Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Friday, September 18, 2015

INDIRA GHANDI


1.0 PENGENALAN

Indira Gandhi atau nama sebenarnya ialah Indira Priyadarshini Gandhi telah dilahirkan pada 19 November 1917 di Allahabad serta merupakan anak kepada pasangan Kamala dan Jawaharlal Nehru.[1] Beliau merupakan Perdana Menteri India yang ketiga serta merupakan wanita pertama yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri India. Beliau telah memegang jawatan tersebut selama tiga penggal berturut-turut iaitu dari 1966 hingga 1977, dan pada penggal yang keempat iaitu pada tahun 1980 sehingga berlakunya pembunuhan ke atas beliau iaitu pada tahun 1984.
            Indira Gandhi telah dibesarkan dalam suasana politik sejak dari kecil lagi. Datuknya iaitu Motilal Nehru merupakan seorang peguam serta merupakan orang penting dalam Kongres Kebangsaan India serta turut dikenali sebagai tokoh nasionalis India. Ayahnya iaitu Jawaharlal Nehru pula merupakan Perdana Menteri India yang pertama dan memainkan peranan yang penting ke arah kemerdekaan India. Indira
            Gandhi mendapat pendidikan di Somerville College, Oxford dan telah dianugerahkan gelaran kehormat. Beliau juga pernah mendapat pendidikan di Sekolah Moden di Delhi, sekolah biara St Cecilia dan St Mary Kristian di Allahabad, Ecole Internationale di Geneva, Ecole Nouvelle, dan Pupils' Own School di Poona dan Bombay. Beliau telah berkahwin dengan Feroze Gandhi pada usia 25 iaitu pada tahun 1942 dan dikurniakan dua orang anak.
            Antara tahun 1947 hingga 1965, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu peribadi tidak rasmi kepada ayahnya sendiri dan dengan itu beliau secara tidak langsung dapat mempelajari selok-belok berkaitan arena politik. Pada tahun 1964 iaitu setahun selepas kematian ayahnya, buat pertama kalinya, beliau telah dipilih sebagai Menteri Penerangan dan Penyiaran di dalam kabinet Lal Bahadur Shastri. Setelah kematian Shastri, beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri India.
            Gandhi juga mengambil langkah agar anak-anaknya terlibat dalam arena politik. Anaknya yang muda bernama Sanjay telah dipilih sebagai warisnya tetapi meninggal dunia dalam kemalangan pada bulan Jun 1980. Kemudian, Indira Gandhi telah meminta agar  anak sulungnya iaitu Rajiv Gandhi untuk berhenti kerja sebagai seorang juruterbang dan terlibat dalam arena politik pada bulan Februari 1981. Namun begitu, nasib seakan tidak menyebelahinya kerana Rajiv Gandhi telah meninggal dunia akibat dibunuh.
            Indira Gandhi merupakan seorang yang amat disegani bahkan beliau banyak memberikan sumbangan ke arah pembangunan India sama ada dari aspek sosial, ekonomi mahupun politik. Indira Gandhi juga banyak mengikut jejak ayahnya Jawaharlal Nehru. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri, beliau telah mendapat penghormatan tertinggi awam India, Bharat Ratna pada tahun 1971.
            Namun begitu, dunia telah digemparkan dengan berlakunya pembunuhan ke atas Perdana Menteri India Ketiga itu pada tahun 1984. Pada 31 Oktober 1984, dua pengawal peribadi Gandhi iaitu Satwant Singh dan Beant Singh telah menembak beliau dengan menggunakan senjata perkhidmatan mereka di taman kediaman Perdana Menteri pada 1 Safdarjung Road, New Delhi. Kehar Singh kemudiannya ditangkap kerana konspirasi dalam serangan itu. Berikutan insiden ini, Satwant dan Kehar telah dihukum mati dan digantung di Delhi.[2]
             
2.0 ASPEK EKONOMI

Semasa tampuk pemerintahan Indira Gandhi, beliau telah mewarisi ekonomi yang lemah dan bermasalah daripada pemerintah yang terdahulu. Hal ini menimbulkan permasalahan bukan sahaja kepada beliau tetapi juga kepada rakyat di negara India itu sendiri yang hidup dalam serba kekurangan berikutan ekonomi yang masih tidak stabil. Bagi memperbaiki status ekonomi di India, beliau cuba membangunkan semula dasar ekonomi dengan memperkenalkan pelbagai program-program baru.

2.1 MENINGKATKAN EKONOMI PERTANIAN
Peperangan yang berlaku antara India dan Pakistan pada tahun 1965 serta diikuti dengan krisis makanan yang diakibatkan oleh kekeringan, telah menyumbang kepada masalah kebuluran ke atas rakyat India. Pertanian bukan sahaja sumber makanan utama di India tetapi juga dijadikan sebagai sumber keperluan bahan mentah bagi industri perindustrian. Namun, akibat daripada kekurangan baja serta kaedah pertanian tradisional yang agak lapuk dan ketinggalan telah menyebabkan hasil pertanian sukar untuk dihasilkan dengan baik dan akhirnya aktiviti pertanian mula diabaikan.
            Oleh itu, bagi membaiki masalah ini, Indira Gandhi telah memberikan tumpuan serta menekankan aspek pertanian bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di India dan beliau telah melancarkan Revolusi Hijau. Tahun 1969 dan 1970 merupakan tahun yang mana India menerima taburan hujan yang agak bagus dan situasi ini telah menyumbang kepada peningkatan hasil bijirin iaitu masing-masing sebanyak 99.5 tan dan 105 ½ tan.[3] Berikutan peningkatan penghasilan bijirin ini, India telah mampu untuk membekalkan bijirin kepada Bangladesh. Langkah ini dilihat sebagai permulaan yang baik bagi melancarkan Revolusi Hijau walaupun penghasilan beras agak perlahan.
            Revolusi Hijau di India kemudiannya memuncak di bawah pemerintahannya pada tahun 1970. Revolusi tersebut telah mengubah negara India yang pada awalnya merupakan sebuah negara yang sangat bergantung pada biji-bijian yang diimport dan terdedah kepada masalah kebuluran kepada sebuah negara yang mampu menghasilkan makanan sendiri dan berjaya dalam mencapai matlamatnya iaitu untuk menghasilkan bekalan makanan yang mencukupi.
            Melalui Revolusi Hijau ini, ternyata ia telah membuka peluang baru bagi membangunkan semula sektor pertanian. Pihak kerajaan juga telah mengambil beberapa projek pengairan kecil, besar dan pelbagai guna untuk membekalkan air yang mencukupi untuk kesuburan tanah serta memudahkan petani untuk menjalankan aktiviti pertanian. Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan untuk menggali terusan pam tangan dan lain-lain untuk bekalan air yang cukup dan banyak lagi agar golongan petani tidak bergantung sepenuhnya kepada taburan hujan semata-mata.
            Selain itu, Gandhi juga turut memberikan bantuan dan galakan kepada aktiviti penyelidikan sebagai satu usaha untuk membangunkan semula aktiviti pertanian. Kerajaan India telah memutuskan untuk membangunkan sebanyak 500 Agro-Service Centres sebagai projek percubaan.[4] Pusat-pusat ini akan mengambil traktor dan pelbagai lagi kemudahan bagi menjalankan aktiviti pertanian, membangunkan bengkel untuk membaiki mesin dan sebagainya.[5] Hal ini demikian kerana penggunaan alatan moden kurang digunakan pada ketika itu dan menyebabkan hasil pertanian kurang membuahkan hasil. Oleh itu, tindakan tersebut adalah salah satu langkah yang dilakukan oleh Gandhi untuk mengubah sektor pertanian tradisional kepada yang lebih moden dengan harapan sektor pertanian akan mampu menghasilkan hasil pertanian dalam kuantiti yang lebih banyak dan berkualiti.
            Makmal penyelidikan nuklear yang pertama juga telah ditubuhkan di Indian Agricultureal Research Institute di Pusa, New Delhi dan makmal ini berperanan untuk mengaplikasikan teknologi nuklear dalam bidang pertanian.[6] Projek ini telah dibiayai oleh kerajaan India dan United Nation Development Fund yang telah memberikan bantuan dari segi peralatan, keahlian dan kemudahan latihan.[7] Penyelidikan nuklear ini berperanan untuk membaiki dan meningkatkan kualiti serta penghasilan tanaman yang lebih baik seperti menggunakan kaedah mutasi bagi menghasilkan benih-benih yang lebih bermutu serta yang pelbagai. Oleh itu, dengan adanya pusat penyelidikan nuklear ini, aktiviti serta kaedah untuk mengembangkan serta meningkatkan sektor pertanian dapat digiatkan.
             
2.2 DASAR NASIONALISASI
Dasar nasionalisasi atau dasar memilknegarakan ke atas atas syarikat-syarikat swasta juga telah diperkenalkan di Parlimen. Pada tahun 1968, beliau telah menyuarakan hasrat serta peranan dan kepentingan dasar memiliknegarakan ke setiap pelusuk negeri melalui Radio India.[8] Pada tahun 1969, Gandhi telah melakukan satu kejayaan dengan memiliknegarakan empat belas bank perdagangan utama.[9]
            Objektif memiliknegarakan bank-bank yang lebih besar yang pertama ialah penyingkiran kawalan oleh sebilangan golongan, serta peruntukan kredit yang mencukupi untuk pertanian, industri kecil dan eksport.[10] Pengurusan Bank akan menjadi kerjaya dan akan ada kelas usahawan baru yang kepadanya kredit akan diperluaskan. Bank-bank akan kekal sebagai autonomi atau diuruskan sendiri tetapi pekerja mereka kini adalah merupakan kakitangan kerajaan. Gandhi berpendapat bahawa bank memainkan peranan penting dalam bagi membangunkan dasar ekonomi. Bagi individu yang mempunyai wang untuk dibelanjakan, bank-bank akan mengawasi simpanan mereka di mana pulangan yang baik boleh diperolehi jika mereka melakukan pengurusan yang bijak dan berkesan.
            Selepas berlakunya nasionalisasi ke atas bank, cawangan bank dalam sektor awam di India meningkat lebih kurang 800 peratus dalam deposit dan pendahuluan mengalami peningkatan yang besar dengan 11,000 peratus.[11] Nasionalisasi juga menghasilkan pertumbuhan bank yang ketara. Bilangan cawangan bank pula meningkat daripada 8,200 kepada lebih 62,000, kebanyakan yang telah dibuka dalam tidak memiliki akaun bank, kawasan luar bandar.[12]
            Dasar nasionalisasi bukan sahaja membantu meningkatkan tabungan isi rumah, tetapi ia juga menyediakan pelaburan besar dalam sektor tidak rasmi, dalam perusahaan kecil dan sederhana, serta dalam bidang pertanian, dan menyumbang kepada pembangunan wilayah dan pengembangan asas perindustrian dan pertanian India.           Pada tahun 1971, Gandhi telah melaksanakan dasar memiliknegarakan arang batu, besi, tembaga, penapisan, tekstil kapas, dan industri insurans.[13] Kebanyakan nasionalisasi ini telah dibuat untuk melindungi pekerjaan dan kepentingan yang dianjurkan buruh manakala industri sektor swasta telah diletakkan di bawah seliaan serta kawalan yang ketat.[14]
            Pada tahun 1971 iaitu semasa perang ke atas Pakistan, syarikat minyak swasta milik asing telah menolak untuk membekalkan bahan api kepada Tentera Laut India dan Tentera Udara India. Sebagai tindak balas, Gandhi telah memiliknegarakan syarikat minyak pada tahun 1973. Selepas nasionalisasi terhadap syarikat minyak utama seperti India Oil Corporation (IOC), Hindustan Petroleum Corporation (HPCL) dan Bharat Petroleum Corporation (BPCL) terpaksa menyimpan stok minimum minyak yang akan dibekalkan kepada tentera apabila diperlukan.[15] Tindakan beliau untuk memiliknegarakan syarikat swasta ternyata membantu dalam meningkatkan ekonomi negara.
            Selain itu, dasar nasionalisasi insurans juga diperkenalkan di Parlimen pada 20 September 1972.[16] Walaupun kini ia menjadi milik agensi kerajaan, namun kerajaan memberikan kebebasan kepada syarikat tersebut dalam melakukan setiap perkara. Indian Iron & Steel Company di Burnpur merupakan sebuah syarikat swasta dan aktiviti perdagangannya dikelolakan dengan baik. Namun, pada tahun 1972, syarikat tersebut mengalami kerugian yang teruk dan situasi ini memberikan kesan kepada pekerja tenaga mahir di syarikat tersebut.[17]
            Kerajaan India telah mengambil keputusan untuk memiliknegarakan syarikat tersebut dan tindakan yang diambil telah memberikan kelegaan kepada pekerja kerana kedudukan mereka akan lebih terjamin. Oleh itu, tindakan Gandhi untuk memiliknegarakan syarikat swasta bukanlah sia-sia kerana ia mampu menyelamatkan rakyat India daripada kehilangan pekerjaan serta mampu mengelakkan daripada berlakunya masalah pengangguran dalam kalangan rakyat India. Pada masa yang sama juga, dasar ini mampu menguntungkan pihak kerajaaan kerana ia telah menjadi milik kerajaan sepenuhnya.
            Dasar nasionalisasi yang dilakukan oleh Gandhi dilihat sebagi salah satu kejayaan kerana pelbagai syarikat swasta telah berjaya dimiliknegarakan sekali gus meletakkan India sebagai sebuah negara yang mampu bersaing dengan negara lain. Tindakan ini juga membolehkan India untuk tidak terus bergantung harap dengan pihak luar untuk memberikan bantuan kepada India. Melalui dasar nasionalisasi ini juga, ia dapat membantu kerajaan untuk menstabilkan dasar ekonomi.

3.0 ASPEK SOSIAL
Selain daripada aspek ekonomi, Indira Gandhi turut memberikan tumpuan kepada pembangunan sosial di India. Aspek sosial dilihat sebagai pendekatan pembangunan yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat India itu sendiri iaitu dengan memenuhi keperluan serta kelengkapan hidup mereka. Situasi India yang paling ketara pada ketika itu ialah mereka mengalami masalah kemiskinan dan kebajikan mereka tidak terpelihara. Oleh itu, usaha untuk membaiki aspek sosial dalam kalangan masyarakat amat ditekankan oleh Gandhi.

3.1 MEMBASMI KEMISKINAN
Indira Gandhi pernah menyuarakan menifestonya bahawa beliau ingin membasmi kemiskinan dengan memegang slogan ‘Garibi Hatao’ semasa pilihanraya diadakan. Akhirnya beliau telah memenangi kerusi majoriti di Lok Sabha iaitu kira-kira 90 peratus majoriti.[18] Selepas kemenangan tersebut, beliau cuba untuk merealisasikan menifestonya dengan melancarkan pelbagai program untuk membaiki taraf hidup rakyat India.
            Antara sumbangan utama Indira Gandhi dalam aspek sosial ialah dengan memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai sebarang tanah.[19] Antara satu daripada lima program untuk golongan miskin ialah dengan menguatkuasakan had tertinggi ke atas pemilikan tanah.[20] Di sesetangah kawasan perkampungan yang tidak membangun, tanah hanya dimiliki oleh golongan yang berkemampuan dan bilangannya adalah sangat sedikit manakala kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai tanah sendiri ataupun memiliki tanah yang berpetak kecil namun tidak mendatangkan sebarang keuntungan.
            Rancangan keempat bagi Rancangan Lima Tahun yang dikemukakan oleh Indira Gandhi ialah beliau telah menetapkan had bagi seseorang individu itu untuk memiliki tanah.[21] Tindakan ini dilakukan adalah untuk mengelakkan sesuatu pihak itu daripada menguasai tanah secara berlebihan dan secara tidak langsung menyekat individu-individu lain untuk turut sama memiliki tanah. Selepas berlakunya Perang 14 Hari, pengagihan tanah kepada golongan petani telah dilakukan dan sekali gus membantu golongan petani yang pada sebelum ini sering diabaikan untuk memiliki tanah. Melalui perancangan ini, eksploitasi serta ketidakadilan dalam sistem agraria cuba untuk dihapuskan.
            Bagi merealisasikan matlamat tersebut, sebanyak 653, 000 ekar telah diisytiharkan sebagai saiz maksimum ladang yang dibenarkan, 313, 000 ekar telah diambil alih oleh kerajaan negeri dan sebanyak 136, 000 ekar telah diagihkan kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah.[22] Selain itu, Melalui Suruhanjaya Perancangan, Gandhi telah melancarkan Perbadanan Perumahan untuk golongan berpendapatan rendah.[23] Suruhanjaya tersebut berperanan untuk menggalakkan dan membiayai negeri untuk membina kawasan perumahan bagi pekerja yang berpendapatan rendah.
            Melalui langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan, ternyata mereka memandang serius hal ini dan sama sekali tidak ingin mengabaikan golongan bawahan. Pengagihan yang sama rata juga diberikan kepada mereka dengan harapan tanah tersebut dapat digunakan dengan sebaik mungkin bagi membaiki taraf hidup mereka daripada miskin kepada yang lebih baik.  Tindakan kerajaan untuk menetapkan had ke atas pemilikan tanah juga dilihat sebagai satu langkah yang bijak bagi mengelakkan golongan atasan daripada terus mengeksploitasi tanah. Oleh itu, istilah golongan kaya terus kaya dan golongan miskin terus miskin juga dapat dielakkan.

3.2 PERANCANGAN KELUARGA
Dalam aspek kesejahteraan sosial pula, Gandhi telah menekankan dasar perancangan keluarga kerana beliau melihat ia adalah salah satu kaedah untuk membantu mensejahterakan rakyat. Beliau berpendapat bahawa populasi merupakan aset sesebuah negara.
            Gandhi cuba menekankan bahawa aspek perancangan keluarga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat.     Apabila Gandhi melihat kesanggupan rakyat India terlibat dalam pelaksanakan program pertanian serta program tersebut mendapat sambutan yang baik maka beliau juga menganggap bahawa program perancangan keluarga ini juga akan berjaya mendapat sambutan daripada masyarakat India. Menurut beliau:
            “...the very significance of calling our movement family planning and not             population control is to secure the welfare of our people. And since the family     is the most real enduring of human institutions we naturally have to achieve this welfare in terms of happiness of children, wives and husbands”[24]
            Berdasarkan kenyataan tersebut, Gandhi menjelaskan bahawa program tersebut bukanlah bertujuan bagi mengawal populasi masyarakat di India, sebaliknya ia adalah salah satu cara untuk menjaga kebajikan masyarakat. Jika dilihat dari satu sisi, populasi masyarakat yang banyak tetapi terabai dan tidak dijaga kebajikan mereka maka ia adalah satu perkara yang sia-sia serta mendatangkan kesan yang buruk ke atas masyarakat India.  Oleh itu, berlakunya masalah seperti kemiskinan dan kebuluran kerana ketua keluarga tidak mampu untuk menampung kos sara hidup ahli keluarganya. Sebaliknya sekiranya mereka melakukan perancangan keluarga, kehidupan mereka akan lebih teratur dan kebajikan mereka akan lebih terkawal.
             Oleh itu, beliau menggalakkan rakyat India untuk melakukan perancang keluarga dan pelbagai poster telah dihebahkan di setiap klinik untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Beliau turut menyampaikan slogan, “Family Planning For 100 Million Couple”.[25] Wanita juga diberikan perkhidmatan percuma dan pada masa yang sama insentif kewangan juga turut ditawarkan.[26] Selain itu, wanita turut didedahkan dengan perlu adanya perancangan keluarga dan didikan secara tidak langsung ini telah diberikan melalui para doktor dan pihak kerajaan sendiri. Klinik-klinik juga ditempatkan di kawasan yang mudah untuk dicapai. Program ini mendapat sambutan daripda rakyat India dan kadar kelahiran di India semakin menurun walaupun tidak begitu ketara.[27]

3.3 MENINGKATKAN TARAF PENDIDIKAN
Indira Gandhi turut menitikberatkan aspek pendidikan dan kesejahteraan untuk rakyat India. Pada tahun 1947 hingga 1950, seramai 23 million sahaja kanak-kanak yang pergi ke sekolah, namun ia terus meningkat kepada 83 million menjelang tempoh pemerintahan beliau.[28] Hal ini jelas menggambarkan bahawa beliau amat mengambil berat aspek pendidikan kerana untuk membangunkan sesebuah negara itu, beliau haruslah membangunkan rakyat di negara itu terlebih dahulu.
            Aspek pendidikan dilihat sebagai suatu yang amat penting kerana dengan adanya ilmu, mereka mampu menyumbangkan tenaga dalam pelbagai jenis sektor pekerjaan dan sekali gus membantu dalam meningkatkan ekonomi negara. Seperti yang diketahui, India mempunyai populasi rakyat yang ramai namun jika hanya bergantung kepada populasi yang ramai tetapi rakyat itu sendiri tidak menyumbang apa-apa kepada negara maka ia adalah satu kerugian yang besar. Sebaliknya, situasi ini hanya akan menyumbang kepada masalah pengangguran dan pada masa yang sama wujudnya masyarakat yang miskin dan buta huruf. Oleh itu, dengan adanya pendidikan maka kehidupan rakyat akan lebih terjamin kerana wujudnya kebolehpasaran dalam kalangan masyarakat.
            Oleh itu, apabila Gandhi mula menitikberatkan isu kepentingan pendidikan kepada masyarakat, maka masyarakat khusunya ibu bapa mula cakna akan isu ini. Ibu bapa mula bersifat lebih terbuka untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan harapan anak mereka akan menjadi orang yang berilmu sekali gus dapat membantu mereka meningkatkan taraf hidup mereka kepada yang lebih baik. Program ini ternyata telah membuahkan hasil apabila berlakunya peningkatan jumlah kanak-kanak yang pergi sekolah pada ketika itu.

3.4 DASAR BAHASA
            Dalam aspek sosial ini juga, Gandhi telah melakukan pembaharuan berkaitan dengan penggunaan bahasa di India. Sebelum ini, penggunaan bahasa di India banyak dipengaruhi oleh bahasa asing khususnya bahasa Inggeris. Pada ketika itu, penggunaan bahasa Inggeris adalah lebih dominan di India. Namun begitu, Gandhi cuba untuk melakukan pembaharuan bagi memartabatkan bahasa Hindi.
            Di bawah Perlembagaan India 1950, bahasa Hindi telah menjadi bahasa rasmi negara menjelang tahun 1965.[29] Namun, perubahan yang berlaku ini tidak dapat diterima oleh semua pihak terutamanya golongan bukan Hindi dan mereka mahu kerajaan untuk terus menggunakan bahasa Inggeris dalam setiap urusan kerajaan. Apabila menyedari bahawa wujudnya tentangan daripada golongan bukan Hindi ini, Gandhi cuba mencari solusi bagi mengelakkan tentangan daripada golongan bukan Hindi dan pada masa yang sama ingin memastikan bahasa Hindi dapat dimartabatkan.
            Pada tahun 1967, Gandhi telah membuat satu pindaan perlembagaan yang telah meperuntukkan bahawa penggunaan kedua-dua bahasa Hindi dan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.[30] Tindakan Gandhi ini akhirnya dipersetujui oleh semua pihak.
            Tindakan kerajaan untuk menggunakan kedua-dua bahasa tersebut akhirnya telah memuaskan hati kedua-dua pihak terutamanya golongan yang tidak menyokong penggunaan bahasa Hindi sepenuhnya di India. Tindakan Gandhi ini juga adalah salah satu usaha beliau agar bahasa Hindi dapat berdiri gah setanding dengan negara yang lain dan ia juga adalah salah satu tindakan yang memperlihatkan bahawa beliau tidak ingin India hilang akan identitinya yang tersendiri.

4.0 ASPEK POLITIK
Dalam aspek politik, Gandhi telah menjalankan beberapa dasar atau program bagi tujuan mengukuhkan sistem politik di India. Selain itu, Gandhi bukan sahaja menjalankan dasar politik di dalam negara tetapi juga dengan negara-negara lain. Dasar politik ini juga dijalinkan bagi mengukuhkan hubungan serantau antara India dan negara terbabit bagi memenuhi keperluan-keperluan tertentu.

4.1 PENTADBIRAN
Pada tahun 1966, Gandhi telah menerima permintaan daripada Akali Dal iaitu parti politik Sikh di India untuk menyusun semula Punjab mengikut baris linguistik. Hindi yang berbahasa separuh daripada selatan Punjab telah menjadi negeri yang berasingan daripada Haryana, manakala bahasa Pahari yang digunakan di kawasan berbukit di timur utara telah menyertai Himachal Pradesh.[31] Melalui tindakan tersebut, beliau amat berharap agar beliau dapat menghindari konflik politik yang semakin meningkat antara Hindu dan kumpulan Sikh di rantau ini.
            Walau bagaimanapun, isu kontroversi yang dianggap tidak dapat diselesaikan oleh Akali adalah berkenaan dengan status Chandigarh iaitu sebuah bandar yang makmur di sempadan Punjab-Haryana. Namun begitu, Gandhi telah mengisytiharkan wilayah tersebut sebagai sebuah wilayah kesatuan yang dikongsi bersama oleh kedua-dua negeri.[32]
            Pada tahun 1971, kemenangan ke atas Pakistan telah menjadikan India berkuasa ke atas Kashmir dan Gandhi telah menunjukkan bahawa beliau tidak akan membuat konsesi utama di Kashmir. Perkara yang paling ketara semasa pemisahan Kashmir ialah Sheikh Abdullah terpaksa mengiktiraf kawalan India di Kashmir berdasarkan perintah baru di Asia Selatan. Keadaan ini telah kembali biasa pada tahun-tahun selepas perang iaitu selepas Abdullah bersetuju  melakukan perjanjian dengan Gandhi. Berdasarkan perjanjian itu, beliau bersetuju untuk memberhentikan permintaan pungutan suara dalam untuk mendapatkan status autonomi khas ke atas Kashmir. Pada tahun 1975, Gandhi telah mengisytiharkan negeri Jammu dan Kashmir sebagai unit konstituen India.[33]
            Pada tahun 1972, Gandhi memberikan kenegaraan kepada Meghalaya, Manipur dan Tripura, manakala Frontier Agensi Utara-Timur telah diisytiharkan sebagai wilayah kesatuan dan dinamakan semula sebagai Arunachal Pradesh.[34] Peralihan kepada kenegaraan untuk wilayah ini telah berjaya diselia semasa pentadbiran beliau kemudian diikuti oleh pengilhakan Sikkim pada tahun 1975.[35] Melalui penubuhkan enam buah negeri iaitu Haryana (1966), Himachal Pradesh (1971), Meghalaya, Manipur dan Tripura (1972), dan akhirnya Sikkim (1975) lalu menjadikan jumlah negeri kepada 22 buah.[36] Beliau juga telah menubuhkan Arunachal Pradesh dan Mizoram (1972) sebagai Kesatuan Wilayah.[37]
            Tindakan Gandhi ini dilihat sebagai salah satu kejayaan yang besar kerana beliau mampu meluaskan wilayah pentadbiran dengan menubukan enam buah negeri. Pada masa yang sama, tindakan Gandhi juga dapat mengelakkan konflik politik yang semakin tegang di antara Hindu dan kumpulan Sikh di rantau tersebut.
4.2 PROGRAM NUKLEAR
Antara sumbangan lain Gandhi ialah beliau turut menjalankan serta meneruskan program nuklear yang pada sebelum ini telah dibangunkan oleh bekas Perdana Menteri India iaitu Jawaharlal Nehru. Gandhi telah membangunkan senjata nuklear pada tahun 1967, sebagai tindak balas kepada Test No. 6 oleh Republik Rakyat China. Gandhi melihat ujian ini sebagai ugutan nuklear Cina.[38] Oleh itu, Gandhi telah menggunakan pandangan Nehru bahawa program nuklear tersebut adalah untuk mewujudkan kestabilan dan keselamatan demi kepentingan India sebagai bebas daripada negara kuasa besar nuklear.
            Program ini terlaksana sepenuhnya pada tahun 1974, apabila Dr Raja Ramanna melaporkan kepada Gandhi bahawa India mempunyai keupayaan untuk menguji senjata nuklearnya yang pertama. Gandhi telah memberikan kebenaran secara lisan daripada ujian ini, dan persiapan telah dibuat di pangkalan tentera lama iaitu Indian Army Pokhran Test Range. Pada tahun 1974, India telah berhasil menjalankan ujian nuklear bawah tanah dan secara tidak rasmi kod tersebut dinamakan sebagai “Smiling Buddha" iaitu terletak berhampiran kampung padang pasir Pokaran di Rajasthan.
            Semasa menjalankan program tersebut, telah timbul beberapa masalah daripada sesetengah pihak misalnya Pakistan yang menentang keras perlaksanaan program nuklear tersebut. Kemarahan telah tercetus di Pakistan dan Perdana Menteri Pakistan iaitu Zulfi Ali Bhutto telah menyifatkan ujian ini sebagai "hegemoni India" untuk menakut-nakutkan Pakistan. Oleh itu, bagi mendamaikan keadaan, Gandhi telah menulis surat kepada Bhutto bagi menjelaskan isu tersebut. Gandhi menerangkan bahawa ujian tersebut bertujuan menjaga keamanan dan salah satu komitmen India untuk membangunkan programnya bagi tujuan industri dan kegunaan saintifik.
            Tindakan Gandhi ini sedikit sebanyak telah meredakan ketegangan yang berlaku. Tindakan Gandhi untuk memajukan program nuklear juga dilihat sebagai salah satu tindakan yang bijak bagi menjamin keselamatan India. Melalui program nuklear juga, India dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negaranya khususnya dalam bidang pertanian.

4.3 HUBUNGAN INDIA – AFRIKA
Selepas Gandhi menjadi Perdana Menteri, hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara yang telah berpihak dengan India dalam Perang China-India telah berkembang.[39] Gandhi telah memulakan rundingan dengan kerajaan Kenya untuk menubuhkan Kerjasama Pembangunan Afrika-India. Kerajaan India juga mula mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa orang India menetap di Afrika dalam rangka matlamat dasarnya untuk membantu memulihkan pengaruhnya. Gandhi telah mengisytiharkan bahawa rakyat yang berasal dari India yang menetap di Afrika sebagai Ambassors India.[40]
            Kejayaan dasar luar dan dalam negeri pada tahun 1970-an yang digerakkan secara aktif oleh Gandhi telah berjaya membina semula imej India di mata negara-negara Afrika. Kemenangan ke atas Pakistan dan India yang memiliki senjata nuklear juga telah menunjukkan tahap kemajuan yang dimiliki oleh India. Tambahan pula, tamatnya perjanjian Indo -Soviet pada tahun 1971 dan ancaman kuasa besar Barat iaitu Amerika Syarikat untuk menghantar tenteranya ke Teluk Bengal semasa kemuncak krisis Pakistan Timur telah membolehkan India untuk mendapatkan semula imej anti-imperialis.[41]
            Gandhi secara terbuka dan dengan penuh semangat amat menyokong perjuangan-perjuangan kemerdekaan di Afrika.[42] Pada masa yang sama, pengaruh China di Afrika telah menurun kerana berlakunya pergolakan dengan Kesatuan Soviet.[43] Tindakan yang dilakukan oleh Gandhi adalah salah satu cara untuk memulihkan serta mewujudkan jalinan persahabatan yang baik antara India dan Afrika. Sekiranya hubungan ini terus dipelihara, sudah pasti ia akan membawa keuntungan kepada kedua-dua belah pihak baik dari segi politik mahupun ekonomi.


4.4 MENJALINKAN HUBUNGAN  INDIA – PAKISTAN
Selepas berlakunya Perang 14 Hari, agenda utama yang ditekankan di dalam dasar luar ialah perbincangan dengan Presiden Bhutto iaitu Presiden Pakistan dan ia adalah salah satu pencapaian yang tidak mampu dicapai oleh mana-mana Perdana Menteri India sebelum ini.[44] Tujuannya adalah untuk menjalinkan hubungan baik antara India dan Pakistan yang pada sebelum ini dilanda pergolakan.
            Langkah pertama yang dilakukan oleh Gandhi adalah dengan mengadakan dialog dengan Pakistan pada bulan Jun 1972 bersama dengan Presiden Bhutto di Simla. Bagi membuktikan bahawa India tidak berminat ke atas perebutan wilayah, Gandhi telah bercadang untuk memulangkan 5, 600 batu persegi wilayah Pakistan yang telah diambil oleh tentera India di Pakistan Barat.[45] Tindakan ini merupakan tanda muhibah yang bukan sahaja dilihat oleh Presiden Pakistan tetapi juga negara lain di dunia.
            Pakatan Simla yang ditandatangani oleh Presiden Pakistan dan Perdana Menteri India dilihat sebagai permulaan era baru ke arah jalinan hubungan di antara kedua buah negara itu. Ghandi di dalam ucapannya menjelaskan bahawa mereka seharusnya memulakan satu hubungan yang baru dengan melupakan masa lalu dan terus bergerak ke hadapan.[46] Kedua-dua kerajaan tersebut telah mengambil langkah-langkah dalam kuasa mereka untuk menghalang propaganda permusuhan yang ditujukan antara satu sama lain. Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk  menggalakkan penyebaran maklumat yang akan menggalakkan pembangunan hubungan persahabatan antara mereka.
           


5.0 KESIMPULAN
Tuntasnya, pembangunan India dalam aspek politik, sosial dan ekonomi amat terserlah semasa era kepimpinan Indira Gandhi. Tiada siapa yang menyangka bahawa tangan yang menghayun buayan mampu menggoncang dunia. Kehebatan beliau terserlah apabila beliau berjaya membangunkan India kepada yang lebih baik daripada era sebelum pemerintahan beliau.
            Pada hari sebelum kematiannya iaitu 30 Oktober 1984, beliau telah membuat lawatan ke Orissa dan telah memberikan ucapan terakhir iaitu:
            “I am alive today, I may not be there tomorrow...I shall continue to serve until     my last breath and when I die, I can say, that every drop of my blood will       invigorate India and strengthen it.”[47]
            Perjuangan Indira Gandhi bukanlah perjuangan yang sia-sia dan ternyata ia membuahkan hasil. Setiap program atau dasar yang dijalankan oleh beliau adalah salah satu cara untuk memastikan bahawa rakyat India sentiasa terjaga dan mendapat apa yang terbaik untuk mereka. Pembunuhan yang berlaku ke atas beliau pada tahun 1984 adalah sesuatu yang mengejutkan dan boleh dikatakan bahawa India mengalami suatu kehilangan yang besar. Namun begitu, kematian beliau bukanlah satu pengakhiran untuk India tetapi ia adalah satu permulaan bagi India untuk terus melangkah ke hadapan.
            Bagi mengenang jasa dan pengorbanan beliau, bebarapa bangunan telah dinamakan atas nama beliau, misalnya kerajaan pusat kos rendah program perumahan untuk golongan miskin luar bandar telah dinamakan sebagai Indira Awaas Yojana sempena namanya. Lapangan Terbang di New Delhi dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi. Indira Gandhi Universiti Terbuka Kebangsaan, universiti yang terbesar di dunia, juga dinamakan sempena namanya. Kongres Kebangsaan India juga turut mewujudkan satu anugerah tahunan iaitu Anugerah Indira Gandhi untuk Integrasi Nasional pada tahun 1985 dan diberikan pada ulang tahun kematiannya.[48]



6.0 RUJUKAN
Anjali Ghosh. 2009. India's Foreign Policy. New Jersey: Pearson Education.
Blema Steinberg. 2008. Women in Power: The Personalities and Leadership Styles of             Indira Gandhi, Golda Meir, and Margaret Thatcher. Montreal: McGill-   Queen's Press.
D. Muraleedharan. 2009. Modern Banking: Theory and Practice. New Delhi: PHI             Learning Pvt. Ltd. 
Ela Sen. 1973. Indira Gandhi: A Biography. London: Peter Owen Limited.
Emma Mawdsley & Gerard McCann. 2011. India in Africa: Changing Geographies of             Power. United Kingdom: Fahamu Books & Pambazuka Press Publication
H. Y. Sharda Prasad & K. Natwar-Sigh. 1975. India: The Speeches and     Reminiscences of Indira Gandhi Prime Minister of India. Calcutta: D. Mehra,           Rupa & Co.
Henry C. Hart, Indira Ghandi’s India: A Political System Reappraised, 1976,       Colorado : Westview Press.
J. Barkley Rosser & Marina V. Rosser, Comparative Economics in Transforming the             World Economy, 2004, Massachusetts: MIT Press
Jayanta Kumar Ray. 2007. Aspects of India's International Relations, 1700 to 2000:             South Asia and the World. India: Pearson Education.
Kenneth Pletcher. 2010. The History of India. New York: The Rosen Publishing   Group.
Nayantara Sahgal. 1978. Indira Gandhi: Her Road To Power. London: Macdonald &       Co.
Pranay Gupte. 2012. Mother India: A Political Biography of Indira Gandhi. London:             Penguin Books.
Ved P. Luthra. 2005. Poverty And Economic Reforms. New Delhi: Sarup & Sons.
Yogendra Kumar Malik. 1988. India: The Years of Indira Gandhi. Boston: Brill             Publishers.



[1] Ela Sen. Indira Gandhi: A Biography. 1973. London: Peter Owen Limited. Hlm. 18.
[2] Ibid.
[3] Ela Sen. Indira Gandhi: A Biography. 1973. London: Peter Owen Limited. Hlm. 150.
[4] Elsa Sen, Indira Gandhi: A Biography, 1973, London: Peter Owen, hlm. 152.
[5] Ibid.
[6] Ibid., hlm 153.
[7] Ibid.
[8] Ibid., hlm. 109.
[9] Ibid., hlm. 152.
[10] Elsa Sen, Indira Gandhi: A Biography, 1973, London: Peter Owen, hlm. 109.
[11] D. Muraleedharan, Modern Banking: Theory and Practice, 2009, New Delhi: PHI Learning Pvt. Ltd., hlm. 4.
[12] Ibid.
[13] J. Barkley Rosser & Marina V. Rosser, Comparative Economics in Transforming the World Economy, 2004, Massachusetts: MIT Press, hlm., 468–470.
[14] Ibid.
[15] Ved P. Luthra, Poverty And Economic Reforms, 2005, New Delhi: Sarup & Sons, hlm. 293.
[16] Elsa Sen, Indira Gandhi: A Biography, 1973, London: Peter Owen, hlm. 155.
[17] Ibid.
[18] Elsa Sen, Indira Gandhi: A Biography, 1973, London: Peter Owen, hlm. 121.
[19]Ibid., hlm. 151.
[20] Henry C. Hart, Indira Ghandi’s India: A Political System Reappraised, 1976, Colorado : Westview Press, hlm. 25
[21] Nayantara Sahgal, Indira Gandhi: Her Road To Power, 1978, London: Macdonald & Co., hlm 191.
[22] Ibid.
[23] Ela Sen. Indira Gandhi: A Biography. 1973. London: Peter Owen Limited. Hlm. 160
[24] H. Y. Sharda Prasad & K. Natwar-Sigh, India: The Speeches and Reminiscences of Indira Gandhi Prime Minister of India, 1975, Calcutta: D. Mehra, Rupa & Co., hlm. 78
[25] Ibid., hlm 7.
[26] Elsa Sen, Indira Gandhi: A Biography, 1973, London: Peter Owen, hlm. 161.
[27] Ibid.
[28] Ibid.
[29] Ibid,hlm. 163.
[30] Blema Steinberg, Women in Power: The Personalities and Leadership Styles of Indira Gandhi, Golda Meir, and Margaret Thatcher, 2008, Montreal: McGill-Queen's Press, hlm., 79–95.
[31] Kenneth Pletcher, The History of India, 2010, New York: The Rosen Publishing Group, hlm., 315.
[32] Ibid.
[33] Jayanta Kumar Ray, Aspects of India's International Relations, 1700 to 2000: South Asia and the World, 2007, India: Pearson Education, hlm., 493.
[34] Pranay Gupte,  Mother India: A Political Biography of Indira Gandhi, 2012, London: Penguin Books, hlm. 302.
[35] Yogendra Kumar Malik, India: The Years of Indira Gandhi, 1988, Boston: Brill Publishers, hlm., 120-121.
[36] Ibid.
[37] Ibid.
[38] Ibid.
[39] Anjali Ghosh,  India's Foreign Policy, 2009, New Jersey: Pearson Education, hlm., 422–424.
[40] Ibid.
[41] Ibid.
[42] Emma Mawdsley & Gerard McCann, India in Africa: Changing Geographies of Power, 2011, United Kingdom: Fahamu Books & Pambazuka Press Publication, hlm., 51–52.
[43] Ibid.
[44] Elsa Sen, Indira Gandhi: A Biography, 1973, London: Peter Owen, hlm. 163.
[45] Ibid.
[46] Ibid.
[47] Pranay Gupte,  Mother India: A Political Biography of Indira Gandhi, 2012, London: Penguin Books, hlm. 302.
[48] Ibid.

No comments: