Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Friday, September 18, 2015

Zaman Enlightenment


1.0 PENDAHULUAN

Zaman Enlightenment atau zaman Pencerahan dikatakan bermula antara 1650-1800 Masihi dan adalah era di mana semangat kepercayaan dan pegangan manusia pada ketika itu adalah kritikal, berasaskan sebab musabab dan kaedah-kaedah saintifik. Pada zaman ini, golongan pemikir berusaha untuk melahirkan masyarakat yang lebih terbuka, bertolak ansur, menekankan kebahagiaan individu dan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan. Pada zaman ini juga telah lahirnya pemikir yang terkenal seperti Voltaire, John Locke, Montesquieu, Thomas Hobbes dan Reussau.
            Menurut Immanuel Kant, zaman Pencerahan ialah kemunculan seseorang dari ketidakmatangan yang dipikulnya. Voltaire pula menyatakan bahawa zaman pencerahan sebagai “zaman akal”. Ahli falsafah yang lain seperti David Hume dan Denis Diderot pula menegaskan bahawa zaman Pencerahan memainkan peranan yang penting untuk membersihkan minda tahyul di Eropah iaitu pada zaman pertengahan dan memberikan peluang kepada akal untuk menyelesaikan masalah manusia sejagat.
            Pada abad ini juga, ajaran-ajaran berkaitan dengan perkara mistik, agama serta gereja semakin dilupakan bahkan diganti pula dengan pemikiran atau idea-idea yang lebih berilmiah dan saintifik. Zaman Pencerahan di Eropah sering dikaitkan dengan konsep modenisasi di Eropah dalam pelbagai aspek antaranya termasuklah politik, ekonomi dan sosial. Pada tahun 1789, telah tercetusnya Revolusi Perancis iaitu sebagai pengaruh kepada falsafah zaman Pencerahan  dan akhirnya membawa Eropah kepada era moden.

2.0PERKEMBANGAN ILMU PENGETAHUAN

Zaman Enlightenment atau juga dikenali sebagai Zaman Pencerahan merupakan rentetan daripada zaman sebelumnya iaitu zaman Renaissance. Pada ketika itu, golongan cendiakawan pada zaman Renaissance telah mempersoalkan tentang kewajaran untuk memperolehi ilmu pengetahuan sekiranya hanya bergantung kepada kepercayaan dan agama semata-mata sahaja. Ramai orang Barat yang dahulunya telah pergi merantau ke negara-negara maju. Di sana, mereka telah mempelajarai falsafah yang dikemukakan iaitu antaranya termasuklah mempelajari falsafah rasionalisme yang dipopularkan oleh ahli-ahli falsafah Yunani seperti Plato, Aristotle, Archemedes dan Socrates pada abad ke-3 dan ke-4 sebelum Masihi.
            Setelah kembali ke negara mereka, golongan cendiakawan ini pula cuba untuk memahamkan dan memperbetulkan kehidupan masyarakat di tempat mereka. Akhirnya, falsafah rasionalisme atau rasional ini telah berkembang semasa zaman Pencerahan. Pada masa yang sama, muncul beberapa orang pemikir Perancis seperti Rene Descartes, Charles Montesquieu, Jacques Rousseau, Thomas Hobbes dan John Locke.[1] Kemunculan rasionalisme muncul dan menggantikan agama lalu menjadi tunggak utama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Manusia juga semakin digalakkan untuk berfikir dan membuat penaakulan (reasoning) secara empirikal dan sistematik.[2]
            Ahli falsafah sering mempersoalkan tentang ilmu pengetahuan. Persoalan yang sering dipersoalkan adalah bagaimana sesuatu perkara itu boleh dianggap sebagai ilmu pengetahuan? Bagaimana pula ilmu pengetahuan itu boleh diperolehi? Segala persoalan ini terdapat dalam cabang falsafah dan dikenali sebgai epistemology atau teori ilmu pengetahuan. Pada abad yang ke-17, pengaruh yang kuat dalam pembangunan epistemology datang daripada seorang ahli falsafah Perancis iaitu Rene Descartes (1596-1650).[3] Beliau ingin mengetahui sama ada ilmu pengetahuan dapat dipertahankan sekiranya wujud sebarang keraguan.
            Descartes di dalam karyanya Meditation (1641), beliau telah mencipta satu kaedah yang sistematik berkaitan dengan setiap perkara yang boleh dipersoalkan haruslah dibuang. Beliau turut menolak sebarang kepercayaan yang sebelumnya diperolehi melalui deria (sense) dan beliau memberikan alasan bahawa deria adalah sesuatu yang tidak boleh dipercayai. Oleh itu, atas dasar ini beliau mendakwa bahawa hanya sesuatu perkara yang mempunyai alasan atau sebab yang kukuh adalah sumber ilmu pengetahuan (rasionalisme) yang boleh dipercayai.[4]
            Ahli falsafah Inggeris iaitu John Locke pula menentang konsep rasionalisme. Beliau menyatakan bahawa lima deria yang kita miliki ialah salah satu sumber pengetahuan. Tanpa deria-deria ini, seseorang tidak dapat mengetahui apa-apa perkara (walaupun perkara itu wujud), dan tanpa deria-deria tertentu contohnya penglihatan, seseorang tidak dapat merasai pengalaman lalu tidak dapat menghasilkan pengetahuan. John Locke di dalam karyanya Essay Concerning Human Understanding, beliau menegaskan bahawa persepsi deria serta refleksi minda yang terdapat pada setiap tanggapan, memberikan kita tentang pengetahuan sama ada yang ada ataupun yang kita tidak boleh ada.[5] Rasionalis pula sebaliknya mendakwa bahawa pengetahuan dunia adalah berdasarkan sebab yang kita boleh pelajari dengan berfikir.
            David Hume pula menjadikan John Locke sebagai sumber inspirasi, tetapi beliau cuba untuk membaiki apa yang telah disampaikan oleh Locke. Beliau juga bersetuju dengan kritikan Lock berkaitan dengan rasionalisme, atas dasar bahawa deria juga memainkan peranan dalam mebentuk pemahaman kita. Hume pula menganggap bahawa semua kepercayaan agama sebagai tidak munasabah dan menolak idea Locke bahawa keadilan dan harta adalah sesuatu yang semulajadi. Beliau juga menyatakan bahawa manusia sentiasa tunduk kepada emosi.

            Christian Wolff pula mempercayai bahawa matematik merupakan salah satu model yang tepat untuk penaakulan (reasoning) serta membangunkan kaedah deduktif dalam usaha untuk mewujudkan satu sistem falsafah rasionalis. Kepercayaan bahawa pengetahuan dan kebenaran boleh terhasil dengan kepastian, seperti pengiraan. Satu hujah priori (deduktif) dikatakan boleh membawa kepada kesimpulan yang logik. Sebaliknya, hujah posteriari (induktif) hanya boleh mencapai kebenaran sementara kerana ini adalah bergantung kepada cadangan yang telah atau akan berubah seperti deria, eksperimen dan pengalaman.
            Antara karya terhebat Newton iaitu, Philosophiae Naturalis Principia Mathematica (Mathematical Principles of Natural Philosophy) telah membuktikan tentang tarikan graviti. Beliau secara zahirnya ialah Kristian konvensional (walaupun dalam diam menolak konsep Triniti).[6] Beliau bukanlah ingin melemahkan kepercayaan masyarakat terhadap Tuhan kerana sesungguhnya, beliau telah mengikut kajian teologi yang beasar dan pengikut serta penyokongnya sering menggunakan teori sebagai bukti kejadian alam. Hal ini memperlihatkan bahawa mereka hanya mempercayai sesuatu perkara berdasarkan bukti yang ada.
            Istilah ‘Newtonian’ mewakili pemerhatian alam semula jadi sebagai satu sistem sejagat yang boleh dijelaskan dari hujah matematik.[7] Ramai ahli falsafah telah diilhamkan oleh kaedah dan pencapaian Newton, bukan sahaja dalam pelajaran dunia material bahkan juga dalam aspek masyarakat dan budaya. Hal ini turut membuktikan bahawa hasil kerja Newton menimbulkan keyakinan besar bahawa misteri-misteri alam boleh didedahkan dan digunakan untuk faedah manusia.



3.0 PERKEMBANGAN POLITIK

Zaman Pencerahan adalah zaman yang mana masyarakatnya mula berusaha untuk menentang ketidakadilan yang timbul daripada pihak berkuasa tradisional yang kebanyakannya berlaku pada abad yang ke-18. Dalam perjuangan ini, tokoh-tokoh penting seperti Voltaire telah terpanggil untuk menentang ketidakadilan. Beliau telah melancarkan kempen untuk membebaskan manusia yang sering berhadapan dengan pengorbanan peribadi seperti penjara dan proses buangan .
            Manusia sejagat kebanyakaannya adalah buta huruf (khususnya di Eropah) dan amat dibahagikan mengikut agama, bangsa, kelas dan jantina. Walau bagaimanapun,  nilai-nilai politik mempercayai bahawa ia akan dimasukkan ke dalam pemikiran zaman Pencerahan untuk dibahaskan agar setiap manusia itu bebas dan boleh melakukan apa saha mengikut kehendak mereka.
            Apabila melihat kepada peredaran, zaman Pencerahan dapat dilihat sebagai zaman di mana masyarakatnya mula mempersoalkan tentang ajaran agama. Ia dilihat akan lebih kukuh sepanjang melalui pembangunan dan penyebaran idea-idea liberal yang baru ditambah pula dengan kegagalan kerajaan kontemporari. Ia dilihat akan membawa kepada pergerakan yang demokratik berpaksikan  penentangan terhadap status kuo terutamanya di Amerika Utara dan Perancis.[8] Keadaan revolusi di sana telah membahaskan tentang hubungan manusia yang boleh dikembalikan dan penciptaan radikal yang baru yang merupakan isyarat pemisah kepada masa lalu.

            Ia adalah tidak sukar untuk menghubungkan fasa pertama Revolusi Perancis, bermula dengan menggulingkan pemerintahan lama dan perumusan kepada Declaration of the Rights of Man and the Citizen pada tahun 1780 kepada idea-idea politik beberapa pemikir zaman Pencerahan.[9] Walaupun Montesque, Voltaire, Rousseau dan kebanyakan ahli falsafah Perancis yang lain tidak pernah menyokong revolusi, kebanyakannya telah menentang banyak amalan politik rejim kuno dan semua ingin melihat agar undang-undang diwujudkan untuk melindungi individu dari apa yang dianggap sebagai penyalahgunaan yang disengajakan dan salah guna kuasa.[10]
            Beberapa individu seperti Denis Dederot dan Marchese di Beccaria telah member amaran tentang bahaya yang akan menimpa masyarakat sekiranya pihak berkuasa gagal merebut peluang yang diberikan oleh pemikir zaman Pencerahan untuk memperkenalkan pembaharuan. Tetapi tujuan politik asal mereka adalah ingin mengelakkan krisis dan menyelamatkan masyarakat daripada berlakunya ketidakadilan.
            Pada tahun 1690, John Locke telah menerbitkan apa yang akan menjadi salah satu kerja politik yang paling berpengaruh semasa zaman Pencerahan dan pengasas teks falsafah liberal iaitu Two Treatris of Civil Government yang mengandungi dua bahagian. Pada bahagian kedua, iaitu ‘an Essay Concerning the True, Original, Extent and End of Civil Government’, Locke telah membentangkan tentang radikal dan kontroversi berkaitan dengan kuasa dan kedudukan politik.[11]
         Idea Locke, hak semula jadi individu, kontrak sosial, kedaulatan, kerajaan dan hak rintangan dilaksanakan pengaruh yang kuat pemikiran politik semasa zaman Pencerahan itu, dan kerja beliau telah menimbulkan perbahasan ilmiah yang sengit ketika zaman moden. Ekstrak yang diambil daripada Two Treatises ini, beliau menyatakan bahawa “semua dalah sama dan tiada siapa yang sepatutnya memudaratkan yang lain dalam kehidupan, kesihatan atau harta benda’.[12]
            Dalam The Spirit of Laws, Montesquieu menganalisa perbezaan di antara bentuk-bentuk tiga Kerajaan (replublican, monarchic, despotic) dan apa yang dilihatnya sebagai dominan (vitue, honour, fear) untuk setiap keadaan. Dalam situasi ini, beliau mencampurkan komen sejarah, falsafah dan teori politik. Beliau sangat memuji Perlembagaan British bagi pemisahan kuasa kuasa contohnya, kebebasan badan kehakiman, dan memberi amaran mengenai bahaya ancaman.[13] Dalam bahagian kedua buku ini, beliau mengembangkan teori beliau bagaimana dengan persekitaran (termasuk geografi, adat, sumber dan iklim) membantu untuk membentuk budaya dan undang-undang setiap masyarakat.


4.0 GENDER DAN MASYARAKAT

Lelaki dan wanita mempunyai banyak perbezaan antaranya termasuklah fizikal, perbezaan mental dan moral antara lelaki dan wanita, peranan gender serta tanggungjawab dan hak. Isu ini tidak menjadi sesuatu isu yang biasa semasa zaman Pencerahan. Dalam rujukan penyelidikan moden dan kajian sejarah feminis wanita dalam tempoh tersebut, terdapat pandangan yang bersetuju setakat mana dan cara di mana idea-idea utama berkaitan dengan gender khususnya memberikan kesan kepada kehidupan wanita.
            Wanita merupakan golongan yang aktif dalam pembangunan pemikir semasa zaman Pencerahan dan mereka turut mencipta imej dan cita-cita baru yang melambangkan identiti mereka sendiri. Penciptaan amalan sosial yang baru turut meyumbang kepada perbahasan semasa zaman Pencerahan seperti kritikan Mary Astell berkaitan dengan penulisan Locke kepada Mme de Stael terhadap rejim Napoleon.[14] Selain itu, pada abad ke-18, kemiskinan dan kadar buta huruf dalam kalangan lelaki dan wanita yang terlibat dalam perbincangan zaman Pencerahan, subordinasi undang-undang dan diskriminasi terhadap kaum wanita dalam kebanyakan peranan awam telah menyekat penyertaan mereka.
            Walaupun begitu, pada sepanjang abad tersebut, golongan wanita seperti Marquise du Chatelet (1706-49), Catherine Macaulay (1731-91), Mary Wollstonecraft (1759-97) and Mme de Stael (1766-1817) telah menulis satu kajian saintifik, sejarah dan sastera serta kerja-kerja penting semasa zaman Pencerahan. Wanita juga semakin bergiat aktif sebagai penyokong dan berdebat untuk masyarakat.[15] Lebih-lebih lagi, zaman Pencerahan telah meletakkan wanita di tempat utamawalaupun ada pandangan yang pada awalnya menyatakan bahawa wanita secara semula jadinya adalah lemah berbanding dengan lelaki.

            Pada sepanjang abad, perubahan sosio-ekonomi dan budaya yang dibawa oleh pertumbuhan perbandaran, kadar celik huruf dan aktiviti perindustrian di beberapa bahagian di Eropah mempunyai kesan yang ketara terhadap kehidupan seseorang wanita. Kini, ramai yang masuk pasaran buruh dan dibayar sebagai pembantu rumah atau pekerja kilang. Walaupun kelas-kelas pertengahan yang semakin meningkat bukan sahaja pada amnya idea disokong bahawa keluarga perlu diketuai oleh lelaki yang makan gaji tetapi wanita yang ideal kini berperanan sebagai penjaga rumah, membesarkan anak-anak dan memberikan kesedaran moral dan agama dalam kehidupan berkeluarga.
            Terdapat juga minat yang kuat dalam jenis pendidikan yang dianggap sesuai untuk lelaki dan wanita. Hal ini telah dinyatakan dalam tempoh yang terlebih awal seperti Locke dengan hasil kerjanya iaitu Some Thoughts Concerning Education (1963) dan dalam tulisan tokoh-tokoh reformis seperti Mary Asteel dan Richard Steele dan ia berterusan pada sepanjang abad ini. Oleh itu di Perancis, pada tahun 1977 Academy of Bascon telah mencadangkan perbahasan tentang wanita dan pendidikan. Pada tahun 1783 pula, academy of Chalons-sur-Marne telah menghasilkan karya tentang cara yang terbaik untuk meningkatkan pendidikan dalam kalangan wanita.[16]
            Pada separuh abad, gelombang politik Amerika dan Revolusi Perancis telah menggalakkan perdebatan berkaitan dengan hak-hak wanita. Di Amerika, wanita di New Jersey dan Pennsylvania telah memperolehi francais tersebut di mana wanita mudah terlibat dengan politik dan beberapa pergerakan. Beberapa kelab politik sewaktu Revolusi Perancis turut diwujudkan. Pada 1793, Pauline Leon iaitu seorang pembuat coklat dan Claire Lacombe iaitu seorang pelakon juga telah menubuhkan kelab wanita sahaja iaitu Societe de Revolutionnares.[17]

            Pada kemuncak revolusi pada tahun 1791, Marie Olympe Aubry de Gouges telah menerbitkan sebuah risalah iaitu Les Droits de la Femme et de la Citoyenne (The Rights of Woman and Female Citizen). Ia adalah didedikasikan untuk Marie Antoinette, dan Gouges adalah penegak sistem monarki dan berharap agar permaisuri akan menegakkan hak-hak politik wanita. Beliau juga bercakap dan menulis kepada Dewan Negara dan meletakkan di Paris yang menimbulkan kontroversi.[18]
            Beliau juga mengisytiharkan hak-hak wanita dan menafikan perbezaan seksual di mana wanita  perlu diberi hak supaya tidak wujud sebarang perbezaan antara jantina. Pada 1793, Gouges telah mengarang tulisan yang memperlekehkan golongan rejim ini. Ia secara rasmi dilaporkan bahawa beliau melakukan sedaya upayanya  untuk menyebarkan prinsip-prinsip revolusi dan beliau adalah pengasas persatuan-persatuan bagi kaum wanita. Di dalam The Rights of Woman, Gouges telah memanggil wanita untuk bangkit dan mengetahui hak-hak wanita.[19]
            A Vindication of the Rights of Women ialah salah satu penerokaan terhadap subordinasi wanita. Wollstonecraft menulis berdasarkan pengalaman peribadinya ketika Revolusi Perancis, telah mengambil salah satu cita-cita semasa zaman Pencerahan dan mengaplikasikannya ke atas wanita dengan alasan bahawa ia adalah hipokritikal jika tidak berbuat sedemikian.[20] Ia adalah satu bentuk berdebatan dan dengan tegas menentang pelbagai kezaliman berdasarkan proses penganalisaan terhadap sosial wanita.
            Wollstone menyatakan bahawa asas kebaikan adalah sebab, kebajikan dan pengetahuan. Ia adalah salah satu bentuk untuk mengakses pendidikan yang banyak memainkan peranan penting dalam membolehkan wanita untuk mendapat manfaat daripada budaya rasional dan melepaskan mereka daripada ruangan persendirian.


5.0 PERKEMBANGAN ILMU SAINS DAN CIPTAAN

Kemunculan gerakan Zaman Pencerahan telah membawa kepada perkembangan pemikiran intelektual barat dalam ilmu sains dan ciptaan. Gerakan zaman Pencerahan ini melahirkan pemikir-pemikir baharu yang membebaskan pemikiran manusia daripada mitos, fantasi dan menolak penerangan teologi. Sebelum zaman Pencerahan ini berlaku, sains telah diaplikasikan oleh ahli-ahli falsafah sebelumnya bagi memahami dan menerangkan mengenai setiap kejadian dunia. Namun, penggunaan sains ini masih pada tahap permulaan dan hasilnya masih diragui pada ketika itu. Ilmu sains mengalami transformasi melalui ‘Revolusi Sains’ dan statusnya sebagai ilmu pengetahuan mula diangkat pada zaman Pencerahan.
Zaman Pencerahan memperlihatkan ilmu sains yang tertumpu kepada pandangan saintifik telah dibincangkan dengan lebih meluas melalui rangka kerja yang dikenali sebagai ‘natural philosophy’ atau ‘falsafah alam’ sekali gus menghapuskan rangka kerja Aristotelian terawal dan teori-teori tertentu seperti teori Descartes.[21] Rangka kerja ini mengandungi ilmu fizik serta perbincangan mengenai pemahaman manusia mengenai fenomena alam semulajadi. Ilmu sains telah dipisahkan daripada aliran utama falsafah lalu dibahagikan kepada dua bentuk disiplin ilmu iaitu sains tabi’i dan sains sosial yang kemudiannya menjadi semakin berkembang.[22]
Pemikir-pemikir sains yang muncul pada zaman Pencerahan ini adalah seperti Jean d’Alembert, Voltaire, Hume dan lain-lain lagi. Menurut d’Alembert, kaedah pembelajaran dan pencarian pemikir-pemikir pada abad ke-17 seperti Francis Bacon (1561-1621), Galileo Galilei (1564-1642) dan Rene Descartes (1596-1650) telah mendorong pemikir-pemikir Pencerahan berbahas dengan lebih mendalam mengenai dunia menggunakan ilmu sains.[23]

Pada akhir abad ke-17, hasil kerja dua orang intelektual Inggeris iaitu John Locke dan Isaac Newton secara beransur-ansur telah memberikan kesan yang amat besar kepada skop pemikiran secara saintifik. John Locke melalui hasil kerjanya An Essay Concerning Human Understanding (1689) telah menekankan pemantapan epistemologi empiris melalui pengalaman sebagai asas kepada pengetahuan. Manakala Isaac Newton pula telah menghasilkan penerangan matematik serta menjelaskan mengenai perjalanan kosmik dan graviti lalu meletakkan idea ruang sebagai idea utama. Hasil kerja ini telah memberi impak yang besar untuk meluaskan ilmu penyelidikan secara saintifik dalam mengenal alam dan manusia.
Isaac Newton khusunya telah menjadi ikon zaman Pencerahan dan kebanyakan penyelidikan yang dijalankan oleh ahli-ahli sains dipengaruhi oleh kaedah-kaedah penyelidikan milik Newton. Ramai intelektual berusaha untuk menyiapkan projek mereka dengan menyebarkan kaedah-kaedah penyelidikan Newton kepada setiap pusat kajian. Perbincangan mengenai hasil kerja Newton dan penyebaran secara meluas yang dijalankan menggambarkan bahawa bukan sahaja penyelidikan saintifiknya yang penting malah kesan yang luar biasa terhadap ahli falsafah secara umumnya membantu dalam disiplin sains sosial.
Pengetahuan saintifik yang berkembang ini telah menyebabkan penyelidikan saintifik dan eksperimen menjadi medium yang paling berkesan untuk mendapatkan maklumat tentang manusia, masyarakat dan dunia. Sepanjang abad ke-17 hingga ke-18 ini, dapat dilihat bahawa terdapat banyak persaingan teori dan falsafah sains seperti pandangan sesuatu perkara sama ada daripada sudut pandang materialis, mekanikal atau vitalisme. Selain itu, terdapat juga kontroversi saintifik yang melibatkan mereka yang mengambil berat mengenai alam dan berlakunya amalan-amalan sains seperti kimia serta hipnosis.

Sebuah karya yang dihasilkan oleh David Hume (1711-1776) yang bertajuk Treatise juga membantu memajukan konsep empirisme British yang menekankan kepada penggunaan pengetahuan saintifik. Karya Hume ini merupakan cubaan untuk mencapai matlamat demi mewujudkan bidang baru yang dikenali sebagai psikologi saintifik.[24] Hume menyatakan dalam karyanya ini bahawa idea merupakan salinan tanggapan atau tanggapan yang tidak jelas.[25] Karya yang dihasilkan oleh Hume memberi pendekatan yang saintifik kepada psikologi dan mendorong kepada sikap ragu-ragu terhadap mereka yang ingin mengukuhkan asas kepada penyelidikan saintifik.[26]
Dalam pada itu, terdapat medium lain yang membantu menyedarkan intelektual barat tentang kepentingan ilmu sains ini iaitu Encyclopedie Perancis yang telah dihasilkan oleh beberapa orang ahli falsafah penting termasuklah Denis Diderot (1713-1784) dan d’Alembert. Encyclopedie ini mengandungi koleksi-koleksi pengetahuan semasa termasuklah ilmu seni dan kraf, sains dan teknologi serta pertanian dan industri.[27] Karya ini merupakan karya ensiklopedia yang pertama yang mengetengahkan berpuluh-puluh pakar ilmu bagi menyumbangkan artikel-artikel dalam bidang yang dipilih mereka.[28] Karya ini juga menjadi wadah yang memberi tawaran kepada ahli-ahli sains untuk berbincang mengenai kaedah-kaedah baru selain mencari dan mengemukakan idea.

Hasil kerja seorang pemikir zaman Pencerahan iaitu Francois-Marie Arquet de Voltaire (1694-1778) atau lebih dikenali sebagai Voltaire juga secara tidak langsung memberi penekanan mengenai pentingnya pengetahuan sains dalam memajukan masyarakat Eropah. Hasil-hasil kerjanya telah dikhaskan untuk menyebarkan pengetahuan saintifik kepada pembaca-pembaca Perancis dan karya ini memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sains dan penemuan Newton.[29] Karyanya yang bertajuk Letters Concerning the English Nation telah diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1733.

6.0 PEMBANGUNAN MASYARAKAT SIVIL

Gerakan zaman Pencerahan ini hakikatnya telah menjadi medium penyampaian yang sangat berkesan bagi membuka mata dan menyedarkan para intelektual Barat mengenai kehidupan masyarakat yang lebih teratur dan bermoral. Kewujudan gerakan ini telah menjadi titik tolak berlakunya kemajuan dan pembangunan dalam pembinaan masyarakat sivil. Perkara-perkara yang diketengahkan oleh ahli falsafah pada waktu ini mengenai sejarah, asal usul dan sebagainya berkaitan manusia mendapat sambutan yang hebat daripada para intelektual Barat yang seterusnya akan menggunakannya sebagai pengisian bagi mendidik masyarakat supaya keluar daripada kepompong pemikiran teologikal dan skolastik.
Ahli-ahli falsafah pada zaman Pencerahan sangat berminat kepada asal-usul serta sejarah hidup manusia bagi memahami dengan lebih mendalam mengenai ciri-ciri masyarakat berdasarkan kehidupan dan tempat tinggal sesebuah masyarakat. Mereka bersemangat untuk menunjukkan perkembangan dan potensi untuk meningkatkan kehidupan manusia. Mereka membuat penelitian intensif dan ekstensif tentang sejarah manusia, sifat masyarakat, sifat manusia dan ciri-ciri alam semula jadi untuk menarik minat masyarakat memahami cara masyarakat manusia beroperasi, cara dan sebab musabab tamadun manusia tumbuh, berkembang serta musnah dan sebagainya.[30]
Pada masa yang sama, ahli-ahli falsafah ini juga mengkaji masyarakat dengan cara mengenal pasti hukum-hukum (laws) yang dipercayai mampu mengawal tingkah laku manusia seterusnya membentuk ketertiban dan aturan sosial dalam hidup bermasyarakat. Kaedah-kaedah yang dilaksanakan oleh para pemikir zaman Pencerahan ini adalah untuk membantu membentuk dan membina semula masyarakat yang dahulunya berfikiran ortodoks yang hanya mengikut aturan agama kepada masyarakat yang lebih berfikiran terbuka dan maju. Hal ini penting bagi menggerakkan para intelektual barat untuk membangunkan masyarakat melalui pendidikan.
Sejarah manusia yang diketengahkan oleh pemikir abad ini bukan sahaja menceritakan mengenai masa lalu tetapi kandungannya penting dan menjadi keperluan kepada masyarakat bagi menzahirkan pengajaran atau amalan yang boleh diaplikasikan pada zaman moden. Justeru itu, bagi menganalisis perbezaan dan perubahan yang berlaku kepada manusia pada zaman dahulu dan sekarang, ahli falsafah memerlukan pebagai kaedah. Beberapa ahli falsafah menganalisis manusia berdasarkan pengkelasan saintifik dan penjelasan mengenai kehidupan dunia seperti yang dicadangkan oleh Linnaeus dan Comte de Buffon. [31]
Bagi mengukuhkan penjelasan ahli-ahli falsafah mengenai asal-usul dan perkembangan masyarakat, mereka tertarik kepada hasil kerja ahli teori undang-undang semula jadi seperti Hugo Grotius (1583-1645) dan Samuel Pufendorf (1632-1694). Para penulis ini cuba untuk mewujudkan satu sistem undang-undang dan moral sejagat berdasarkan hujah-hujah yang menjadi asas kepada keperluan hidup manusia sebelum munculnya peraturan dan kerajaan.[32] Ahli-ahli falsafah dengan jelas menyatakan kepercayaan kepada kemodenan dan keunggulan masyarakat selain komitmen yang diberikan masyarakat untuk mengemukakan idea dan melakukan perubahan mewakili jenis masyarakat sama ada bersifat primitif, sedang maju atau sebagainya.[33]
Oleh itu, bagi mengenal pasti masyarakat dan melaksanakan usaha mendedahkan undang-undang yang membentuk perkembangan masyarakat, Adam Smith memberi tumpuan kepada tahap ekonomi masyarakat dengan menggambarkan bahawa semua manusia telah terdorong untuk bersikap mementingkan diri demi memperoleh keinginan. Karyanya yang bertajuk The Wealth of Nations, mengenal pasti dan menerangkan pertumbuhan ekonomi, kemakmuran dan pembangunan sosial berasaskan prinsip-prinsip asas ‘natural’ yang didorong oleh keinginan untuk menggiatkan aktiviti ekonomi mereka.[34] Smith turut bimbang mengenai kemiskinan yang dihadapi masyarakat justeru itu, beliau berusaha menunjukkan cara agar masyarakat bekerjasama untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi.
Bersama dengan beberapa orang penulis lain seperti Adam Ferguson dan John Millar, idea Smith telah membentangkan asas pemikiran kapitalis selain menggunakan idea Mandeville untuk pembangunan teori ekonomi. Beliau menekankan kepentingan terhadap pandangan yang tidak memihak semasa menimbang kelakuan diri sendiri dan orang lain[35]. Asal-usul, sejarah dan pembangunan masyarakat sivil yang digambarkan semasa zaman Pencerahan boleh dilihat melalui hasil kerja Ferguson dan Gibbon yang memberi pengaruh yang besar ketika itu.
Hasil kerja Adam Ferguson bertajuk An Essay on the History of Civil Society mendapat inspirasi daripada hasil tulisan Montesquieu. Hasil kerja ini mengangkat status beliau sebagai pemikir yang berpengaruh pada zaman Pencerahan dan kemudiannya menjadi pengasas kepada sosiologi. Esei tersebut mengenal pasti evolusi masyarakat yang berlaku daripada bentuk masyarakat primitif kepada komersial yang memperlihatkan perkembangan masyarakat secara berperingkat-peringkat disebabkan oleh faktor-faktor interaksi sosial yang kompleks, psikologi dan kebendaan.[36]
Dapat dilihat di sini bahawa para pemikir zaman Pencerahan telah menekankan beberapa aspek utama iaitu ekonomi dan sosial bagi menggerakkan intelektual Barat untuk berfikir dengan lebih mendalam mengenai pembangunan masyarakat. Pemikir-pemikir tersebut menjelaskan bahawa untuk memajukan masyarakat adalah dengan menguasai ekonomi dan mengukuhkan bentuk masyarakat tersebut kepada masyarakat yang berfikiran global. Dengan itu, lahirlah ekonomi kapitalis yang diketuai Barat untuk memonopoli ekonomi kerajaan lain selain melahirkan masyarakat yang berpandangan jauh.


7.0 KEMAJUAN BIDANG SENI DAN SENI BINA

Bidang seni merupakan salah satu cabang pendidikan yang penting pada abad ini. Kesenian merupakan lambang kepada kekuasaan politik, kekukuhan ekonomi dan kestabilan masyarakat. Dengan adanya unsur-unsur kesenian ini, sesebuah negara dianggap maju dan mempunyai ketamadunan yang tersendiri. Dengan adanya kesedaran ini, gerakan zaman Pencerahan telah berusaha membangkitkan isu-isu kesenian bagi menguatkan asas pendidikan Barat selain menyedarkan para intelektual mengenai ilmu pendidikan yang sepatutnya disebarkan bagi membangunkan masyarakat Eropah.
Karya Encyclopedie yang dihasilkan oleh d’Alembert dan Denis Diderot menggariskan semua ajaran dalam seni, sains dan perdagangan. Bidang seni terbahagi kepada dua bentuk iaitu seni liberal iaitu kesenian yang terbentuk melalui pemikiran seperti puisi, muzik, lukisan, arca dan ukiran. Seni ini berbeza dengan seni mekanikal atau seni pembuatan yang hasilnya terbentuk melalui ciptaan tangan seperti pembuat arca dan ahli seni bina.[37] Karya ini jelas dihasilkan untuk menarik minat masyarakat termasuklah ahli intelektual dan ahli agama untuk terlibat secara langsung dalam memajukan bidang seni ini yang memperjuangkan pembelajaran secara teknikal dan praktikal. Penghasilan karya ini akhirnya membawa kepada perkembangan seni secara berperingkat dan menggiatkan aktiviti kesenian dalam masyarakat.

Sepanjang abad ini, banyak perkembangan berlaku kepada seni lukisan, seni bina, seni hiasan dan seni-seni lain serta wujud tema-tema seni yang baru seperti Baroque, Rococo, Romantik, Gotik dan Neoklasik yang digunakan dalam hasil seni. Perubahan atau kemajuan dalam bidang kesenian ini disebabkan oleh beberapa faktor dan antaranya ialah perkembangan teknologi. Perkembangan teknologi dalam seni pembuatan penting bagi membolehkan ahli seni meningkatkan pengeluaran hasil seni mereka seperti Josiah Wedgwood yang memperoleh pendapatan dan kekayaan melalui rekaan tembikarnya yang menggunakan tema neoklasik yang dihasilkan di kilang-kilangnya di Midland.[38]
Seorang pemikir zaman Pencerahan yang menekankan bidang kesenian ini ialah Jean-Jacques Rousseau (1712-1778) yang menghasilkan karya yang bertajuk Discourse on the Arts and Sciences pada tahun 1750. Melalui karya ini, Rousseau menjelaskan bagaimana perkembangan seni dan sains telah menyumbang kepada kewujudan manusia yang mulia dan bahagia. Karya ini tercetus apabila Rousseau membaca satu pertandingan esei yang dikelola oleh Academy of Dijon yang menyatakan persoalan ‘adakah pemulihan seni dan sains membantu dalam membersihkan moral masyarakat?’.[39] Menurut pandangannya, manusia hakikatnya bagus tetapi dipesongkan oleh sistem sosial yang salah. Jelas di sini bahawa karya yang dihasilkan membantu dalam membawa kemajuan kepada aspek kesenian untuk membentuk masyarakat yang lebih bertamadun.
Keunggulan dan kemajuan yang digapai dalam bidang seni hasil daripada gerakan yang dilakukan oleh pemikir-pemikir zaman Pencerahan telah membawa kepada pembentukan masyarakat yang mempunyai cita-cita tinggi untuk meletakkan bangsa mereka sebagai bangsa yang mencapai tamadun yang gemilang.

8.0 KESIMPULAN
Secara totalnya, gerakan zaman Pencerahan telah melahirkan masyarakat yang berfikiran terbuka, bertolak ansur, menekankan kebahagiaan individu dan berasaskan undang-undang serta perlembagaan melalui pendidikan yang disampaikan oleh golongan intelektual. Golongan intelektual menjadi medium utama bagi membentuk masyarakat yang lebih proaktif dan maju dengan kesedaran yang telah diberikan oleh gerakan Pencerahan. Kemunculan gerakan ini telah merubah sepenuhnya corak politik, ekonomi dan sosial masyarakat Eropah. Para pemikir gerakan zaman Pencerahan telah membawa pelbagai idea baru yang membantu para intelektual Barat untuk menyedarkan masyarakat supaya celik minda dan akal.
Gerakan ini menyedarkan sekali gus menonjolkan peranan yang seharusnya dilakukan oleh para intelektual Barat dalam menangani masalah negara dan masyarakat yang mundur. Intelektual Barat yang selama ini dikongkong dan dikawal oleh ahli-ahli agama atau gereja telah dicorakkan pemikiran mereka kepada satu transformasi yang dapat mewujudkan negara bangsa yang disegani. Kesan daripada kebangkitan para pemikir Pencerahan yang membawa kebangkitan para intelektual untuk membangunkan masyarakat, rakyat negara Eropah telah bangkit menentang pemerintahan yang sedia ada. Hasilnya, tercetus revolusi-revolusi yang menentang pemerintahan di Eropah seperti Revolusi Perancis dan lain-lain.


9.0 RUJUKAN

Ammusen, S.D., An Ordered Society: Gender and Class in Early Modern England.             Oxford: Basil Blackwell.
Andrews, S. 1687. Enlightened Absolutism. London: Longman.
Anthony Kenny. 1988. A Brief History of Western Philosophy. Malden,   Massachussets: Blackwell Publisher Inc.
Assiter, A., 1996. Enlightened Women: Modernist Feminism in a Postmodern Age.             London: Routledge.
Becker, M. B., 1994, The Emergence of Civil Society in the Eighteenth Century,   Indiana: Indiana University Press.
Brown, Stuart. 1996, British Empiricsm and The Enlightenment, Routledge History of             Philosophy, Jilid V. London: Routledge.
Buchdahl, G., 1961. The Image of Newton and Locke in The Age of Reason. London:             Sheed and Ward.
Edwards, Paul. 1972, The Encyclopedia of Philosophy. 8 jilid. New york: Macmillan.
Gendzier, Stephen J. 1967, Denis Diderot’s The Encyclopedia: Selections. Diterjemah             dan disunting oleh Stephen J. Gendzier, New York : Harper Torchbooks.
Hendel, C. W. 1925, Studies in The Philosophy of  David Hume, Princeton : Princeton             University Press.
Hont, I. And Ignatieff, M. (eds), 1983, Wealth and Virtue : The Shaping of Political             Economy in The Scottish Enlightenment, Cambridge : Cambridge University             Press.
Hunt, E.F. & Colander, D.C. 2002. Social Science: An Introduction To The Study of             Society. Massachusetts: Allyn & Bacon.
John Herman Randall, JR.  1962. The Career of Philosophy Volume1: From Middle             Ages to Enlightenment. New York and London: Columbia University Press.
Ninian Smart, 2009, Falsafah Dunia, terjemahan, Rosiyah Latif, Institut Terjemahan             Negara Malaysia : Kuala Lumpur.
Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A             Sourcebook and Reader. London: Routledge.
Ritzer, G. 1996. Sociological Theory. Ed. Ke-4. New York: The McGraw-Hill             Companies, Inc.
Scheleret, T., 1977, The Cosmopolitan Ideal in Enlightenment Thought: Its Form and             Function in the Ideas of Franklin, Hume and Voltaire, Notre Dame: University    of Notre Dame Press.
Sekolah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, 1998, Pengenalan kepada             Sains Sosial, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.




[1] Ritzer, G. 1996. Sociological Theory. Ed. Ke-4. New York: The McGraw-Hill Companies, Inc.
[2] Hunt, E.F. & Colander, D.C. 2002. Social Science: An Introduction To The Study of Society. Massachusetts: Allyn & Bacon.
[3] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 33.
[4] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 33.
[5] John Herman Randall, JR.  1962. The Career of Philosophy Volume1: From Middle Ages to Enlightenment. New York and London: Columbia University Press. Hlm 595.
[6] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 37.
[7] Buchdahl, G., 1961. The Image of Newton and Locke in The Age of Reason. London: Sheed and Ward.
[8] Andrews, S. 1687. Enlightened Absolutism. London: Longman. Hlm 89.
[9] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 149.
[10] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 149.
[11] Anthony Kenny. 1988. A Brief History of Western Philosophy. Malden, Massachussets: Blackwell Publisher Inc. Hlm 206.
[12] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 154.
[13] Ibid.
[14] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 233.
[15] Ammusen, S.D., An Ordered Society: Gender and Class in Early Modern England. Oxford: Basil Blackwell. Hlm 110.
[16] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 235.
[17] Ibid. Hlm 236.
[18] Assiter, A., 1996. Enlightened Women: Modernist Feminism in a Postmodern Age. London: Routledge. Hlm 231.
[19] Assiter, A., 1996. Enlightened Women: Modernist Feminism in a Postmodern Age. London: Routledge. Hlm 231.
[20] Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003. The Enlightenment: A Sourcebook and Reader. London: Routledge. Hlm 236.
[21]  Brown, Stuart. 1996, British Empiricsm and The Enlightenment, Routledge History of Philosophy, Jilid V. London: Routledge.
[22]  Sekolah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, 1998, Pengenalan kepada Sains Sosial, Utusan Publications & Distributors SDN. BHD, hlmn 2.
[23]  Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003, The Enlightenment: A Sourcebook and Reader, London: Routledge. Hlmn 122.
[24]  Ninian Smart, 2009, Falsafah Dunia, terj. Rosiyah Latif, Institut Terjemahan Negara Malaysia : Kuala Lumpur, hlmn 341.
[25]  Hendel, C. W. 1925, Studies in The Philosophy of  David Hume, Princeton : Princeton University Press.
[26]  Ibid.
[27]  Edwards, Paul. 1972, The Encyclopedia of Philosophy. 8 jilid. New york: Macmillan.
[28]  Ibid
[29]  Scheleret, T., 1977, The Cosmopolitan Ideal in Enlightenment Thought: Its Form and Function in the Ideas of Franklin, Hume and Voltaire, Notre Dame: University of Notre Dame Press.
[30]  Becker, M. B., 1994, The Emergence of Civil Society in the Eighteenth Century, Indiana: Indiana University Press.
[31]  Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003, The Enlightenment: A Sourcebook and Reader, London: Routledge. Hlmn 177.
[32]  Ibid, hlmn 178
[33]  Ibid
[34]  Hont, I. And Ignatieff, M. (eds), 1983, Wealth and Virtue : The Shaping of Political Economy in The Scottish Enlightenment, Cambridge : Cambridge University Press.
[35]  Ninian Smart, 2009, Falsafah Dunia, terj. Rosiyah Latif, Institut Terjemahan Negara Malaysia : Kuala Lumpur, hlmn 339.
[36]  Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003, The Enlightenment: A Sourcebook and Reader, London: Routledge. Hlmn 188.
[37]  Gendzier, Stephen J. 1967, Denis Diderot’s The Encyclopedia: Selections. Diterjemah dan disunting oleh Stephen J. Gendzier, New York : Harper Torchbooks.
[38]  Paul Hyland, Olga Gomez & Francesca Greensides. 2003, The Enlightenment: A Sourcebook and Reader, London: Routledge. Hlmn 261.
[39]  Ibid. 

DISEDIAKAN OLEH:

SITI NURQALILA BINTI OMAR
NUR SARAHAH BINTI MOHD SUPIAN

3 comments:

Unknown said...

mantap akak....banyak maklumat saya boleh dpt....
terima kasih banyak

Anonymous said...

nice!!!
Terima kasih

Anonymous said...

yamete