Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Saturday, March 5, 2016

GERAKAN RADIKAL DI TANAH MELAYU


1.0       PENGENALAN

Gerakan radikal di Tanah Melayu boleh dianggap sebagai suatu gelombang politik masyarakat Melayu yang selama ini terkenal  dengan sikap konservatif dan sentiasa menurut perintah golongan atasan dan raja. Sifat ini sememangnya telah wujud dalam diri masyarakat tradisional sebelum berlakunya pembentukan sebuah negara baru yang berteraskan fahaman demokrasi dan kemerdekaan politik daripada penjajah luar. Gerakan radikal boleh diklasifikasikan sebagai suatu gerakan politik yang tidak mendukung sepenuhnya sistem politik tradisional yang berteraskan istana dan kekuasaan mutlak raja-raja Melayu.[1] Gerakan seperti ini menolak pemerintahan lama yang dipegang oleh raja-raja dan pembesar yang membentuk kelas pemerintahan masyarakat Melayu tradisional.

            Idea radikalisme ini telah tercetus daripada gerakan politik di Barat iaitu idea ini telah dimulakan oleh gerakan politik di Perancis pada kurun ke-19. Gerakan radikal di Perancis dilakukan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil bahagian yang lebih terbuka dan luas bagi membicarakan isu-isu politik dan perlembagaan. Gerakan ini juga menggalakkan dan mendukung kebebasan awam termasuklah hak bersuara dan berbahas secara terbuka, tetapi tersusun dan berorganisasi serta menuntut lebih banyak pembelaan dan keadilan sosial. Hal ini tercetus sebagai kesan Revolusi Perancis, yang membuang institusi raja dan menegakkan kuasa rakyat dalam menentukan pemerintahan negara.

            Tanah Melayu mengalami perkembangan politik yang penting pada abad ke-20. Pada era ini, kebangkitan kesedaran kebangsaan dalam kalangan orang Melayu muncul dengan lebih teratur melalui aktiviti gerakan dan organisasi yang lebih terpimpin. Usaha tersebut telah timbul kerana masyarakat Melayu ingin melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan British yang telah sekian lama mengongkong penduduk Tanah Melayu dengan pelbagai agenda ekonomi, politik dan sosialnya. Golongan ini telah berjaya membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu bagi menghadapi tuntutan bukan Melayu dan penguasaan British dalam sistem politik di Tanah melayu.

2.0       GERAKAN RADIKAL DI TANAH MELAYU

2.1 Angkatan Wanita Sedar (AWAS)

Gerakan nasionalisme Melayu di antara tahun 1914 hingga 1941 telah muncul dan mencapai kemuncakknya selepas perang Dunia Kedua. Gerakan nasionalisme pada asanya adalah sebahagian daripada gerakan untuk membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan membangun. Bagi mencapai matlamat tersebut, golongan wanita adalah tidak terkecuali dalam memainkan peranannya dalam mewujudkan semangat kebangsaan di Tanah Melayu. Semasa pendudukan Jepun, Jepun telah menyekat pendidikan golongan wanita dan banyak sekolah pada ketika itu telah ditutup. Walau bagaimanapun, British telah membina semula infrastruktur dan memulihakan semula keadaan selepas perang. Pada tahun 1947, lebih daripada 3000 orang wanita Melayu yang memasuki sekolah Inggeris dan terdapat juga yang memasuki sekolah vernakular dan sekolah agama.[2]

            Melalui perkembangan pendidikan dalam kalangan wanita, hal ini telah mengubah pandangan serta persepsi golongan wanita terhadap isu politik. Wanita Melayu telah terdedah dengan idea-idea moden serta emansipasi dan akhirnya menyebabkan mereka sedar tentang ketidakadilan pihak kolonial serta mula menyedari tentang hak serta kedudukan sosial mereka. Pada Mac 1946, peranan golongan wanita semakin rancak apabila mereka membantah pembentukan Malayan Union. Menurut seorang pegawai British:

            “In town, there were demonstration with 5,000 to 10,000 people standing in  front of us. But the most remarkable thing of all-by for the most remarkable things of all-was the part the women were playing in the great national movement. In the 14 years I lived in Malaya,I scarcely spoke to a Malay women. But today, they go up on political platform and make speeches ... That has all happened in the short space of six months. If one can say there is such a thing as a national movement, then here it is”

Hal ini jelas memperlihatkan bahawa golongan wanita yang mempunyai pendidikan serta terdedah dengan idea-idea telah menyedari tentang peranan mereka untuk mewujudkan gerakan semangat kebangsaan di Tanah Melayu.

            Antara gerakan wanita radikal pada ketika itu ialah Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Angkatan Wanita Sedar (AWAS) merupakan salah satu cabang wanita Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Jabatan wanita PKMM ini mempunyai tiga orang ketua iaitu Khadijah Ali, Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh.[3] Namun begitu, di antara ketiga-tiga tokoh tersebut, Shamsiah Fakeh telah menjadikan susunan wanita PKMM lebih teratur dan pergerakannya telah mencapai kemajuan. Hal ini terbukti apabila cawangan wanita PKMM sudah bertapak di peringkat negeri bahkan juga di peringkat kampung. Selain itu, AWAS juga mempunyai perlembagaan dan slogannya yang tersendiri iaitu tangan kanan digenggam dengan jari telunjuk ditegakkan seperti isyarat memberi amaran.  Perkembangan AWAS dapat dilihat semakin berkembang apabila ketua Parti AWAS, iaitu Shamsiah Fakeh telah berkahwin dengan Ahmad Boestamam yang merupakan ketua parti Angkatan Pemuda Insaf (API). Hal ini telah menjadikan perjuangan AWAS dan API semakin rancak dalam arena politik. Hal ini juga dapat dilihat apabila setiap kali parti API menjalankan gerakan, maka di situ juga adanya gerakan parti AWAS.

            Semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh Shamsiah Fakeh sendiri sudah membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi meskipun beliau merupakan seorang wanita. Parti AWAS merupakan satu badan yang tetap kekal dalam gabungan dan menjadi sebahagian daripada PKMM sehinggalah PKMM tidak lagi beroperasi bermula pada bulan Jun 1948 disebabkan oleh undang-undang darurat yang telah diisytiharkan di Tanah Melayu pada ketika itu. Walaupun parti ini sudah tidak lagi beroperasi, tetapi gerakan tersebut tetap meninggalkan banyak kesan kepada dasar dan tindakan yang diambil British. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa gerakan radikal kaum wanita adalah tidak terkeculi dalam mewarnai gerakan kebangssan di Tanah Melayu

2.2 Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)

            Selain daripada gerakan radikal wanita, terdapat juga gerakan radikal lain yang turut mewarnai semnagt kebangsaan di Tanah Melayu. Parti politik yang wujud serta memainkan peranannya dalam menentang British di Tanah Melayu antaranya termasuklah, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKMM telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak selepas diadakan rundingan dan persetujuan beberapa pemuda iaitu golongan Ahmad  Boestaman dan golongan Mokhtaruddin Laso. Golongan Ahmad Boestamam berfahaman sosialis, manakala golongan Mohtaruddin Lasso berfahaman komunis. Pada awal penubuhan parti ini turut diresapi dengan fahaman yang berideologikan komunis tetapi akhirya Dr Burhanuddin Helmi telah membersihkan PKMM dari pengaruh komunis. PKMM mempunyai ideologi dan matlamatnya yang tersendiri.
            Penubuhan PKMM mendukung objektif menyatukan bangsa Malaya serta semangat kerjasama antara bangsa lain yang tinggal di negara ini sehingga mencapai matlamat utama bagi mewujudkan perpaduan penduduk Malaya (Malayan United Front).[4] Dari segi objektif penubuhannya sahaja, sudah dapat dirungkai seperti apa dan atas tujuan apa parti ini ditubuhkan pada ketika ini. Frasa Malayan United Front adalah merupakan cita-cita PKMM yang amat jelas. PKMM di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Helmi bukan sahaja menolak ideologi komunis, malah beliau turut metekankan unsur perjuangan bangsa Melayu dan keislaman dalam kepimpinan beliau semasa meneraju PKMM. Kata-kata retorik “Hang Tuah Takkan Melayu Hilang di Dunia” menjadi pegangannya serta dasar perjuangan yang ingin diterapkan di dalam PKMM.

            Namun, PKMM yang diharapkan sebuah parti yang dapat mencabar kedudukan UMNO dan lebih bersifat radikal adalah lebih sukar untuk dibawa oleh Dr Burhanuddin. Akhirnya, beliau dijadikan Penasihat Umum PKMM oleh tokoh-tokoh yang lebih radikal seperti Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam. Malah, kepimpinan PKMM yang diperjuangkan oleh kedua-dua tokoh ini memperlihatkan suatu perjuangan yang lebih bersifat agresif dan radikal. Sememangnya ideologi dan matlamat yang dibawa oleh PKMM adalah satu iaitu untuk menggugat kedudukan British sebagai penjajah di Tanah Melayu. Lantaran itu mereka memilih untuk tidak bekerjasama dengan British  dan memberikan tekanan politik kepada pemerintahan British.

Pergerakan PKMM menjadi lebih radikal apabila parti ini mula bergabung dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain menjadi Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan PKMM mahukan kuasa yang lebih, bukan hanya mengembalikan kuasa raja-raja dan menolak prinsip jus soli. Perjuangan yang mereka impikan adalah mengusir penjajah British secara sepenuhnya di Tanah Melayu. PKMM menginginkan hak mengundi, sebuah majlis mesyuarat yang mempunyai kuasa dan bukan didalangi oleh pihak British semata-mata.[5] PKMM juga sanggup bekerjasama dengan orang bukan Melayu untuk mendapatkan kuasa politik daripada Kerajaan British. PKMM dan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) telah menggubal satu Perlembagaan Rakyat yang menuntut pemberian kuasa dari Kerajaan British kepada rakyat Tanah Melayu, termasuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi Tanah Melayu. Kerjasama yang ditonjolkan antara orang Melayu dan bukan Melayu telah memberi tekanan yang hebat kepada Kerajaan British pada ketika ini.

Namun begitu, perjuangan PKMM semakin tiba ke penghujung apabila berlaku Darurat pada tahun 1948. Setelah darurat diisytiharkan pada 19 Jun 1948, tokoh-tokoh dan anggota PKMM telah ditangkap berama-ramai oleh pihak British. Mereka telah dituduh sebagai komunis dan dianggarkan penangkapan orang Melayu yang ditangkap pada ketika itu adalah lebih daripada 1,000 orang.[6] PKMM yang dianggap radikal telah diharamkan oleh Kerajaan British. Walaupun British diberikan kuasa penuh untuk melakukan penangkapan, hal ini bukan bermakna bahawa gerakan berhaluan kiri akan lenyap begitu sahaja. Tokoh-tokoh berhaluan kiri masih mengorak langkah untuk menubuhkan dan memasuki parti-parti baru yang ditubuhkan selepas tahun 1955 atau selepas zaman pemenjaraan mereka berakhir.[7] Walaupun perjuangan PKMM tidak memperlihatkan usahanya ke arah memerdekakan Tanah Melayu, namun perjuangan radikal yang ditonjolkan oleh pemimpin PKMM seperti Ahmad Boestamam berupaya untuk memberikan tekanan yang hebat kepada pihak British sehingga pengharaman ke atas parti ini dilakukan.

2.3 Kesatuan Melayu Muda (KMM)

Penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1937 oleh golongan nasionalis yang berpendidikan Melayu serta dipengaruhi oleh gerakan nasionalis Indonesia telah memperlihatkan pertumbuhan politik yang bersifat agresif. Parti ini ditubuhkan telah ditubuhkan oleh Ibrahim bin Haji Yaacob dan dianggotai oleh kebanyakan penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Presiden parti ini adalah Ibrahim Yaacob, Mustapah Hussain sebagai Naib Presiden, Hassan Haji Mnan sebagi Setiausaha, Othman Mohd Nor sebagai Penolong Setiausaha dan Idris Hakim sebagai Bendahari. Antara ahli jawatankuasa yang dipilih adalah Ishak Haji Muhammad, Abdul Karim Rashid, Bahar Abiik, Sulung Chik, Onn Haji Siraj, Abdul Smad Ahmad dan Abdullah Kamil.[8] Antara dasar dan matlamat perjuangan KMM sebagai sebuah parti politik Melayu pertama yang ditubuhkan dapat di lihat di mana Musta Hussin telah menerangkan mengenai dasar dan matlamat perjuangan KMM yang berbeza dengan parti yang ada sebelum ini.

Menyedari orang Melayu agak ketinggalan dalam pelbagai bidang telah menyebabkan Ibrahim Yaakob dan rakan-rakannya nekad menubuhkan KMM yang seterusnya akan menjadi persatuan politik yang berpengaruh di Tanah Melayu. Kepimpinan KMM juga dilihat amat cenderung dan terpengaruh dengan penulisan-penulisan dari Indonesia yang banyak menyeru kepada kebebasan dan kemerdekaan daripada pihak penjajah. Oleh yang demikian, kepimpinan KMM mahu menuntut kemerdekaan daripada penjajah British dengan apa cara sekali pun.[9] Perkara ini jelas menunjukkan yang KMM ditubuhkan bukan sekadar untuk memberi kesedaran politik terhadap masyarakat tempatan di Tanah Melayu tetapi mempunyai cita-cita yang lebih besar iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah ini.

            KMM juga mengkritik raja-raja Melayu yang dilihat gagal untuk melindungi hak dan menjaga kepentingan orang Melayu daripada penindasan dan hal ini sekali gus telah melahirkan semangat kebangsaan yang semakin meluap-luap. KMM juga yakin bahawa persatuan berasaskan kenegerian hanya akan merugikan orang Melayu. Oleh itu, perjuangan menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu seharusnya digerakkan bagi membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah dalam pelbagai aspek yang merangkumi politik, sosial dan ekonomi. Usaha seterusnya dalah dengan menggabungkan Tanah Melayu dengan Indonesia yang dikenali sebagai ‘Melayu Raya’. Oleh kerana perjuangan KMM yang anti-British dan anti-feudal, pergerakan KMM dikawal ketat oleh pihak penjajah. Manakala golongan elit bangsawan juga memainkan peranan dan gerakan untuk menangkis idea perjuangan KMM dari tersebar di Tanah Melayu.

Selain itu, perjuangan KMM juga banyak dibantu melalui penulisan karya-karya yang menerapkan ideologi mereka. Ishak Haji Muhamad merupakan salah seorang tokoh KMM yang banyak menyumbang memperjuangkan KMM dari segi penulisan. Salah satu karya beliau yang agak popular diperkatakan ialah ‘Putera Gunong Tahan’. [10] Karya ini merupakan novel sindiran beliau yang pertama yang mengkritik dan menyindir masyarakat Tanah Melayu, pemimpin tempatan serta penjajah. Sindiran beliau dalam novel ini sebenarnya ingin menyedarkan masyarakat Tanah Melayu supaya bangkit mempertahankan Tanah Melayu dan tidak terpedaya dengan janji-janji manis penjajah ketika itu kerana ia hanya bertujuan untuk terus menjajah Tanah Melayu.

            Gerakan KMM telah menimbulkan kebimbangan pihak British, Kerajaan British telah mengambil langkah untuk mengawal setiap pergerakan KMM. Antara tindakan awal yang dilakukan oleh British ialah ‘membersihkan’ SITC pada tahun 1931. Antaranya ialah Pengetua SITC O.T Dussek telah dibersarakan, Harun Aminurrashid dihantar ke Brunei, Abdul Hadi Hassan dipindahkan ke Kelantan dan Zaaba dipindahkan ke Singapura. Sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua, para pemimpin KMM telah ditangkap bahkan dipenjarakan di Singapura. Akhirnya KMM telah dibubarkan oleh kerajaan British. Namun semasa pendudukan Jepun, KMM telah dibenarkan bergiat dalam politik tetapi dikawal ketat. Jepun telah menggunakan KMM untuk mendapat sokongan orang Melayu ketika menduduki tanah Melayu. Tambahan pula, KMM pada ketika itu juga tidak mendapat sokongan golongan birokrat Melayu yang menguasai pemikiran orang Melayu.

               KMM telah memahat sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi gerakan yang cuba menyedarkan masyarakat tempatan terutamanya orang Melayu agar sedar akan kedudukan politik mereka dan juga cuba membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu . Dasar-dasar British yang dilihat membebankan orang Melayu telah menyebabkan KMM bangun untuk menentang dasar-dasar tersebut. Peranan raja yang dilihat gagal untuk menjaga hak dan kepentingan orang Melayu juga telah menjadikan KMM sebagai golongan atau gerakan yang bangkit untuk memperjuangkan hak mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa KMM juga memainkan peranan yang penting dalam mewarnai gerakan kebangsaan di Tanah Melayu.

4.0       KESIMPULAN

Perkembangan politik di Malaysia mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan amat menarik untuk dikaji. Dalam menggerakkan kesedaran nasionalisme, golongan radikal dilihat telah memainkan perananya yang tersendiri dengan cara yang tersendiri untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan masyarat di Tanah Melayu khususnya orang-orang Melayu. Gerakan radikal wanita ternyata telah mewarnai gerakan kebangsaan di Tanah Melayu. Golongan wanita juga mulai sedar bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab ke arah kemerdekaan. Semangat perjuangan yang ditunjukkan oleh golongan wanita telah membuktikan bahawa mereka mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.

            Selain daripada golngan wanita, terdapat juga gerakan radikal lain seperti PKMM dan KMM. Meskipun terdapat pelbagai rintangan yang dihadapi oleh gerakan-gerakan ini sepanjang penubuhannya tetapi gerakan-gerakan tersebut sedikit sebanyak telah berjaya membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu. Oleh itu, gerakan-gerakan ini juga tidak terkecuali dalam mewarnai gerakan kebangsaan di tanah Melayu.


5.0       RUJUKAN

Abdul Rahman Hj. Ismail. 2006. Nasionalisme Dan Revolusi Di Malaysia Dan     Indonesia, 2006, Pulau Pinang: USM.
Ishak Saat. 2007. Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran. Shah Alam: Karisma  Publication.
Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohamed Salleh Lamry. 2006. Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
R. Roff William. 2003. Nasionalisme Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Ramlah Adam. 2004. Gerakan Radikalisme di Malaysia 1938-1965. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Muhd Khairudin Aljunied. 2013. Against Multiple Hegemonies: Radical Malay Women in Colonial Malaya, Journal of Social History. New York: Oxford University Press.
Zainal Abidin. 1977. Semangat Perjuangan Melayu. Bangi: JEBAT, Universiti Kebangsaan Malaysia.



[1] Ramlah Adam, Gerakan Radikalisme di Malaysia 1938-1965, 2004, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. xiii.
[2] Syed Muhd Khairudin Aljunied, Against Multiple Hegemonies: Radical Malay Women in Colonial Malaya, Journal of Social History, 2013, New York: Oxford University Press, hlm. 3.
[3]Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan Kemerdekaan, 2006, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm 78.
[4]Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, 2007, Shah Alam: Karisma Publication, hlm. 90.
[5] Zainal Abidin, Semangat Perjuangan Melayu,  1977, Bangi: JEBAT, Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 2.
[6] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan,2006, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 100.
[7] Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, 2007, Shah Alam: Karisma Publication, hlm. 93.
[8] Mohamed Salleh Lamry, Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan, 2006, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 38.
[9] Abdul Rahman Hj. Ismail. Nasionalisme Dan Revolusi Di Malaysia Dan Indonesia, 2006, Pulau Pinang: USM, hlm. 86.
[10]William R. Roff, Nasionalisme Melayu, 2003, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm. 249.

No comments: