Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Saturday, March 5, 2016

STRUKTUR DAN CIRI KENEGARAAN MELAYU BERDASARKAN TEKS-TEKS TRADISIONAL



 1.0 PENGENALAN

Sebagai satu bangsa, orang Melayu dilihat mempunyai memori kolektif yang kental yang terbina melalui sejarahnya di rantau ini. Memori kolektif ini telah mendorong mereka untuk memandang kebelakang, mengingati keagungan silam dan berasa nostalgik dengan mengingati sejarah lampau. Teks-teks tradisional Melayu merupakan karya yang banyak menggambarkan tentang keagungan sejarah zaman lampau serta merupakan gambaran kepada masyarakat yang hidup pada ketika itu. Hikayat-hikayat besar seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Misa Melayu merupakan karya yang terbina dalam sejarahnya. Karya-karya ini bukan sahaja untuk ditelaah pada konteks zaman penghasilannya, tetapi juga untuk masyarakat kini kerana karya tersebutlah yang mampu menghubungkan masyarakat pada zaman kini dan pada zaman lampau.

            Teks-teks hikayat lama sering menggambarkan peristiwa tentang seseorang raja, orang besar atau anak raja yang membuka negeri di sesuatu kawasan yang dianggap unik, istimewa dan mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian bagi pembukaan sesebuah negeri. Frasa ‘membuat negeri’ atau ‘membuka negeri’ pada asasnya mempunyai maksud yang khusus, iaitu membuka penempatan baru.[1] Frasa tersebut juga membawa maksud menjadikannya sebagai ibu bagi sebuah negeri yang hendak dibuka dan merupakan permulaan bagi pembentukan sesebuah kerajaan. Oleh itu, teks-teks tradisional Melayu telah mengungkap struktur dan ciri-ciri kenegaraan Melayu.


2.0 KONSEP NEGERI

Penggunaan istilah “negeri” telah lama digunakan sejak 500 tahun yang dahulu. Definisi negeri dalam kamus Barat membawa maksud yang sangat meluas. Pada awal kurun ke-19, William Marsden mendefinisikan negeri sebagai city, town, a country dan district. Pada tahun 1916 pula, Klinkert memberi nilai tambah  kepada capital, region dan state.[2] Wilkinson menyatakan bahawa istilah negeri berasal daripada bahasa Sanskrit. Kamus Dewan Bahasa pula mencatatkan negeri sebagai daerah tempat tinggal atau sesebuah kawasan yang diperintah oleh seorang sultan atau gabenor. Namun begitu, istilah negeri bukanlah perkataan pertama yang digunakan. Hal ini demikian kerana, istilah “nagara” telah dijumpai di kawasan Dunia Melayu dan telah digunakan sebelum penggunaan negeri.

            Istilah Sanskrit iaitu ‘nagara’ pula merupakan istilah yang telah digunakan di India yang merujuk kepada ‘city’. Istilah nagara juga pernah digunakan oleh Prapanca dalam bukunya iaitu Nagarakatagama.[3] Konsep yang dianjurkan dalam  penulisan buku beliau ialah Nusantara atau lebih dikenali sebagai Tanah Melayu. Oleh itu, berdasarkan bahasa Melayu lama, “negara” dan “negeri” mempunyai makna yang hampir sama. Bagi masyarakat Melayu tradisional, setiap kawasan dianggap sebagai negeri. Sebagai contoh, negeri Larut. Namun, selepas penjajahan, setiap kerajaan adalah merujuk kepada negeri. Pada zaman tersebut, konsep kerajaan telah tidak lagi digunakan dan telah ditukar kepada konsep negeri. Melalui  perjanjian dengan pihak asing, keseluruhan sesebuah kerajaan bersama-sama dengan takluknya telah disatukan di bawah konsep negeri.

3.0 STRUKTUR DAN CIRI KENEGARAAN MELAYU

3.1 SISTEM PEMERINTAHAN

Salah satu ciri kenegeraan Melayu ialah mempunyai sistem pemerintahan. Gelaran ‘raja’ telah dijumpai di dalam prasasti-prasasti di kawasan Kutei iaitu di Kalimantan Timur yang bertarikh awal kurun ke-5 Masihi dan dalam batu bersurat di Jawa Barat yang bertarikh pertengahan kurun yang sama.[4] Berdasarkan citra tempatan, negeri tidak semestinya diperintah oleh seorang raja. Sebagai contoh di dalam Hikayat Hang Tuah, semasa Sang Sapurba di Palembang, orang besar-besar dan orang kaya-kaya Singapura dan negeri di Bentan tidak mempunyai raja dan orang-orang negeri telah pergi ke Bukit Siguntang untuk memohon seorang raja.[5]

            Sejarah Melayu turut menceritakan tentang sistem beraja. Di dalam Sejarah Melayu ada menyatakan bahawa negeri semestinya diperintah oleh seorang raja. Apabila orang Sultan Mahmud Shah dikalahkan oleh Portugis di Pulau Bentan, Seri Nara Diraja telah menjelaskan kepada Sultan Mahmud bahawa mereka ingin terus berjuang sehingga mati. Menurutnya:

“Salah titah tuanku itu, karna ada raja dinegeri sakalian; jika ada hayat Yang-di-pertuan, sapuloh negeri boleh diadakan.”[6]

Hal ini menjelaskan bahawa pada ketika itu ada golongan pembesar yang telah menuhpahkan taat yang setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Selain itu, berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat juga negeri yang mempunyai lebih daripada seorang raja. Berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa, di negeri Kedah, terdapat dua orang raja yang memerintah pada waktu yang sama iaitu Sultan Muazzam Shah dan Sultan Mahmud Shah. Namun begitu, keadaan ini dinggap luar biasa dan juga menimbulkan permasalahan. Menurut hikayat tersebut:

“...menjadi huru-hara hokum negeri itu. Demikianlah di dalam kitab, tuaku.  Jika dua rajanya, zalim sangat negeri itu.”[7]

            Sesebuah kerajaan muncul berikutan wujudnya seorang raja. Dalam masyarakat Melayu, raja adalah pemimpin kerajaan dan dianggap mempunyai keturunan dari dewa atau tuhan yang dikenali sebagai Devaraja. Pengaruh Hindu sangat kuat dalam sistem politik yang mampu mempengaruhi sistem kepercayaan masyarakat tempatan. Devaraja adalah kepercayaan di mana raja yang memerintah dianggap luhur dan suci. Namun, kedatangan Islam telah mengubah dan menguatkan lagi kedudukan raja.[8] Setelah raja memeluk Islam, gelaran raja telah bertukar menjadi Sultan dan Syah. Masyarakat Melayu menganggap raja-raja atau sultan-sultan sebagai zillu’Llah fil’alam yang bermaksud sultan yang memerintah sebagai bayangan Tuhan di muka bumi ini. Sultan yang menjadi penaung masyarakat dianggap sebagai wali Allah di dunia ini. Kebesaran dan keagungan raja-raja jelas digambarkan di dalam teks Sejarah Melayu, apabila Raja Suran menjejakkan kaki di Bukit Siguntang dan tanaman padi huma Wan Empuk dan Wan Malini terus bertukar. Contohnya:

“... serta padi habis berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan  suasa, dan tanah negara bukit ini menjadi warna seperti keemas-emasan. Jikalau embuk tiada percaya, pandanglah kami, anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain; pancar Sulaiman alaihi s-alam.”[9]

            Dalam sistem politik raja Melayu, raja ialah seorang pemerintah yang menduduki lapisan yang tertinggi dalam sistem feudal masyarakat. Perlantikan raja atau sultan biasanya mengikut sistem warisan yang mengutamakan kaum lelaki. Kaum wanita tidak boleh dijadikan seorang raja. Seseorang raja dikatakan mempunyai kuasa sakti dan unsur-unsur keramat dalam diri. Kedudukan raja diperkukuhkan lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka. Sudah menjadi kepercayaan masyarakat pada zaman dahulu bahawa mereka tidak boleh melanggar titah atau kata-kata raja. Jikalau ada di antara mereka menderhaka ke atas raja, mereka akan menderita pembalasan dari kuasa ghaib dari kemurkaan raja atau sultan tersebut.[10]

            Selain itu, konsep daulat juga adalah pengikat antara golongan rakyat dengan pemerintah. Daulat merupakan sesuatu yang dipercayai kebenarannya. Setiap kata-kata atau arahan raja wajib dipatuhi oleh rakyat jelata dan kebiasaannya rakyat akan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan kerana mereka tidak mahu menerima balasan dari konsep daulat tersebut. Mereka akan terkena musibah atau bala sekiranya ada rakyat yang menderhaka yang lebih dikenali sebagai “tulah” ataupun penyakit gatal-gatal sehingga ke anak cucu di bawah konsep daulat dan derhaka. Hal ini menunjukkan bahawa konsep daulat sekaligus telah mengangkat kedudukan seseorang raja atau sultan ke sebuah tahap yang begitu tinggi dan menimbulkan penghormatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah mereka Konsep daulat dan derhaka ini boleh dilihat apabila termeterainya waad iaitu perjanjian antara golongan pemerintah dan yang dieprintah.

            Jika dibandingkan dengan masa kini, sistem kenegaraan moden pada hari ini contohnya Malaysia telah mengamalkan sistem perwakilan demokrasi bagi memastikan perjalan kuasa serta pemerintahan. Namun, sistem kenegaraan tradisional telah mengguna sistem askripsi atau pewarisan. Berdasarkan sistem perwakilan negara moden, pemerintah mendapat pengabsahan adalah melalui pemilihan umum dan lain-lain manakala dalam sistem kenegaraan tradisional, pengabsahan adalah melalui cara tradisi seperti mitos tentang genealogi, karisma, kepercayaan budaya seperti daulat dan tulah.[11] Dalam Sejarah Melayu, asal usul raja Melayu dan sistem kenegaraan beraja Melayu sememangnya menggunakan pelbagai bentuk pengabsahan.

            Berdasarkan Sejarah Melayu, waad di antara golongan pemerintah iaitu Sang Sapurba (Sri Tri Buana) dan golongan yang diperintah iaitu Demang Lebar Daun telah dimaterai di Bukit Siguntang Maha Meru. Waad ini merupakan lambang raja dan persetiaan bagi memungkinkan kewujudan institusi raja dan sistem perwarisan, ketaatan dan penderhakaan, institusi pembesar dan institusi rakyat dalam kenegeraan Melayu. Melalui persetiaan ini, maka wujudnya gelaran ‘Yang Dipertuan’ bagi raja, manakala ‘patik’ bagi golongan pembesar dan rakyat jelata apabila berkomunikasi. Berdasarkan Sejarah Melayu, waad boleh diklasifikasikan sebagai satu kontrak sosial yang memberikan kuasa kepada Sang Sapurba untuk memerintah manakala Demang Lebar Daun yang mewakili golongan yang diperintah bersutuju untuk menumpahkan taat setianya kepada Sang Sapurba. Namun begitu, kesetiaan tersebut adalah bersyarat dan ada batasnya dan bukanlah bersifat mutlak. Hal ini dapat dilihat melalui petikan teks Sejarah Melayu iaitu:

“Maka sembah Demang Lebar Daun, “...Seperkara lagi perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia difadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patu pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuaku aibi”. Maka titah Sri Tri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Sri Tri Buana, “Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur   hingga takluk negerinya juga.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku. Maka titah Sri Tri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu.” Maka baginda pun bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun.”[12]

            Raja merupakan ketua kerajaan dan berkuasa mutlak untuk mentadbir kerajaan dan raja dibantu oleh para pembesar. Raja juga akan mengetuai aktiviti ketenteraan dan berkuasa dalam hubungan diplomatik antara kerajaan lain di mana raja akan menentukan sama ada mahu menjalinkan hubungan atau tidak dengan sesuatu kerajaan lain melalui perantaraan pembesar. Di dalam Sejarah Melayu, Melaka telah menjalinkan hubungan diplomatik dan bersahabat baik dengan negara Siam yang pada awalnya adalah bermusuhan. Kebijaksanaan dalam peperangan bukanlah sekadar dengan melihat kekuatan ketenteraan dan pertahanan, tetapi juga dilihat berdasarkan sejauhmana kebijaksanaan dalam mengatur strategi. Kebijaksaan Melaka yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Mansor Syah telah berjaya mematahkan serangan Siam ke atas Melaka dengan hanya menggunakan tipu muslihat. Pelbagai muslihat telah dilakukan oleh Siam ke atas Melaka namun berjaya digagalkan oleh Melaka tanpa melibatkan pertumpahan darah.

             Kebijaksanaan raja Melaka turut diakui Betara Majapahit. Apabila melihat kehebatan raja Melaka, Betara Majapahit telah menjadikannya sebagai menantu dengan mengahwinkannya dengan Raden Galoh Cendera Kirana. Bukan itu sahaja, Majapahit juga telah memberikan Inderagiri dan Siantan kepada Melaka. Hubungan diplomatik antara Melaka dan China juga telah terjalin dan China mengakui Melaka sebagai kerajaan besar dan setaraf dengannya. Hubungan diplomatik ini telah dikukuhkan lagi dengan perkawinan antara raja Melaka dengan puteri China iaitu Puteri Hang Li po.[13] Hal ini jelas memperlihatkan bahawa raja memainkan peranan yang penting untuk memastikan wujudnya hubungan diplomatik dengan kerajaan lain agar kerajaannya mampu berdiri sama hebat dengan negara besar yang lain. Hubungan diplomatik ini pula akan menguntungkan kedua-dua pihak yang terlibat kerana wujudnya kerjasama dalam pelbagai aspek.

            Segala ekonomi adalah dikuasai oleh raja seperti aktiviti perdagangan, cukai kepala, hasil hutan, dan lain-lain. Segala kegiatan akan diuruskan pembesar yang dilantik untuk  mengaut keuntungan dari hasil-hasil yang ada. Selain itu, raja juga memainkan peranan yang penting bagi menjaga kemakmuran dan keamanan di negerinya. Apabila negerinya makmur, kemakmuran tersebut akan membawa kepada perkembangan ekonomi dan hubungan yang baik dengan negeri-negeri lain. Semenjak pemerintahan Sultan Muhammad Syah di Melaka, Melaka merupakan sebuah negara yang besar, kuat makmur dan masyhur sehingga dilabelkan sebagai “tempat perhimpunan segala dagang.” Berdasarkan teks Sejarah Melayu:

            “Sultan Muhammad Syah itu selama itu selama di atas kerajaan terlalu adil baginda memeliharakan segala manusia. Maka negara Melaka pun besarlah, dan jajahan Melaka pun banyak, yang arah ke barat hingga Beruas Ujung Karang, arah ke timur had Terengganu. Maka masyhurlah pada segala negeri dari bawah angin datang ke atas angin bahawa Melaka terlalu besarlagi dengan makmurnya dan rajanya dari bangsa Raja Iskandar Zulkarnain ... Maka segala dagang atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka; terlalu ramai bandar Melaka pada zaman itu. Maka oleh segala   orang Arab dinamainya Malakat, ertinya perhimpunan segala dagang, kerana  banyak jenis dagangan yang berada di sana. Dan segala orang besar-besar pun sangat saksama.”[14]

Petikan tersebut jelas membuktikan bahawa raja memainka peranan yang penting dalam memastikan aspek ekonomi dan sosial terus terpelihara kerana dua aspek tersebut adalah aspek yang penting dalam menjamin pembentukan sebuah negeri. Kebesaran Melaka ini diteruskan lagi semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansor Syah dan Sultan Alauddin Riayat Syah.

            Golongan seterusnya ialah pembesar. Mereka juga dikenali sebagai ‘anak baik-baik’ dan kebiasaannya berasal daripada golongan orang-orang kaya. Peranan umum pembesar adalah menjadi orang perantaraan antara raja dan rakyat. Segala perintah atau arahan dari raja akan disampaikan kepada rakyat. Begitu juga dengan aduan dari rakyat jelata akan disampaikan melalui pembesar kepada raja. Pembesar merupakan tulang belakang raja yang banyak melakukan urusan-urusan pentadbiran atas arahan raja. Contoh pembesar yang paling dominan ialah bendahara, penghulu, bendahari, temenggung dan lain-lain. Pembesar biasanya dilantik melalui surat pentauliahan sebagai bukti bahawa mereka sudah rasmi menjadi perantaraan raja dan rakyat.[15]

            Bendahara merupakan jawatan yang paling utama dan kanan dalam pemerintahan sesebuah kerajaan, malah mereka merupakan ketua eksekutif bagi seluruh mekanisme kerajaan. Bendahara yang digambarkan begitu kuat kuasanya seperti kuasa Perdana Menteri pada masa kini.[16] Selain itu, mereka juga akan dianugerahkan kawasan-kawasan tersendiri atau lebih dikenali sebagai kawasan ‘pegangan’. Mereka bertanggungjawab menjaga keamanan dan kesejahteraan kawasan tersebut. Antara pembesar yang yang tercatat di dalam sejarah Melayu ialah seperti Tun Perpatih Permuka Berjajar yang merupakan Bendahara Singapura:

“... dan adinda baginda, Raja Kecil Muda dijadikan baginda Bendahara, bergelar Tun Perpatih Permuka Berjajar; ialah yang pertama jadi   Bendahara.”[17]

Seterusnya ialah jawatan Penghulu Bendahari yang juga dianggap pembesar yang penting. Tugas utamanya ialah memegang dan menjaga harta benda dan hasil mahsul kerajaan. Beliau juga berperanan sebagai wakil menerima ufti dari kawasan takluk dan jajahan serta bertindak sebagai ketua istiadat dan acara rasmi diraja di istana. Penghulu Bendahari kedudukannya ialah di bawah Bendahara:

“... dan pada ketika menjunjung duli Bendahara dahulu; dan duduk di bawah             Bendahara ialah Penghulu Bendahari, gelarnya Tun Jana Buga Dendang. Sudah itu segala menteri dan segala orang besar-besar dan cateria, sida- \sida...”[18]

Selain Bendahara dan Penghulu Bendahari, Temenggung juga merupakan pembesar yang tertinggi di  Melaka. Jawatan Temenggung ini adalah sebagai majistret (hakim) dan ketua pengawal. Temenggung lebih banyak bertugas dalam memastikan pelaksaan dan pematuhan undang-undang dijalankan. Tugasnya umpama peranan Ketua Polis Negara pada masa kini.[19] Temenggung melaksanakan kawalan dalam negeri. Perkara ini dilihat apabila Melaka diancam oleh pencuri-pencuri sewaktu pemerintahan Sultan Alau'd-Din Riayat Syah. Contohnya:

            “Maka titah Sultan Alau’d-Din pada Seri Maharaja, kerana ia Temenggung, “Adakah kawal semalam?” Maka sembah Seri Maharaja, “Ada Tuanku.””[20]

            Di samping itu, Temenggung juga bertanggungjawab dalam hal-hal yang melibatkan protokol seperti dalam majlis mengatur tempat duduk pembesar-pembesar mengikut status masing-masing serta mengepalai gajah ketika raja berangkat menaiki gajah.[21]

            Selain itu, terdapat juga jawatan laksamana. Tugas utamanya ialah dalam bidang ketenteraan. Namun fungsinya sering kali berubah kerana memainkan peranan utama di istana dan kadangkala dilantik menjadi utusan atau duta ke sesebuah negara. Antara golongan pembesar yang pernah memegang jawatan tersebut berdasarkan teks Sejarah Melayu ialah Laksamana Hang Tuah. Jawatan Syahbandar pula diwujudkan adalah kerana peranan Melaka yang penting disebabkan oleh kegiatan entrepot. Tugasnya ialah menyambut kapten kapal dan dibawa menghadap Bendahara untuk mendapatkan kebenarannya sebelum menjalankan urusan perdagangan. Oleh kerana Syahbandar ini terpaksa berhadapan dengan pedagang-pedagang dari pelbagai negara, Laksamana haruslah memiliki kemahiran pelbagai bahasa bagi memudahkan kegiatan ekonomi tersebut dijalankan.

            Seterusnya ialah golongan rakyat. Golongan ini mempunyai jumlah yang paling ramai berbanding dengan golongan pemerintah. Dalam Sejarah Melayu asasnya cuba memperlihatkan kepentingan golongan rakyat di Melaka. Keadaan ini digambarkan melalui pepatah ‘Rakyat itu umpama akar, manakala raja itu umpama pohonnya, jikalau tiada akar, nescaya pohon tiada akan berdiri’. Walaupun gambaran rakyat tidak begitu ketara di dalam Sejarah Melayu, namun secara jelas penggarapnya cuba membuktikan ramainya rakyat Melaka ketika itu. Secara umum, golongan ini terbahagi kepada dua. Kategori pertama ialah rakyat biasa yang bebas (mendeheka). Manakala kategori kedua ialah hamba yang menduduki lapisan terbawah.

             Rakyat biasa terdiri daripada nelayan, petani, pedagang dan petukang. Golongan ini tidak mempunyai sebarang kuasa politik dan tidak memegang jawatan dalam sistem politik. Dari segi ekonomi pula, mereka menjana kegiatan hanya untuk keperluan keluarga mereka sahaja. Dalam kehidupan bermasyarakat, mereka mengamalkan amalan bergotong-royong. Tiga komponen utama dalam golongan ini ialah pedagang dan peniaga kecil-kecilan, buruh dan pekerja biasa serta petani dan tukang mahir. Mereka bebas untuk melakukan sebarang kegiatan ekonomi seperti menangkap ikan, bertani, berdagang dan sebagainya.[22]

            Hamba menduduki lapisan terendah dalam sistem sosial masyarakat Melayu. Golongan ini tidak boleh bertindak sesuka hati dan pergerakan mereka adalah terbatas. Golongan ini menyumbang kepada jumlah tenaga manusia yang diperlukan dalam pelbagai aktiviti atau pekerjaan. Hamba juga berperanan menjadi lambang kekayaan kepada tuannya kerana pada zaman tersebut, mereka yang memiliki jumlah hamba yang ramai dikira sebagai orang kaya. Dalam teks Sejarah Melayu, golongan hamba telah ditonjolkan melalui watak Badang yang terikat kepada perintah tuannya. Contohnya:

            “Maka tersebutlah perkataan seorang perempuan duduk berhuma di Sayung; ada seorang budak, hambanya, bernama Badang; kerjanya berhuma akan  tuannya juga.”[23]
Namun begitu, status sebagai seorang hamba tidak semestinya akan kekal buat selamanya sebalikya boleh berubah mengikut keadaan. Misalnya, Badang telah dilantik sebagai hulubalang Singapura kerana memiliki kekuatan yang luar biasa:

            “Maka oleh baginda Badang dijadikan hulubalang.[24]

            Oleh itu, jelaslah bahawa sistem pemerintahan memainkan peranan yang penting dalam pembentukan negeri dan ia merupakan salah satu ciri kenegaraan Melayu. Setiap golongan sama ada golongan pemerintah dan golongan diperintah ternyata mempunyai tangggungjawab masing-masing dalam memastikan pembangunan serta keamanan sesebuah negeri.

3.2 UNDANG-UNDANG

Ciri lain bagi kenegaraan Melayu ialah wujudnya undang-undang. Undang-undang merupakan satu garis panduan untuk memastikan  masyarakat hidup dalam kemakmuran dan kedamaian. Sekiranya tidak ada undang-undang, sudah pasti rakyat akan hidup dalam keadaan kucar-kacir dan akan menyebabkan kehancuran negeri. Justeru itu, undang-undang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sebuah negeri. Lazimnya, rakyat akan menyerahkan kuasa penuh kepada pemerintah untuk menjaga kerukunan masyarakat manakala rakyat pula wajib mentaati segala hukum yang dibuat oleh pemerintah tanpa syarat.[25] Pada zaman keagungan Melaka, Melaka mempunyai dua undang-undang bertulis iaitu iaitu Hukum Kanun Melaka (Undang-Undang Darat)  dan Undang-Undang Laut Melaka.

Secara umumnya, Undang-undang Melaka berasakan kepada dua peraturan iaitu, peraturan berkaitan aturan adat yang berlandaskan kepada Adat Temenggung dan peraturan agama yang berlandaskan kepada Mazhab Syafie. Hukum Kanun Melaka mempunyai 44 fasal yang berkuat kuasa di Melaka pusat dan juga kawasan-kawasan yang menjadi jajahan takluknya. Antara kandungan Hukum Kanun Melaka ini ialah berkaitan tanggungjawab raja serta pembesar-pembesar, pantang larang dalam kalangan anggota masyarakat, perhukuman kesalahan jenayah dan awam, undang-undang keluarga serta permasalahan ibadah dan muamalat. Hukuman juga adalah berdasarkan kelas.[26] Hal ini kerana terdapat perbezaan hukum antara kelas di dalam Hukum Kanun Melaka, seperti kelas bangsawan (raja), orang merdeka dan hamba. Misalnya:

            “Orang yang membunuh dengan tiada setahu raja atau hakim akan dibunuh, tetapi dalam keadaan tertentu, pembunuhan boleh dilakukan. Di samping itu, orang mengamuk yang tidak dapat ditangkap, hamba yang hendak membunuh tuannya, pencuri yang sedang mencuri juga dibunuh. Bendahara, temenggung, syahbandar dan nakhoda pada waktu tertentu juga boleh membunuh dengan tiada titah raja.”[27]

            Seterusnya ialah Undang-undang Laut Melaka. Undang-undang Laut Melaka berasal daripada zaman Sultan Mahmud Shah (1488-1511) yang meliputi pelbagai perkara yang berkaitan dengan kegiatan di dalam perahu dan pelayaran. Dalam Undang-undang Laut Melaka telah menyatakan dengan jelas tentang tugas-tugas seorang pegawai dalam perahu yang meliputi nokhoda, jurumudi, senawi dan muda-muda. Pegawai-pegawai ini dipertanggungjawabkan dengan tugas masing-masing. Sekiranya lalai dan gagal menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan baik, mereka akan dikenakan hukuman yang berat. Contohnya, seorang jurumudi lalai sehingga menyebabkan perahu terlanggar karang atau batu, maka jurumudi tersebut akan dikenakan hukuman mati. Tetapi sekiranya didapati kemalangan itu tidak disengajakan, pesalah tersebut akan dilepaskan daripada hukuman.[28]

            Di samping itu, undang-undang ini juga memaparkan tentang tatasusial berniaga apabila kapal sampai ke pelabuhan. Orang pertama yang sampai ke pelabuhan ialah nakhoda. Setelah nakhoda berniaga selama empat hari, barulah kiwi yang belayar bersama dalam kapal itu berniaga selama dua hari. Situasi ini jelas memberi keutamaan kepada nakhoda. Oleh yang demikian, Undang-undang Laut Melaka ini jelas memberi kuasa yang besar terhadap nakhoda. Malah, nakhoda diibaratkan seperti raja dalam perahunya. Nakhoda juga mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman bunuh. Selain itu, terdapat satu fasal dalam Undang-undang Laut Melayu yang yang menyentuh tentang hukuman zina. Dalam fasal ini menyatakan bahawa sekiranya seseorang yang sudah berkahwin itu berzina dalam perahu, mereka akan dikenakan hukuman bunuh. Tetapi sekiranya mereka masih bujang, kedua-duanya akan dikenakan hukum seratus palu atau sebatan.[29]

            Selain daripada undang-undang bertulis, terdapat juga undang-undang tidak bertulis. Undang-undang tidak bertulis adalah seperti kata-kata raja yang harus dipatuhi dan tidak boleh diingkari. Sekiranya diingkari, ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada individu yang terbabit. Dalam Sejarah Melayu, terdapat undang-undang yang tidak bertulis seperti waad. Waad adalah salah satu bentuk ketetapan atau perjanjian yang telah dimeterai antara golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Waad tersebut akhirnya secara tidak langsung telah menjadi satu bentuk undang-undang yang tidak bertulis yang harus dipatuhi bukan sahaja golongan dimerintah, tetapi juga golongan pemerintah. Berdasarkan teks Sejarah Melayu:

            Maka titah Sri Tri Buana, “Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku. Maka titah Sri Tri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu.” Maka baginda pun bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun.”[30]

            Selain itu, terdapat juga ketepan yang telah ditetapkan oleh sultan sehingga menjadi suatu bentuk larangan. Antaranya termasuklah penggunaan warna kuning, emas dan pakaian. Contohnya:

            “Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran... Bermula segala orang yang beremas. Bagaimana sekalipun kayanya, jikalau tiada anugerah raja tiada boleh pakai... Dan jikalau orang masuk ke dalam jika tiada kain berpancung,dan berkeris di hadapan, dan bersebai, tiada dapat masuk... Maka inilah dahulu kala larangan raja Melayu, barang siapa melalui dia salah ke bawah duli, hukumnya didenda pati, yakni sekati lima[31]

Hal ini jelas memperlihatkan bahawa setiap kata-kata raja itu adalah ketetapan dan menjadi sebuah bentuk undang-undang yang harus dipatuhi oleh golongan rakyat. Sekiranya mereka mengingkarinya, maka mereka akan dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa undang-undang memainkan peranan penting dan merupakan aspek yang penting dalam sesebuah kenegaraan Melayu.

3.3 SEMPADAN

Seterusnya, ciri kenegeraan Melayu juga termasuklah aspek sempadan. Dalam masyarakat moden, sesebuah negeri mempunyai sempadan geografi yang kekal serta memisahkan satu negeri dengan negeri yang lain. Sesebuah negeri juga dilihat mempunyai identitinya yang tersendiri yang dicirikan oleh asal usul dan perkembangan sejarah disusuli dengan aspek bahasa dan budaya. Negeri pada hari ini akhirnya telah terbentuk menjadi sebuah entiti politik yang kekal. Namun begitu, pada zaman dahulu dikatakan negeri tidak mempunyai sempadan yang tetap berikutan faktor Asia Tenggara yang sangat luas. Ciri sempadan negeri yang kabur telah memberi peluang kepada masyarakat Melayu untuk merantau dari satu tempat ke satu tempat yang baru. Walau bagaimanapun, perantauan yang dilakukan antara sesebuah negeri lain adalah tidak menimbulkan sebarang masalah kerana raja pada zaman dahulu sememangnya ingin mengumpulkan rakyat yang berjumlah besar. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi tanggungjawab rakyat untuk berkhidmat kepada raja melalui sistem kerah seperti membina istana, bangunan serta terlibat dalam ketenteraan.

            Sebagai sebuah rantau maritim, pulau, laut, selat dan sungai telah memberikan pengaruh yang besar kepada kehidupan penduduknya. Bagi rantau Melayu, laut dan sungai merupakan konsep serta merupakan faktor yang berperanan sebagai pembentukan sempadan selain daripada berfungsi untuk membekalkan sumbermakanan dan minuman kepada penduduknya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penempatan awal negeri Melayu adalah terletak di kawasan pinggir sungai. Selain itu, kerajaan Melayu tradisional pada asasnya telah meletakkan kuala sungai sebagai pusat pentadbiran. Apabila adanya penguasaan di kuala sungai, pihak yang mengasaskan penempatan tersebut telah memperkenalkan sistem cukai kepada golongan yang menggunakan jalan perhubungan sungai yang menuju ke kuala. Berikutan daripada tindakan tersebut, institusi pentadbiran telah diperkemaskan dengan melantik seorang ketua. Pengiktirafan tersebut telah mengekalkan kedudukan pembesar tersebut sehinggalah wujudnya istilah “bandar diraja” yang terletak di muara sungai seperti Negeri Pekan di Pahang, Negeri Klang di Selangor dan Negeri Larut di Perak.[32]

            Pembentukan sesuatu sempadan adalah unik kerana kerajaan yang terlibat tidak mempunyai sukatan atau ketepatan garis sempadan. Sebagai contoh, Pahang dan Johor telah meletakkan Sungai Endau sebagai sebagai garis sempadan antara kedua-dua buah negeri. Negeri-negeri tersebut juga telah memperlihatkan betapa pentingnya sungai dalam pelbagai aspek. Antara kepentingan sungai pada zaman tradisional adalah sebagai sempadan ekonomi, sempadan pentadbiran, sempadan laluan keluar masuk bagi sesebuah negeri dan hulu sungai sebagai sempadan kuasa raja.[33] Kesusasteraan Melayu tradisional telah menggambarkan bahawa negeri merupakan satu ruang tertentu yang perlu dibezakan dengan ruang yang lain. Oleh itu, negeri dan bandar sering dibezakan. Perbezaan tersebut boleh dilihat melalui Hikayat Patani:[34]

            “Maka baginda pun menyuruhkan orang memongkar sauh, lalu berlayar ke Bandar. Setelah sampai lalu naik berjalan ke dalam negeri…”

Pembukaan negeri dan bandar memerlukan ciri yang khas seperti sebuah bukit dengan tanah lapang bagi negerinya manakala sebuah sungai yang besar bagi bandarnya. Bandar dan negeri pula adakalanya mempunyai nama yang berbeza, sebagai contoh, di Perak, negerinya ialah Pulau Indera Sakti manakala bandarnya ialah Bandar Makmur.[35]

            Selain itu, negeri dan kuala turut dibezakan. Hikayat Hang Tuah turut menggambarkan perbezaan antara negeri dan kuala. Berdasarkan hikayat tersebut:

            “Kami medapati bahawa apabila ada ancaman musuh terhadap orang di kuala, mereka lari masuk ke negerinya.”[36]

Perbezaan dan pemisahan antara ruang-ruang tersebut dapat dibuktikan dengan adanya tiga jawatan khas iaitu Panglima Negeri, Panglima Bandar dan Panglima Kuala.[37] Sempadan negeri dapat dilihat apabila di dalam Undang-undang Melaka, pemimpin menyuruh gong dipalu dan haruslah mengelilingi negeri untuk menyampaikan perintah atau berita apabila pencuri didapati bersalah. Sebagai contoh:

            “Ia dinaikkan di atas kerbau balar, dibubuh bunga raya dan berpayung    tudung saji, dicoreng mukanya dengan kapur dan harang dan kunyit, maka dicanangkan berkeliling negeri.[38]

            Pengenalpastian sempadan oleh pemimpin negeri juga terdapat dalam Hikayat Pahang. Berdasarkan hikayat tersebut, apabila orang Inggeris berada di Johor maka timbul isu berkaitan sempadan antara Johor dan Pahang. Johor mengatakan bahawa Sungai Endau adalah miliknya tetapi pemimpin Pahang telah menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan bahawa sempadan Pahang dan Johor adalah terletak di Tanjung Lebak.[39]

            Pembukaan sesebuah negeri pada zaman dahulu dikatakan bergantung pada sesebuah lokasi. Keputusan untuk membuka satu negeri ditentukan oleh pembesar berdasarkan kesesuaian lokasi iaitu tempat yang berdekatan dengan sungai, tanah rata yang luas dan jumlah penduduk serta kemudahan untuk kelansungan hidup seperti kawasan yang penuh dengan haiwan perburuan atau ikan. Selain itu, kawasan-kawasan yang dipercayai mempunyai unsur luar biasa turut menjadi pilihan raja atau pembesar. Contohnya kemunculan binatang atau unsur-unsur luar biasa seperti pelanduk. Mereka mempercayai kawasan yang mempunyai kuasa luar biasa mampu menjadikan negeri yang bakal dibina menjadi maju. Misalnya, Temasek bertukar menjadi Singapura berikutan kemunculan haiwan aneh iaitu ‘singa.

            Kebiasaannya, sesebuah negeri tidak dibuka di satu tempat yang telah didiami. Selepas peperangan, tempat kediaman oleh pihak yang kalah tidak lagi digunakan untuk membuka sebuah negeri yang baru. Hal ini kerana, tempat tersebut sudah tidak mempunyai tuah dan sekiranya masih menetap di negeri tersebut, malang akan menimpa penduduk di negeri tersebut. Mereka akan berpindah ke tempat yang baru. Biasanya jumlah rakyat yang mengikuti pemimpin tidaklah ramai. Apabila sudah menjumpai tempat yang sesuai untuk membuat negeri, seluruh tenaga kerja akan dikumpulkan. Tempat tersebut yang kebiasaanya penuh dengan semak dan pokok-pokok akan ditebas oleh rakyat di bawah pimpinan pemerintah. Sekiranya tenaga kerja tidak mencukupi, pemerintah akan memohon bantuan dari negeri lain agar menghantar orang-orang mereka. Keadaan ini pernah berlaku pada suatu ketika dahulu semasa negeri Singapura dibuka oleh Seri Teri Buana yang meminta bantuan tenaga kerja dari Ratu Pulau Bentan.[40]

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, teks-teks tradisional Melayu telah mengungkap struktur dan ciri-ciri kenegaraan Melayu. Ciri-ciri kenegaraan Melayu adalah merangkumi  sistem pemerintahan kerajaan, undang-undang dan sempadan. Raja dan rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam melicinkan pentadbiran kerajaan. Tanpa kerjasama dan kesepakatan, pembangunan negeri tidak akan dapat dicapai. Setiap ahli masyarakat perlu menumpahkan taat setia kepada raja dan raja juga perlu memanfaatkan konsep pertuanan dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat dan negeri.  Mitos turut membantu memberi pengabsahan kepada raja dan kerajaannya. Teks-teks tradisional Melayu juga adalah sebagai bukti tentang keagungan sejarah zaman lampau serta merupakan gambaran kepada masyarakat yang hidup pada ketika itu.

            Pemerintahan dan situasi pada zaman tradisional seperti zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka seperti yang tercatat dalam tek-teks lama seperti Sejarah Melayu sedikit sebanyak telah mempengaruhi dasar pembentukan negara Malaysia baik dari segi sistem politik, ekonomi dan sosialnya. Negara Malaysia sememangnya telah melalui pelbagai proses untuk berada pada tahap yang dikecapi kini. Sememangnya menjadi harapan bagi seluruh rakyat Malaysia supaya beroleh pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang.



5.0 RUJUKAN
A. Samad Ahmad (pngr.). 1979. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abd. Jalil Borham. 2002. Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Abdul Rahman Embong. 2001. Negara Bangsa: Proses dan Perbahasan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Abdullah Siddik. 1975. Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
J.M. Gullick. 1970. Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad (pngr.). 1993.  Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Liew Yock Fang. 2003. Undang-undang Melaka. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.
Mohd. Taib Osman. 1988. Bunga rampai Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur:    Dewan Bahasa dan Pusataka.
R.O Winstedt. 1982. A History of Malaya. Kuala Lumpur: Marican & Sons (Malaysia) Sdn Bhd.
Siti Hawa Haji Salleh. 1998. Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur, Yayasan             Karyawan.
Tardjan Hadidjaja. 1964. ‘Adat Raja-Raja Melayu. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka             Antara.
Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.). 1999. Di Sekitar Konsep Negeri. Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd.




[1] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. xv.
[2] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 2.
[3] Ibid.,hlm 5.
[4] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 21.
[5] Mohd. Taib Osman, Bunga rampai Kebudayaan Melayu, 1988, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka, hlm. 145.
[6] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 212.
[7] Siti Hawa Haji Salleh, Hikayat Merong Mahawangsa,1998, Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan, hlm. 111.
[8] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 36
[9] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 20.
[10] J.M. Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat, 1970, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 72.
[11] Abdul Rahman Embong, Negara Bangsa: Proses dan Perbahasan, 2001: Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 65.
[12] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 24.
[13] Ibid., hlm. 125.
[14] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 75.
[15] J.M. Gullick, Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat, 1970, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 114.
[16] Abd. Jalil Borham, Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor, 2002, Skudai, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, hlm. 72.
[17] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 42.
[18] Ibid.
[19] Abd. Jalil Borham, Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor, 2002, Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, hlm. 72.
[20] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 162.
[21] Ibid., hlm. 74.
[22] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 45.
[23] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 45.
[24] Ibid, hlm 47
[25]Dr. Abdullah Siddik, Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia, 1975, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm. 11.
[26] Tardjan Hadidjaja, ‘Adat Raja-Raja Melayu, 1964, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, hlm. 82.
[27] Liew Yock Fang, Undang-undang Melaka, 2003, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm. 62.
[28] R.O Winstedt, A History of Malaya, 1982, Kuala Lumpur: Marican & Sons ( Malaysia) Sdn Bhd, hlm. 38.
[29] Liew Yock Fang, Undang-undang Melaka, 2003, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm. 67.
[30] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 24.
[31] Ibid., hlm. 70.
[32] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 150.
[33] Ibid.
[34] Ibid.
[35] Ibid., hlm. 13.
[36] Kassim Ahmad (pnyl.), Hikayat Hang Tuah, 1993, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 493.
[37] Ibid.
[38] Liew Yock Fang, Undang-undang Melaka, 2003, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm. 80.
[39] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 15.
[40] Ibid., hlm. 59.

No comments: