Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Saturday, March 5, 2016

GERAKAN ANTI-PENYERAHAN SARAWAK

1.0       PENGENALAN

Sejarah Sarawak telah menyaksikan penguasaan kekuasaan keluarga Brooke yang bermula pada tahun 1841 dan berakhir 105 tahun kemudian. Berikutnya, satu episod baru telah bermula dalam sejarah Sarawak apabila Jepun telah mengambil alih dan menduduki Sarawak dari Disember 1941 sehingga September 1945. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, Sarawak telah diambil alih oleh British. Hal ini telah menyebabkan berlakunya perubahan taraf Sarawak iaitu dari sebuah negeri “merdeka”[1] di bawah pemerintahan Brooke menjadi sebuah tanah jajahan mahkota British.[2]

            Perang Dunia Kedua telah membawa kepada kemusnahan yang teruk kepada Sarawak. Selepas perang, Sarawak perlu dibina semula serta memerlukan perbelanjaan yang banyak. Keadaan ekonomi pada ketika itu adalah sangat menyedihkan. Hal ini dapat dilihat apabila padang-padang minyak telah musnah dan kebun-kebun getah juga terbiar.[3] Oleh kerana mengalami kerosakan dan kerugian besar, Rajah Charles Vyner Broke mendapati bahawa Sarawak terlalu miskin untuk membangunkan semula negerinya. Beliau berpendapat bahawa hanya kerajaan British sahaja yang sanggup untuk berbuat sedemikian. Rajah Charles Vyner Brooke berharap sekiranya Sarawak diletakkan di bawah kerajaan British, Sarawak dapat menjadi sebuah negeri moden kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta pengalaman teknikal yang diperlukan untuk pembangunan sebuah negeri moden.

            Usia Rajah Charles Vyner Brooke juga telah lanjut tetapi beliau berkeberatan untuk menyerahkan pentadbirannya kepada anak saudaranya, Anthony Brooke mahupun pada adiknya, Betram Brooke. Hal ini demikian kerana, beliau tidak yakin kepada warisnya untuk memerintah Sarawak dengan baik. Selain itu, Sarawak memerlukan bantuan ekonomi dan teknikal daripada British. Bantuan daripada British tidak akan berlaku sekiranya Sarawak masih di bawah pemerintahan Dinasti Brooke. Masalah peribadi keluarga Brooke ditambah dengan keadaan ekonomi yang mundur telah mendesak Rajah Charles Vyner Brooke mengambil keputusan untuk menyerahkan negeri Sarawak kepada kerajaan British. Dengan itu alasan keadaan Sarawak selepas perang dijadikan peluang yang baik untuk menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Britain.

            Majoriti daripada penduduk Sarawak bersetuju sekiranya Sarawak diserahkan kepada kerajaan Britain. Namun begitu, pada masa yang sama, terdapat juga golongan yang menentang penyerahan tersebut. Orang Dayak dan orang Cina menyokong perubahan ini kecuali segelintir kecil yang menentang. Kebanyakan orang Melanau juga bersetuju dengan keputusan tersebut. Sementara itu, orang Melayu pula berpecah kepada dua kumpulan, iaitu satu kumpulan yang menerima baik penyerahan Sarawak dan majoriti orang Melayu yang menentang dengan hebat. Gerakan penentangan ini lebih dikenali sebagai gerakan anti-penyerahan (anti-cession movement). Pelbagai surat bantahan telah dihantar ke London dan demonstrasi telah dilakukan. Namun, bantahan daripada penduduk Sarawak ini tidak mendapat reaksi positif daripada kerajaan Bristih, sebaliknya British tetap meneruskan usahanya untuk menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan. Pada awalnya, perjuangan penentangan ini bermula secara aman tetapi telah mencapai kemuncak apabila berlakunya pertumpahan darah pada penghujung tahun 1949.


2.0       FAKTOR GERAKAN ANTI-PENYERAHAN

Penelitian tentang kedudukan politik orang Melayu Sarawak pada tahun 1946 hingga 1958 tidak seharusnya melupakan perkembangan yang telah berlaku sebelum era tersebut hel ini demikian kerana, perkembangan inilah yang kemudiannya telah menjadi asas kepada pergerakan politik Sarawak. Sebagai contoh, Persatuan Melayu Sarawak (PMS) yang ditubuhkan pada tahun 1939, telah memainkan peranan yang penting dalam gerakan anti-penyerahan dari tahun 1946 hingga tahun 1951.

            Gerakan anti-penyerahan telah dikaitkan dengan pelbagai faktor. Terdapat dua pendapat yang menimbulkan kontroversi berkenaan perkara tersebut. Pendapat pertama mengatakan bahawa gerakan anti-penyerahan bukanlah satu gerakan untuk kemerdekaan, tetapi merupakan gerakan orang Melayu untuk mendapatkan kembali keistimewaan mereka seperti semasa zaman Brooke. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa gerakan anti-penyerahan merupakan satu gerakan kemerdekaan kerana pada ketika itu, ungkapan-ungkapan kemerdekaan telang dilaung-laungkan.[4] Ramai penulis barat yang mempercayai bahawa gerakan anti-penyerahan adalah merupakan gerakan untuk mengembalikan semula hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang diperoleh oleh mereka semasa zaman Brooke.
            Selain itu, terdapat juga penulis tempatan yang menyatakan bahawa dengan menjadikan Anthony Brooke sebagai raja yang keempat, hal ini bermakna bahawa gerakan anti-penyerahan bukanlah gerakan kemerdekaan kerana orang kulit putih menjadi raja. Namun begitu, pendapat tersebut telah disanggah oleh penulis seperti Yusof Peter Heaton, James P. Ongkili dan Sanib Said yang menyatakan bahawa gerakan anti-penyerahan merupakan satu gerakan menuntut kemerdekaan. Sanib Said menyatakan bahawa gerakan ini sebagai satu gerakan untuk membebaskan diri daripada British berdasarkan alasan bahawa tidak semua orang Melayu mendapat hak keistimewaan. Hal ini demikian kerana, golongan yang mendapat keistimewaan adalah seperti golongan kelas perabangan Kuching. Oleh kerana gerakan ini disertai oleh orang Melayu kelas bahawan dan orang Dayak, maka gerakan ini bukanlah merupakan gerakan untuk mengembalikan hak istimewa orang Melayu. Usaha untuk mengembalikan pemerintahan Brooke pula hanyalah dianggap sebagai alat untuk perjuangan.

            Golongan anti-penyerahan juga mendakwa bahawa perjuangan mereka bukanlah perjuangan Rajah Muda, tetapi merupakan perjuangan rakyat Sarawak. Gerakan anti-penyerahan yang dianggap sebagai gerakan anti-British sememangnya tidak dapat dinafikan ekoran daripada tindakan mereka yang menentang British. Berdasarkan akhbar Utusan Sarawak:

“Bangsa Timor telah sedar. Ini boleh di-saksikan dengan terang menahan taraf kebangsaan dan kemerdekaan itu wajib pada demokrasi dan Islam. Merosak dan menghapuskan taraf itu berlawanan dengan kedua2nya. Hidop-nya subor taraf itu ia-lah mengambil berat memajukan puak2 raayat yang terkebelakang.Tetapi pengakuan hendak mengangkat mereka itu dengan menghapuskan hak kebangsaan dan hak kemerdekaan mereka dalah menipu   mereka dengan terang.”[5]

            Hal ini jelas memperlihatkan bahawa sentimen antipenjajah sememangnya telah tersemat dalam diri orang Melayu. Walau bagaimanapun, gerakan anti-penyerahan boleh dianggap sebagai bukan menuntut kemerdekaan secara tulen. Hal ini demikian kerana, gerakan mereka telah dikaburi dengan tuntutan agar pemerintahan Brooke dikembalikan dengan anggapan bahawa kerajaan Brook adalah sebuah kerajaan yang mempertahankan kemerdekaan rakyat Sarawak. Oleh itu, tuntutan rakyat Sarawak agar keluarga Brooke menjadi raja adalah dikatan semata-mata untuk mengekalkan kemerdekaan Sarawak yang telah mencecah 100 tahun. Majalah Kenchana pada April 1947 mengatakan bahawa:

“Disini tentu ada pula pertanyaan, kalau hendak merdeka atau mepertahankan kemerdekaan, mengapa perlu minta dikembalikan Raja Brooke, pada hal ia pun Bangsa British juga? Mengapa tidak minta beraja   bangsa sendiri? Ini adalah menunjokkan kepada dunia, bahwa umat Sarawak tidak benchi atau bermusohan dengan bangsa British yang ‘maha adil’ itu   menaungi kerajaan Sarawak yang merdeka, tetapi bukan meminta merampas kemerdekaannya.”[6]

            Terdapat beberapa alasan yang telah dinyatakan bagi menunjukkan bahawa Sarawak telah merdeka di bawah pentadbiran Brooke. Antaranya ialah:[7]

a) Tahun 1841 dianggap sebagai satu tarikh Sarawak mencapai kemerdekaan.
b) Pemerintahan Raja Melayu Brunei tidak dianggap oleh mereka sebagai merdeka.
c) Penyerahan Sarawak kepada James Brooke menyebabkan Sarawak merdeka terpelihara selama 100 tahun.

        Alasan yang diberikan bagi membuktikan Sarawak merdeka di bawah Brooke adalah disebabkan oleh taraf kemerdekaan itu yang telah diperakui oleh kerajaan Amerika dan British. Berdasarkan pandangan tersebut, sebahagian daripada ahli gerakan anti-penyerahan mengakui hak ketuanan Brooke terhadap negeri Sarawak. Oleh itu, mereka tidak menganggap Brooke sebagai penjajah. Hubungan rapat Brooke dengan rakyat pribumi dan keistimewaan yang diberikan oleh Brooke kepada pribumi khususnya Melayu telah mengukuhkan lagi kenyataan tersebut. Oleh itu, mereka tidak merasakan bahawa Brooke merupakan satu penjajahan.

“Sesungguhnya sekalian umat Sarawk mempunyai keperchayaan yang sepenoh2 dan setegoh2nya bahawa Sarawak merdeka dengan hak ketuanan sepenoh2nya berada di tangan bumiputera mesti akan dikembalikan dengan berajakan Anthony Brooke dan bernaong dibawah panji2 keadilan kerajaan British.”[8]

      Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pendirian tersebut timbul. Pertama, orang Melayu yakin bahawa mereka akan dapat pemerintahan sendiri sekiranya mendapat bimbingan daripada Brooke berdasarkan janji-janji Brooke di dalam Perlembagaan 1941. Kedua, penyerahan Sarawak kepada Britain memperlihatkan bahawa negeri itu akan dijajah secara mutlak oleh Britain. Namun begitu, hal ini adalah berbeza dengan penajjahan Brooke yang memberikan peluang kepada mereka untuk turut serta dalam pentadbiran. Brooke juga telah dianggap sebagai raja mereka meskipun Brooke adalah berketurunan British. Hal ini dapat dilihat melalui pandangan beberapa orang ahli gerakan anti-penyerahan yang menganggap bahawa dengan berada di bawah pentadbiran Brooke, maka situasinya adalah berbeza berbanding kedudukan Sarawak di bawah kerajaan British. Perbezaan tersebut adalah seperti:[9]

a)  “Raja kuasa tertinggi”. Raja dilantik menurut adat resam Sarawak.
b) Sarawak ditadbir oleh kerajaan negeri Sarawak berpusat di Kuching.
c) Sarawak merdeka di bawah naungan British
d)  Rakyat Sarawak mempunyai kebangsaannya sendiri.

 Pemerentahan Kolonial
a) Gabenor menjadi wakil kerajaan British yang tidak dilantik oleh rakyat.
b)  Sarawak ditadbir oleh Colonial Office.
c)  Mempunyai taraf tanah jajahan British.
d) Kebangsaan Sarawak terlepas menjadi raayat British kerana “penaalokan”.

            Sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa tindakan golongan anti-penyerahan yang ingin mengembalikan Raja Brooke hanyalah sebagai satu alat. Meskipun kenyataan tersebut memperlihatkan ada kebenarannya, tetapi sikap sedemikian hanyalah wujud dalam kalangan segelintir pemimpin anti-penyerahan terutamnya golongan muda yang tidak menyenangi Anthony Brooke seperti Johari Anang. Sikap yang menganggap Anthony Brooke sebagai individu yang seharusnya menjadi raja keempat masih lagi wujud dalam kalangan ahli gerakan anti-penyerahan bahkan sikap sebegini masih kekel sehingga tahun 1960-an.[10] Oleh itu, gerakan anti-penyerahan adalah dilihat sebagai satu gerakan yang bersifat anti-penjajahan dan anti-British tetapi tuntutan kemerdekaan yang dilakukan bukanlah tuntutan kemerdekaan yang tulen.



3.0 TOKOH GERAKAN ANTI-PENYERAHAN
3.1 Parti Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)

Datu Patinggi Abang Haji Abdillah

Datu Patinggi Abang Haji Abdillah merupakan penaung kepada PKMS yang awalnya dikenali sebagai Persatuan Melayu Sarawak (PMS). Nama penuh beliau ialah Patinggi Abang Haji abdillah bin Datu patinggi Abang Haji Mohamed kassim. Beliau merupakan pemimpin Melayu yang gigih menentang penjajahan Sarawak oleh kerajaan British, dilahirkan pada tahun1862. Beliau menjadi Guru pada tahun 1887. Pada tahun 1905, beliau berkhidmat dalam Pejabat KerjaRaya dan seterusnya Jabatan Polis sebagai Sub-lnspektor pada tahun 1917. Pada tahun 1921, beliau  dianugerahkan gelaran Datu Bandar. Seterusnya beliau diberi gelaran Datu Petinggi pada tahun 1937oleh Raja Vyner Bmoke. Beliau telah dilantik sebagai penaung pertama PKMS yang ditubuhkan pada tahun 1939. Dalam pemerintahan Brooke, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah sangat disegani oleh pihak kerajaan sebagai seorang pentadbir yang benwibawa, cekap dan bijak. Apabila ketiadaan Rajah  danTuan Muda, beliau memangku dan mcngambil alih tugas-tugas pentadbiran. Beliau meninggal dunia pada 22 November 1946.[11]

Terdapat banyak penubuhan kelab dan persatuan namun penubuhan dan kelab-kelab ini bagaimanapun tidaklah penting dan berperanan dalam konteks membangkitkan kesedaran masyarakat Melayu Sarawak secara ketara sehinggalah muncul persatuan Melayu Sarawak pada tahun 1939. PMS ditubuhkana lapan orang Datu, pemimpin tradisional Melayu di Kuching yang merupakan organisasi bercorak tradisional. Dengan terdirinya PMS maka kesedaran berpesatuan dalam kalangan orang Melayu telah timbul kerana PMS tidak terhad di kawasan Kuching sahaja. Persatuan ini lebih membela nasib orang Melayu serta menyaingi organisasi yang ditubuhkan oleh orang cina. Namun mereka bukan anti cina. 

            Persatuan ini tidak menunjukkan tanda-tanda menentang Brooke kerana mereka merupakan persatuan yang didirikan oleh golongan Datu atau Aristokrat. Pemimpin PMS, datu patinggi yang menjadi penaung dan Datu Amar pengerusi persatuan merupakan orang kanan dalam pentadbiran Brooke. Pada tahun 1941, temenggong menjadi timbalan presidennya.

            Sambutan yang diberikan masyarakat Melayu amat menggalakkan. Dalam mesyuarat agung tahun 1940, PMS telah menarik seramai 500 orang Melayu di seluruh Sarawak, manakala dalam pada tahun 1941 pula 700 orang telah menghadirinya. Mereka mengadakan beberapa congress termasuk congress persatuan Melayu di Singapura pada tahun disember 1940, melalui kongres ini kesedaran terhadap kepentingan orang membela kedudukan orang Melayu dari segi politik, pelajaran dan ekonomi telah tersemai di hati pemimpin orgnisasi itu, idea baharu daripada pertemuan dapat diperoleh. Berdasarkan kepimpinan yang wujud serta kegiatan yang dijalankan, PMS bukanlah persatuan yang bercorak politik tetapi menjadi wadah kepada masyarakatnya.[12]

3.2  Sarawak Dayak Association (SDA)

Philip Jitam
Sementara ini terdapat juga orang Dayak yang tidak begitu bersetuju dengan penyerahan Sarawak kepada kerajaan British. Orang Iban, khasnya di Bahagian Pertama telah menubuhkan persatuan untuk menyertai golongan anti-penyerahan Sarawak. SDA telah ditubuhkan di bawah pimpinan Philip Jitam bagi tujuan itu. Beliau pernah mengeluarkan satu kenyataan dengan tujuan menentang perubahan taraf Sarawak menjadi tanah jajahan mahkota British. Kenyataannya dalam Bahasa Iban itu diterjemahkan seperti berikut:

“…Therefore on behalf of my colleagues and with honesty to myself I oppose the Cession. Further I cannot compel myself to agree even in principle, since in the first instance, this proposal of Cession does not appear to have been mutually agree upon; unless and until reconciliation has been effected and mutual consent has been given, than I consider it inappropriate to bring this subject for discussion.”

            Beliau juga pernah bercakap bagi pihak persatuan Dayak berkenaan dengan soal tersebut dengan menegaskan sokongan akan diberi kepada penyerahan sekiranya sembilan prinsip dalam perlembagaan Sarawak itu dihormati. Dalam ha1 ini beliau menyatakan:

“We want to know whether these Nine Cardinal Principles would be observed by His Majesty’sGovernment after the Cession? If we have the assurance that these principles would be respected, then we will not only agree to the Cession but the will support His Highness the Rajah.”

            Selain itu terdapat juga orang Dayak dan Bumiputera lain yang memerlukan lebih
banyak masa untuk mempertimbangkan perkara tersebut tetapi akhirnya mereka akan mengikut keputusan Raja sebagai tanda menghormati raja mereka. Terdapat juga orang Iban dan kumpulan Bumiputera lain yang menyokong penyerahan memandangkan ia adalah hasrat Raja, asalkan dipastikan hak-hak seperti adat lama dipelihara. [13]

SDA merupakan satu-satunya pertubuhan anti-penyerahan Dayak. la ditubuhkan pada 1 Mac 1946 oleh sekumpulan kecil orang Bidayuh dan lban dari Bahagian Pertama serta Kedua yang telah menetap di Kuching. Philip Jitam mengundi menentang penyerahan dalam Majlis Negeri pada 15 Mei 1946 selepas beliau sedar bahawa penyerahan itu tidak disokong oleh Tuan Muda, Betram Brooke. Dalam kegiatan anti-penyerahan, SDA bekerjasama rapat dengan PKMS dan ia juga bimbang terhadap dominasi orang Cina. Namun ahli-ahli SDA menolak untuk mengikuti tindakan PKMS dalam meletak jawatan di bawah Surat Pekeliling No. 9.

3.3 Pergerakan Pemuda Melayu (PPM)

Rosli Dhobi dan awang Rambli 

Dalam tahun 1946, Pergerakan Pemuda Melayu telah ditubuhkan di Sibu, Sarawak. Di antara puluhan persatuan yang ditubuhkan khas bagi menentang penyerahan Sarawak kepada Britain, Pergerakan Pemuda Melayu merupakan sebuah badan yang terpenting dan radikal di luar bandar Kuching. Kalau Malayan Union telah dirancang oleh kerajaan British untuk Tanah Melayu, selepas Perang Dunia Kedua, maka negeri Sarawak pula telah disyorkan supaya diserahkan kepada Kerajaan British untuk dijadikan tanah jajahan. Tindakan Kerajaan British ini telah menyemarakkan nasionalisme bumiputera negeri Sarawak. Untuk tujuan ini rakyat bumiputera telah bangkit menetang penjajahan dengan menubuhkan persatuan-persatuan, terutama sekali di sekitar bandar Kuching. Orang-orang Melayu di Sibu, bandar yang kedua terbesar, tidak mahu ketinggalan menentang Penyerahan Sarawak.

Maka pertengahan tahun 1946 Pergerakan Pemuda Melayu telah ditubuhkan. Mesyuarat penubuhan persatuan ini telah diadakan di Kampung Datu, Nombor 2, Sibu. Dalam masyarakat tersebut Sirat Hj. Yaman telah dipilih menjadi Presiden, Awang Rambli Deli menjadi Setiausaha Agung, Mohamad Abet sebagai Bendahari dan Abang Han Ahmad menjadi Setiausaha Penerangan. Pergerakan Pemuda Melayu telah berkembang di Bahagian Ketiga dengan pesatnya di bawah pimpinan Awang Rambli Deli. Cawangan-cawangan telah ditubuhkan di Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sareikei, Matu, Igan, Dalat dan Mukah dengan jumlah ahli sebanyak 30, 000 orang. Disamping itu Awang Rambli secara senyap-senyap telah membentuk satu kumpulan kecil dalam Pergerakan Pemuda Melayu dengan nama Rukun  Tigabelas.

Ahli Kumpulan Sulit ini terdiri dari Awang Rambli, Bujang Suntong, Abang Han Ahmad, Che Osman Che Ahmad, Morni Onei, Othman Dollah, Ahmad Hj. Abu Bakar, Awang Osman Moh, Wan Zain Abdullah dan Rosli Dhobi. Tujuan Rukun Tigabelas ialah untuk menebus kemerdekaan Sarawak dengan cara kekerasan. Mereka bersumpah untuk membunuh setiap orang putih dan pemimpin-pemimpin Melayu yang belot. Pada 3 Disember 1949, Rosli Dhobi telah diarahkan untuk menyerang Gabenor Sir Duncan Stawart yang melakukan lawatan rasmi di bandar Sibu. Akibat serangan itu Sir Duncan Stewart telah mendapat luka parah dan akhirnya meninggal dunia. Ekoran daripada itu Pergerakan Pemuda Melayu telah diharamkan dan ahli-ahli Rukun Tigabelas telah ditangkap. Awang Rambli, Rosli Dhobi dan Bujang Suntong telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati sementara yang lain dihukum penjara. Pergerakan Pemuda Melayu seterusnya lenyap begitu saja, tetapi perjuangannya tetap tercatit dalam sejarah nasionalisme bumiputera Sarawak.

3.4 Kaum Ibu (PKMS)

Lily Eberwaine

Tanggal 16hb Mac 1947, Kesatuan Kaum Ibu ditubuhkan dan penubuhannya mendapat sokongan sepenuhnya daripada ibu-ibu di Sarawak ketika itu dan keahlian mereka yang seramai 1000 orang di dominasi oleh bekas tenaga pengajar wanita yang telah turut sama meletakkan jawatan bagi membantah Circular 9/46 yang diusulkan oleh pihak pentadbiran Kerajaan Kolonial British pada waktu itu. Kebanyakan daripada ahli-ahli Kesatuan Kaum Ibu ramai dianggotai oleh wanita-wanita daripada Kuching dan Sibu. Pengerusi Kaum Ibu pada waktu itu adalah Cikgu Lily Eberwein, seorang Guru Besar di Permaisuri Malay’s School. Allahyarhamah merupakan seorang wanita berbangsa Eurasian hasil perkahwinan Melayu Sarawak dan seorang penjawat awam Kerajaan Brooke. Allahyarhamah merupakan bonda kepada mantan menteri kabinet Sarawak iaitu Datuk Habsah Harun.


Wanita besi kedua adalah Setiausaha kepada Kesatuan Kaum Ibu iaitu Datuk Ajibah Abol. Allahyarhamah Datuk Ajibah Abol merupakan seorang guru dan rakan sekerja kepada Allahyarhamah Lily Eberwein di Permaisuri Malay’s School.
Datuk Ajibah Abol merupakan mantan menteri wanita pertama di dalam Kabinet Sarawak suatu waktu dahulu (1973 – 1976) Mereka berdualah yang telah menjadi wakil kepada Kesatuan Kaum Ibu di dalam setiap mesyuarat Anti Cessionist yang dikelolakan oleh Datuk Patinggi Ali di rumahnya “Darul Kurnia”. Di setiap mesyuarat inilah mereka bersama-sama mengatur strategi tindakan dan aksi Gerakan Anti Penyerahan 1946. 

Komuniti pengelola Anti Penyerahan Sarawak mengetahui bahawa kejayaan gerakan anti penyerahan tidak hanya boleh diadakan di kawasan Bandar-bandar sahaja malah ianya harus disemarakkan di seluruh ceruk rantau bumi Sarawak pada waktu itu. Maka tugas itu telah dipikul oleh Kesatuan Kaum Ibu yang telah secara relahati memikul tugas berat ini. Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di ketika itu hampir majority daripada mereka yang berada di dalam Gerakan Anti Penyerahan tidak mempunyai sumber pendapatan lagi kerana mereka telah meletak jawatan kerana membantah circular 9/46. Kerana inginkan gerakan membantah ini menjadi satu kenyataan, maka tampillah Kesatuan Kaum Ibu yang telah sanggup mengorbankan segala wang ringgit malah bergolok bergadai dengan barang kemas mereka bagi menampung perbelanjaan untuk ke kawasan pendalaman di Sarawak.

      Episod sesi penerangan dan sokongan terhadap Anti Penyerahan Sarawak 1946 bermula di rumah-rumah panjang dan kampong-kampung terpencil di seluruh Sarawak. Wanita-wanita besi ini telah mempertaruhkan nyawa mereka samada dengan berjalan kaki melalui perjalanan darat dan juga menggunakan perahu untuk kawasan kampong yang terpencil. Lily Eberwaine telah berusaha mendapatkan cap jari sebagai bukti mereka tidak bersetuju dengan penyerahan ini. [14]Hasilnya ramai wanita-wanita dari pelbagai lapisan di rumah-rumah panjang dan kampong-kampung tanpa mengira bangsa dan budaya mahupun agama bersama-sama menyokong Gerakan Anti Penyerahan 1946. Inilah pengorbanan besar wanita-wanita besi ini di sebalik Gerakan Anti Penyerahan 1946 suatu waktu dahulu. Kejayaan demonstrasi besar-besaran Anti Penyerahan 1946 yang disertai oleh wanita-wanita bangsa Sarawak dengan membawa sepanduk serta meletakkan sepanduk serta mengibarkan bendera Negara Sarawak suatu waktu dahulu adalah hasil kesedaran dan pengorbanan yang dilakukan oleh wanita-wanita besi ini. 


4.0       KESAN GERAKAN DALAM KONTEKS SEMANGAT KEBANGSAAN

4.1            KEMUNCULAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN BAHARU   

Gerakan anti-penyerahan telah memperlihatkan penentangan masyarakat tempatan terhadap penyerahan Sarawak kepada British. Parti Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) yang merupakan parti pertama yang bangkit menentang penyerahan telah mendapat cemuhan British kerana menganggap penentangan itu hanya mewakili jumlah masyarakat yang tidak ramai iaitu hanya seramai 2000 orang. Namun begitu, setelah pemimpin PKMS, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah meninggal dunia pada tahun 1946, pertubuhan yang membantah penyerahan semakin bertambah. Pada tahun 1946 sehingga awal 1947, sebanyak 52 buah pertubuhan anti-penyerahan telah ditubuhkan seperti Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Pergerakan Pemuda Melayu, Sibu (PPM).[15]

BPS yang berpusat di Kuching ditubuhkan pada tahun 1947 oleh pemuda Melayu yang berpelajaran yang tidak suka kepada pimpinan PKMS. Pemimpin pertubuhan ini ialah Suut Hj, Tahir sebagai Presiden dan Abang Kassim sebagai Setiausaha Agung. Pertubuhan ini menentang penguasaan golongan aristokrat dalam politik Melayu.[16] Mereka menganggap PKMS sebagai pertubuhan orang-orang tua yang berfikiran konservatif, pasif dan tidak mempercayai idea serta pimpinan orang muda.[17] Pertubuhan ini bukan sahaja dianggotai oleh pemuda Melayu malah turut mencuba mencari sokongan daripada pemuda Dayak. 

PPM pula merupakan pertubuhan yang berpusat di Sibu dan ditubuhkan pada tahun 1946. PPM dipimpin oleh Sirat Hj. Yaman sebagai Presiden, Awang Rambli sebagai Setiausaha Agung. Ahli-ahli pertubuhan ini terdiri daripada pemuda-pemuda dari Bahagian Ketiga Sarawak. Di bawah pimpinan Awang Rambli, PPM menjadi pertubuhan anti-penyerahan yang aktif dan kuat sehingga mendakwa mempunyai 30 000 orang ahli dan mempunyai cawangan-cawangan di Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sarikei, Matu, Daro, Igan, Dalat, Oya dan Mukah.[18]

Pertubuhan-pertubuhan anti-penyerahan ini bukan sahaja bergerak di Sarawak, masyarakat Sarawak yang berada di Singapura untuk bekerja juga turut menubuhkan satu pertubuhan dikenali sebagai United Sarawak National Association (USNA). Pertubuhan ini dipimpin oleh Sirat Mohamad sebagai Presiden, Awang Kipli sebagai Pengerusi dan Annuar Ahmad sebagai Setiausaha. USNA berpusat di Geylang dan mempunyai ahli seramai 300 orang menggabungkan orang Melayu, Iban dan sebilangan orang Cina.[19] USNA tidak seperti pertubuhan lain di Sarawak kerana USNA mempunyai strategi yang tersendiri dan tidak berhubungan secara langsung dengan pertubuhan yang berada di Sarawak. USNA hanya memberikan tumpuan kepada edaran publisiti kepada gerakan-gerakan di Sarawak. Mereka mencetak pamplet-pamplet supaya menyokong anti-penyerahan di Singapura dan diedarkan di Sarawak. Pertubuhan ini mempunyai hubungan yang baik dengan ahli politik Tanah Melayu dan Indonesia khususnya golongan sayap kiri.[20]

Gerakan anti-penyerahan ini juga telah membawa kepada kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu yang lain termasuklah Angkatan Semangat Anak Sarawak (ASAS), Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), PKMS Kaum Ibu, Persatuan Melayu Miri, Persatuan Melayu Limbang, Perhimpunan Kebajikan Awam, Kesetiaan Kaum Muda Matu, Kesetiaan Melayu Simanggang, Kesetiaan Club Dalat, Sulam Mas Seria, Kaum Ibu PPM dan Angkatan Bintawa-Astana Sarawak (ABAS).[21]

Kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu ini dalam jangka masa setahun yang dianggarkan sebanyak 52 buah persatuan memperlihatkan bahawa masyarakat Sarawak telah mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi untuk mempertahankan tanah air daripada dijajah oleh British. Dengan adanya pertubuhan-pertubuhan ini, masyarakat lebih mudah berbincang, menyalurkan idea dan menyemai semanagat kebangsaan. Walaupun tidak berjaya, pertubuhan golongan muda bersifat radikal ini telah memberi nafas baru kepada masyarakat Sarawak agar mempertahankan tanah air dengan jiwa dan raga. Kesanggupan anak-anak muda terutamanya Rukun 13 yang muncul daripada PPM mengambil risiko bertindak agresif memperlihatkan keperkasaan jiwa mereka. Kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu ini telah menggalakkan semangat kebangsaan untuk terus bercambah.

4.2            MENINGKATKAN SEMANGAT UNTUK BERKERAJAAN SENDIRI

Dengan adanya semangat kebangsaan yang tinggi, sudah semestinya mereka mahukan satu pemerintahan yang dipimpin oleh rakyat tempatan sendiri. Gerakan anti-penyerahan telah membawa kesedaran dan semangat kepada masyarakat Sarawak untuk berkerajaan sendiri. Semangat itu bukan sahaja tumbuh dalam kalangan lelaki tetapi kaum wanita juga mahukan kerajaan sendiri sehingga tidak gentar untuk mempunyai gerakan sendiri.[22] Lily Ebrawine ada menyatakan,

“ Kami kaum ibu Sarawak sama berjuang dengan kaum bapa dan tidak berhenti menuntut kemerdekaan tanah air kami supaya kembali seperti dulu”.[23]

Semangat ini telah menuntut masyarakat Sarawak untuk menubuhkan pertubuhan-pertubuhan bagi menentang penyerahan dan menuntut pengekalan kemerdekaan. Mereka mahu Sarawak dikembalikan kepada keluarga Brooke kerana mereka menganggap Brooke tidak menjajah malah Brooke yang telah memerdekakan Sarawak. Hal ini disebabkan oleh hubungan rapat Brooke dengan masyarakat tempatan dan adanya keistimewaan yang diberikan kepada masyarakat tempatan terutamanya orang Melayu.[24] Orang Melayu percaya bahawa mereka akan dapat memerintah sendiri dan mempunyai kerajaan sendiri selepas itu jika keluarga Brooke memerintah kerana mereka boleh mendapat bimbingan daripada Brooke.

Tambahan pula, semasa Sarawak di bawah pemerintahan Charles Vyner Brooke ciri-ciri untuk pemerintahan diserahkan kepada masyarakat tempatan itu sudah ada. Hal ini dibuktikan dengan pembentukan perlembagaan pertama Sarawak pada tahun 1941. Satu badan yang dinamakan Majlis Tertinggi dibentuk sebagai badan rujukan tertinggi. Selepas itu, Brooke membentuk Majlis Negeri dengan 25 ahli dan memberi peluang kepada masyarakat tempatan melahirkan keinginan, cadangan dan menyuarakan ketidakpuasan.[25] Pemerintahan berasaskan perlembagaan ini memberi harapan kepada masyarakat untuk berkerajaan sendiri kerana pemerintahan bercorak ini mengizinkan penglibatan rakyat dalam pemerintahan.[26] Oleh kerana itu, masyarakat amat berharap pemerintahan kembali kepada keluarga Brooke agar proses untuk berkerajaan sendiri itu dapat diteruskan.

Gerakan-gerakan anti-penyerahan ini telah memberikan impak yang besar dalam diri masyarakat untuk berkerajaan sendiri memandangkan telah bangkitnya semangat nasionalisme dalam diri mereka. Sesebuah masyarakat yang telah dipimpin oleh bangsa lain dalam tempoh yang lama semestinya mempunyai kesukaran untuk membina kembali kerajaan baru. Pertubuhan-pertubuhan yang muncul telah membangkitkan kembali semangat perpaduan dan cintakan tanah air seterusnya menanamkan keinginan untuk berkerajaan sendiri dengan bimbingan pemerintah yang dipercayai.

4.3            PERTUMBUHAN PESAT PARTI POLITIK

Oleh kerana gerakan anti-penyerahan gagal menghalang penyerahan Sarawak kepada British, British telah menguasai Sarawak atas kepentingan ekonomi. Namun begitu, desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan penjajahan menyebabkan British bersikap lebih terbuka. Dasar liberalisasi seolah-olah diamalkan dan pemimpin politik dibenarkan untuk membentuk pertubuhan, berucap dan berkempen.[27] Lantaran daripada wujudnya gerakan anti-penyerahan, banyak pertubuhan telah diasaskan. Gerakan membawa kepada pengalaman yang banyak kepada masyarakat Sarawak untuk berpolitik dan berpertubuhan.[28] Hal ini telah memudahkan masyarakat Sarawak untuk menubuhkan parti politik.

Sarawak United People’s Party (SUPP) merupakan perintis dalam arena politik Sarawak. SUPP yang ditubuhkan pada 12 Jun 1959 telah menjadi ilham kepada orang Melayu dan Dayak untuk menubuhkan parti politik sendiri. Parti ini ditubuhkan oleh segolongan orang Cina yang berpendidikan, kebanyakannya daripada suku Hakka dan Hokkien.[29] SUPP dipimpin oleh Ong Kee Hui dan Stephen Yong Kuet Sze sebagai Setiausaha Agung. Parti ini pada awalnya merupakan parti bersifat majmuk, keahliannya tidak menampakkan monopoli satu kaum. Selain orang Cina, orang Iban, Dayak dan Bidayuh juga menganggotai parti ini sebagai ahli biasa.

Kemunculan SUPP dan sokongan orang ramai terhadap pertubuhan itu telah menyemarakkan lagi rasa kesedaran politik dalam kalangan golongan atasan Melayu tentang pentingnya penubuhan parti politik untuk menjaga kepentingan mereka. Tambahan pula, Anthony Brooke telah mendorong PKMS menubuhkan parti politik untuk memelihara kepentingan orang Melayu.[30] Rentetan itu, orang Melayu mula menubuhkan Parti Negara Sarawak (Panas) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) manakala orang Dayak pula menubuhkan Sarawak National Party (SNAP) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).[31]

Memandangkan masyarakat Sarawak terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, parti politik yang terasas juga terpengaruh dengan struktur perkauman tersebut. Parti politik yang bersifat perkauman tumbuh pesat demi memenuhi aspirasi kaum dan pemimpin politik dengan mudah mendapat sokongan dengan menggunakan dan memanipulasi isu primordial (perkauman).[32] Penubuhan parti-parti politik ini telah membawa masyarakat Sarawak khususnya golongan yang terlibat dalam politik untuk memikirkan masalah masyarakat terutamanya masalah ekonomi. Parti-parti politik ini yang akhirnya menyertai pilihan raya dalam membentuk Sarawak yang berkerajaan sendiri.

5.0 KESIMPULAN

Gerakan anti-penyerahan telah meninggalkan kesan yang penting dalam perkembangan sejarah walaupun gerakan tersebut telah gagal mencapai tujuannya dalam mengembalikan pemerintahan Brooke di Sarawak. Pergerakan anti-penyerahan telah memainkan peranan yang penting dalam membawa Sarawak ke arah pembentukan Malaysia. Hal ini demikian kerana, salah satu sebab yang mendorong pihak British menyokong penuh pembentukan Malaysia ialah mereka sedar bahawa mereka tidak disukai oleh golongan anti-penyerahan di Sarawak. Secara keseluruhannya, penglibatan penduduk Sarawak dalam pergerakan politik tempatan telah memperlihatkan bahawa mereka sedar dan giat dalam lapangan politik di Sarawak sejak tahun 1940-an, tetapi kegiatan politik yang wujud pada ketika itu adalah yang bukan parti politik. Ia boleh dikategorikan sebagai kegiatan politik pada peringkat pertama, iaitu tahap yang belum lagi melibatkan penubuhan parti politik di Sarawak.

 Jika dilihat dari sudut positif, pengambilan Sarawak sebagai tanah jajahan mahkota British telah memberi kebaikan kepada semua kaum di Sarawak termasuklah orang Cina. Kebudayaan, cara hidup yang bermanfaat dipelihara dan kedudukan istimewa kaum Bumiputera ke atas hak-hak tanah telah dikekalkan. Tanah jajahan telah berkembang dengan stabil menuju ke arah pemulihan daripada kesan perang dan penaklukan Jepun. Pentadbiran kolonial juga telah menambahkan kadar kemajuan dalam ekonomi, sosial dan meningkatkan taraf hidup penduduk Sarawak. Langkah pertama yang dilakukan oleh pihak berkuasa idalah dengan memimpin negeri Sarawak ke arah berkerajaan sendiri. Pendek kata, pentadbiran British telah mempercepatkan negeri Sarawak ke arah berkerajaan sendiri dan kemudian kemerdekaan yang diharap-harapkan oleh semua penduduk Sarawak. Penglibatan kerajaan British telah membawa politik Sarawak ke arah yang lebih matang dan berkembang dengan lebih rancak.




6.0       RUJUKAN
           
Ahmad Nidzammuddin Sulaiman. 1994. Politik Sarawak.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa             dan Pustaka,
Hashim Fauzy Yaacob. 2013Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan             British 1946-1963. Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Ho Hui Ling. 2001. Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951. Persatuan             Sejarah Malaysia.
Leigh M. 1988.  The Rising Moon : The Political Change in Sarawak.  Kuala Lumpur
Nidzam Sulaiman. 2006. Pakatan dalam Politik Sarawak.  Bangi : Penerbit Universiti             Kebangsaan Malaysia.
Sabihah Osman, The Malay-Muslim Response To Cession of Sarawak To The British   Crown 1946-1951, JEBAT Vol. 13, Bangi : Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan  Malaysia.
Sanib Said. 2010 Malay Politics In Sarawak 1946-1966: The Search For Unity And Political Ascendancy. University Malaysia Sarawak.




[1] Dalam konteks ini, penduduk Sarawak semasa di bawah pemerintahan Brooke mengakui bahawa raja Brooke telah member kemerdekaan kepada Sarawak daripada jajahan Brunei.
[2] Ho Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001, Persatuan Sejarah Malaysia, hlm. 43.
[3] Ibid., hlm 45.
[4] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan British 1946-1963, 2013, Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd., hlm. 154.
[5] Ibid.,hlm. 155.
[6] Ibid.,hlm. 156.
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Ibid., hlm. 157.
[10] Ibid.,hlm. 158.
[11] Ho Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001, Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 50.
[12] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan British 1946-1963, 2013, Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd., hlm 137.
[13] Ho Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001, Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 61.
[14] Sanib Said, Malay Politics In Sarawak 1946-1966: The Search For Unity And Political Ascendancy, University Malaysia Sarawak, 2010, Hlmn 65
[15] Sanib Said, Malay Politics in Sarawak 1946-1966 : The Search for Unity and Political Ascendancy, 1985, Singapore : Oxford University Press, hlm. 48.
BPS dan PPM ialah pertubuhan yang dilahirkan apabila berlakunya perpecahan di dalam PKMS.
[16] Nidzam Sulaiman, Pakatan dalam Politik Sarawak, 2006, Bangi : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 181.
[17] Sanib Said, 1985, hlm. 48.
[18] Ibid. Hlm. 49.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan British 1946-1963, 2013, Bangi : Utusan Printcorp, Hlm. 153.
[23] Ibid. Hlm 153-154.
[24] Ibid. Hlm. 156.
[25] Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 170.
[26] Ibid.
[27] Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 182.
[28] Sabihah Osman, The Malay-Muslim Response To Cession of Sarawak To The British Crown 1946-1951, JEBAT Vol. 13, Bangi : Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 169.
[29] Leigh, M. The Rising Moon : The Political Change in Sarawak, 1988, Kuala Lumpur : Antara, hlm. 19.
[30] Ibid. Hlm. 183.
[31] Ahmad Nidzammuddin Sulaiman & et.al, Politik Sarawak, 1994, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 23.
[32] Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 188.

DISEDIAKAN OLEH:

NUR SARAHAH MOHD SUPIAN
SITI NURQALILA OMAR
NUR SYAHIRAH KHIR

1 comment:

Unknown said...

Bukan Patinggi Ali tapi Datu Patinggi Abg Abdillah di kediaman Darul Kornia