Sejak kewujudan negara Israel pada tahun 1948,
semakin banyak NGO telah tampil ke hadapan untuk membantu rakyat Palestin.
Dalam erti kata lain, NGO bukanlah satu fenomena baru dalam isu Palestin. Sejak
ketiadaan negara Palestin, NGO telah memainkan peranan penting untuk menjaga
kebajikan rakyat Palestin. Sebagai contoh, sektor NGO telah menyumbang 60%
untuk penjagaan kesihatan, 100% untuk pertanian, dan 30% untuk institusi
pendidikan yang mana kebanyakannya adalah tadika.[1]
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa NGO sangat memainkan peranan yang penting
ekoran daripada kesukaran hidup yang dialami oleh rakyat Palestin. Hal ini
bukan bermakna bahawa rakyat Palestin tidak berusaha untuk memperbaiki
kehidupan mereka dan hanya berharap kepada NGO, namun disebabkan oleh pelbagai
bentuk sekatan dan halangan dari Rejim Zionis menyebabkan mereka sukar untuk
meneruskan kelangsungan hidup. Oleh itu, bantuan daripada NGO sangatlah diperlukan.
Jenis-jenis
NGO di Palestin pula adalah berbeza-beza mengikut keperluan dan ideologi yang
disokong. Pada tahun 1970, sekurang-kurangnya tiga jenis NGO telah muncul,
terutamanya di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Mereka terdiri daripada nasionalis,
kumpulan berorientasikan Marxis, dan Islam. Dengan pengecualian NGO Islam (yang
berada di luar Palestine Liberation
Organization (PLO)[2],
dan memperoleh sumber kewangan terutamanya daripada kutipan zakat di Palestin
dan melalui organisasi), kebanyakan NGO ini telah bergabung dan berakar umbi
dalam pelbagai puak PLO. Mereka terutamanya yang berkaitan dengan puak
berhaluan kiri seperti Popular Front for
the Liberation of Palestine (PFLP),
Democratic Front for the Liberation of Palestine (PFLP), dan Parti Komunis
atau kini dikenali sebagai Palestine
Peoples Party.[3]
Pertubuhan
NGO sebahagian besarnya berdasarkan kepada badan-badan profesional yang mereka
wakili seperti guru-guru, penulis, ahli kesatuan buruh, wartawan, peguam,
persatuan perubatan, jurutera, dewan perniagaan, petani (jawatankuasa
pertanian), dan lain-lain organisasi amal. Tambahan pula, ia adalah sukar untuk
mengira dengan tepat tentang jumlah sebenar NGO Palestin tetapi menurut kajian
Carapico, terdapat kira-kira 400 NGO yang bergiat aktif membantu rakyat
Palestin.[4]
Ia juga dianggarkan bahawa kira-kira 10-40 peratus daripada semua NGO ini
adalah berorientasikan Islam. Secara umumnya perjuangan utama NGO di Palestin
adalah memfokuskan kepada isu kemerdekaan kebangsaan menentang penjajahan Israel,
dan juga untuk menyediakan perkhidmatan asas seperti kesihatan, tempat tinggal,
makanan dan pendidikan kepada rakyat Palestin.
Di
peringkat antarabangsa, pada 8 Disember 1949,
United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) untuk Pelarian Palestin di
Timur Dekat pula telah ditubuhkan dengan kelulusan resolusi Bangsa-Bangsa
Bersatu 302 (IV). Resolusi ini memberikan sokongan perundangan dan kesihatan
kepada pelarian di wilayah Palestin dan mereka yang berada di sekitar kawasan
tersebut. Melalui operasi UNRWA, UNWRA telah menyediakan pendidikan,
perkhidmatan kesihatan, barangan keperluan dan perlindungan kepada pelarian
Palestin di kem-kem di Jordan, Lebanon, Syria, Semenanjung Gaza dan Tebing
Barat. Selain itu, United Nations Development Programme (UNDP) khususnya, dilihat terus komited melalui kerjasama dengan Palestinian National Authority (PNA)
melalui Program Assistance to the Palestinian People (PAPP). UNDP telah
beroperasi di wilayah Palestin melalui PAPP sejak Ogos 1980. Penglibatan ini
dapat dilihat dari segi pembangunan dalam aspek sosio-ekonomi penduduk,
pengaksesan sumber air, perkhidmatan sosial, pengukuhan kemudahan kesihatan,
dan pembinaan semula infrastruktur dan pembangunan sektor pertanian.[5]
Seterusnya,
NGO yang mempertahankan hak asasi manusia seperti Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty
International pula mula menyerlah sejak tahun 1990-an dan sering tampil ke
hadapan untuk menentang segala bentuk agenda yang dijalankan oleh Israel. Pada
tahun 2002, pelbagai bentuk kempen anti-Isreal semakin giat dijalankan oleh NGO
di peringkat antarabangsa ini dan ia turut disertai oleh NGO lain seperti
MIFTAH, Palestinian Committee for the
Protection of Human Rights and the Environment, BADIL, Al Haq, dan Palestinian NGO Network (PNGO).[6]
Pada tahun 2004, NGO antarabangsa ini telah menyertai kempen Palestin yang
mengutuk tindakan Israel sebagai tindak balas ke atas serangan dan keganasan
yang telah dilakukan. Bagi menggerakkan agenda ini, sebanyak 21 buah NGO telah
menyokong untuk tindakan untuk mengeluarkan siaran akhbar, surat dan laporan
yang menyeru agar PBB untuk mengambil tindakan dan menuntut agar Amerika
Syarikat dan EU menghukum Israel.[7]
Pada
tahun 2009, tentera Israel telah menjalankan satu operasi ketenteraan utama
digabungkan di Semenanjung Gaza. Operasi itu berlangsung selama 23 hari dan
pengeboman dijalankan melalui darat,
laut dan udara dan serangan ke Gaza oleh tentera Israel. Berdasarkan
Kementerian Kesihatan Palestin, dianggarkan seramai 1,326 rakyat Palestin telah
terbunuh semasa tempoh peperangan tersebut yang mana 430 mangsa adalah terdiri
daripada kanak-kanak dan 110 wanita. Seramai 5,450 rakyat Palestin pula yang
tercedera termasuk 1,855 orang kanak-kanak dan 795 wanita. Rumah dan infrastruktur
telah musnah dan dianggarkan sebanyak 21,000 buah rumah telah musnah dalam
pertempuran tersebut.[8]
Melalui
kempen yang dijalankan oleh NGO dan peranan yang dijalankan oleh rakyat
Palestin telah cuba untuk menekan usaha menangkap dan mendakwa Israel
berdasarkan dakwaan "jenayah perang" dan "pelanggaran
undang-undang antarabangsa". Antara tahun 2000 hingga 2010, lebih 12 kes
untuk mensasarkan Israel telah dimulakan di Belgium, United Kingdom, Kanada,
Amerika Syarikat, Sepanyol dan negara-negara lain. Percubaan juga diketuai oleh
NGO Palestin Eropah yang dibiayai seperti Al Haq, Palestinian Center for Human Rights (PCHR), Al Mezan, dan BADIL.
NGO antarabangsa lain adalah termasuk Human
Rights Watch, Amnesty International, International Federation of Human Rights
(France), dan Center for Constitutional
Rights (New York) yang turut terlibat secara langsung dalam usaha tersebut.[9]
Bagi
kerajaan Malaysia pula, usaha untuk membantu rakyat Palestin telah lama
diperjuangkan. Bantuan yang diberikan adalah dalam pelbagai bentuk antaranya
termasuklah dari segi penghormatan diplomatik dan sokongan sosio-ekonomi yang
sentiasa berterusan. Oleh itu, tidak wujud persaingan antara kerajaan dan pihak
NGO kerana kedua-duanya telah menunjukkan komitmen dan sokongan yang padu
terhadap rakyat Palestin bagi memastikan penghormatan dan kemerdekaan negara
mereka dikembalikan. Meskipun berlainan latar belakang, namun matlamatnya tetap
sama iaitu demi memelihara keamanan dan kesejahteraan buat rakyat Palestin.
Meskipun Perdana Menteri Malaysia sering silih berganti, namun peranan Perdana
Menteri Malaysia dalam menyuarakan usul mengenai isu Palestin tidak pernah
diabaikan. Tambahan pula, Malaysia juga merupakan negara yang lantang
mengkritik isu Palestin-Israel di persidangan OIC (Organisation of Islamic Cooperation).
Malaysia
terkenal khususnya melalui NGO Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa
memberikan sokongan terhadap rakyat Palestin. Komitmen Malaysia yang tidak
berbelah bahagi dalam membantu rakyat Palestin dapat dilihat telah bermula
sejak era Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, selaku Perdana Menteri
Malaysia yang pertama (1957-1970). Tun Abdul Razak turut menegaskan pendirian
Malaysia bahawa:
“Our stand against Israeli aggression is
clear and unequivocal. Within the limits
of our means we have given support to the Palestinian people to regain their land and their right.”[10]
Malaysia juga telah memberikan sumbangan yang
besar untuk membantu rakyat Palestin bermula dengan penubuhan pejabat PLO di
Kuala Lumpur pada tahun 1974 (yang kemudiannya diberi status Kedutaan pada
tahun 1989) untuk sentiasa membuat isu Palestin sebagai tajuk berita utama di
kebanyakan Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sidang kemuncak OIC,
dan lain-lain persidangan hak asasi manusia antarabangsa.[11]
Hal
ini membuktikan bahawa Malaysia tidak memandang ringan terhadap konflik di
Palestin dan Malaysia merupakan antara negara yang berani menyuarakan pendirian
untuk memelihara keamanan di Palestin. Meskipun sebagai sebuah negara yang
sedang membangun, keberanian yang ditonjolkan oleh Malaysia sedikit sebanyak
membuktikan bahawa negara ini mampu membuka minda dan mencelikkan mata
masyarakat dunia tentang nilai-nilai kemanusiaan yang sering dilupakan
khususnya oleh negara kuasa besar demi menjaga kepentingan negara
masing-masing. Tindakan Tun Dr Mahathir yang juga sering memperjuangkan isu
rakyat Palestin dengan mengambil kesempatan berucap di Perhimpunan Agung PBB,
beliau tidak pernah gagal dalam membangkitkan isu Palestin pada setiap tahun.
Komitmen Tun terhadap Plaestin dapat dilihat melalui hubungan baik yang
terjalin denngan ketua PLO iaitu Yaser Arafat. Yaser Arafat telah melawat ke
Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1984, 2000 dan 2001, bahkan beliau
telah membuat perbandingan antara Malaysia dengan negara Arab yang lain dengan
mengatakan bahawa hubungan antara Palestin dan Malaysia adalah lebih rapat
berbanding dengan negara Arab.[12]
Sejak
tragedi OCL, terdapat banyak NGO antarabangsa termasuk NGO Malaysia berasa
terpanggil untuk menamatkan serangan tentera Israel di Gaza. Bagi NGO Malaysia,
nasib rakyat Palestin walaupun sebelum OCL di Gaza, telah menjadi antara agenda
utama dalam misi mereka untuk menegakkan isu-isu hak asasi manusia di peringkat
antarabangsa. Antara NGO Malaysia yang turut terlibat dalam menjalankan kempen
kesedaran serta menyalurkan pelbagai program dan bantuan untuk mangsa kekejaman
Israel dapat dilihat dalam jadual 2.1.
Jadual 2.1: Senarai NGO Malaysia yang
memperjuangkan isu Palestin
No.
|
Badan-Badan Bukan Kerajaan
(NGO) Malaysia
|
1
|
Al-Mustafa Foundation
Malaysia
|
2
|
Aman Palestin Berhad
|
3
|
Aqsa Syarif Berhad
|
4
|
Dewan Pemuda Masjid
Malaysia
|
5
|
Global Peace Mission
|
6
|
Haluan Malaysia
|
7
|
Islamic Relief Malaysia
|
8
|
Kelab Putera 1 Malaysia
|
9
|
Malaysian Medical Relief
Society (MERCY Malaysia)
|
10
|
Malaysian Social Research
Institute (MSRI)
|
11
|
Muslim Care Malaysia
|
12
|
Palestine Centre of
Excellence (PACE)
|
13
|
Palestinian Cultural
Organization Malaysia (PCOM)
|
14
|
Perdana Global Peace
Organisation (PGPO)
|
15
|
Persatuan Bulan Sabit Merah
(PBSM)
|
16
|
Pertubuhan IKRAM Malaysia
(IKRAM)
|
17
|
Pertubuhan Jamaah Islah
Malaysia (JIM)
|
18
|
Pertubuhan Mawaddah
Malaysia
|
19
|
Sekretariat ABIM Pusat
|
20
|
Sekretariat HALUAN Palestin
|
21
|
Sekretariat MAPIM
|
22
|
Viva Palestina Malaysia
(VPM)
|
23
|
Yayasan Amal Malaysia
|
24
|
Yayasan Keamanan Sedunia
Perdana (PGPF)
|
25
|
Yayasan Salam Malaysia
|
26
|
Yayasan Wanita Islam (YATI)
|
Kesemua
NGO ini telah banyak memainkan peranan dalam menyalurkan sumbangan dan bantuan
untuk Palestin termasuklah dalam aspek untuk membangunkan infrastruktur,
memberikan bantuan pendidikan, kesihatan, memulihkan sektor ekonomi dan
sebagainya. Kesemua NGO ini juga tidak terkecuali dalam menjalinkan hubungan
dan membentuk kerjasama antara setiap NGO bagi memastikan misi kemanusiaan yang
hendak dijalankan dapat berjalan dengan lancar demi membantu rakyat di negara
bergolak itu. Buktinya, beberapa NGO seperti HALUAN, ABIM, JIM, PACE, Aqsa
Syarif, Dewan Pemuda, Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan VPM telah bekerjasama
dalam projek “Lifeline4Gaza – Break
The Siege” bagi menghantar bantuan ke Gaza.[13]
Melalui projek ini juga, mereka menyertai konvoi antarabangsa yang diketuai
oleh sebuah NGO dari Negara Turki iaitu Foundation
for Human Rights & Freedoms & Humanitarian Relief (Insan Hak ve Hurriyetleri atau lebih
dikenali sebagai I.H.H.) bersama dengan NGO antarabangsa yang lain seperti Free Gaza Movement dan European Campaign to End the Siege on Gaza
(ECESG). Melalui projek kerjasama ini, hal ini juga secara tidak langsung dapat
mewujudkan hubungan yang baik dalam kalangan NGO di Malaysia dan juga luar.
[2]
Penubuhan Palestine Liberation Organization (PLO) pada Januari 1964 semasa
Persidangan Kemuncak Aran pertama yang dihadiri oleh 13 orang perwakilan di
Kaherah anjuran Presiden Nasser adalah langkah untuk menyatukan gerakan
pembebasan Palestin. Penubuhan PLO adalah bertujuan agar dapat menjadi wakil
rakyat Palestin yang kuat dengan sokongan negara-negara Arab yang lain bagi
mencapai kebebasan dan keamanan untuk Palestin. Seorang warga Palestin iaitu
Ahmad Shuqeiri selaku diplomat di Syria dan Liga Arab telah dilantik untuk
mengetuai PLO. Pada Mei 1964, beliau telah mula menjelajah wilayah-wilayah Arab
dan kem-kem pelarian di Palestin bagi mendapatkan sokongan dan rekrut baru.
Rujuk Siti Rohana Bt Hj. Omar, Gerakan
Penentangan Rakyat Palestin Terhadap Kerajaan Israel (1948-1987), 1999,
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 51.
[3] Asmady
Idris, Organisasi Bukan Kerajaan dan Isu-isu Kemanusiaan Di Gaza, Palestin, International
Journal of West Asian Studies, Sabah: Universiti Malaysia Sabah, 2012, hlm. 55.
[5] Ministero degli Affari
Esteri, International Organizations in the Palestinian Territories and Gaza Strip, http://www.itcoop-jer.org/en/content/international-organizations-palestinian-territories-and-gaza-strip, [1 Jun 2016].
[6] Jerussalem
Center for Public Affairs, The Role of NGOs in the Palestinian Political war Against Isreal, http://jcpa.org/role_of_ngos_in_the_palestinian-political_war/, [1 Jun 2016].
[10]Anidah Robani, The Palestinian Issue: A Malaysian
Perspective, Kuala Lumpur: IIUM Press, 2009, hlm. 14.
[11]
Asmady Idris, Organisasi Bukan Kerajaan dan Isu-isu Kemanusiaan Di Gaza,
Palestin, International Journal of West Asian Studies, Sabah: Universiti
Malaysia Sabah, 2012, hlm. 59.
[13] Haluan, NGO-NGO
Malaysia Dan Wakil IHH Lancar Projek Lifeline4Gaza, http://www.haluan.org.my/v5/extensions/kenyataan-media/377-ngo-ngo-malaysia-dan-wakil-ihh-lancar-projek-lifeline-4-gaza [1 Jun 2016]