
bandar pelabuhan seperti Aceh, Kedah, Melaka, Siak dan Riau. Bandar pelabuhan
memainkan peranan yang penting kerana di situlah merupakan tempat tumpuan
penduduk dan segala urusan perdagangan dijalankan.
Semenjak abad ke-17, Aceh telah
menjadi sebuah pelabuhan yang penting di utara Sumatera. Aceh berperanan
sebagai sebuah kerajaan yang berkuasa di perairan Sumatera di bawah tampuk
pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636). Aceh telah meluaskan kuasanya
meliputi utara Sumatera hingga ke Deli (Aru) iaitu di bahagain timur wilayah
Semenanjung Tanah Melayu. Bandar Aceh Dar-es-Salam iaitu pusat pemerintahan
Aceh terkenal sebagai pusat perniagaan dan perdagangan yang mengendalikan
perdagangan Intra-Asia.[22]
Kedudukan dan kekuasaan Aceh sebagai sebuah bandar pelabuhan yang penting telah
menarik minat ramai pedagang dari Eropah dan India untuk datang ke Aceh. Di
Asia Tenggara juga, terdapat banyak bandar pelabuhan yang telah lama dan
bertahan dan antaranya ialah Tenasserim, Mergui, Kedah dan Junk Ceylon yang
terletak di luar pantai barat daya Thailand. Kewujudan bandar-bandar pelabuhan
itu telah berjaya mewujudkan suatu bentuk jaringan perdagangan di antara
bahagian pantai barat India (Malabar), Pantai Koromandel di teluk Benggala dan
bandar pelabuhan yang terletak di barat laut gugusan kepulauan Melayu.[23]
Aktiviti perdagangan di bandar-bandar
pelabuhan itu adalah berbentuk dua hala dan pedagang dari Aceh sering belayar
hingga ke Pantai Koromandel dan utara bahagian Semenanjung Tanah Melayu dan
begitu juga sebaliknya. Walaupun bandar pelabuhan yang pesat dan penting
diutamakan, namun bandar pelabuhan yang kecil tidak dilupakan dan tidak
diabaikan kerana bandar pelabuhan yang kecil akan dikendalikan oleh penduduk
tempatan. Bandar pelabuhan yang turut menggalakkan wujunya aktiviti perdagangan
Intra-Asia juga termasuk Melaka, Johor-Riau, Siak, Betawai, Makassar dan bandar
pelabuhan yang terletak di utara pantai pulau Jawa seperti Ceribon, Juana dan
Semarang. Bandar-bandar pelabuhan ini mempunyai jaringan yang besar yang
merangkumi wilayah China dan benua kecil India.[24]
Selain itu, Siak juga telah menjadi
salah sebuah bandar pelabuhan yang penting bahkan Siak turut menghubungkan
kawasan pedalaman Sumatera dengan dunia luar termasuklah bandar pelabuhan
Melaka. Selain Siak yang terletak di pantai utara Sumatera, Batu Bara juga
menjadi tumpuan kebanyakan pedagang Melayu pada ketika itu. Batu Bara
berkembang dan menjadi sebuah pelabuhan yang penting setelah kejatuhan Johor-Riau.
Terdapat ramai pedagang Melayu di situ yang turut menjadikan Singapura sebagai
jaringannya menjelang abad ke-19. Singapura turut memainkan peranan yang
penting kerana ramai pedagang di Batu Bara yang memperoleh modal di Singapura.
Sumatera yang kaya dengan hasil
buminya seperti hasil hutan, emas dan lada hitam telah menjadikannya sebagai
tempat tarikan perdagangan. Hal ini jelas membuktikan bahawa kekayaan hasil
bumi yang dimiliki oleh Sumatera merupakan batu loncatan yang menaikkan
Sumatera dalam aktiviti perdagangan bahkan menjadikannya sebagai sebuah bandar
pelabuhan yang penting. Kejatuhan Johor Riau pada 1784 juga menjadikan Siak dan
Batu Bara sebagai bandar pelabuhan yang mempunyai hubungan yang rapat dengan
Melaka.
Betawi, Ceribon, Semarang, Juana,
Gerisik dan Makassar merupakan pelabuhan yang amat penting di Laut Jawa. Pelabuhan-pelabuhan
ini memasarkan komoditi seperti rempah, hasil laut dan hutan. Belanda telah
menjadikan Betawi sebagai sebagai pusat pentadbiran Belanda di bahagian Timur
serta menghubungkan pedagang di Laut Jawa dengan pedagang dari Tanah Besar
China. Belanda telah mengetatkan bahawa kapal yang berdagangan ke gugusan
Melayu-Indonesia hanya dipusatkan di Betawi. Dasar yang ketat ini telah
menjadikan jumpah kapal yang berlabuh di Melaka mengalami penurunan serta
memberikan kesan perdagangan kepada China dan Melaka. Berikutan daripada dasar
yang dijalankan oleh Belanda, bandar pelabuhan di Tanah Besar China seperti
Amoy, Canton dan Macao hanya mempunyai hubungan perdagangan menerusi Betawi dan
bahagian Barat Borneo sahaja.
Terdapat dua kelompok besar pedagang
yang datang ke bandar pelabuhan Asia Tenggara. Kelompok yang pertama ialah para
pedagang yang datang dari Eropah, benua kecil India atau China manakala
kelompok yang kedua ialah pedagang yang datang dari bandar pelabuhan di gugusan
Nusantara. Pedagang-pedagang ini pula boleh dikategorikan kepada empat kumpulan
yang utama. Kumpulan yang pertama dan merupakan kumpulan terbesar ialah
pedagang Melayu dan Bugis bahkan terdapat juga pedagang Jawa dan dari luar
Dunia Melayu seperti pedagang Burghers, China, Arab, Culia dan Hindu. Kumpulan
kedua pula merupakan pedagang dari Eropah iaitu Syarikat India Timur Belanda
(VOC), Syarikat India Timur Inggeris (EIC) dan juga pedagang dari Portogis,
Denmark, Sepanyol, Perancis serta saudagar swasta Inggeris. Seterusnya,
kelompok yang ketiga adalah terdiri daripada pedagang dari Pantai Koromandel
seperti pedagang Culia, Hindu, Moor dan Gujerat. Kelompok yang terakhir ialah
para pedagang dari Tanah Besar China.[25]
Pedagang VOC dan EIC sering
berpangkalan di kawasan lingkungan Asia Tenggara dan mereka merupakan kompeni
besar yang memiliki modal berbayar dari pemodal di Eropah dan memperoleh
keuntungan daripada hasil perdagangan di Asia. Walaupun pusat pentadbiranya
adalah di Eropah, namun mereka juga memiliki syarikat pentadbiran di Timur.
Misalnya Belanda yang memiliki pusat pentadbiran di Betawai di Pulau Jawa dan
EIC di Calcutta. Selain itu, terdapat juga pedagang Eropah yang lain seperti
Portugis dan Sepanyol yang turut memiliki bandar pelabuhan di benua keci India,
Tanah Besar China dan kepulauan Filipina. Pedagang Melayu dan Bugis serta
pedagang bukan tempatan seperti China, Moor, Culia, Arab, Jentief (Hindu) dan
Burghers menggunakan bandar pelabuhan Asia Tenggara sebagai tapak mereka.
Sebahagian pedagang bukan tempatan ini menjadi pedagang penting yang menjalakan
aktiviti perdagangan di gugusan kepulauan Melayu-Indonesia.
Selepas kejatuhan Johor-Riau pada
tahun 1784, British berasa khuatir sekitaranya Belanda akan menguasai
sepenuhnya aktiviti perdagangan di kawasan Laut Melayu dan Semenanjung Tanah
Melayu. Pada masa yang sama, berlakunya perkembangan perdagangan dalam kalangan
pedagang EIC dan pedagang swasta Inggeris dengan Tanah Besar China. Hal ini
menimbulkan masalah kepada Inggeris kerana mereka tidak memiliki bandar
pelabuhan untuk membolehkan mereka menerima bekalan makanan serta barang
keperluan seperti bijih timah dan lada hitam dari Laut Melayu untuk dibawa ke
China. Seterusnya, EIC telah mencadangkan untuk memperolehi sebuah bandar
pelabuhan milik British di Teluk Benggala untuk membolehkan mereka memberikan
bekalan sepenuhnya kargo bagi tujuan perdagangan dengan China dan juga untuk melindungi
kapal mereka yang membuat perdagangan dengan China. Pada masa yang sama, mereka
turut menyimpan hasrat untuk mengaut keuntungan sepenuhnya daripada perdagangan
rempah di wilayah ini dan juga sebuah pangkalan tentera armada laut untuk
menyekat serta kemaraan pengaruh Belanda di Semenanjung Tanah Melayu.[26]
Apabila berakhirnya perang Johor-Belanda pada
tahun 1874, Belanda semakin giat untuk meluaskan pengaruhnya ke wilayah
kerajaan Melayu di Siak, Batu Bara Assahan, Perak dan Selangor. Namun begitu,
British melihat bahawa tindakan Belanda ini adalah adalah ancaman baginya untuk
menguasai kawasan Laut Melayu agar bebas daripada pengaruh dan juga penguasaan
Belanda. Oleh itu, mereka merasakan bahawa mereka amat memerlukan pangkalan
Inggeris di Laut Melayu. Inggeris menjadi semakin tegang apabila mereka juga
diasak dengan kemaraan serta kemunculan kapal Perancis yang mula meluaskan pengaruhnya
ke Dunia Melayu.
Pihak EIC pula menginginkan
pengkalan yang strategik sebagai pengkalan utama di timur Teluk Benggala.
Mereka melihat Aceh yang terletak di utara pulau Sumatera atau Pulau Adaman
sebagai suatu kawasan yang strategik. Namun begitu, permasalahan mula berlaku
apabila mereka mendapati bahawa Aceh dan Pulau Adaman tidak memiliki kemudahan
asas, tidak strategik dan jauh dari Laut Melayu. Francis iaitu seorang pedagang
swasta Inggeris telah membuat rundingan dengan kerajaan Kedah lalu tumpuan
telah diberikan untuk mewujudkan sebuah pengkalan yang hampir dengan Laut
Melayu dan dengan itu terhasilnya pembukaan Pulau Pinang pada 1786.
Kedudukan Pulau Pinang yang terletak
di utara Laut Melayu dan Melaka serta di bahagian selatan Laut Melayu telah
memperlihatkan bahawa pelabuhan ini dapat mengawal perjalanan kapal dari India,
China dan Dunia Melayu. Kedudukan Pulau Pinang yang terletak di utara Laut Melayu juga membolehkannya mempunyai
hubungan perdagangan di kawasan utara Laut Melayu, termasuklah utara Sumatera, selatan
Thailand, bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu, wilayah di selatan Burma,
dan wilayah di Pantai Koromandel di India.
Pada era awal moden iaitu selepas
British berjaya membina kuasa di Pulau Pinang, segala kemudahan yang terdapat
di situ telah digunakan sepenuhnya oleh pedagang yang datang dari Pantai
Koromandel. Pedagang Culia sering tiba dan berdagang di pelabuhan Pulau Pinang dan
mereka merupakan pedagang yang ramai dan kerap menggunakan kemudahan di situ.
Jaringan mereka dihubungkan dengan pelbagai bandar pelabuhan di Pantai
Koromandel seperti Proto Novo, Nagore dan Nagapatnam untuk ke pelabuhan Pulau
Pinang serta turut menjalin rangkaian pelabuhan ke bandar seperti Mergui, Junk
Ceylon, Melaka, Aceh dan Pedir.[27] Singapura
juga telah menjadi pelabuhan perdagangan yang mempunyai jaringan yang luas.
Hasil tanah dan tenaga kerja penduduk di kepulauan Melayu telah dibeli manakala
barangan dari daerah lain pula akan dijual.
Terdapat pedagang Culia yang duduk
menetap di bandar pelabuhan di Pulau Pinang dan membuat pengurusan perdagangan
bertambah mudah antara benua kecil India dan Asia Tenggara. Hal ini demikian
kerana, dengan menetap di pelabuhan Pulau Pinang, rakan dagangan mereka di
India dapat bergantung kepada rakan seperniagaan mereka di Pulau Pinang untuk
menjalankan segala urusan perdagangan. Selain daripada membeli kargo dan
barangan keperluan untuk perdagangan, mereka juga bertanggungjawab untuk
menyimpan dan membeli barangan berharga ketika harga murah semasa luar musim
untuk dijual semula semasa musim kemuncak. Pada masa yang sama,mereka turut
berpeluang untuk mengendalikan urusan perdagangan dengan bandar pelabuhan yang
ditadbir oleh pemerintah tempatan seperti Kedah, Aceh, Mergui dan pelabuhan
kecil di sepanjang pantai Sumatera.
Para pedagang dari pelbagai bandar
pelabuhan di kawasan Teluk Benggala seperti Pegu di Burma, Junk Ceylon, Mergui
dan Tenasserim telah mempunyai hubungan perdagangan yang rapat dengan bandar
pelabuhan Melaka terlebih dahulu sebelum pembukaan pelabuhan Pulau Pinang.
Pedagang dari Pantai Koromandel yang dalam perjalanan berdagang ke Laut Melayu
juga akan singgah di beberapa bandar pelabuhan di wilayah tersebut. Oleh itu,
maka tidak hairanlah sekiranya Teluk Benggala telah lama memiliki jaringan
dengan bandar pelabuhan di Laut Melayu sama ada secara terus atau melalui
pedagang mereka sendiri dan secara tidak langsung melalui pedagang luar yang
datang singgah ke kawasan mereka. Pedagang dari Teluk Benggala mula datang ke
Pulau Pinang selepas Pulau Pinang dibangunkan. Tambahan pula, sebelum membuka
Pulau Pinang, Francis Light yang dahulunya berpangkalan di Junk Ceylon telah
memiliki hubungan yang erat dengan wilayah ini terutamanya dengan bandar
pelabuhan di Kedah, Melaka, pantai Koromandel dan selatan Burma serta selatan
Thailand.
Pulau Pinang telah memperoleh
pelbagai manfaat berikutan hasil perdagangannya dengan wilayah di timur. Dari
wilayah timur, pedagang jarak jauh, terutama yang datang dari pelabuhan di
selatan China seperti Amoy, Canton dan Macao berlayar ke arah selatan Laut
China Selatan untuk singgah di sepanjang pelayarannya seperti pelabuhan di
Indochina, Thailand, dan Filipina sebelum mereka sampai ke Laut Melayu.[28]
Bandar pelabuhan yang tedapat di Tanah Besar China kebanyakannnya disinggahi
oleh kapal pedagang Portugis dan EIC.
Pedagang jarak jauh juga
kebanyakannya mempunyai pengkalan di benua kecil India yang belayar dari Pantai
Koromandel dan berhenti di pelbagai tempat khususnya di pelabuhan Laut Melayu
seperti Melaka, Aceh, Johor-Riau dan Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan
atau dari pelabuhan Canton dan Macao di selatan China. Namun begitu, pedagang
Cina yang datang ke Laut Melayu adalah terhad bilangannya berikutan daripada
peraturan yang ditetapkan oleh Belanda yang memerlukan semua kapal Cina untuk
hanya berdagang di Betawi sahaja berbanding berdagang di Melaka. Kebanyakan
pedagang Cina bertukaran barang dengan kapal dari Asia Tenggara dan India dan
hanya sedikit yang singgah di Melaka semenjak tahun 1780-an.
Pedagang luar serta pedagang Melayu
dan Bugis juga menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelayaran mereka
selepas 1786. Kebanyakan pedagang ini datang dari Betawi, Semarang, Juana,
Gerisik, Makassar, dan Pulau Borneo yang merupakan bandar pelabuhan yang
penting di Dunia Melayu pada ketika itu. Pelbagai bahan makanan yang telah
mereka perolehi di pelabuhan ini antaranya ialah beras, rempah ratus, dan gula
yang dihantar ke Melaka dan Pulau Pinang sebagai sumber makanan.
Kehadiran pedagang Melayu dan Bugis
juga amat penting kerana mereka membawa barang keperluan yang dikehendaki oleh
Melaka dan Pulau Pinang. Pelbagai barangan yang turut dibawa seperti rempah
ratus, bahan herba ubatan dan hasil hutan bagi tujuan pasaran khususnya kepada
pedagang dari India dan China. Kehadiran mereka adalah penting kerana mereka membawa
barangan dari India dan China untuk dipasarkan ke pelbagai pelabuhan kecil di
Dunia Melayu. Pedagang Bugis merupakan pedagang tempatan dari Dunia Melayu yang
mempunyai jumlah yang ramai serta aktif dan sering mendapat keuntungan yang
besar daripada hasil dagangannya. Oleh itu, pihak British begitu berminat untuk
menggalakkan Bugis mengubah pangkalan perdagangannya ke Pulau Pinang berbanding
Melaka.
Pada abad ke-18, telah berlakunya
perubahan corak perdagangan secara mendadak di
wilayah laut Melayu apabila hadirnya pedagang swasta Inggeris serta
peranan aktif EIC di Dunia Melayu. Kejatuhan VOC di Asia Tenggara juga
menyebabkan Inggeris berkuasa dan perdagangan antara Pantai Koromandel dan
wilayah di Laut Melayu telah jatuh ke tangan Inggeris sepenuhnya. Pada masa
yang sama, Inggeris juga berjaya mengawal dan menguasai perdagangan yang amat
menguntungkan dengan China. Pada ketika itu, Laut Melayu merupakan daerah yang
penting kepada British untuk perdagangannya ke China apabila terdapat
permintaan yang tinggi terhadap teh Cina dalam pasaran Eropah serta penukaran
bijih timah dan lada hitan di Laut Melayu untuk mendapatkan kain India.[29]
Apabila runtuhnya kekuasaan Belanda serta penyerahan sementara Melaka dan
Betawi kepada Inggeris, kekuasaan Inggeris semakin teguh terutamanya di negeri-negeri bahagian barat Semenanjung
Tanah Melayu.
Meskipun terdapat ramai bilangan
buruh dari China dan India tiba di Singapura, Tuan Simi di dalam syairnya iaitu
Syair Dagang Berjual Beli menyatakan bahawa barang-barang yang didagang itu
sebenarnya adalah milik pihak Inggeris.[30]
Orang-orang Cina dan India pula hanya penjadi orang tengah atau perantaraan
kepada pedagang-pedagang Inggeris. Orang-orang Melayu dan Bugis di Singapura
serta dari kepulauan Melayu yang lain turut melibatkan diri di dalam
perdagangan walaupun jumlahnya adalah sedikit. Mereka merupakan pembekal atau
pembeli barangan-barangan di Nusantara.
2.3 Pembentukan Migrasi Secara
Besar-Besaran
Dasar
pentadbiran British dan Belanda telah membawa pelbagai perubahan di Laut
Melayu. Laut Melayu yang terkenal dengan hasil buminya telah berjaya menarik
minat para pedagang dari pelbagai pelusuk kawasan untuk datang dan menjalankan
urusan perdagangan di Laut Melayu. Kewujudan pelbagai bandar pelabuhan telah
berjaya menggiatkan lagi perkembangan aktiviti perdagang. Berikutan daripada
kepesatan tersebut, maka wujudnya migrasi secara besar-besaran di Laut Melayu.
Sifat masyarakat, komposisi etnik dan perkaitan serta hubungan antara satu kumpulan
dengan kumpulan yang lain telah memperlihatkan bagaimana Laut Melayu telah
menjadi sebuah pusat pertembungan pelbagai budaya dan membentuk sebuah
masyarakat kosmopolitan.[31]
Kewujudan masyarakat majmuk dapat
dilihat dari segi kepelbagaian warna kulit, bahasa, agama, kefahaman dan suku
kaum menggambarkan bagaimana manusia yang terpisah oleh sembilan lautan dapat
disatukan semula dengan perdagangan. Kebanyakan penduduk yang kebanyakannya
terdiri daripada pendatang seperti warga Eropah, Burghers, China, Jentief,
Culia dan Moor mencerminkan kepelbagaian masyarakat yang wujud dan berkembang
di Laut Melayu. Bandar pelabuhan di Laut Melayu juga memiliki penduduk daripada
kumpulan seperti Portugis Serani, Jawi-Pekan dan Cina Peranakan.[32]
Kepelbagaian masyarakat ini mencerminkan bagaimana sebuah bandar pelabuhan
mampu membentuk sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang
membentuk entiti baru dalam sejarah masyarakat. Hal ini secara tidak langsung
juga memperlihatkan bahawa pentingnya faktor ekonomi sehingga memberikan kesan
dari segi sosial sesuatu kawasan itu.
Pembangunan Melaka dan Pulau Pinang
telah menyaksikan berlakunya perluasan kuasa British dalam penguasaan
perdagangan Cina. Pada ketika itu juga berlakunya kebanjiran serta kemasukan
pedagang dan pendatang Cina yang telah mencorakkan perubahan ekonomi wilayah di
Laut Melayu. Situasi ini juga telah membawa kepada penguasaan aktiviti perdagangan
Eropah dan bermulanya corak kelemahan atau penurunan peranan pedagang Melayu
dari Nusantara dalam menguasai perdagangan Asia dan Intra-Asia.
Pada akhir abad ke-18, pedagang dari
Eropah ke Timur Jauh dan Asia, melayari
benua Afrika dan melintasi Lautan Hindi ke kepulauan Melayu-Indonesia untuk ke
China dan Jepun pasti singgah di pelabuhan kolonial yang ditadbir dan dimiliki
oleh kuasa Eropah Portugis, Belanda, British, Sepanyol dan Perancis.[33]
Ketika menjadikan kawasan pelabuhan tersebut sebagai tapak, pedagang Belanda
dan British khususnya amat agresif dalam menjalinkan hubungan dan menguasai
sebahagian jaringan perdagangan Intra-Asian. Di Asia Tenggara, kebolehan
Belanda menekankan dasar perdagangan monopoli yang dilaksanakan menerusi peraturan
perdagangan, cukai, perjanjian perdagangan dengan pemimpin, ketua kerajaan
tempatan dan raja-raja Melayu jelas memperlihatkan bahawa wujudnya penguasaan
perdagangan yang cuba dilakukan oleh Belanda.
Selain Belanda, British juga telah
berusaha untuk meletakkan kehadirannya di wilayah benua India. British telah
melancarkan percubaan untuk memasuki serta menawan perdagangan ke Cina dan
menguasai perdagangan di Dunia Melayu bagi mengurangkan perdagangan emas dan
perak (bullion) British. Pertapakan
di Asia Tenggara akan membolehkan British peluang untuk menguasai sepenuhnya
perdagangan di wilayah tersebut. Oleh itu, mereka pasti mampu untuk mengawal
perjalanan perdagangan antara China dan India dan seterusnya berjaya menguasai
Pulau Pinang. Ketika perdagangan semakin berkembang di Asia Tenggara, para
pedagang Asian mula jatuh kerana kebanyakan mereka tidak memiliki modal yang
banyak dan mempunyai kelemahan untuk bersaing dengan perdagangan jarak jauh.
Hanya pedagang India dan Cina sahaja yang kebanyakannya mampu bertahan kerana
mereka beroperasi melalui India dan China manakala sebahagian kecil yang lain
hanya beroperasi di kebanyakan pelabuhan utama di Asia Tenggara.[34]
Namun begitu, terdapat perbezaan
yang ketara berlaku di Asia Tenggara pada abad yang ke-18. Jumlah pedagang
tempatan dari Asia Tenggara telah berkurangan dan mereka hanya beroperasi dalam
perdagangan jarak dekat dengan menggunakan kapal-kapal kecil yang belayar di
sepanjang pantai di Asia Tenggara sahaja. Jumlah dagangan yang kecil yang
dijual dan ditukar di pelabuhan utama
Laut Melayu adalah terdiri daripada hasil hutan, hasil laut, pertanian, makanan
dan barangan lain. Perubahan ini dilihat mempunyai perkaitan dengan perdagangan
di Asia Tenggara iaitu kesan daripada
perkembangan perdagangan Cina dalam segala yang mempunyai talian dengan ekonomi
antarabangsa. Fenomena ini bertembung pada zaman antara tahun 1740 hingga 1840
dan dikenali sebagai ‘abad China’.[35]
Pada zaman itu, berlakunya
peningkatan terhadap pendatang Cina, pertumbuhan penempatan Cina, pertalian
serta jaringan perdagangan Cina, peningkatan serta asakan pelaburan Cina dalam
pertanian, perindustrian, perlombongan dan revenue
farms di Asia Tenggara.[36]
Di kawasan pelabuhan, bandar dan pedalaman di wilayah Asia Tenggara telah
menyaksikan berlakunya peningkatan jumlah penduduk Cina. Menurut Reid,
kebanjiran pendatang Cina di Asia Tenggara yang bermula pada tahun 1754 adalah
berkait rapat dnegan dasar pemerintahan Cina yang lebih longgar terhadap
rakyatnya untuk keluar negara. Pada ketika itu juga, kerajaan China telah
mengisytiharkan bahawa rakyatnya yang tinggal di luar negara dengan alasan yang
sah sahaja akan dibenarkan untuk pulang serta diberikan hak untuk memiliki
semula harta mereka.[37]
Hal ini jelas menggambarkan bahawa dasar yang longgar yang telah ditetapkan
oleh kerajaan China telah menggalakkan lagi serta berlakunya pertambahan ramai
para pedagang, pelombong, petani, pembuat kapal, pelaut dan sebagainya untuk
keluar dan meninggalkan China.
Pada tahun 1830, pengaliran keluar
pendatang Cina ke Asia Tenggara dianggarkan mencapai angka sehingga sejuta
orang yang melambangkan lebih kurang tiga peratus daripada penduduk China.[38]
Pendatang Cina ini kebanyakannya adalah amat diperlukan tenaga mereka di
kebanyakan kawasan pelabuhan dan bandar pebuhan serta di wilayah yang dikuasai
oleh kerajaan tempatan di Asia Tenggara. Arah haluan para pedagang serta
kedudukan pendatang Cina adalah terikat dengan aliran perdagangn semasa serta
perkembangan yang berlaku di Laut Melayu, khususnya kawasan di bandar pelabuhan
Melaka dan Pulau Pinang. Kedaulatan wilayah masyarakat Melayu dan ketuanan
Melayu dilihat mula tercabar apabila kedudukan dan aktiviti pendatang Cina di
Melaka dan Pulau Pinang menggugat perdagangan dan perniagaannya yang selama
merupakan kekuatan ekonomi yang telah dibina berabad-abad lamanya.
Penguasaan orang Cina dalam pelbagai
sektor jelas kelihatan terutama perniagaan serta memainkan peranan penting
dalam ekonomi semasa zaman imperialisme baru. Sejak abad ke-16 hingga ke-19,
salah satu ciri yang biasa terdapat di kebanyakan bandar pelabuhan di Laut
Melayu ialah wujudnya penduduk yang terdiri daripada pelbagai bangsa bergantung
kepada lautan sebagai punca rezeki termasuk dari tanah daratan Lautan Hindi,
kepulauan Melayu, China dan wakil dari pelbagai bangsa Eropah. Kesemua bangsa
ini tinggal di bawah satu bumbung yang dikenali sebagai extra-territoriality.[39]
Mereka turut membina kawasan perumahan, mempunyai ketua kaum serta mengikut
darjat dan panggilan, menggunakan sistem perundangan mereka sendiri serta turut
mewujudkan kesatuan dalam ekonomi mereka sendiri.[40]
Pada awal abad ke-19, pasaran buruh
telah menjadi sukar dan berkurangan di kebanyakan kawasan di Asia Tenggara
apabila berlakunya penghapusan dan perdagangan hamba. Bandar pelabuhan di laut
Melayu khususnya di Melaka dan Pulau Pinang menerima tempiasnya disebabkan oleh
kekurangan tenaga buruh.[41]
Sehingga abad ke-19, buruh telah menjadi komoditi yang amat sukar di kawasan
Laut Melayu. Oleh itu, apabila berlakunya penghijrahan beramai-ramai oleh orang
Cina, hal ini telah membantu dalam menyelesaikan masalah kekurangan buruh yang
dihadapi.
Kebanyakan pelabur khususnya dalam
sektor perlombongan termasuk yang diusahakan oleh orang Melayu telah memilih
buruh Cina berbanding buruh tempatan. Hal ini demikian kerana, pengendalian
buruh Cina adalah dilihat lebih sistematik, mudah dikawal selia, dan rajin
bekerja kerana buruh Cina ingin mendapatkan upah untuk membayar balik hutang
pelayaran dan memudahkannya menyelesaikan kontrak kerja sekali gus
membolehkannya dibebaskan. Oleh itu, kedatangan buruh Cina ke Asia Tenggara
merupakan salah satu alternatif untuk mengatasi masalah perburuhan yang
dihadapi ekoran daripada masalah penghapusan hamba terutamanya di Laut Melayu.
Kebanjiran buruh Cina pada zaman ini merupakan suatu suasana baru di kebanyakan
tempat di Asia Tenggara.
Berdasarkan beberapa kenyataan
tersebut, hal ini jelas membuktikan bahawa migrasi secara besar-besaran di Asia
Tenggara berlaku adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya polisi yang
telah ditetapkan oleh sesebuah kerajaan itu sendiri yang yang longgar lalu menggalakkan
ramai rakyatnya untuk ke luar negara. Kepesatan aktiviti perdagangan juga
menyebabkan ramai pedagang dari pelbagai pelosok dunia untuk datang berdagang
lalu membina penempatan yang tetap bagi memudahkan segala urusan perdagangannya
berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, pedagang dari Culia telah datang dan
menetap di bandar Pulau Pinang bagi memudahkan urusan perdagangan antara benua
kecil India dan Asia Tenggara.
Hal ini ditambah pula dengan
kedudukan Laut Melayu yang stratetik lalu menjadikannya sebagai sebuah kawasan
yang strategik untuk disinggahi. Kawasan dan wilayah sebelah barat Asia
Tenggara lebih diberi perhatian serta
digemari kerana sebahagian wilayah timur Asia Tenggara sedang bergolak serta
anarki. Setelah separuh abad ke-18, barulah pedagang Cina mula aktif dan muncul
semula dan kehadiran mereka mula dirasai di Asia Tenggara. Pada zaman itu
jugalah, jumlah pendatang Cina ke Asia Tenggara bertambah dan kehadiran mereka
dirasai di dalam pelbagai sektor ekonomi lalu zaman tersebut digelar sebagai
‘zaman China’.
2.4 Peningkatan Populasi Hamba/
Pekerja Berupah
Pengamalan
sistem hamba telah diamalkan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi serta
turut memainkan peranan yang penting pada ketika itu. Pihak Potugis dan Belanda
melihat bahawa pengamalan sistem hamba ini sebagai sesuatu yang menguntungkan
kerana golongan hamba tidak perlu dibayar dengan harga yang tinggi jika
dibandingkan dengan tenaga buruh. Oleh itu, Portugis dan Belanda telah
meneruskan pengamalan sistem hamba di Melaka.
Di Melaka, pemilikan hamba merupakan
kayu ukur bagi menggambarkan status atau kekayaan seseorang. Semakin ramai
hamba yang dimilikinya, maka semakin tinggi kedudukannya di mata masyarakat.
Oleh itu, kebanyakan hamba yang terdapat di Melaka dimiliki oleh golongan
atasan. Nilai seseorang hamba itu juga bergantung kepada umur dan jantina. Di
Melaka, hamba boleh dipecahkan kepada dua kategori iaitu hamba yang dimilik
oleh VOC dan hamba yang dimiliki secara persendirian. Pada tahun 1775, seramai
106 hamba yang dimiliki oleh VOC. Namun begitu, pada tahun 1806, bilangan hamba
yang dimiliki oleh VOC turun mendadak menjadi 34 orang sahaja iaitu terdiri
daripada 18 lelaki dan 16 wanita.[42]
Penurunan golongan hamba yang dimiliki oleh VOC turun mendadak adalah ekoron
daripada penghapusan perdagangan hamba, namun bilangan hamba yang dimiliki
secara persendirian adalah masih tinggi.
Sebelum peralihan Melaka kepada
Inggeris, pentadbiran Belanda telah menyimpan senarai nama pemilik hamba serta
hamba yang dimiliki oleh mereka. Namun, senarai tersebut adalah tidak lengkap
kerana kebanyakan pemilik hamba tidak mendaftarkan hamba mereka agar mereka
bebas daripada dikenakan cukai. Oleh itu, adalah sukar untuk mengetahui jumlah
golongan hamba yang sebenar pada ketika itu. Apabila Melaka telah diduduki,
pentadbiran inggeris telah membuat perintah wajib untuk semua pemilik atau
hamba kepada hamba-hamba mereka mendaftar dengan pihak polis. Peraturan telah
diluluskan dan mereka yang menolak pendaftaran terpaksa melihat hamba mereka
dibebaskan. Walaupun ramai tuan kepada hamba-hamba tersebut berasa tidak puas
hati namun, terdapat juga ramai tuan hamba yang telah mendaftarkan hamba-hamba
mereka. Melalui pendaftaran tersebut, jumlah sebenar golongan hamba yang
terdapat di Melaka adalah lebih mudah untuk dikenal pasti.
Pada tahun 1824, terdapat seramai 666 lelaki dan 590 wanita
serta 160 kanak-kanak yang berketurunan hamba dan menjadikan jumlah
keseluruhannya adalah seramai 1417 orang.[43]
Kebanyakan tuan hamba adalah terdiri daripada golongan Eropah, diikuti dengan
Cina dan Melayu. Sebahagian daripada mereka memiliki jumlah hamba yang ramai
pada tahun 1803, namun akhirnya hanya
tinggal seorang ataupun tidak ada langsung pada tahun 1824. Sebagai contoh,
J.B. de Wind memiliki seramai 20 orang hamba pada tahun 1803, namun pada tahun
1824 beliau hanya memiliki seorang hamaba Melayu. Pada tahun 1824, tuan hamba
yang memiliki hamba dengan jumlah yang ramai dikenali sebagai Adrian Koek dengan memiliki seramai 63 hamba.
Terdapat juga tuan hamba lain yang memiliki hamba yang ramai seperti J.J.
Timmerman iaitu sebanyak 37 hamba, Hendrik Kraal iaitu seramai 30 hamba,
Hubertus va Bragt iaitu seramai 23 hamba dan
A. A. Velge iaitu seramai 19 hamba.
Kebanyakan hamba adalah datang dari
kawasan yang jauh walaupun rantau Asia Tenggara merupakan pembekal sumber
utama. Selain Melaka yang merupakan pembekal hamba, terdapat juga golongan
hamba yang di bawa masuk daripada Kedah, Rembau, Borneo, Bali, Batak, Mkassar,
Inas, Riau, Sunbawa, Batavia, Linga, Timor dan juga beberapa kawasan lain.
Selain itu, terdapat juga yang datang daripada luar kawasan perdagangan seperti
Mozambique di Afrika dan Benggal.[44]
Pada tahun 1826, jumlah hamba yang terdapat di Melaka adalah seramai 1097 dan
di naming adalah seramai 24 orang. Jumlah tuan hamba yang paling ramai adalah
terdiri daripada orang Kristian (Belanda/Eropah) dan kumpulan etnik Cina.
Kedua-dua kelompok tersebut memiliki lebih daripada 31 peratus bilangan hamba
manakala Keling atau Melayu hanya miliki sekitar 10 peratus jumlah hamba.[45]
Selain daripada hamba biasa,
terdapat juga hamba berhutang di Melaka. Hamba berhutang ialah golongan yang
terpaksa berkhidmat dengan individu tertentu bagi melangsaikan hutang mereka.
Pada tahun 1826, bilangan hamba berhutang yang tertinggi adalah daripada orang
Melayu iaitu sebanyak 77 peratus, diikuti oleh Kristian sebanyak 31 peratus.
Jumlah keseluruhan hamba dan hamba berhutang pada tahun tersebut adalah seramai
1493 orang. Kebanyakan hamba dan hamba berhutang adalah datang daripada orang
Cina iaitu 34.89 peratus, Melayu iaitu 23.64 peratus, Eropah iaitu 18.15
peratus, Moor iaitu 15.02 peratus dan Keling iaitu 8.23 peratus.[46]
Walaupun jumlah golongan hamba
menurun pada abad ke-17, namun golongan hamba masih memainkan peranan yang
penting pada ketika itu. Penghambaan amat penting untuk menguruskan isi rumah
serta memainkan peranan yang penting dalam sektor pembuatan dan perdagangan. Pada
tahun 1827, populasi hamba di Melaka adalah 10.52 peratus daripada keseluruhan
penduduk berbanding dengan 30 peratus pada pertengahan abd ke-17. Walaupun
pihak kerajaan cuba untuk memujuk agar tuan hamba membebaskan hamba, namun
amalan yang menggalakkan pemilikan hamba yang diamalkan sejak dahulu lagi sukar
untuk dibendung.
Di Pulau Pinang, hamba terbahagi
kepada dua kumpualn iaitu hamba yang dikawal oleh EIC dan hamba yang dimiliki
oleh penduduk tempatan seperti orang Melayu, Jawi-Pekan dan Arab. Pada awal
pembukaan Pulau Pinang demi pembangunan ekonomi, golongan hamba telah diambil
untuk mengisi kekosongan serta permintaan buruh dan tenaga kerja. Namun begitu,
hamba yang dimiliki oleh golongann Arab dan Melayu hanyalah semata-mata untuk
kepentingan domestik. Hamba domestik boleh ertikan sebagai hamba yang hanya
perkhidmat kepada tuannya sahaja seperti bekerja di ladang dan di rumah sahaja.
Mereka akan menetap di rumah tuan mereka serta berjanjikan akan memberikan taat
setia yang tidak berbelah bahagi kepada
tuan mereka.
Hamba yang dimiliki oleh penduduk
tempatan telah wujud sejak tahun 1792 apabila Tunku Syed Hussain dan Syed
Jaafer menetap di Pulau Pinang. Mereka merupakan golongan pedagang Melayu-Arab
iatu daripada rumah diraja Aceh yang kemudiannya berpindah ke Pulau Pinang
dengan membawa bersama keluarga dan hamba. Namun begitu, Francis Light lebih
cenderung untuk tidak masuk campur berkenaan dengan pemilikan hamba.[47]
Pada tahun 1801, seramai 713 pemilik hamba yang majoritinya terdiri daripada
orang Melayu walaupun bilangan besar ialah Eropah dan Cina. Jumlah
keseluruhan hamba yang berada di Pulau Pinang pada tahun 1801 adalah
dianggarkan seramai 1,200 orang. Pada tahun 1805, jumlahnya meningkat kepada
1,400 serta terlibat dalam perkhidmatan domestik. Pada
tahun 1807, dianggarkan terdapat seramai 3,000 hamba berhutang di George Town
dan kebanyakannya dimiliki oleh keluarga yang kaya seperti Tuanku Syed Hussain,
keluarga Pangeran, Maha Raja Setia dan Naquda Byan.[48]
Golongan ini merupakan golongan yang menguasai serta memiliki satu pertiga
hamba.
Walaupun pengharaman hamba dan
penyimpanan hamba telah mula diperkenalkan pada tahun 1808, hamba terus
disimpan oleh rakyat. Ini terbukti dari kenyataan bahawa lewat 1820, terdapat petisyen
yang telah dihantar oleh sekumpulan orang Melayu yang menegaskan bahawa mereka
perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan undang-undang peribadi mereka,
termasuk pemilikan dan pentadbiran hamba.[49]
2.5 Pengenalan Sistem Cukai
Selain
daripada aktiviti perdagangan yang mendatangkan keuntungan yang lumayan,
aktiviti perladangan juga merupakan salah satu sumber kewangan yang terpenting di
Melaka. Setelah Belanda menguasai Melaka, sebanyak 15 jenis cukai perladangan yang telah diperkenalkan oleh Belanda di
Melaka pada tahun 1700. Antara cukai yang dikenakan ialah cukai ke atas
pelabuhan, bar, kedai runcit, hasil hutan seperti kayu, minuman keras, tempat
perjudian, rumah penyembelihan haiwan seperti lembu dan khinzir, pasar ikan,
tempat ternakan dan bot sungai.[50]
Pada tahun 1700, hasil pendapatan
daripada cukai yang dikenakan ke atas ladang adalah menceceh 3,890 rijksdollars
dan jumlah tersebut terus meningkat pada tahun yang berikutnya iaitu kepada
3,957 rijksdollars. Cukai yang dikenakan ke atas kedai-kedai kecil juga
meningkat daripada 804 rijksdollars kepada 840 rijksdollars. Namun begitu,
terdapat penurunan hasil pendapatan cukai ke atas ladang pada tahun 1702. Pada
tahun 1700 hingga 1701, hasil pendapatan yang utama diperolehi daripada cukai
perladangan diikuti dengan kedai-kedai. Pendapatan daripada rumah penyembelihan
juga memberangsangkan.[51]
Apabila British menduduki Melaka
pada tahun 1795 hingga 1818, British telah meneruskan peraturan yang dikenakan
oleh Belanda ke atas seseorang yang membeli atau membawa masuk dan keluar
barang dagangan. Selain itu, tidak terdapat sebarang perubahan yang dikenakan
ke atas duti hasil perladangan candu, khinzir, arak dan pasar ikan.
Peraturan-peraturan di ladang candu menyatakan bahawa tiada seorang pun,
kecuali petani telah dibenarkan untuk menjual candu, secara runcit dalam
kuantiti yang kecil. Bagi ladang daun sirih pula, penyewa ladang itu mempunyai
hak untuk memotong 10 peratus daripada pendapatan untuk kepentingan
peribadinya. Manakala penyewa ladang khinzir pula adalah satu-satunya individu
yang boleh menjual daging khinzir di pasar awam bahkan mereka tidak dibenarkan
menambah berat daging tersebut dengan menambahkan air ke atas daging. Jika
mereka didapati bersalah, mereka akan dikenakan tindakan yang sewajarnya.[52]
Di bawah peraturan cukai pertanian,
petani dikehendaki untuk membayar sewa bulanan yang telah dikenakan oleh
syarikat. Syarikat tidak akan menerima alasan bagi sesiapa sahaja yang gagal
membaya cukai yang dikenakan. Sekiranya perkara tersebut berlaku, ladang
tersebut akan dijual semula dan sebarang kerugian akan ditanggung oleh pembeli
asal. Permohonan untuk membeli kontrak ladang boleh dibuat melalui cadangan
pengesahan. Ini dilakukan dengan mendedahkan harga yang dipersetujui bagi
seluruh ladang bersama-sama dengan nama dua penjamin yang boleh dipercayai.
Pada awal abad ke-19, kebanyakan ladang telah dijual melalui cadangan
pengesahan. Kebanyakan ladang ini telah dibeli oleh orang kaya Cina yang ingin
memonopoli sektor pertanian.
Semasa pendudukan British pada tahun
1794 hingga 1818, kebanyakan ladang telah dijual dengan cadangan pengesahan. Dalam
tempoh ini, terdapat penurunan yang ketara ke atas pendapatan petani berikutan
daripada penurunan dalam perdagangan dan semakin ramai orang Melaka yang
berhijrah ke Pulau Pinang dan juga Singapura selepas tahun 1820. Bilangan
ladang berkurangan kepada 12 berbanding 18 pada era Belanda. Perniagaan yang
paling penting dalam pentadbiran Inggeris ialah pakaian, permainan (judi),
candu, daging khinzir, sirih, dan arak. Ladang kayu telah dimansuhkan
disebabkan oleh penurunan dalam permintaan untuk kayu di pedagang yang datang
ke Melaka. Apabila perdagangan
menurun sejak penghujung abad ke-18, kesannya dapat dilihat dalam pengurangan
secara beransur-ansur melalui hasil yang diperolehi daripada beberapa ladang. Yang
pertama menderita adalah Boom, atau
ladang kastam, yang selama ini telah mendapat pendapatan yang besar.[53]
Ladang-ladang yang bergantung secara
langsung kepada aktiviti perdagangan turut terjejas. Antaranya ialah ladang
kayu kerana sebahagian besarnya bergantung kepada kayu yang dibawa masuk oleh
jong Cina, timbang dan sukat di ladang yang dikenakan bayaran untuk timbang dan
setem artikel masuk dan keluar, cukai kepala bagi pendatang Cina yang baru yang merantau dari Macau terutamanya di
kapal-kapal Portugis, cukai jambatan yang telah dibayar oleh peniaga-peniaga
yang belayar di Sungai Melaka , dan cukai atas bot kecil yang dikenakan ke atas
peniaga-peniaga bumiputera yang menggunakan sungai antara Naning dan Melaka.[54]
Berikutan daripada kejatuhan ladang-ladang, ia telah dimansuhkan.
Oleh
kerana kehidupan di Melaka adalah berasaskan perdagangan, sebarang perubahan
dalam pola perdagangan di rantau ini telah memberi kesan kepada kehidupan di
bandar. Dengan pembukaan Pulau Pinang dan Singapura, perdagangan utama dari
Melaka telah diambil. Melaka sebenarnya mempunyai beberapa masalah dalaman
seperti penyeludupan, peraturan atau penguatkuasaan undang-undang tetapi
kemerosotan perdagangan memastikan bahawa hasil ladang masih terhad dan
mengeluarkan hasil lebih kecil berbanding dengan Singapura dan Pulau Pinang. Pada
tahun 1820, ladang-ladang utama di Melaka adalah seperti candu, arak, judi, kedai-kedai,
sirih, daging khinzir, dan beras. Seperti yang boleh dilihat, kebanyakan
ladang-ladang tidak bergantung sepenuhnya kepada perdagangan di Melaka.
2.6 Pertembungan Kuasa Luar
Zaman
awal moden juga telah menyaksikan wujudnya pertembungan kuasa luar di Asia
Tenggara. Kuasa luar yang paling ketara pada ketika itu adalah kuasa-kuasa
Eropah seperti Portugis, Belanda dan British dan masing-masing saling
berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan demi kepentingan masing-masing. Ekoran
daripada pertembungan kuasa luar ini, ia sedikit sebanyak telah membawa
perubahan serta memberikan kesan kepada Asia Tenggara dalam pelbagai aspek
khususnya ekonomi, politik dan sosial.
Semasa Belanda menguasai Melaka pada
tahun 1641, Belanda telah menguatkuasakan peraturan perdagangan yang telah
dijalankan oleh Portugis. Semasa zaman awal pentadbiran Belanda di Melaka,
terdapat dua tujuan utamanya iaitu untuk mengekalkan serta membangunkan
ciri-ciri emporium yang dimiliki oleh Belanda. Manakala yang kedua ialah untuk
menentukan bahawa perdagangan monopoli yang dilakukan olehnya dan harga barang
komoditi utama mestilah mengekalkan penguasaan serta kepentingan Belanda di
Laut Melayu.[55]
Semasa di bawah pentadbiran Belanda, Belanda telah meletakkan duti sebanyak 10
peratus ke atas setiap barangan import manakala sebanyak 5 peratus ke atas
barang eksport. Kedua-dua duti tersebut adalah lebih tinggi berbanding zaman
Portugis. Pada ketika itu, Belanda merasakan bahawa kehadiran ramai pedagang
Asia di Laut Melayu telah mencabar kedudukan serta perdagangannya. Oleh itu,
Belanda percaya bahawa dengan menyekat pedagang dari Asia, maka pendapatan
mereka akan meningkat. Nmaun begitu, tindakan Belanda tersebut telah
menjatuhkan perdagnagn di Melaka dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, Belanda telah melancarkan
dasar untuk melakukan kontrak secara kekal dengan kerajaan Melayu dengan
harapan mampu menguasai sepenuhnya bekalan bijih timah dari kerajaan Melayu di
Semenanjung Tanah Melayu, lada hitam dari Sumatera, dan penguasaan sepenuhnya
monopoli perdagangan kain India di Laut Melayu. Motif utama Belanda hanyalah
semata-mata untuk menguasai sepenuhnya barangan dan perdagangan yang akhirnya
akan menguntungkan Belanda sendiri. Terdapat beberapa perjanjian yang telah
dilakukan antaranya dengan kerajaan Kedah pada 1642, Junk Ceylon pada 1643,
Bangery pada 1645, Perak pada 1746 dan kerajaan Siak pada 1754.[56]
Dasar monopoli yang dijalankan oleh Belanda dilihat sebagai suatu tindakan yang
mendatangkan kesan buruk jangka panjang kerana ia menggalakkan perdagangan
secara penyeludupan, terutama barangan seperti candu, kain dari India dan bijih
timah.
Pelbagai perubahan yang cuba
dilakukan oleh Belanda di Melaka seperti menguatkuasakan undang-undang dan
perdagangan yang ketat bagi mengawal dan memantau para pedagang yang membawa
serta membeli barangan import dan eksport dari pelabuhan Melaka. Belanda turut
memperkenalkan serta mnegenakan pelbagai jenis cukai ke atas barangan seperti
candu, sirih, khinzir, arak, rumah perjudian dan pasar ikan. Cukai ksatam atau
juga dikelanali sebagai Boompachten
di dalam bahasa Belanda atau rumah kastam diberikan kuasa untuk memungut
pelbagai jenis cukai yang dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan.[57]
Antaranya termasuklah cukai sebanyak 15 Spanish dollars bagi satu kotak Candu,
dan 1 ¼ Spanish dollars bagi satu pikul lada hitam.
Selain itu, rumah kasatam juga
diberikan kuasa untuk memungut cukai ke atas semua jenis kain yang tiba di
pelabuhan Melaka sama ada yang datang dari Timur mahupun Barat. Antara contoh
cukai yang dikenakan ialah sutera mentah iaitu sebanyak tujuh peratus daripada
nilai semasa barangan tersebut. Rumah kasatam bukan sahaja mempunyai kuasa
untuk mengutip cukai, bahkan mereka turut mempunyai hak untuk menerima satu
pertiga duti import ke atas semua barangan yang dieksport semula. Bagi barangan
yang dijual tanpa dipunggah, rumah kastam juga mempunyai hak untuk memungut
separuh daripada cukai pelabuhan. Setiap nilai barangan yang diimport mahupun
yang dieksport adalah ditentukan oleh pihak pegawai kastam dan pedagang.
Pendapatan daripada jualan candu amat
menguntungkan kerana bahan tersebut mendapat permintaan yang tinggi di
kebanyakan bandar pelabuhan natif atau peribumi. Ketika di bawah pentadbiran
Belanda juga, Belanda telah menetapkan bahawa banhan tersebut hanya boleh
dikendalikan dan dibawa oleh kapal milik mereka sahaja. Peraturan tersebut amat
ketat dan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan tersebut akan dikenakan
hukuman berat. Dalam peraturan tersebut ada menyatakan bahawa sesiapa yang
didapati ditangkap memiliki serta membawa bahan tersebut di dalam kapal mereka,
maka kapal tersebut akan dirampas lalu dijual.[58]
Semua hasil jualan pula akan diserahkan kepada VOC. Terdapat laporan yang
mengatakan bahawa satu peti candu boleh mencapai harga setinggi 300 Spanish
dollars di pelabuhan pantai barat Sumatera dan hasilnya sangat menguntungkan.
Tambahan pula, candu boleh dijual semula dengan harga dua kali ganda lebih
tinggi berbanding harga asal. Namun begitu, VOC hanya mampu memperoleh
keuntungan yang kecil kerana mereka gagal menguasai pasaran yang menguntungkan
tersebut disebabkan oleh syarikat pedagang swasta Inggeris yang memperdagangkan
candu secara meluas di pelabuahan Johor-Riau.
Pada zaman awal moden, emas merupakan barang
perdagang yang penting dan merupakan sumber pendapatan eksport yang utama di
Melaka. Emas juga merupakan bahan utama keseluruhan import VOC di Pantai
Koromandel India. Kebanyakan emas yang diperolehi adalah datang dari daerah
Minangkabau yang dilombong secara meluas di negeri pengeluar emas utama seperti
Patapahan, Indragiri dan Jambi. Pada tahun 1749, jumlah nilai eksport emas dari
daerah ini mencapai 53,640.7 gulders.[59]
Belanda berusaha untuk menguasai wilayah tersebut dengan mengawal dan menyekat
jalan masuk dan keluar muara sungai Siak kerana untuk sampai ke negeri-negeri
tersebut adalah dengan cara memudiki Sungai Siak. Mereka turut meletakkan
sebuah pengkalan dan petempatan kota Belanda di Pulau Gunting. Namun begitu,
monopoli Belanda ke atas perdagangan emas ini berakhir apabila Belanda gagal
untuk mneyekat percubaan penyeludupan emas sehingga tahun 1777.
Pada akhir abad yang ke-17, dasar
monopoli yang diamalkan oleh Belanda di Melaka telah menampakkan kesan yang
buruk. Dasar monopoli Belanda telah menyebabkan berlakunya kejatuhan perdagangan
di Melaka dan semua rancangan serta peraturan perdagangan yang dilakukaan telah
memperlihatkan kesan dalam jangka masa panjang. Hal ini bertambah teruk dengan
kehadiran EIC dan syarikat perdagangan swasta Inggeris ke Laut Melayu. Oleh
itu, jika ditelurusi dengan lebih mendalam, terdapat dua faktor yang
menyebabkan kejatuhan perdagangan di Melaka. Pertama adalah disebabkan oleh
persaingan hebat yang yang dihadapi oleh Belanda daripada pedagang swasta
Inggeris di Laut Melaka manakala yang kedua adalah disebabkan oleh
penguatkuasaan terhadap perdagangan monopoli oleh Belanda di Melaka. Oleh itu,
Melaka bukanlah sebuah penenempatan Belanda yang menguntungkan kepda VOC.
Walaupun begitu, Belanda tetap tidak melepaskan Melaka kerana Belanda melihat
Melaka sebagai sebuah kawasan yang strategik serta berperanan sebagai
petempatan Belanda yang yang dapat mengawal dan menentukan arah aliaran
perdagangn di Laut Melayu serta menguasai perdagangan Intra-Asian.[60]
Apabila berlakunya Perang
Belanda-Johor 1784, maka telah tercetusnya hubungan yang buruk antara dua kuasa
yang mana kemenangan berpihak kepada Belanda. Namun begitu, persengkataan yang
wujud akhirnya telah menyebabkan berlakunya jurang dan memberikan kesan kepada
perdagangan di Melaka dalam jangka masa yang panjang. Pembukaan Pulau Pinang
pada 1786 dan Singapura pada 1819 telah membawa kesan terhadap Melaka sebagai sebuah pelabuhan utama di bahagian
Timur. Belanda cuba untuk menguasai semula Melaka daripada British antara
1818-1824 namun usaha tersebut gagal. Menjelang abad ke-19, kedudukan Melaka
semakin goyah dan tidak dapat mengembalikan semula kegemilangannya sebagai
pelabuhan utama di Nusantara.
Selepas Peperangan Inggeris-Belanda
yang ke-4 (1780-1784), perdagangan antara benua kecil India-Laut Melayu-China
telah dikuasai sepenuhnya oleh pihak British. Kepentingan pedagangan Cina
kepada British telah menyebabkan mereka mencari tempat baru sebagai tapak di
Laut Melayu untuk kapal dagangan mereka ke China. Kedudukan Belanda di Melaka
juga menyebabkan permasalahan persaingan yang amat sengit antara antara
pedagang Bugis di Johor-Riau yang akhirnya telah menyebabkan tercetusnya
peperangan antara Melaka dengan Johor-Riau. British telah berusaha untuk
meningkatkan penglibatannya dalam perdagangan di Asia Tenggara di wilayah
pengaruh kekuasaan Belanda serta berusaha untuk meruntuhkan tembok monopoli
Belanda di Laut Melayu. Selepas tahun 1770-an, British telah berjaya
mendominasi perdagangan antara Pantai Koromandel dan Semenanjung Tanah Melayu.[61]
Pada pertengahan abad yang ke-18,
corak perdagangan di wilayah Laut Melayu telah bertukar secara mendadak dengan
kehadiran pedagang swasta Inggeris serta peranan aktif Syarikat Hindia Timur
Inggeris di Dunia Melayu. Kajatuhan VOC juga telah mengukuhkan kedudukan
British di Asia Tenggara. Perdagangan antara Pantai Koromandel dan di wilayah
Laut Melayu juga telah jatuh sepenuhnya ke tangan Inggeris setelah tamatnya
perang Inggeris-Belanda. Hingga akhir
abad yang ke-18, terdapat perubahan yang ketara apabila pihak British menjadi
penggerak utama dalam perdagangan di Laut Melayu. Keruntuhan pengaruh dan
kekuasaan Belanda serta penyerahan sementara Melaka dan Betawi kepada Inggeris
telah memberikan kesan jangka masa panjang untuk mengukuhkan kekuasaan Inggeris
di Laut Melayu, khususnya di negeri-negeri bahagian barat Semenanjung Tanah
Melayu.
3.0 KESIMPULAN
Dalam
sejarah peradaban, hal ini jelas menunjukkan bahawa perdagangan memainkan peranan yang penting bahkan berjaya menyuntik
pertumbuhan ekonomi. Aktiviti perdagangan yang dijalankan telah membentuk dan
mengembangkan budaya pemikiran masyarakat apabila mereka merantau dari satu
tempat ke tempat yang lain ekoran daripada kepesatan aktiviti perdagangan.
Kedudukan geografi yang amat strategik di antara dua peradaban utama iaitu
Timur dan Barat turut memainkan peranan yang penting kepada pertembungan budaya
dan peradaban.
Berikutan
daripada kekayaan yang dimiliki oleh jalan perairan ini, penguasaan kekayaan
yang dimiliki oleh Laut Melayu sering bertukar tangan. Kuasa Eropah seperti
Portugis, Belanda dan British telah berusaha sedaya upaya untuk menguasai sebahagian
besar perdagangan dunia yang melintasi Laut Melayu. Bermula dengan kerajaan
Melayu yang diasaskan oleh Srivijaya, Melaka, Johor-Riau dan Aceh telah
bertukar kepada kuasa Eropah dan kini sebahagian besar daripada kekayaan
perdagangan yang melintasinya telah dikuasai oleh Singapura pula. Kewujudan
bandar pelabuhan juga merancakkan lagi aktiviti perdagangan bahkan turut
membuktikan bahawa ia berpotensi untuk berkembang dengan memberikan
perkhidmatan sebagai pusat memungut dan menyebarkan, membaik pulih kapal-kapal,
memberikan perlindungan daripada tiupan angin monsun dan sebagai pusat
perdagangan dunia.
Oleh
itu, dari zaman awal kedudukan serta fungsi Laut Melayu terutamanya Melaka,
Aceh, Johor-Riau, Pulau Pinang dan Singapura sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara telah membuatkannya saling
bersaing antara satu sama lain. Persaingan ini disemarakkan lagi apabila Melaka
di bawah pemerintahan Belanda, Johor-Riau kemudiannya ditakluki Belanda, Pulau
Pinang dan kemudiaannya British di Singpura. Kemunculan Pulau Pinang dan
Singapura juga telah menyebabkan nasib Melaka mengalami keruntuhan. Perubahan
politik di Eropah telah menyebabkan Melaka mengalami kejatuhan dalam arus
perdagangan yang kian berubah di Laut Melayu dan di Asia Tenggara.
Selepas kejatuhan dan kehancuran
pelabuhan Johor-Riau pada tahun 1784, iaitu pusat kerajaan maritim Melayu Johor
yang diatawan oleh Belanda, sejarah masyarakat maritim Melayu juga telah berubah
sepenuhnya dan mengalami zaman kegelapan yang berpanjangan. Dengan mengambil kira pandangan Nordin Hussin, dapatlah
dirumuskan bahawa zaman abad awal moden itu merupakan zaman peralihan di antara
zaman perdagangan “age of commerce” di Asia Tenggara dengan zaman
sebelum pertapakan sepenuhnya pemerintahan kolonial “Pre-imperialism”.
4.0
ANALISIS
Berdasarkan
keseluruhan esei, analisis telah dilakukan dan ternyata terdapat pelbagai
perubahan yang berlaku pada zaman awal moden yang mana ia dilihat turut
memainkan peranan yang penting bagi memahami sejarah Asia Tenggara. Setiap
perubahan tersebut adalah ekoran daripada peranan yang dimainkan oleh penduduk
tempatan dan juga campur tangan kuasa luar sehingga mendatangkan pelbagai
perubahan dan kesan ke atas sesebuah kawasan di Asia Tenggara sama ada dari
segi politik, ekonomi, mahupun sosial. Perkembangan sejarah di Asia Tenggara pada
awal moden pula amat berkait rapat dengan aktiviti perdagangan. Aktiviti
perdagangan memainkan peranan yang penting kerana naik dan jatuh sesebuah
kerajaan itu adalah disebabkan oleh ekonominya. Kekayaan ekonomi yang dimiliki
oleh sesebuah kerajaan itu bukan sahaja telah menarik minat penduduk tempatan
bahkan turut menjadi tarikan kuasa luar untuk menguasainya seperti Belanda dan
Inggeris.
Zaman awal moden juga turut
menyaksikan perkembangan serta
peningkatan jumlah pembentukan pelabuhan dan bandar pelabuhan di Laut
Melayu. Berikutan wujudnya aktiviti perdagangan yang pesat di Laut Melayu, maka
wujudnya banyak bandar pelabuhan seperti Aceh, Kedah, Melaka, Siak dan Riau.
Bandar pelabuhan ini memainkan peranan yang penting kerana di situlah merupakan
tempat tumpuan penduduk dan segala urusan perdagangan dijalankan. Ramai
pedagang asing yang telah datang di bandar pelabuhan bahkan ada di antara
mereka yang turut membina penempatan di bandar pelabuhan tersebut ekoran
daripada tarikan perdagangan yang ditawarkan di sesuatu kawasan itu. Hal ini
jelas membuktikan bahawa kepesatan kegiatan perdagangan di Laut Melayu telah membwa
kepada peningkatan jumlah pedagang luar untuk datang dan pada masa yang sama
wujudnya peningkatan jumlah pembentukan pelabuhan dan bandar pelabuhan di Laut
Melayu.
Laut Melayu yang terkenal dengan
hasil buminya juga telah berjaya menarik minat para pedagang dari pelbagai
pelusuk kawasan untuk datang dan menjalankan urusan perdagangan di Laut Melayu.
Kewujudan pelbagai bandar pelabuhan telah berjaya menggiatkan lagi perkembangan
aktiviti perdagang khususnya pedagang luar seperti India dan China untuk datang
berdagang. Berikutan daripada kepesatan kemasukan pedagang asing, maka wujudnya
migrasi secara besar-besaran di Laut Melayu. Kepelbagaian masyarakat ini
mencerminkan bagaimana sebuah bandar pelabuhan mampu membentuk sebuah
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang membentuk entiti baru
dalam sejarah masyarakat. Hal ini secara tidak langsung juga memperlihatkan
bahawa pentingnya faktor ekonomi sehingga memberikan kesan dari segi sosial ke
atas sesuatu kawasan atau wilayah itu.
Sejarah awal moden juga turut
menyaksikan bahawa wujudnya peningkatan jumlah golongan hamba. Penghambaan amat
penting untuk menguruskan isi rumah serta memainkan peranan yang penting dalam
sektor pembuatan dan perdagangan. Pada awal pembukaan Pulau Pinang, golongan
hamba telah diambil untuk mengisi kekosongan serta permintaan buruh dan tenaga
kerja demi pembangunan ekonomi di sesebuah kerajaan atau kawasan itu. Hal ini
juga jelas memperlihatkan bahawa golongan hamba turut memainkan peranannya
dalam menyumbang kepada peningkatan ekonomi pada zaman awal moden. Tambahan
pula, masyarakat pada ketika itu turut mementingkan kedudukan sosial
sehinggakan mereka menganggap bahawa semakin ramai hamba yang mereka miliki
maka semakin tinggilah kedudukan sosial mereka. Hal ini juga secara tidak
langsung menyumbang kepada tenanga kerja dan sekali lagi gus dapat membantu
meningkatkan peningkatan sektor ekonomi kerana golongan hamba ini turut
terlibat dalam aktiviti perdagangan.
Sejarah
awal moden juga turut menyaksikan pengenalan sistem cukai dan akhirnya sistem
cukai ini mendatangkan kesan kepada penduduk tempatan. Setelah Belanda
menguasai Melaka, sebanyak 15 jenis cukai perladangan yang telah diperkenalkan
oleh Belanda di Melaka. Apabila British menduduki Melaka, British telah
meneruskan peraturan yang dikenakan oleh Belanda dan mereka tidak akan menerima
alasan bagi sesiapa sahaja yang gagal membayar cukai yang dikenakan. Apabila
perdagangan menurun sejak penghujung abad ke-18, kesannya dapat dilihat dalam
pengurangan secara beransur-ansur melalui hasil yang diperolehi daripada
beberapa ladang. Antara pihak yang terkesan kepada pengenalan sistem cukai
ialah ladang kastam yang selama ini telah memperoleh pendapatan yang besar. Hal
ini jelas membuktikan bahawa sistem cukai hanya menguntungkan pihak penguasa
seperti Belanda dan British sedangkan penduduk tempatan harus bekerja keras
bagi membayar cukai yang dikenakan.
Apabila berlakunya Perang
Belanda-Johor 1784, maka telah tercetusnya hubungan yang buruk antara dua kuasa
yang mana kemenangan berpihak kepada Belanda. Namun begitu, persengkataan yang
wujud akhirnya telah menyebabkan berlakunya jurang dan memberikan kesan kepada
perdagangan di Melaka dalam jangka masa yang panjang. Pembukaan Pulau Pinang
pada 1786 dan Singapura pada 1819 telah membawa kesan terhadap Melaka sebagai sebuah pelabuhan utama di bahagian
Timur. Belanda cuba untuk menguasai semula Melaka daripada British namun usaha
tersebut gagal. Menjelang abad ke-19, kedudukan Melaka semakin goyah dan tidak
dapat mengembalikan semula kegemilangannya sebagai sebuah pelabuhan utama di
Nusantara.
Perdagangan
antara benua kecil India-Laut Melayu-China telah dikuasai sepenuhnya oleh pihak
British. Kedudukan Belanda di Melaka juga menyebabkan permasalahan persaingan
yang amat sengit antara pedagang Bugis di Johor-Riau yang akhirnya telah
menyebabkan tercetusnya peperangan antara Melaka dengan Johor-Riau. British
telah berusaha untuk meruntuhkan tembok monopoli Belanda di Laut Melayu. Berdasarkan
analisis yang dilakukan, hal ini jelas membuktikan bahawa pertembungan kuasa
luar serta campurtangan dan kerakusan kuasa luar dalam usaha untuk memonopoli
perdagangan akhirnya telah menyebabkan kedudukan sesebuah kerajaan itu kian
goyah seperti yang berlaku di Melaka. Oleh itu, peristiwa tersebut memainkan
perananan yang penting bagi memahami sejarah awal moden di Asia Tenggara kerana
dari situ dapat dilihat antara faktor yang menyumbang kepada kejatuhan sesebuah
kerajaan.
6.0 RUJUKAN
Muhammad
Haji Salleh (pnyt.). 1994. Syair
Tantangan Singapura Abad Ke Sembilan Belas.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nordin
Hussin. 2007. Trade and Society In The
Straits of Melaka: Dutch Melaka and English
Penang, 1780-1830. Denmark: NIAS Press.
Nordin
Hussin. 2011. Perdagangan dan Peradaban
di Laut Melayu. Bangi: Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Nordin
Hussin. 2013. Sadjarah Riouw Lingga dan
Daerah Taaloqnya. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
[1] Nordin Hussin, Perdagangan dan Peradaban di Laut Melayu,
2011, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 14.
[6]
Nordin Hussin, Sadjarah Riouw Lingga dan
Daerah Taaloqnya, 2013, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia,
hlm. 10.
[7] Nordin Hussin, Perdagangan dan Peradaban di Laut Melayu,
2011, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 14.
[21] Nordin Hussin, Perdagangan dan Peradaban di Laut Melayu,
2011, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 29.
[30] Muhammad Haji Salleh
(pnyt.), Syair Tantangan Singapura Abad Ke Sembilan Belas, 1994, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 6.
[31] Nordin Hussin, Perdagangan dan Peradaban di Laut Melayu,
2011, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 27.
[42] Nordin
Hussin, Trade and Society In The Straits
of Melaka: Dutch Melaka and English Penang, 1780-1830, 2007, Denmark: NIAS
Press, hlm. 177.
[44] Nordin
Hussin, Trade and Society In The Straits
of Melaka: Dutch Melaka and English Penang, 1780-1830, 2007, Denmark: NIAS
Press, hlm. 182.
[55] Nordin Hussin, Perdagangan dan Peradaban di Laut Melayu,
2011, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 50.
2 comments:
terima kasih admin. mohon untuk dibuat nota ya (:
perkongsian yang sangat membantu nota kuliah saya semester ini.
Sama-sama. Moga bermanfaat. :)
Post a Comment