Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Friday, September 18, 2015

MASALAH CAMPURTANGAN KEMANUSIAAN: KEADILAN ATAU PENCABULAN KEDAULATAN NEGARA. KAJIAN KES : IRAQ



1.0 PENGENALAN

1.1 Campur Tangan Kemanusiaan / Humanitarian Intervention

Istilah campur tangan kemanusiaan digunakan untuk merujuk kepada sesebuah negara yang menggunakan kuasa ketenteraan terhadap sesebuah negara yang lain dengan menyatakan bahawa tindakan ketenteraan tersebut bertujuan untuk mengakhiri perlanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh kerajaan negara yang terlibat. Menurut Anthony Clark Arend dan Robert J. Beck, campur tangan kemanusiaan boleh dianggap sebagai penggunaan kekerasan bersenjata oleh sesebuah kerajaan untuk melindungi penduduk negara sasaran daripada pencabulan hak asasi manusia secara besar-besaran yang berlaku di negara tersebut.[1]

Melalui kajian yang dijalankan oleh Pearson dan Baumann serta Pickering dan Kisangani, berdasarkan konsep ketenteraan, campur tangan merupakan kemasukan sesebuah kuasa atau tentera ke dalam wilayah atau kawasan perairan negara lain atau disebut sebagai eksploitasi yang dilakukan oleh tentera secara agresif di sesebuah negara yang berdaulat.[2] Hal ini bermakna, kemasukan tentera tersebut melanggar undang-undang perairan antarabangsa dan boleh diklasifikasikan sebagai pencerobohan kerana kuasa ketenteraan tersebut memasuki kawasan negara yang mempunyai sempadan dan mempunyai pemerintah.

Namun begitu, setiap individu memberikan takrifan yang berbeza mengenai campur tangan kemanusiaan. Hal ini kerana, konsep campur tangan merupakan konsep yang kabur dan tidak tepat.[3] Campur tangan kemanusiaan boleh berlaku apabila kurangnya persefahaman yang sama mengenai hak asasi atau kebebasan asasi manusia. Oleh sebab itu, Amerika Syarikat memberi sudut pandang yang berbeza terhadap konsep campur tangan ini. Amerika Syarikat mendefinisikan konsep ini sebagai misi kemanusiaan atau bantuan kemanusiaan kepada pihak yang memerlukan. Pickering dan Kisangani menyatakan campur tangan Amerika Syarikat yang melibatkan tentera dikatakan sebagai sejenis campur tangan tentera asing yang bertindak balas kepada situasi apabila sesebuah kerajaan menindas hak asasi rakyat sendiri. Rentetan itu, campur tangan tentera bertujuan untuk menyelamatkan nyawa, menamatkan penderitaan dan memberi makanan bagi mengelakkan kebuluran.[4]

Jelas di sini bahawa, terdapat perbezaan pendapat, pandangan serta takrifan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak. Bagi negara-negara kuasa besar, campur tangan kemanusiaan disifatkan sebagai perkara yang perlu dilakukan atau disebut juga sebagai pertolongan untuk membebaskan rakyat daripada hidup dalam kesengsaraan. Bagi pihak lain pula, campur tangan kemanusiaan diklasifikasikan sebagai pencerobohan, kekejaman dan tindakan semata-mata untuk kepentingan kuasa-kuasa besar tersebut. Perbezaan tersebut berlaku hasil daripada pemerintahan dunia bercorak anarki yang tidak mempunyai pusat pemerintahan dan undang-undangnya tidak diselaraskan. Akhirnya perbezaan ini menyebabkan negara-negara dunia ketiga menjadi sasaran dan mangsa.


1.2 Keadilan Atau Pencabulan?

Berdasarkan takrifan-takrifan yang dikemukakan, terdapat beberapa perkara yang perlu dikaji dan diselidik dengan lebih mendalam untuk mengetahui kewajaran dan kepentingan konsep campur tangan kemanusiaan agar nasib setiap individu yang terlibat terbela. Hal ini kerana konsep campur tangan menimbulkan persoalan besar sama ada konsep tersebut digunakan untuk membela nasib pihak yang terlibat atau demi kepentingan sendiri. Adakah campur tangan kemanusiaan yang dilaksanakan oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain ke atas negara-negara terlibat seperti Iraq merupakan tuntutan keadilan atau pencabulan hak asasi manusia?

Amerika Syarikat dikatakan antara negara yang jarang sekali sanggup mengorbankan tentera mereka dalam campur tangan di luar negara semata-mata kerana sifat kemanusiaan.[5] Oleh sebab itu, terdapat pandangan yang menyatakan Amerika Syarikat melibatkan diri dengan campur tangan kemanusiaan atas dasar luar mereka yang menjadikan konsep ini sebagai alat untuk kepentingan negara seperti mendapatkan bekalan minyak atau meluaskan kuasa.[6] Hal ini membawa persoalan dan kontroversi kepada dunia tentang motif sebenar Amerika Syarikat melibatkan diri dengan isu-isu kemanusiaan di negara lain.

Dalam pada itu, konsep campur tangan yang diamalkan oleh Amerika membawa persoalan tentang kewajaran tentera-tentera mereka berkorban untuk membela nasib raakyat di negara lain. Adakah tindakan tentera Amerika yang agresif dan kejam kepada rakyat negara yang diceroboh itu satu misi kemanusiaan? Perlukah mereka melaksanakan misi kemanusiaan dengan menggunakan senjata? Adakah benar kerajaan negara yang diceroboh mencabuli hak asasi rakyat mereka sendiri? Setelah campur tangan dilaksanakan, adakah negara yang diceroboh tersebut mendapat keamanan, maju dan berfungsi seperti negara-negara berdaulat yang lain?

Maka, penulisan esei ini bertujuan untuk menilai sama ada tindakan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003 merupakan satu bentuk campur tangan kemanusiaan untuk mendapatkan keadilan ataupun satu bentuk pencabulan ke atas kedaulatan Iraq.


2.0 Latar Belakang Perang Teluk II

Perang Teluk II ini tercetus pada 20 Mac 2003 dan merupakan kesinambungan daripada Perang Teluk I yang berlaku pada tahun 1990 akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Perang ini merupakan pencerobohan Amerika ke atas Iraq. Amerika telah menyerang Iraq tanpa persetujuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.[7] Baghdad menjadi sasaran pertama serangan bersenjata tentera Amerika.[8] Perang ini dikenali sebagai Operasi Kebebasan Iraq oleh Amerika Syarikat yang berlangsung selama 21 hari disertai oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Poland untuk menggulingkan kerajaan Baath Saddam Hussein. Menurut Presiden Amerika, George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair, misi yang dilaksanakan adalah untuk menghapuskan senjata pemusnah yang dimiliki oleh Iraq, menamatkan keganasan yang disokong oleh Saddam Hussein dan membebaskan rakyat Iraq.

Pada 26 Mac 2003, 2 buah peluru berpandu menghentam pasar Shaab di Baghdad dan mengorbankan 15 orang awam manakala 30 lagi cedera.[9] Pada hari yang sama, Amerika turut mengebom stesen televisyen Iraq. Kementerian Maklumat Iraq turut dibedil pada 29 Mac 2003.[10] Seterusnya pada 31 Mac, Kementerian Maklumat Iraq dibedil sekali lagi diikuti bangunan telekomunikasi menyebabkan servis telefon terhenti.[11] Pada 9 April 2003, kota Baghdad berjaya dikuasai oleh tentera Amerika. Tentera Amerika telah menurunkan patung besar Saddam Hussein di Firdaus Square Baghdad yang menandakan tamatnya pemerintahan rejim Saddam di Iraq.[12] Pada 1 Mei 2003, Presiden George W. Bush mengumumkan perang ke atas Iraq selesai yang dimenangi oleh pasukan gabungan yang dipimpin oleh Amerika.[13]

3.0 KEADILAN KE ATAS IRAQ

3. 1 Pengamalan Diktator

Pada 16 Julai 1979, Saddam Hussein menjadi presiden Iraq menggantikan Ahmad Hassan Al-Bakr. Bagi mengukuhkan kekuasaanya, Saddam telah mengadakan mesyuarat dengan sebahagian besar ahli Parti Baath dan melakukan pembersihan secara besar-besaran di dalam parti itu. Saddam menggelarkan dirinya sendiri dan ahli Revolutionary Command Council (RCC) sebagai algojo. Saddam berkuasa membunuh sesiapa sahaja yang tidak dipercayai dan cuba menentangnya. [14] Saddam juga berjaya menguasai tiga jawatan yang menjadikan dirinya paling berkuasa di bumi Iraq iaitu menjadi Presiden Iraq, Perdana Menteri dan Pengerusi RCC. Keadaan ini menunjukkan bahawa Saddam Hussein sebagai diktator yang paling berkuasa ketika itu.[15]

Pada tahun 1980, pasukan Iraq yang dibantu oleh Amerika Syarikat telah mencerobohi  dan menyerang simpanan minyak hingga mencetuskan Perang Iran-Iraq selama 8 tahun. Tempoh waktu peperangan yang lama ini telah mengorbankan berjuta-juta nyawa dari kedua-dua belah pihak. Peperangan ini telah mengangkat Saddam Hussein sebagai pemimpin yang sangat berani.[16] Pada 1988, Saddam menyetujui gencatan senjata dengan Iran. Dalam pada itu juga, kaum nasionalis Kurdi yang berpusat di utara Iraq meningkat dan menentang Saddam. Saddam menggunakan serangan senjata kimia terhadap kota suku Kurdi di Halabja; Saddam juga melakukan perang konversional terhadap penduduk Kurdi di Iraq.[17] Oleh sesetengah anggaran, sebanyak 100 00 orang Kurdi telah dibunuh oleh pasukan Saddam pada akhir tahun 1980.[18] Bukan setakat kaum Syiah yang amat dibencinya sahaja dibunuh, malah golongan Sunni pun turut dibunuh oleh Saddam dengan kejam.
Pada 2 Ogos 1990, Saddam Hussein memerintahkan tenteranya menguasai Kuwait dan menjadikan wilayah Iraq ke-19. Amerika Syarikat yang selama ini bekerjasama dengan Iraq mengetuai operasi untuk menghalau Iraq daripada Kuwait. Saddam dan pasukannya hanya mampu bertahan selama lima bulan.[19] Iraq mula ditekan dan dikenakan sekatan ekonomi. Pada Mac 2003, kerajaan Saddam tumbang selepas kedaulatannya dicabul oleh Amerika Syarikat dan Britain.

3.2 Perkaitan Saddam Hussein dengan Al-Qaeda

Peristiwa 11 September 2001, merupakan serangan berani mati yang teratur oleh pihak al-Qaeda ke atas Amerika Syarikat. 19 pengganas al-Qaeda telah merampas empat buah kapal terbang penumpang komersil.[20] Para perampas itu sengaja menghempaskan dua pesawat kearah Menara Berkembar World Trade Center (Puasat Dagangan Dunia) di Bandaraya New York. Serangan ini sekaligus mengorbankan banyak nyawa baik penumpang mahupun pekerja-pekerja yang berada di dalam bangunan tersebut. Mereka juga menghempaskan pesawat ketiga kearah bangunan Pentagon di Arlington, Virginia di Washington, D.C. Manakala kapal terbang keempat pula terhempas di kawasan berdekatan pekan Shanksville di Penysylvania.

Sebulan selepas peristiwa itu, Presiden George W. Bush melakukan persidangan dan menyatakan pemimpin Iraq adalah orang yang jahat lalu menyeru supaya melakukan pergantian rejim di Irak. Pelbagai alasan yang diberikan oleh Bush untuk menyingkirkan Saddam. Antaranya apabila Saddam dikatakan terlibat sama dengan peristiwa ini dan sekaligus meletakkan negara Iraq dalam bahaya.[21] Saddam dikatakan mempunyai jaringan kerjasama dengan Al-Qaeda.[22] Presiden Bush juga mengisytiharkan negara Iraq sebagai “axis of evil”.[23] Presiden Bush menambah
Regimes like iraq pose a grave a growing danger,” he asserts, nothing that the United States “will not permit the world's most dangerous regimes to threaten us with the worlds most destructive weapons.[24]

3.3  Menggugat Keamanan Dunia

Pencerobohan yang berlaku di Iraq pada 19 Mac 2003 sehingga 1 Mei 2003, menandakan bermulanya awal yang berlaku dikenali sebagai perang Iraq. Perang Iraq ini juga lebih popular dengan gelaran Operasi Kebebasan Iraq oleh Amerika Syarikat. Amerika Syarikat terlebih dahulu menyerang Iraq di mana dengan menggabungkan tentera dari United Kingdom, Australia dan Poland untuk menggulingkan kerajaan Saddam Hussien yang dikatakan melakukan kekejaman ke atas rakyatnya malah telah menggugat keamanan dunia. Saddam Hussien telah memerintah Iraq dengan sarung tangan besi, malah Saddam turut dikenali diseluruh Timur Tengah kerana kekejaman yang dilakukan olehnya dalam usaha mengejar kemasyhuran serta tidak teragak-agak menggunakan gas beracun terhadap musuh dalaman dan luaran.[25]Serangan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ini berpunca daripada kekejaman yang dilakukan oleh Saddam Hussien. Di samping itu, kezaliman yang dilakukan oleh Saddam Hussien telah menyebabkan beribu-ribu orang yang tidak bersalah terkorban. Oleh itu, Amerika Syarikat telah campur tangan dalam menegakkan keadilan bagi pihak rakyat Iraq yang diseksa. Campur tangan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat adalah melalui ketenteraan. Peperangan yang berlaku telah banyak mengorbankan nyawa manusia, hal ini boleh dikatakan telah mengancam keamanan dunia. Melalui peperangan ini juga telah menyebabkan rakyat Iraq kehilangan harta dan tempat tinggal. Mereka terpaksa hidup melarat dan telah menyebabkan kepincangan ekonomi berlaku di Iraq. Malah peperangan yang berlaku juga telah banyak memusnahkan alam sekitar.

Di Iraq terdapat tiga jenis bangsa iaitu Sunni, Shiah dan Kurdish.[26] Tetapi minoriti penduduk di Iraq ialah Kurd, bangsa ini yang telah mencuba untuk menuntut kemerdekaan tetapi perjuangan mereka hanya sia-sia. Hal ini kerana mereka terpaksa menghadapi kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Saddam Hussien. Saddam Hussien dan tenteranya telah menggunakan senjata kimia bagi mematahkan perjuangan rakyat Kurd dan kesan daripada itu telah memeranjatkan dunia malah turut mengancam keamanan dunia.[27] Saddam Hussien telah menggunakan gas saraf bagi menentang penduduk Kurdish dan ramai yang tidak bersalah telah mati dalam keadaan azab, tanpa perbezaan di antara bayi, orang tua, lelaki dan wanita.[28] Tindak tanduk yang dilakukan oleh Saddam Hussien tidak banyak bezanya dengan Hitler dan Mussolini dan Saddam telah menyebarkan keganasan ke negara jiran. Selain itu, bangsa Iraq yang bermazhab Shiah pula merupakan penduduk majoriti di Iraq tetapi mereka sering ditindas dan tidak diberikan tempat yang sewajarnya dalam pemerintahan di Iraq. Hal ini telah menyebabkan timbulnya isu pemberontakan dari kelompok ini dan akan menyebabkan keamanan dunia terjejas dan tidak terjamin.[29] Oleh itu, Amerika Syarikat menganggap dengan campur tangan melalui ketenteraan dapat membela rakyat di Iraq. Di samping itu, Amerika Syarikat merasa campur tangan melalui berperang adalah merupakan satu cara untuk menegakkan keadilan serta menjamin hak kemanusiaan rakyat Iraq.


3.4  Ancaman Senjata Pemusnah

Selepas perang Teluk Parsi pada tahun 1990 hingga 1991, Bangsa-Bangsa Bersatu telah memusnahkan senjata kimia Iraq dan peralatan yang berkaitan dengan jumlah yang banyak. Walau bagaimanapun Amerika Syarikat dan United Kingdom tetap menegaskan bahawa Saddam Hussien masih mempunyai stok simpanan dan Saddam telah mendapatkan dan menghasilkan lebih banyak senjata secara rahsia. George Bush, presiden Amerika Syarikat menyatakan bahawa penyingkiran Saddam Hussien adalah perlu bagi membasmi ancaman daripada senjata pemusnah beliau secara besar-besaran. Hal ini kerana sekiranya terdapat peralatan senjata yang canggih seperti bom nuklear, meriam dan peluru berpandu yang berkeupayaan untuk memusnahkan dan mengancam keselamatan rakyat. Sebagai contoh peluru berpandu scub yang digunakan oleh Iraq. Bagi mendapatkan sokongan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amerika Syarikat terpaksa membentangkan kes senjata pemusnah kepada pihak majlis dan meminta kelulusan untuk mengisytiharkan perang ke atas Iraq. Amerika Syarikat dihantar oleh Colin Powel ke Majlis Keselamatan pada 5 Februari 2003 sebulan sebelum serangan ke atas Iraq berlaku untuk membentangkan kes senjata kimia dan biologi pemusnah sama ada masih dimiliki oleh Saddam atau akan berada dalam miliknya.[30]

Bangsa-Bangsa Bersatu memberi tindak balas dengan menghantar wakil ke Iraq untuk mencari dan memastikan sama ada terdapat sebarang timbunan stok senjata pemusnah atau mana-mana kemudahan yang membolehkan mereka membuat senjata. Semasa penyiasatan dijalankan, kerajaan Iraq dan Saddam Hussien tidak memberontak atau menghalang sebaliknya membenarkan proses pemeriksaan ke semua tempat. Walaupun hasil pemeriksaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan tiada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Iraq dan Saddam Hussien ada menyimpan stok senjata. Namun begitu, Bush dan pentadbiran beliau percaya bahawa Saddam Hussien masih menyembunyikan senjata-senjata di sesuatu
tempat di Iraq. Mereka yakin bahawa Saddam masih mempunyai senjata-senjata yang tidak sepatutnya disimpan.

4.0 PENCABULAN KE ATAS IRAQ

Penglibatan Amerika Syarikat dalam arena politik dan ketenteraan antarabangsa telah bermula sejak tahun 1745 dan ia berterusan sehingga tercetusnya Perang Teluk II iaitu peperangan antara Amerika Syarikat dan Iraq. Terdapat pihak-pihak yang menyatakan bahawa ia adalah salah satu cara Amerika Syarikat untuk menegakkan keadilan, seperti yang dibincangkan di dalam bahagian atas. Namun, terdapat beberapa hujah yang menyangkal bahawa ia bukanlah salah satu bentuk keadilan sebaliknya tindakan pencabulan Amerika Syarikat ke atas Iraq. 

4.1 Tiada Bukti Iraq Mempunyai Senjata Pemusnah

Campur tangan Amerika Syarikat ke atas Iraq turut dikaitkan dengan tuduhan yang menyatakan bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah dan ia mampu menggugat keamanan dunia. Namun, tiada bukti kukuh yang mampu menguatkan pertuduhan tersebut.

            Pada Mac 2002, Tony Blair iaitu Perdana Menteri United Kingdom memberitahu Dewan Rakyat bahawa Iraq jelas telah melanggar resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung dengan pengumpulan senjata pemusnah besar-besaran dan ia perlu ditangani.[31] Situasi ini boleh dilihat  melalui salah satu daripada dua cara. Pertama ialah Iraq telah melakukan pelanggaran kerana ia telah membangunkan senjata pemusnah secara besar-besaran yang ia dilarang daripada dimiliki ataupun yang kedua, Baghdad telah melanggar resolusi kerana ia menyekat pemeriksaan senjata yang telah ditetapkan dalam resolusi.


            Berdasarkan laporan daripada agensi pemeriksaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu United Nation Special Commision (UNSCOM), Iraq dikatakan telah menghasilkan gas mustard, VX dan sarin yang kesemuanya terdiri daripada 600 tan metrik agen-agen kimia.[32] Mereka turut mendakwa bahawa Iraq memiliki sebanyak 15,000 buah meriam, 25,000 buah roket serta agen kimia yang masih tidak dapat dikesan.[33] Namun, pada bulan Januari 2003, pemeriksaan senjata PBB telah melaporkan bahawa mereka tidak menemui mana-mana tanda senjata yang begitu aktif seperti yang telah didakwa.

            Satu-satunya masalah dengan membuat kenyataan tersebut ialah ia mesti disokong dengan bukti bagi mengukuhkan pertuduhan yang telah dibuat. Namun, pada tahun 2002, Menteri Luar Rusia Igor Ivanov telah menyatakan bahawa masih tiada bukti bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah.[34] Menteri Luar Kanada iaitu Bill Graham pula menjelaskan bahawa tiada sesiapa yang menyokong Saddam Hussein tetapi semua orang mengakui bahawa di dalam politik antarabangsa, perlu ada satu proses apabila berlakunya serangan ke atas sesebuah negara yang berdaulat perlu ada alasan atau sebab.[35] Jika berlaku perkara sebaliknya, maka ia akan membawa kepada huru-hara atau kekacauan di peringkat antarabangsa.

            The Church of England’s for Social Responsibility pula menyatakan bahawa tiada bukti yang meyakinkan dan kukuh yang dikemukakan untuk menyokong dakwaan  bahawa Iraq membina senjata pemusnah serta menggugat keselamatan antarabangsa.[36] Tony Blair merupakan antara individu yang telah membuat tuduhan bahawa Iraq menghasilkan senjata nuklear, biologikal dan kimia namun, Tony Blair sendiri gagal membuktikan pertuduhan tersebut.[37] Dalam akhbar Sunday Times, Tony Blair telah dipaksa untuk meninggalkan rancangan terhadap perisikan di Iraq kerana ia tidak mengandungi cukup bukti untuk menyokong kempen ketenteraan terhadap negara itu.[38] Menurut Financial Times pula:

            “Number 10 is thought to have encountered resistance to the plan among             senior Whitehall officials, some ministers, and the secret intelligence service             M16... British officials believe Mr Saddam has managed to protect his plans        his plans from intrusion by signals and satellite intelligence...”[39]

            Berdasarkan kenyataan tersebut, masih tidak dapat dibuktikan tentang kewujudan senjata pemusnah. Hal ini menimbulkan pelbagai persoalan sama ada Saddam Hussein telah menyembunyikan senjata pemusnah daripada dikesan oleh sebarang bentuk isyarat atau sememangnya ia tidak dapat dikesan kerana senjata pemusnah itu tidak wujud sama sekali. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa tiada bukti bahawa Iraq telah memiliki senjata pemusnah besar-besaran seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak yang memerangi Iraq.

4.2 Jenayah Perang

Jenayah perang pada umumnya boleh ditakrifkan sebagai pelanggaran terhadap undang-undang atau kelaziman perang. Jenayah perang ini dilakukan oleh beberapa orang ataupun negara yang melibatkan pembunuhan dan penganiayaan terhadap penduduk di wilayah yang diduduki tersebut        serta melibatkan kemusnahan yang tidak berasaskan keperluan ketenteraan.

            Amerika syarikat telah melancarkan serangan ke atas beberapa buah hospital yang menempatkan ramai pesakit lalu mengakibatkan banyak nyawa yang terkorban. Pada tahun 2003, Hospital al-Nouman yang terletak di Baghdad telah dibom dan mengakibatkan lima kematian.[40] Pada November 2004, pusat kesihatan di          Falluja telah dibom dan sekali gus mengorbankan 35 pesakit dan 24 pekerja hospital.[41] Mereka turut menjatuhkan bom ke atas kawasan sekitar bandar lalu mengakibatkan 18, 000 daripada 39,000 bangunan hancur dan musnah.[42]

             Selain memusnahkan hospital, mereka turut memusnahkan rumah-rumah ibadat. Misalnya, pengeboman ke atas Masjid Abdul-Aziz al-Samarrai telah mengorbankan 40 orang yang berada di sekitar masjid tersebut.[43] Enam buah masjid lain turut musnah berikutan serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq. Tindakan Amerika Syarikat ini adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana mereka dilihat melepaskan tembakan dan bom secara rambang dan mengorbankan mangsa tidak kira golongan tua mahupun kanak-kanak.

            Pada tahun Ogos 2003, dianggarkan seramai di antara 6,100 hingga 7,800 orang telah terbunuh manakala 20,000 cedera.[44] Amerika Syarikat bukan sahaja memusnahkan infrastruktur dan mengorbankan rakyat Iraq, bahkan mereka turut ‘merompak’ beberapa barang berharga yang terdapat di dalam muzium di Iraq. Dilaporkan bahawa sebanyak 15,000 bahan artifak yang telah dicuri dan situasi ini memperlihatkan bahawa mereka langsung tidak menghormati hak rakyat Iraq.[45]

            Oleh itu, jelas bahawa serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq merupakan satu jenayah perang. Iraq mengalami kerugian yang amat teruk apabila pusat bandar dan beberapa kawasan yang lain dimusnahkan akibat letupan bom. Keadaan menjadi lebih rumit apabila lebih daripada ratusan mahupun ribuan rakyat Iraq yang tidak bersalah menjadi mangsa keganasan Amerika Syarikat dan kebanyakan mereka yang masih hidup pula hilang tempat berteduh. Manakala sesetengah pihak yang bertanggungjawab untuk menghentikan keganasan ini seakan-akan melepaskan batuk ditangga dan undang-undang antarabangsa seperti diketepikan demi memenuhi kehendak negara kuasa besar.

4.3 Bantahan Perang oleh Masyarakat Antarabangsa

Serangan ke atas Iraq pada hakikatnya telah mendapat bantahan daripada masyarakat antarabangsa. Bantahan perang ini turut melibatkan masyarakat daripada pelbagai pelosok dunia antaranya termasuklah Malaysia, Thailand, Tunisia dan banyak lagi. Pada 15 Februari 2003, dianggarkan bahawa lebih daripada 600 buah bandar di seluruh dunia melancarkan demonstrasi sebagai suatu tanda protes perang ke atas Iraq.[46]

            Pelbagai slogan yang telah dilaungkan semasa demonstrasi dijalankan dan antaranya ialah, “Not in my name!”, “No war on Iraq!”, “Don’t attack Iraq!”, “No blood for oil!” dan “The world says no to war!”.[47] Demonstrasi yang dijalankan turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat antaranya termasuklah pelajar, kanak-kanak, suri rumah, doktor dan pensyarah-pensyarah universiti. Bantahan perang yang diadakan pada 15 Februari adalah antara demonstrasi anti-perang yang terbesar sejak penentangan perang ke atas Vietnam.[48] Demonstrasi di Barcelona telah dicatatkan di dalam Guinness Book of World Records sebagai demonstrasi anti-perang terbesar dalam sejarah kemanusiaan.[49]

            Tony Blair telah diminta untuk menjelaskan perihal undian yang dikemukakan di dalam Guardian iaitu hanya 34 % rakyat Britain yang menyokong tindakan untuk memerangi Iraq.[50] Apabila diminta untuk menjelaskan hal ini, Tony Blair cuba mengelak dengan menjelaskan bahawa:
            “It is hardly surprising frankly if people are concerned about military action       at this present time because we are not suggesting it at this present time.”[51]

            Undian MORI yang di bawa oleh majalah Time mendapati 56% rakyat British kini menentang idea peperangan ke atas Iraq.[52] Pada Ogos 2002, undian YouGove di  dalam Daily Telegraph menyatakan bahawa 58% responden tidak yakin bahawa perang ke atas Iraq adalah wajar.[53] Undian YouGov secara dalam talian pula mendapati bahawa penentangan peperangan di Britain meningkat daripada 43% pada Mac 2002 kepada 51% pada Julai 2002.[54] Undian terhadap sokongan kepada peperangan telah jatuh sebanyak 5% menjadikan 40% manakala undian terhadap kepercayaan bahawa Tony Blair ialah ‘boneka’ kepada Presiden Bush meningkat kepada 49%.[55]

            Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa situasi ini memperlihatkan bahawa masyarakat memandang serius terhadap serangan yang dilancarkan ke atas Iraq dan demonstrasi telah dijalankan sebagai satu bentuk bantahan. Undian serta kajian yang dijalankan mendapati bahawa bukan kesemua rakyat Amerika Syarikat mahupun Britain bersetuju dengan tindakan peperang ke atas Iraq.


4.4 Kepentingan Kuasa Besar

Peperangan yang berlaku di Iraq berlaku disebabkan oleh keghairahan kuasa-kuasa besar dunia dalam membolot kekayaan dari dalam negara Iraq. Menurut matlamat dalam Project for New American Century (PNAC), matlamat hegemoni dan penerusan kekebalan Amerika merupakan matlamat utama Amerika.[56] Kedatangan Amerika Syarikat dikaitkan dengan kekayaan minyak dan petroleum negara Iraq. Campur tangan Amerika yang sebenar-benarnya adalah untuk mengaut keuntungan ke atas minyak Iraq yang merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia pada masa itu.

Bukti menunjukkan bahawa simpanan petroleum mentah di kawasan itu adalah sekitar 357 000 juta tong manakala potensi simpanan minyak sebenar adalah lebih besar daripada jangkaan. Sumber-sumber pakar juga menyatakan bahawa di Arab Saudi sahaja terdapat lebih kurang 160 000 juta tong dimana ianya boleh membekalkan minyak untuk 50 tahun lagi dengan kadar pengeluaran sebanyak 13 juta tong sehari. Arab Saudi, Iraq dan Iran adalah merupakan antara tiga kuasa besar minyak di dunia. Sumber kekayaan utama dunia inilah yang ingin dibolot oleh Amerika Syarikat. 

Amerika Syarikat cuba mengeksploitasi isu nuklear untuk mengaburi mata PBB, masyarakat dunia dan rakyat tempatan di Timur Tengah itu sendiri. Tetapi matlamat sebenar Amerika Syarikat adalah untuk menguasai dan mengawal sumber minyak dan gas yang ada di negara Iraq untuk memastikan aktiviti industrinya berjalan dengan lancar.

      Di dalam buku Rogue State (Negara Samseng), William Blum (2007) menyatakan kajian mengenai campurtangan terhadap beberapa negara jelas menunjukkan dasar luar Amerika langsung tidak mementingkan sikap kemanusiaan. Tetapi ianya didorong oleh empat keutamaan utama iaitu:
i)                Menjadikan dunia ini terbuka dan selesa – mengikut peristilahan semasa – untuk globalisasi, khususnya syarikat transnasional yang berpengkalan di Amerika.                            
ii)               Memperkukuhkan penyata kewangan kontraktor pertahanan di dalam negara yang bermurah hati memberi sumbangan kepada ahli Kongres dan penghuni Rumah Putih.
iii)             Mencegah kebangkitan mana-mana masyarakat yang boleh menjadi contoh alternatif yang berjaya daripada model kapitalis.
iv)             Memperluaskan sebanyak mungkin hegemoni politik dan ketenteraan terhadap mana-mana bahagian di dunia demi untuk menghalang kebangkitan sebarang kuasa serantau yang mampu mencabar keagungan Amerika, dan mewujudkan orde baru dunia mengikut acuan mereka selaras dengan kehendak satu-satunya sahaja kuasa besar dunia.[57]
Iraq yang mengeluarkan dua juta tong minyak setiap hari dan menyalurkan 4% untuk minyak antarabangsa[58] mendapat perhatian yang lebih daripada Amerika. Ini kerana dasar luar Amerika yang sangat mementingkan kepentingan ekonominya.

      Selain itu, Amerika turut mendapat sokongan kuat dari Bank Dunia dan IMF turut membantu kepada pengekalan kuasa unipolar Amerika Syarikat. Kedua-dua badan kewangan dunia ini bertindak menyalurkan bantuan kepada Amerika Syarikat dalam membangunkan sistem ketenteraannya. Bantuan yang diberikan kepada Amerika Syarikat tidak dikenakan syarat yang ketat kerana Amerika Syarikat menyatakan bahawa pembangunan sistem ketenteraan mereka adalah untuk kepentingan semua tetapi sebaliknya hanyalah untuk kepentingan negaranya sahaja. Sememangnya Aamerika hanya mengambil kesempatam di atas kelebihan Iraq.


4.5 Tiada Perkaitan Iraq dengan Peristiwa 11 September

Menurut Kassim Thukiman dan Dr. Durrishah Idrus dalam Keganasan Antarabangsa; Suatu Tinjauan Awal dalam Jurnal Kemanusian, selepas ideologi komunis runtuh dan Soviet Union serta Eropah Timur jatuh pada tahun 1991, Islam menjadi sasaran dominan Barat yang menjadi tumpuan dunia sejak sekian lama.[59] Islam menjadi satu halangan dan ideologi yang harus disisihkan untuk membolehkan Amerika Syarikat terus berkuasa. Kehidupan masyarakat Islam yang menerapkan konsep ad-din dan menggabungkan kehidupan duniawi dan ukhrawi berbanding Barat yang lebih mementingkan kehidupan modenisasi menyebabkan Barat cuba memecahbelahkan umat Islam. Disebabkan itulah mereka mengambil peluang daripada peristiwa 11 September 2001.[60] Dari situ wujudlah Islamphobia dimana ianya adalah salah satu kebencian melampau masyarakat Eropah terhadap Islam.

Keganasan antarabangsa banyak dibincangkan terutamanya selepas peristiwa pengeboman ke atas bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia di Manhattan, New York pada tarikh 11 September 2001. Ianya dianggap sebagai satu permulaan kepada beberapa siri keganasan lain terutamanya yang dikatakan mempunyai hubungkait dengan Islam terutamanya. Selain itu, kebanyakan elemen yang berkaitan dengan Islam dianggap negatif oleh negara barat. Peristiwa ini sebenarnya telah mengubah amalan politik antarabangsa apabila pihak barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat melancarkan dasar agresif terhadap negara dan pertubuhan Islam yang dikaitkan dengan pengganas untuk menghalalkan cara dan tindakan mereka.[61]

Serangan 11 September 2001 yang berlaku di World Trade Centre (WTC) dilihat penganalisis politik sebagai salah satu agenda terbesar Amerika untuk menghapuskan Islam. Amerika telah membuat cerita kononnya Islam adalah pengganas. Walaupun pada luarannya mereka terpaksa menyumbang aset mereka yang berbilion dollar termasuk nyawa, tetapi ianya langsung tidak dipedulikan oleh Amerika. Menurut mereka, jumlah berbilion itu dapat dikumpul kembali apabila mereka memulakan siri serangan kepada negara-negara Islam yang kebanyakannya memiliki hasil minyak yang banyak. Tindak-tanduk Amerika Syarikat dilihat oleh kebanyakan negara bukan sekutunya sebagai menyalahi peraturan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara kerana tanpa mendapat keizinan negara tersebut dan PBB, mereka menjajah sempadan negara lain. Laporan dari CIA menegaskan bahawa Al-Qaeda dan Iraq tidak bersalah. Namun, Bush dan penasihatnya menolak dan tetap menuduh Iraq dan Al-Qaeda mempunyai kaitan dengan peristiwa terbabit.[62]

Amerika juga bertindak di luar kewarasan minda manusia kerana mereka menggunakan teknologi yang mereka miliki untuk menindas golongan-golongan yang lemah. Tanpa melakukan penelitian dan penyelidikan, mereka menuduh Osama Bin Laden adalah orang yang disyaki dan bertanggungjawab ke atas serangan 11 September 2001 dan merupakan ketua pengganas. Mereka juga menuduh pertubuhan Al-Qaeda yang juga anti-Amerika sebagai bersalah dan patut dijatuhi hukuman antarabangsa. Tindakan tergopoh-gapah begini bukan kali pertama yang dilakukan Amerika. Mereka juga pernah menuduh pengeboman bangunan perdagangan di Oklohama berkait dengan Islam dan telah dapat dibuktikan bahawa rakyat mereka sendiri yang melakukan pengeboman tersebut.[63]

Setelah beberapa tahun tragedi 9/11 berlalu, hasil kajian dari ramai para saintis dan pakar di seluruh dunia telah membuktikan bahawa kejadian itu merupakan satu konspirasi jahat yang telah disusun oleh golongan Amerika dan Neo Conservative bagi menjadi alasan menghalalkan matlamat mereka untuk menguasai minyak di Timur Tengah. Semuanya dilakukan hanya untuk mengaburi mata masyarakat dan kepentingan utama adalah untuk menghancurkan dan menguasai dunia Islam. Maka, tidak hairanlah jika Amerika, Israel dan Eropah sangat rakus dalam menguasai dunia Islam.


4.6 Tiada Mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa yang dilancarkan di San Francisco, California selepas Perang Dunia Kedua pada 24 Oktober 1945. Semua negara di seluruh dunia layak mendapat keahlian dalam PBB. Matlamat utama dalam piagam PBB adalah demi mengelakkan pertikaian yang hebat berulang, memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia, menjamin rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa dan menegaskan hak asasi manusia.

Pada 19 March 2003, Amerika Syarikat mula menyerang Iraq tanpa persetujuan daripada PBB. Demonstarsi besar-besaran juga diadakan untuk membantah pencerobohan Aamerika ke atas Iraq.[64] Amerika Syarikat tetap dan bebas memasuki Iraq menggunakan alasan Iraq membangunkan senjata pemusnah walaupun tidak mendapat mandat dari PBB. Dengan menggunakan alasan bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah, George W. Bush telah memujuk setiausahanya Colin Powell dan Perdana Menteri British untuk mendapatkan kelulusan PBB untuk melancarkan perang ke atas Iraq. Pada 12 September 2002, Bush telah menempelak PBB kerana tidak meluluskan resolusi terhadap Iraq dan mengatakan Bush akan mengambil tindakan sekiranya PBB tidak bertindak.[65] Majlis Keselamatan PBB tidak memberi kebenaran kepada Amerika untuk memasuki Iraq nit Libriamun Amerika tetap berkeras mahu memasuki Iraq. Amerika Syarikat juga terus melanggar dan tidak mengendahkan apa-apa resolusi yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan. Contohnya, Resolusi 1441 yang menghalang serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq hanya dipandang sepi oleh Amerika Syarikat tetapi pada masa yang sama, Amerika Syarikat sebenarnya telah mempersiap tentera untuk menuju ke Iraq. PBB juga digunakan untuk kepentingan negara besar itu sendiri. Dalam beberapa keadaan, PBB turut dijadikan alat oleh negara tertentu bagi mencapai objektif politik negara tersebut. Kuasa-kuasa besar dunia menggunakan PBB untuk menindas negara lain supaya tunduk kepada kemahuan negara besar tersebut. Amerika Syarikat mendesak PBB supaya membentuk kumpulan pakar pengkaji nuklear yang ditugaskan oleh PBB untuk menyiasat senjata-senjata di Iraq iaitu kuasa baru di Timur Tengah yang boleh mengugat kepentingan mereka. Tindakan ini sebenarnya didalangi oleh kuasa-kuasa besar tersebut.

Antara faktor yang menjadikan PBB tidak relevan pada masa sekarang ialah menyalahguna kuasa VETO. Amerika Syarikat, Rusia, Britain, Perancis dan China yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB acap kali menggunakan kuasa Veto terhadap isu-isu yang menyentuh tentang kepentingan mereka. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat menyatakan veto adalah pernyataan menolak atau membatalkan sesuatu keputusan.[66] Kuasa Veto ialah kuasa pembatal atau pemutus yang diberikan oleh PBB kepada kuasa-kuasa besar dunia dianggap istimewa. Ini kerana negara-negara itu boleh mengenepikan kutukan dan kritikan dari negara-negara anggota dalam Perhimpunan Agung PBB. Amerika Syarikat dan Rusia selalu menyalahgunakan kuasa Veto ini untuk kepentingan mereka sendiri.

PBB turut tidak mengiktiraf pengisytiharan yang sepatutnya diluluskan oleh Security Council PBB dalam peperangan Amerika terhadap Iraq. Penyiasat PBB telah mengisytiharkan bahawa Iraq telah bebas daripada dakwaan adanya senjata pemusnah dan barat sendiri tidak memberi sebarang bantuan kepada PBB pada penghujung Disember.[67] Pasukan penyiasat PBB sendiri turut gagal membuktikan bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah dan mereka juga tidak berjaya mengesahkan dakwaan George W. Bush yang menyatakan bahawa Saddam Hussein sebagai ancaman dunia. Di sini dapat dibuktikan bahawa fungsi PBB itu sendiri gagal dalam mengekang serangan di Iraq.


5.0 ANALISIS

Hasil dapatan kajian yang dijalankan, didapati bahawa campur tangan kemanusiaan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dan Britain merupakan suatu bentuk pencabulan ke atas kedaulatan Iraq. Hal ini kerana semua tindakan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Iraq adalah untuk kepentingan Amerika sendiri.

Serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq dikatakan suatu bentuk keadilan kerana Iraq dikatakan mengancam keamanan dunia disebabkan oleh pemimpinnya iaitu Saddam Hussein yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda. Namun begitu, tiada sebarang bukti yang mengatakan bahawa Saddam Hussein mempunyai kaitan dengan pengganas al-Qaeda bahkan terdapat beberapa pihak yang mengatakan bahawa ia hanyalah sandiwara Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Saddam Hussein.

Selain itu, dikhabarkan juga bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah yang mampu mengancam keselamatan dunia. Pernyataan ini telah dikemukakan oleh Tony Blair, presiden UK namun beliau sendiri tidak mampu untuk mengemukakan bukti yang sahih berkaitan dengan senjata pemusnah tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas Iraq adalah tidak berasas.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa tindakan yang dilakukan oleh Amerika adalah untuk kepentingan mereka sendiri. Antara kepentingan yang ingin dilakukan oleh Amerika adalah untuk mengekalkan kuasa mereka, menyingkirkan pemerintahan Saddam Hussien dan ingin memonopoli kuasa minyak di persada dunia. Jika benar Amerika Syarikat ingin menegakkan keadilan untuk rakyat Iraq, mengapa sekutu-sekutu Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa menentang tindakan yang dilakukan oleh Amerika?[68] Mereka menentang tindakan Amerika ke atas Iraq kerana telah melampaui batas dan tidak seiring dengan apa yang dilakukan oleh Iraq ke atas Amerika. Selain itu, hukuman gantung yang dikenakan ke atas Saddam Hussien juga mendapat tentangan masyarakat antarabangsa. Menurut Frederico Lombardi, jurucakap Vatikan membawa orang yang tidak bersalah ke tali gantung bukanlah untuk mencapai keadilan. Pemimpin Libya Moammar Kadhafi mengatakan proses pengadilan Saddam yang bermula pada Oktober 2005 adalah secara haram dan kerana itu mereka menuntut pengadilan yang tulus terhadap Saddam Hussien. Hamas sebagai organisasi Islam di Palestin pula mengatakan bahawa hukuman terhadap Saddam adalah melanggar undang-undang antarabangsa. Hal ini kerana Saddam adalah tahanan perang dan hukuman gantung yang dujatuhkan adalah salah satu bentuk pembunuhan politik yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Rakyat Iraq sememangnya memerlukan pertolongan daripada pihak luar untuk membebaskan mereka daripada pemerintahan diktator Saddam Hussein. Amerika Syarikat mendapati keadaan tersebut sebagai peluang untuk campur tangan dengan menyatakan bahawa campur tangan tersebut merupakan misi kemanusiaan tetapi pada masa yang sama, Amerika Syarikat mempunyai agenda tersendiri ke atas Iraq. 

Amerika Syarikat pula seakan-seakan mengambil kesempatan ke atas ketidakstabilan politik di Iraq dengan melancarkan beberapa buah serangan ke atas Iraq kononnya ingin menggantikan rejim pemerintahan Saddam Hussein. Keadaan ini jelas menunjukkan Amerika Syarikat menggunakan alasan misi kemanusiaan untuk mengaburi mata masyarakat antarabangsa. Berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan jelaslah menunjukkan bahawa serangan ke atas Iraq adalah satu bentuk pencabulan dan bukannya keadilan.


RUJUKAN

Anthony Clark Arend & Robert J. Beck, 1993, International Law and the Use of
Force,  New York: Routledge.

Chamil Wariya, 1991, Pengajaran dan Persoalan Perang Teluk, Kuala Lumpur : 
Goldana Corporation Sdn Bhd.

Charles Tripp, 2002, A History Of Iraq,  London:Cambridge University.

Christopher Preble, 2004, Exiting Iraq : Why The U.S Must End The Military
Occupation And TheWar Against Al Qaeda, Washington : Library of Congress
Cataloging-in-Publication Data.

Fordham BO, 2008, International Studies Quarterly : Power or plenty? Economic
interests, security concerns, and American intervention 52(4).

Francis Fukuyama, 2009, Penamat Sejarah Dan Manusia Terakhir terj. The End of
History and The Last Man, Kuala Lumpur: Ampang Press  Sdn Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Dawama Sdn. Bhd. Kelang, Selangor.

Kassim Thukiman dan Durrishah Idrus. 2003. Keganasan Antarabangsa; Suatu
Tinjauan Awal dalam Jurnal Kemanusian. Bangi : UKM.

Keppel, Gilles: Milelli, Jean-Pierre dan Ghazaleh, 2008, Al Qaeda In Its Own Words,
Harvard University Press.

Little R ,1987,  Revisiting intervention: A survey of recent developments. Review of
 International Studies 13(1).


Michael Haas, 2009, George W. Bush, War Criminal?: The Bush Administration’s
Liability for 269 War Crimes, Westport: Praeger Publishers.

Michael Mandel, 2004, How America Gets Away With Murder: Illegal Wars,
Collateral Damage and Crimes Against Humanity, London: Pluto Press.

Milan Rai. 2002. War Plan Iraq: Ten Reasons Against War on Iraq, Arrow
Publications, New York.

Muhammad Takiyuddin Ismail. 2007. Aliran Neokonservatif dalam Dasar Luar
Amerika Syarikat: Satu Analisis Terhadap Pengembangan Idea, Peranan
dan Pengaruh, Penerbit UUM.

Ns Mahmud, Sukandar dan Keliek Kristanto, 2007, Detik-detik Kematian Saddam,
Yogyakarta : An Naba’.

Olga Oliker, Keith Crane, Audra K. Grant, Terrence K. Kelly, Andrew Rathmell &
David Brannan, 2007, U.S Policy Options for Iraq. RAND Corporation. Santa
Monica.

Pearson FS & Baumann RA, 1993, International Military Intervention, 1946–1988,
Inter-University Consortium for Political and Social Research, Data Collection
no. 6035, University of Michigan, Ann Arbor, MI.

Pickering J & Kisangani E, 2009, The International military intervention data set,  
Journal of Peace Research 46(4).

Ray Wilkinson, 1990, Iraq’s Dark Knight, Newsweek 9 April.

Richard M. Daulay. 2009. Amerika VS Iraq: Bahaya Politik Agama. Jakarta : Penerbit
Libri.

Rick Fawn & Raymond Hinnebusch. 2005. The Iraq War: Causes and Consequences.
London : Lynne Rienner Publishers.

Russell Watson & John Barry,1990, Public Enemy, No 1, Newsweek 9 April.

Saddam’s Iraq Face-Off In The Gulf, 2002, New Jersey:Prentice Hall.

Seung Wan Choi, 2013, What Determine US Humanitarian Intervention?, Sage
Publications.

Shahanaaz Habib, 2004, Between Blood and Bombs : A Journal of War ( Iraq 2013),
Petaling Jaya : Star.

Shiva Balaghi, 2006, Saddam Hussein A Biography, London: Greenwood Press.

Sity Daud dan Zarina Othman, (pnyt.) 2005. Politik dan Keselamatan, Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Stefaan Walgrave & Dieter Rucht , 2010, The World Say No To War: Demonstrations
Against The War on Iraq, London: University of Minnesota Press.
.
Trias Kuncahyono, 2005, Bulat Sabit di Atas Baghdad, Jakarta : Penerbit Kompas.

Wesley K. Clark, 2006, Winning Modern Wars : Iraq, Terrorism and The American
Empire, Public Affairs : United States.

Willian Blum. 2007. Negara Samseng: Membuka Topng Amerika. Institut
Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Serangan_11_September_2001






[1] Anthony Clark Arend & Robert J. Beck, International Law and the Use of Force, 1993, New York: Routledge, hlm. 113.
[2] Pearson FS and Baumann RA, International Military Intervention, 1946–1988, 1993, Inter-University Consortium for Political and Social Research, Data Collection no. 6035, University of Michigan, Ann Arbor, MI. Lihat juga, Pickering J and Kisangani E, The International military intervention data set, 2009, Journal of Peace Research 46(4), hlm. 589–600.
[3] Little R , Revisiting intervention: A survey of recent developments. Review of International Studies 13(1), 1987, hlm. 49-60.
[4] Pickering J and Kisangani E., 2009, hlm. 593.
[5] Seung Wan Choi, What Determine US Humanitarian Intervention?, 2013, Sage Publications, hlm. 122.
[6] Fordham BO, International Studies Quarterly : Power or plenty? Economic interests, security concerns, and American intervention 52(4), 2008, hlm. 737–758.
[7] Shahanaaz Habib, Between Blood and Bombs : A Journal of War ( Iraq 2013), 2004, Petaling Jaya : Star, hlm. XI.
[8] Ibid.
[9] Ibid. Hlm. XII
[10] Ibid.
[11] Ibid.
[12] Ibid. Hlm 122. Lihat juga Wesley K. Clark, Winning Modern Wars : Iraq, Terrorism and The American Empire, 2006, Public Affairs : United States, hlm XI.
[13] Ibid. hlm 196. Lihat juga Trias Kuncahyono, Bulat Sabit di Atas Baghdad, 2005, Jakarta : Penerbit Kompas.
[14] Shiva Balaghi, Saddam Hussein A Biography, 2006, London: Greenwood Press, hlm. 71-74.
[15] Francis Fukuyama, Penamat Sejarah Dan Manusia Terakhir terjemahan The End of History and The Last Man, 2009, Kuala Lumpur: Ampang Press  Sdn Bhd, hlm. 18.
[16] Ns Mahmud, Sukandar, Keliek Kristanto, Detik-detik Kematian Saddam, 2007, Yogyakarta : An Naba’, hlm. 23-30.
[17] Charles Tripp, A History Of Iraq, 2002, London:Cambridge University, hlm. 244.
[18] Ibid. hlm. 90.
[19] Ibid. hlm 31.
[20] Keppel, Gilles: Milelli, Jean-Pierre dan Ghazaleh, Al Qaeda in its own words, 2008, Harvard University Press.
[21] Ibid. hlm 76-77.
[22] Richard M. Daulay, Amerika Vs Irak Bahaya Politisasi Agama, 2009, Jakarta:Penerbit Libri, hlm 7-8.
[23] Saddam’s Iraq Face-Off In The Gulf, 2002, New Jersey:Prentice Hall, hlm 30.
[24] Ibid. hlm xiv.
[25] Russell Watson, John Barry, “ Public Enemy, No 1”, Newsweek 9 April 1990, hlm 8.
[26] Olga Oliker, Keith Crane, Audra K. Grant, Terrence K. Kelly, Andrew Rathmell, David Brannan (2007), U.S Policy Options for Iraq. RAND Corporation. Santa Monica. hlm 16
[27] Chamil Wariya (1991), Pengajaran dan Persoalan Perang Teluk. Goldana Corporation Sdn Bhd. Kuala Lumpur. hlm 49
[28] Ray Wilkinson “Iraq’s Dark Knight”. Newsweek 9 April 1990, hlm 12.
[29] Chamil Waruya,1991. hlm 50.
[30] Christopher Preble (2004), Exiting Iraq : Why The U.S Must End The Military Occupation And TheWar Against Al Qaeda. Library of Congress Cataloging-in-Publication Data. Washington. hlm 25.
[31] Milan Rai, War Plan Iraq: Ten Reasons Against War, 2002, London: Arrow Publication, hlm. 117.
[32] Sity Daud dan Zarina Othman (pnyt.),  Politik dan Keselamatan, 2005, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 27.
[33]  Sity Daud dan Zarina Othman (pnyt.),  Politik dan Keselamatan, 2005, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 27
[34] Milan Rai, War Plan Iraq: Ten Reasons Against War, 2002, London: Arrow Publication, hlm. 118.
[35] Ibid..
[36] Ibid., hlm. 119.
[37] Ibid..
[38] Ibid..
[39] Ibid., hlm. 122.
[40] Michael Haas, George W. Bush, War Criminal?: The Bush Administration’s Liability for 269 War Crimes, 2009, Westport: Praeger Publishers, hlm. 35.
[41]Ibid., hlm. 36.
[42] Ibid..
[43] Ibid..
[44] Michael Mandel, How America Gets Away With Murder: Illegal Wars, Collateral Damage and Crimes Against Humanity, 2004, London: Pluto Press, hlm. 3.
[45] Michael Haas, George W. Bush, War Criminal?: The Bush Administration’s Liability for 269 War Crimes, 2009, Westport: Praeger Publishers, hlm. 41.
[46] Stefaan Walgrave & Dieter Rucht , The World Say No To War: Demonstrations Against The War on Iraq, 2010, London: University of Minnesota Press, hlm. 1.
[47] Ibid.
[48] Ibid.
[49] Ibid., hlm 14.
[50] Milan Rai, War Plan Iraq: Ten Reasons Against War, 2002, London: Arrow Publication, hlm. 165.
[51] Ibid.
[52]Ibid., hlm. 166.
[53] Ibid.
[54] Ibid.
[55] Ibid.
[56] Muhammad Takiyuddin Ismail. Aliran Neokonservatif dalam Dasar Luar Amerika Syarikat: Satu Analisis Terhadap Pengembangan Idea, Peranan dan Pengaruh. 2007. Penerbit UUM. Hlm 78.
[57] Willian Blum. Negara Samseng: Membuka Topng Amerika. 2007. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Kuala Lumpur. Hlm xiii.
[58] Milan Rai. War Plan Iraq: Ten Reasons Against War on Iraq.2002.  Arrow Publications, New York. Hlmn 171
[59] Kassim Thukiman dan Durrishah Idrus. Keganasan Antarabangsa; Suatu Tinjauan Awal dalam Jurnal Kemanusian. 2003. Bangi, UKM. Hlm 150.
[60] Kassim Thukiman dan Durrishah Idrus. Keganasan Antarabangsa; Suatu Tinjauan Awal dalam Jurnal Kemanusian. 2003. Bangi, UKM. Hlm 151.
[61] Ibid. Hlm 151
[62] Richard M. Daulay. Amerika VS Iraq: Bahaya Politik Agama. 2009. Penerbit Libri, Jakarta. Hlm 6-7
[63]Kassim Thukiman dan Durrishah Idrus. Keganasan Antarabangsa; Suatu Tinjauan Awal dalam Jurnal Kemanusian. 2003. Bangi, UKM. Hlm 152.
[64] Richard M. Daulay. Amerika VS Iraq: Bahaya Politik Agama. 2009. Penerbit Libri, Jakarta. Hlm 6
[65] Rick Fawn, Raymond Hinnebusch. The Iraq War: Causes and Consequences.  2005. Lynne Rienner Publishers, London. Hlm 2
[66] Kamus Dewan Edisi Keempat. 2010. Dawama Sdn. Bhd. Kelang, Selangor. Hlm 1789
[67] Milan Rai. War Plan Iraq: Ten Reasons Against War on Iraq. 2002.  Arrow Publications, New York. Hlm 3
[68] Sekutu-sekutu Amerika Syarikat seperti Jerman, Arab Saudi dan Perancis menentang campur tangan kemanusiaan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ke atas Iraq.


Disediakan Oleh:

SAIDAH SAKINAH BINTI SHO KHAIMIN 
NUR SARAHAH BINTI MOHD SUPIAN 
NURATIKAH BINTI ABU BAKAR 
SITI NURQALILA BINTI OMAR 
SITI SALINA BINTI MASDEY 

No comments: