Tengah menyiapkan tugasan di bilik, tiba-tiba terngiang-ngiang kata-kata dari Cik Amy (pihak Aman Palestin) semalam. Katanya, di Palestin, sekiranya sesebuah bangunan itu hendak dihancurkan (dibom), mereka hanya diberi 5 minit untuk keluar dari bangunan. Bagi yang sempat keluar dari bangunan itu, maka selamatlah mereka. Jika sebaliknya, maka berpisahlah nyawa dari jasad. Di hospital, bangunannya pun tak macam hospital. Berlubang sana sini. Bekalan ubat-ubatan sangat terhad. Mereka tiada pilihan sehinggakan terpaksa menggunakan ubat yang telah tamat tempoh. Bilik mayat, tak payah ceritalah. Penuh dengan mayat wanita, orang tua, kanak-kanak. Perbualan terhenti seketika sebab hampir hanyut dibawa emosi. Tapi alhamdulillah Allah jaga mereka. Bilik mayat berbau sangat harum. Haruman orang-orang yang syahid. :')
Sunday, March 27, 2016
Friday, March 18, 2016
Friendship?
Persahabatan itu indah jika kita memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Belajar untuk menghargai dan bukannya menzalimi. Salah satu hadiah yang Allah berikan untuk kita adalah sahabat. Sahabat yang sentiasa ada bersama kita ketika kita susah dan senang. Saya yakin, apabila kalian membaca entri ini, sudah pasti akan terbayang wajah-wajah sahabat yang kalian sayangi. Ya, kerana saya juga begitu.
*************************************
Malam itu Marissa memilih untuk tidur di kolej kediaman Ain kerana ramai yang pulang ke kampung pada minggu itu. Sesampai sahaja di bilik Ain, Ain mengajak Marissa untuk solat berjemaah.
"Jom kita solat berjemaah nak?", tanya Ain.
"Tak nak", Marissa menjawab dengan bersahaja. Ain merenung tajam.
"Apasal pulak? Hishhh.. kau ni."
"Celah mana nak solat berjemaah? Telekung kau satu je. Huk alohhhh." Marissa tergelak nakal.
"Haa... kau tak tau. Aku ada telekung extra. Mimi hadiahkan" Ain mengeluarkan telekung yang masih kemas disimpan di dalam bungkusan yang terletak di dalam almari. Bercahaya muka Ain melihat telekung baru itu (bercahaya seperti nampak crush)
"Tadaaaa!" Ain membelek dan tersedar sesuatu. Marissa juga begitu.
"Alamak.. telekung tu terkoyak la Ain! Tengok tu." Marissa menunjukkan bahagian yang terkoyak pada telekung.
Marissa cuba untuk menahan gelak. 'Niat nak solat berjemaah, tapi telekung koyak! Hahaha'
"Kau jangan bagitau dekat Mimi telekung yang dihadiahkan tu terkoyak tau. Kecewa dia nanti"
"Memang aku tak nak bagitau pun."
"Tak apalah. Kau solat dulu. Aku solat lepas kau"
***
"Tu.. kau guna berus gigi Saidah. Hari tu dia tidur kat bilik aku. Berus gigi dia tertinggal. Haa.. kau gunalah. Kata ukhwah bonding. Hahahahaha!" Ain gelak jahat.
"Kau agak-agaklah sikit. Ukhwah bonding pun takkanlah sampai kongsi berus gigi!"
"Yelah. Nanti kita ambik berus gigi kau".
Sudah menjadi kebiasaan untuk Marissa memberus gigi sebelum tidur. Diletaknya berus gigi itu di tepi katil. Esok mereka ada kuliah Asia Tenggara Moden pada jam 10 pagi.
***
"Ain bangun! 9.20! Dah lambat. Mana towel kau bak sini. Aku mandi dulu sebab aku mandi cepat"
Marissa terus mencapai sabun dan berus gigi yang disimpan oleh Ain di dalam bakul. Sepantas kilat Marissa memberus gigi. Kemudian berus gigi itu diletakkan di tepi sinki. Terbeliak mata Marissa melihat berus gigi itu.
'Woit! Ni berus gigi Ain'. Marissa hanya mampu menggelengkan kepala.
"Ain, aku terguna berus gigi kau."
Sememangnya berus gigi mereka seakan sama kerana dibeli bersama-sama dan bezanya cuma pada warna.
"Tahulah ukhwah bonding. Tapi ni dah tahap sampai terkongsi berus gigi ni macam mana ni? Nak elak guna berus gigi Saidah, terguna pulak berus gigi kau. Aduhhhh... hantu betul", kata Marissa.
"HAHAHAHAHA!!!" Ain tergelak bagai tak ingat dunia.
-The end-
Saturday, March 5, 2016
STRUKTUR DAN CIRI KENEGARAAN MELAYU BERDASARKAN TEKS-TEKS TRADISIONAL
1.0 PENGENALAN
Sebagai satu bangsa, orang Melayu
dilihat mempunyai memori kolektif yang kental yang terbina melalui sejarahnya
di rantau ini. Memori kolektif ini telah mendorong mereka untuk memandang
kebelakang, mengingati keagungan silam dan berasa nostalgik dengan mengingati
sejarah lampau. Teks-teks tradisional Melayu merupakan karya yang banyak
menggambarkan tentang keagungan sejarah zaman lampau serta merupakan gambaran
kepada masyarakat yang hidup pada ketika itu. Hikayat-hikayat besar seperti Sejarah
Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Misa Melayu merupakan karya yang terbina dalam
sejarahnya. Karya-karya ini bukan sahaja untuk ditelaah pada konteks zaman
penghasilannya, tetapi juga untuk masyarakat kini kerana karya tersebutlah yang
mampu menghubungkan masyarakat pada zaman kini dan pada zaman lampau.
Teks-teks
hikayat lama sering menggambarkan peristiwa tentang seseorang raja, orang besar
atau anak raja yang membuka negeri di sesuatu kawasan yang dianggap unik,
istimewa dan mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian bagi pembukaan sesebuah
negeri. Frasa ‘membuat negeri’ atau ‘membuka negeri’ pada asasnya mempunyai
maksud yang khusus, iaitu membuka penempatan baru.[1]
Frasa tersebut juga membawa maksud menjadikannya sebagai ibu bagi sebuah negeri
yang hendak dibuka dan merupakan permulaan bagi pembentukan sesebuah kerajaan.
Oleh itu, teks-teks tradisional Melayu telah mengungkap struktur dan ciri-ciri
kenegaraan Melayu.
2.0
KONSEP NEGERI
Penggunaan istilah “negeri” telah lama
digunakan sejak 500 tahun yang dahulu. Definisi negeri dalam kamus Barat membawa maksud yang sangat meluas. Pada
awal kurun ke-19, William Marsden mendefinisikan negeri sebagai city, town, a country dan district. Pada tahun 1916 pula,
Klinkert memberi nilai tambah kepada capital, region dan state.[2]
Wilkinson menyatakan bahawa istilah negeri berasal daripada bahasa Sanskrit. Kamus
Dewan Bahasa pula mencatatkan negeri sebagai daerah tempat tinggal atau sesebuah
kawasan yang diperintah oleh seorang sultan atau gabenor. Namun
begitu, istilah negeri bukanlah perkataan pertama yang digunakan. Hal ini demikian
kerana, istilah “nagara” telah dijumpai di kawasan Dunia Melayu dan telah
digunakan sebelum penggunaan negeri.
Istilah
Sanskrit iaitu ‘nagara’ pula merupakan istilah yang telah digunakan di India yang
merujuk kepada ‘city’. Istilah nagara
juga pernah digunakan oleh Prapanca dalam bukunya iaitu Nagarakatagama.[3]
Konsep yang dianjurkan dalam penulisan
buku beliau ialah Nusantara atau lebih dikenali sebagai Tanah Melayu. Oleh itu,
berdasarkan bahasa Melayu lama, “negara” dan “negeri” mempunyai makna yang
hampir sama. Bagi
masyarakat Melayu tradisional, setiap kawasan dianggap sebagai negeri. Sebagai
contoh, negeri Larut. Namun, selepas penjajahan, setiap kerajaan adalah merujuk
kepada negeri. Pada zaman tersebut, konsep kerajaan telah tidak lagi digunakan
dan telah ditukar kepada konsep negeri. Melalui
perjanjian dengan pihak asing, keseluruhan sesebuah kerajaan
bersama-sama dengan takluknya telah disatukan di bawah konsep negeri.
3.0
STRUKTUR DAN CIRI KENEGARAAN MELAYU
3.1
SISTEM PEMERINTAHAN
Salah satu ciri kenegeraan Melayu ialah
mempunyai sistem pemerintahan. Gelaran ‘raja’ telah dijumpai di dalam
prasasti-prasasti di kawasan Kutei iaitu di Kalimantan Timur yang bertarikh
awal kurun ke-5 Masihi dan dalam batu bersurat di Jawa Barat yang bertarikh
pertengahan kurun yang sama.[4]
Berdasarkan citra tempatan, negeri tidak semestinya diperintah oleh seorang
raja. Sebagai contoh di dalam Hikayat Hang Tuah, semasa Sang Sapurba di
Palembang, orang besar-besar dan orang kaya-kaya Singapura dan negeri di Bentan
tidak mempunyai raja dan orang-orang negeri telah pergi ke Bukit Siguntang
untuk memohon seorang raja.[5]
Sejarah
Melayu turut menceritakan tentang sistem beraja. Di dalam Sejarah Melayu ada
menyatakan bahawa negeri semestinya diperintah oleh seorang raja. Apabila orang
Sultan Mahmud Shah dikalahkan oleh Portugis di Pulau Bentan, Seri Nara Diraja
telah menjelaskan kepada Sultan Mahmud bahawa mereka ingin terus berjuang
sehingga mati. Menurutnya:
“Salah titah tuanku itu, karna ada raja
dinegeri sakalian; jika ada hayat Yang-di-pertuan,
sapuloh negeri boleh diadakan.”[6]
Hal ini menjelaskan bahawa pada ketika
itu ada golongan pembesar yang telah menuhpahkan taat yang setia yang tidak
berbelah bahagi kepada raja. Selain itu, berdasarkan Hikayat Merong Mahawangsa,
terdapat juga negeri yang mempunyai lebih daripada seorang raja. Berdasarkan
Hikayat Merong Mahawangsa, di negeri Kedah, terdapat dua orang raja yang
memerintah pada waktu yang sama iaitu Sultan Muazzam Shah dan Sultan Mahmud
Shah. Namun begitu, keadaan ini dinggap luar biasa dan juga menimbulkan
permasalahan. Menurut hikayat tersebut:
“...menjadi huru-hara hokum negeri itu.
Demikianlah di dalam kitab, tuaku. Jika
dua rajanya, zalim sangat negeri itu.”[7]
Sesebuah
kerajaan muncul berikutan wujudnya seorang raja. Dalam masyarakat Melayu, raja
adalah pemimpin kerajaan dan dianggap mempunyai keturunan dari dewa atau tuhan
yang dikenali sebagai Devaraja. Pengaruh Hindu sangat kuat dalam sistem politik
yang mampu mempengaruhi sistem kepercayaan masyarakat tempatan. Devaraja adalah
kepercayaan di mana raja yang memerintah dianggap luhur dan suci. Namun,
kedatangan Islam telah mengubah dan menguatkan lagi kedudukan raja.[8]
Setelah raja memeluk Islam, gelaran raja telah bertukar menjadi Sultan dan
Syah. Masyarakat Melayu menganggap raja-raja atau sultan-sultan sebagai zillu’Llah fil’alam yang bermaksud
sultan yang memerintah sebagai bayangan Tuhan di muka bumi ini. Sultan yang
menjadi penaung masyarakat dianggap sebagai wali Allah di dunia ini. Kebesaran
dan keagungan raja-raja jelas digambarkan di dalam teks Sejarah Melayu, apabila
Raja Suran menjejakkan kaki di Bukit Siguntang dan tanaman padi huma Wan Empuk
dan Wan Malini terus bertukar. Contohnya:
“... serta padi habis berbuahkan emas, berdaunkan
perak dan berbatangkan suasa,
dan tanah negara bukit ini menjadi warna seperti keemas-emasan. Jikalau embuk tiada percaya,
pandanglah kami, anak cucu Raja Iskandar Zul-Karnain;
pancar Sulaiman alaihi s-alam.”[9]
Dalam
sistem politik raja Melayu, raja ialah seorang pemerintah yang menduduki
lapisan yang tertinggi dalam sistem feudal masyarakat. Perlantikan raja atau
sultan biasanya mengikut sistem warisan yang mengutamakan kaum lelaki. Kaum
wanita tidak boleh dijadikan seorang raja. Seseorang raja dikatakan mempunyai
kuasa sakti dan unsur-unsur keramat dalam diri. Kedudukan raja diperkukuhkan
lagi dengan adanya konsep daulat dan derhaka. Sudah menjadi kepercayaan
masyarakat pada zaman dahulu bahawa mereka tidak boleh melanggar titah atau
kata-kata raja. Jikalau ada di antara mereka menderhaka ke atas raja, mereka
akan menderita pembalasan dari kuasa ghaib dari kemurkaan raja atau sultan
tersebut.[10]
Selain
itu, konsep daulat juga adalah pengikat antara golongan rakyat dengan
pemerintah. Daulat merupakan sesuatu yang dipercayai kebenarannya. Setiap
kata-kata atau arahan raja wajib dipatuhi oleh rakyat jelata dan kebiasaannya
rakyat akan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan kerana mereka tidak mahu
menerima balasan dari konsep daulat tersebut. Mereka akan terkena musibah atau
bala sekiranya ada rakyat yang menderhaka yang lebih dikenali sebagai “tulah”
ataupun penyakit gatal-gatal sehingga ke anak cucu di bawah konsep daulat dan
derhaka. Hal ini menunjukkan bahawa konsep daulat sekaligus telah mengangkat
kedudukan seseorang raja atau sultan ke sebuah tahap yang begitu tinggi dan
menimbulkan penghormatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah
mereka Konsep daulat dan derhaka ini boleh dilihat apabila termeterainya waad
iaitu perjanjian antara golongan pemerintah dan yang dieprintah.
Jika
dibandingkan dengan masa kini, sistem kenegaraan moden pada hari ini contohnya
Malaysia telah mengamalkan sistem perwakilan demokrasi bagi memastikan perjalan
kuasa serta pemerintahan. Namun, sistem kenegaraan tradisional telah mengguna
sistem askripsi atau pewarisan. Berdasarkan sistem perwakilan negara moden,
pemerintah mendapat pengabsahan adalah melalui pemilihan umum dan lain-lain
manakala dalam sistem kenegaraan tradisional, pengabsahan adalah melalui cara
tradisi seperti mitos tentang genealogi, karisma, kepercayaan budaya seperti
daulat dan tulah.[11]
Dalam Sejarah Melayu, asal usul raja Melayu dan sistem kenegaraan beraja Melayu
sememangnya menggunakan pelbagai bentuk pengabsahan.
Berdasarkan
Sejarah Melayu, waad di antara golongan pemerintah iaitu Sang Sapurba (Sri Tri
Buana) dan golongan yang diperintah iaitu Demang Lebar Daun telah dimaterai di
Bukit Siguntang Maha Meru. Waad ini merupakan lambang raja dan persetiaan bagi
memungkinkan kewujudan institusi raja dan sistem perwarisan, ketaatan dan
penderhakaan, institusi pembesar dan institusi rakyat dalam kenegeraan Melayu.
Melalui persetiaan ini, maka wujudnya gelaran ‘Yang Dipertuan’ bagi raja,
manakala ‘patik’ bagi golongan pembesar dan rakyat jelata apabila
berkomunikasi. Berdasarkan Sejarah Melayu, waad boleh diklasifikasikan sebagai
satu kontrak sosial yang memberikan kuasa kepada Sang Sapurba untuk memerintah
manakala Demang Lebar Daun yang mewakili golongan yang diperintah bersutuju
untuk menumpahkan taat setianya kepada Sang Sapurba. Namun begitu, kesetiaan
tersebut adalah bersyarat dan ada batasnya dan bukanlah bersifat mutlak. Hal
ini dapat dilihat melalui petikan teks Sejarah Melayu iaitu:
“Maka sembah Demang Lebar Daun, “...Seperkara
lagi perjanjian patik mohonkan anugerah
ke bawah duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan
ia difadihatkan, dinista yang
keji-keji, jikalau patu pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuaku aibi”. Maka titah Sri Tri Buana,
“Kabullah hamba akan janji paman.”
Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah
Sri Tri Buana, “Hendaklah oleh
segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu
itu derhaka dan menitikkan
darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga.” Maka sembah
Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku,
tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku. Maka titah Sri
Tri Buana, “Baiklah paman, kabullah
hamba akan waad itu.” Maka baginda pun bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun.”[12]
Raja
merupakan ketua kerajaan dan berkuasa mutlak untuk mentadbir kerajaan dan raja
dibantu oleh para pembesar. Raja juga akan mengetuai aktiviti ketenteraan dan
berkuasa dalam hubungan diplomatik antara kerajaan lain di mana raja akan
menentukan sama ada mahu menjalinkan hubungan atau tidak dengan sesuatu
kerajaan lain melalui perantaraan pembesar. Di dalam Sejarah Melayu, Melaka
telah menjalinkan hubungan diplomatik dan bersahabat baik dengan negara Siam
yang pada awalnya adalah bermusuhan. Kebijaksanaan dalam peperangan bukanlah
sekadar dengan melihat kekuatan ketenteraan dan pertahanan, tetapi juga dilihat
berdasarkan sejauhmana kebijaksanaan dalam mengatur strategi. Kebijaksaan Melaka
yang pada ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Mansor Syah telah berjaya
mematahkan serangan Siam ke atas Melaka dengan hanya menggunakan tipu muslihat.
Pelbagai muslihat telah dilakukan oleh Siam ke atas Melaka namun berjaya
digagalkan oleh Melaka tanpa melibatkan pertumpahan darah.
Kebijaksanaan raja Melaka turut diakui Betara
Majapahit. Apabila melihat kehebatan raja Melaka, Betara Majapahit telah
menjadikannya sebagai menantu dengan mengahwinkannya dengan Raden Galoh Cendera
Kirana. Bukan itu sahaja, Majapahit juga telah memberikan Inderagiri dan
Siantan kepada Melaka. Hubungan diplomatik antara Melaka dan China juga telah
terjalin dan China mengakui Melaka sebagai kerajaan besar dan setaraf
dengannya. Hubungan diplomatik ini telah dikukuhkan lagi dengan perkawinan
antara raja Melaka dengan puteri China iaitu Puteri Hang Li po.[13]
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa raja memainkan peranan yang penting untuk
memastikan wujudnya hubungan diplomatik dengan kerajaan lain agar kerajaannya
mampu berdiri sama hebat dengan negara besar yang lain. Hubungan diplomatik ini
pula akan menguntungkan kedua-dua pihak yang terlibat kerana wujudnya kerjasama
dalam pelbagai aspek.
Segala
ekonomi adalah dikuasai oleh raja seperti aktiviti perdagangan, cukai kepala, hasil
hutan, dan lain-lain. Segala kegiatan akan diuruskan pembesar yang dilantik
untuk mengaut keuntungan dari
hasil-hasil yang ada. Selain itu, raja juga memainkan peranan yang penting bagi
menjaga kemakmuran dan keamanan di negerinya. Apabila negerinya makmur,
kemakmuran tersebut akan membawa kepada perkembangan ekonomi dan hubungan yang
baik dengan negeri-negeri lain. Semenjak pemerintahan Sultan Muhammad Syah di
Melaka, Melaka merupakan sebuah negara yang besar, kuat makmur dan masyhur
sehingga dilabelkan sebagai “tempat perhimpunan segala dagang.” Berdasarkan
teks Sejarah Melayu:
“Sultan Muhammad Syah itu selama itu selama
di atas kerajaan terlalu adil baginda
memeliharakan segala manusia. Maka negara Melaka pun besarlah, dan jajahan Melaka pun banyak, yang
arah ke barat hingga Beruas Ujung Karang,
arah ke timur had Terengganu. Maka masyhurlah pada segala negeri dari bawah angin datang ke atas
angin bahawa Melaka terlalu besarlagi dengan
makmurnya dan rajanya dari bangsa Raja Iskandar Zulkarnain ... Maka segala dagang atas angin dan
bawah angin sekaliannya datang ke Melaka;
terlalu ramai bandar Melaka pada zaman itu. Maka oleh segala orang Arab dinamainya Malakat, ertinya
perhimpunan segala dagang, kerana banyak
jenis dagangan yang berada di sana. Dan segala orang besar-besar pun sangat saksama.”[14]
Petikan tersebut jelas membuktikan
bahawa raja memainka peranan yang penting dalam memastikan aspek ekonomi dan
sosial terus terpelihara kerana dua aspek tersebut adalah aspek yang penting
dalam menjamin pembentukan sebuah negeri. Kebesaran Melaka ini diteruskan lagi
semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansor Syah dan Sultan
Alauddin Riayat Syah.
Golongan seterusnya
ialah pembesar. Mereka juga dikenali sebagai ‘anak baik-baik’ dan kebiasaannya
berasal daripada golongan orang-orang kaya. Peranan umum pembesar adalah
menjadi orang perantaraan antara raja dan rakyat. Segala perintah atau arahan
dari raja akan disampaikan kepada rakyat. Begitu juga dengan aduan dari rakyat
jelata akan disampaikan melalui pembesar kepada raja. Pembesar merupakan tulang
belakang raja yang banyak melakukan urusan-urusan pentadbiran atas arahan raja.
Contoh pembesar yang paling dominan ialah bendahara, penghulu, bendahari,
temenggung dan lain-lain. Pembesar biasanya dilantik melalui surat pentauliahan
sebagai bukti bahawa mereka sudah rasmi menjadi perantaraan raja dan rakyat.[15]
Bendahara
merupakan jawatan yang paling utama dan kanan dalam pemerintahan sesebuah
kerajaan, malah mereka merupakan ketua eksekutif bagi seluruh mekanisme
kerajaan. Bendahara yang digambarkan begitu kuat kuasanya seperti kuasa Perdana
Menteri pada masa kini.[16] Selain
itu, mereka juga akan dianugerahkan kawasan-kawasan tersendiri atau lebih
dikenali sebagai kawasan ‘pegangan’. Mereka bertanggungjawab menjaga keamanan
dan kesejahteraan kawasan tersebut. Antara pembesar yang yang tercatat di dalam
sejarah Melayu ialah seperti Tun Perpatih Permuka Berjajar yang merupakan
Bendahara Singapura:
“... dan adinda baginda, Raja Kecil Muda
dijadikan baginda Bendahara, bergelar Tun
Perpatih Permuka Berjajar; ialah yang pertama jadi Bendahara.”[17]
Seterusnya ialah
jawatan Penghulu Bendahari yang juga dianggap pembesar yang penting. Tugas
utamanya ialah memegang dan menjaga harta benda dan hasil mahsul kerajaan.
Beliau juga berperanan sebagai wakil menerima ufti dari kawasan takluk dan
jajahan serta bertindak sebagai ketua istiadat dan acara rasmi diraja di
istana. Penghulu Bendahari kedudukannya ialah di bawah Bendahara:
“...
dan pada ketika menjunjung duli Bendahara dahulu; dan duduk di bawah Bendahara ialah Penghulu Bendahari,
gelarnya Tun Jana Buga Dendang. Sudah
itu segala menteri dan segala orang besar-besar dan cateria, sida- \sida...”[18]
Selain Bendahara dan Penghulu Bendahari,
Temenggung juga merupakan pembesar yang tertinggi di Melaka. Jawatan Temenggung ini adalah sebagai
majistret (hakim) dan ketua pengawal. Temenggung lebih banyak bertugas dalam
memastikan pelaksaan dan pematuhan undang-undang dijalankan. Tugasnya umpama
peranan Ketua Polis Negara pada masa kini.[19]
Temenggung melaksanakan kawalan dalam negeri. Perkara ini dilihat apabila
Melaka diancam oleh pencuri-pencuri sewaktu pemerintahan Sultan Alau'd-Din
Riayat Syah. Contohnya:
“Maka titah Sultan Alau’d-Din pada Seri Maharaja,
kerana ia Temenggung, “Adakah
kawal semalam?” Maka sembah Seri Maharaja, “Ada Tuanku.””[20]
Di samping itu, Temenggung juga
bertanggungjawab dalam hal-hal yang melibatkan protokol seperti dalam majlis
mengatur tempat duduk pembesar-pembesar mengikut status masing-masing serta
mengepalai gajah ketika raja berangkat menaiki gajah.[21]
Selain
itu, terdapat juga jawatan laksamana. Tugas utamanya ialah dalam bidang
ketenteraan. Namun fungsinya sering kali berubah kerana memainkan peranan utama
di istana dan kadangkala dilantik menjadi utusan atau duta ke sesebuah negara.
Antara golongan pembesar yang pernah memegang jawatan tersebut berdasarkan teks
Sejarah Melayu ialah Laksamana Hang Tuah. Jawatan Syahbandar pula diwujudkan
adalah kerana peranan Melaka yang penting disebabkan oleh kegiatan entrepot.
Tugasnya ialah menyambut kapten kapal dan dibawa menghadap Bendahara untuk
mendapatkan kebenarannya sebelum menjalankan urusan perdagangan. Oleh kerana
Syahbandar ini terpaksa berhadapan dengan pedagang-pedagang dari pelbagai
negara, Laksamana haruslah memiliki kemahiran pelbagai bahasa bagi memudahkan
kegiatan ekonomi tersebut dijalankan.
Seterusnya
ialah golongan rakyat. Golongan ini mempunyai jumlah yang paling ramai
berbanding dengan golongan pemerintah. Dalam Sejarah Melayu asasnya cuba
memperlihatkan kepentingan golongan rakyat di Melaka. Keadaan ini digambarkan
melalui pepatah ‘Rakyat itu umpama akar, manakala raja itu umpama pohonnya,
jikalau tiada akar, nescaya pohon tiada akan berdiri’. Walaupun gambaran rakyat
tidak begitu ketara di dalam Sejarah Melayu, namun secara jelas penggarapnya
cuba membuktikan ramainya rakyat Melaka ketika itu. Secara umum, golongan ini
terbahagi kepada dua. Kategori pertama ialah rakyat biasa yang bebas
(mendeheka). Manakala kategori kedua ialah hamba yang menduduki lapisan
terbawah.
Rakyat biasa terdiri daripada nelayan, petani,
pedagang dan petukang. Golongan ini tidak mempunyai sebarang kuasa politik dan
tidak memegang jawatan dalam sistem politik. Dari segi ekonomi pula, mereka
menjana kegiatan hanya untuk keperluan keluarga mereka sahaja. Dalam kehidupan
bermasyarakat, mereka mengamalkan amalan bergotong-royong. Tiga komponen utama
dalam golongan ini ialah pedagang dan peniaga kecil-kecilan, buruh dan pekerja
biasa serta petani dan tukang mahir. Mereka bebas untuk melakukan sebarang
kegiatan ekonomi seperti menangkap ikan, bertani, berdagang dan sebagainya.[22]
Hamba
menduduki lapisan terendah dalam sistem sosial masyarakat Melayu. Golongan ini
tidak boleh bertindak sesuka hati dan pergerakan mereka adalah terbatas.
Golongan ini menyumbang kepada jumlah tenaga manusia yang diperlukan dalam pelbagai
aktiviti atau pekerjaan. Hamba juga berperanan menjadi lambang kekayaan kepada
tuannya kerana pada zaman tersebut, mereka yang memiliki jumlah hamba yang
ramai dikira sebagai orang kaya. Dalam teks Sejarah Melayu, golongan hamba
telah ditonjolkan melalui watak Badang yang terikat kepada perintah tuannya.
Contohnya:
“Maka tersebutlah perkataan seorang perempuan
duduk berhuma di Sayung; ada
seorang budak, hambanya, bernama Badang; kerjanya berhuma akan tuannya juga.”[23]
Namun begitu, status sebagai seorang
hamba tidak semestinya akan kekal buat selamanya sebalikya boleh berubah
mengikut keadaan. Misalnya, Badang telah dilantik sebagai hulubalang Singapura
kerana memiliki kekuatan yang luar biasa:
“Maka oleh baginda Badang dijadikan
hulubalang.”[24]
Oleh
itu, jelaslah bahawa sistem pemerintahan memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan negeri dan ia merupakan salah satu ciri kenegaraan Melayu. Setiap
golongan sama ada golongan pemerintah dan golongan diperintah ternyata
mempunyai tangggungjawab masing-masing dalam memastikan pembangunan serta
keamanan sesebuah negeri.
3.2
UNDANG-UNDANG
Ciri lain bagi kenegaraan Melayu ialah
wujudnya undang-undang. Undang-undang merupakan satu garis panduan untuk
memastikan masyarakat hidup dalam
kemakmuran dan kedamaian. Sekiranya tidak ada undang-undang, sudah pasti rakyat
akan hidup dalam keadaan kucar-kacir dan akan menyebabkan kehancuran negeri.
Justeru itu, undang-undang memainkan peranan yang penting dalam pembentukan
sebuah negeri. Lazimnya, rakyat akan menyerahkan kuasa penuh kepada pemerintah
untuk menjaga kerukunan masyarakat manakala rakyat pula wajib mentaati segala
hukum yang dibuat oleh pemerintah tanpa syarat.[25]
Pada zaman keagungan Melaka, Melaka mempunyai dua undang-undang bertulis iaitu
iaitu Hukum Kanun Melaka (Undang-Undang Darat)
dan Undang-Undang Laut Melaka.
Secara umumnya,
Undang-undang Melaka berasakan kepada dua peraturan iaitu, peraturan berkaitan
aturan adat yang berlandaskan kepada Adat Temenggung dan peraturan agama yang
berlandaskan kepada Mazhab Syafie. Hukum Kanun Melaka mempunyai 44 fasal yang
berkuat kuasa di Melaka pusat dan juga kawasan-kawasan yang menjadi jajahan
takluknya. Antara kandungan Hukum Kanun Melaka ini ialah berkaitan
tanggungjawab raja serta pembesar-pembesar, pantang larang dalam kalangan
anggota masyarakat, perhukuman kesalahan jenayah dan awam, undang-undang keluarga
serta permasalahan ibadah dan muamalat. Hukuman juga adalah berdasarkan kelas.[26]
Hal ini kerana terdapat perbezaan hukum antara kelas di dalam Hukum Kanun
Melaka, seperti kelas bangsawan (raja), orang merdeka dan hamba. Misalnya:
“Orang yang membunuh dengan tiada setahu
raja atau hakim akan dibunuh, tetapi
dalam keadaan tertentu, pembunuhan boleh dilakukan. Di samping itu, orang mengamuk yang tidak dapat
ditangkap, hamba yang hendak membunuh tuannya,
pencuri yang sedang mencuri juga dibunuh. Bendahara, temenggung, syahbandar dan nakhoda pada waktu
tertentu juga boleh membunuh dengan tiada
titah raja.”[27]
Seterusnya
ialah Undang-undang Laut Melaka. Undang-undang Laut Melaka berasal daripada
zaman Sultan Mahmud Shah (1488-1511) yang meliputi pelbagai perkara yang
berkaitan dengan kegiatan di dalam perahu dan pelayaran. Dalam Undang-undang
Laut Melaka telah menyatakan dengan jelas tentang tugas-tugas seorang pegawai
dalam perahu yang meliputi nokhoda, jurumudi, senawi dan muda-muda. Pegawai-pegawai
ini dipertanggungjawabkan dengan tugas masing-masing. Sekiranya lalai dan gagal
menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan baik, mereka akan dikenakan
hukuman yang berat. Contohnya, seorang jurumudi lalai sehingga menyebabkan
perahu terlanggar karang atau batu, maka jurumudi tersebut akan dikenakan
hukuman mati. Tetapi sekiranya didapati kemalangan itu tidak disengajakan,
pesalah tersebut akan dilepaskan daripada hukuman.[28]
Di
samping itu, undang-undang ini juga memaparkan tentang tatasusial berniaga
apabila kapal sampai ke pelabuhan. Orang pertama yang sampai ke pelabuhan ialah
nakhoda. Setelah nakhoda berniaga selama empat hari, barulah kiwi yang belayar
bersama dalam kapal itu berniaga selama dua hari. Situasi ini jelas memberi keutamaan
kepada nakhoda. Oleh yang demikian, Undang-undang Laut Melaka ini jelas memberi
kuasa yang besar terhadap nakhoda. Malah, nakhoda diibaratkan seperti raja
dalam perahunya. Nakhoda juga mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman bunuh.
Selain itu, terdapat satu fasal dalam Undang-undang Laut Melayu yang yang
menyentuh tentang hukuman zina. Dalam fasal ini menyatakan bahawa sekiranya
seseorang yang sudah berkahwin itu berzina dalam perahu, mereka akan dikenakan
hukuman bunuh. Tetapi sekiranya mereka masih bujang, kedua-duanya akan
dikenakan hukum seratus palu atau sebatan.[29]
Selain
daripada undang-undang bertulis, terdapat juga undang-undang tidak bertulis. Undang-undang
tidak bertulis adalah seperti kata-kata raja yang harus dipatuhi dan tidak
boleh diingkari. Sekiranya diingkari, ia akan mendatangkan kesan yang buruk
kepada individu yang terbabit. Dalam Sejarah Melayu, terdapat undang-undang
yang tidak bertulis seperti waad. Waad adalah salah satu bentuk ketetapan atau
perjanjian yang telah dimeterai antara golongan pemerintah dan golongan yang
diperintah. Waad tersebut akhirnya secara tidak langsung telah menjadi satu
bentuk undang-undang yang tidak bertulis yang harus dipatuhi bukan sahaja
golongan dimerintah, tetapi juga golongan pemerintah. Berdasarkan teks Sejarah
Melayu:
Maka titah Sri Tri Buana, “Hendaklah oleh
segala anak cucu hamba, jikalau ada
salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan
darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera,
berundur hingga takluk negerinya juga.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Baiklah tuanku, tetapi jikalau
anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan,
anak cucu patik pun berubahlah tuanku. Maka titah Sri Tri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba
akan waad itu.” Maka baginda pun bersumpah-sumpahlah
dengan Demang Lebar Daun.”[30]
Selain
itu, terdapat juga ketepan yang telah ditetapkan oleh sultan sehingga menjadi
suatu bentuk larangan. Antaranya termasuklah penggunaan warna kuning, emas dan
pakaian. Contohnya:
“Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan
“kekuningan larangan”; tidak
dapat dipakai orang keluaran... Bermula segala orang yang beremas. Bagaimana sekalipun
kayanya, jikalau tiada anugerah raja tiada boleh
pakai... Dan jikalau orang masuk ke dalam jika tiada kain berpancung,dan berkeris di hadapan, dan
bersebai, tiada dapat masuk... Maka inilah dahulu
kala larangan raja Melayu, barang siapa melalui dia salah ke bawah duli, hukumnya didenda pati, yakni sekati
lima”[31]
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa
setiap kata-kata raja itu adalah ketetapan dan menjadi sebuah bentuk
undang-undang yang harus dipatuhi oleh golongan rakyat. Sekiranya mereka
mengingkarinya, maka mereka akan dikenakan hukuman. Oleh itu, jelaslah bahawa
undang-undang memainkan peranan penting dan merupakan aspek yang penting dalam
sesebuah kenegaraan Melayu.
3.3
SEMPADAN
Seterusnya, ciri kenegeraan Melayu juga
termasuklah aspek sempadan. Dalam masyarakat moden, sesebuah negeri mempunyai
sempadan geografi yang kekal serta memisahkan satu negeri dengan negeri yang
lain. Sesebuah negeri juga dilihat mempunyai identitinya yang tersendiri yang
dicirikan oleh asal usul dan perkembangan sejarah disusuli dengan aspek bahasa
dan budaya. Negeri pada hari ini akhirnya telah terbentuk menjadi sebuah entiti
politik yang kekal. Namun begitu, pada zaman dahulu dikatakan negeri tidak
mempunyai sempadan yang tetap berikutan faktor Asia Tenggara yang sangat luas.
Ciri sempadan negeri yang kabur telah memberi peluang kepada masyarakat Melayu
untuk merantau dari satu tempat ke satu tempat yang baru. Walau bagaimanapun, perantauan
yang dilakukan antara sesebuah negeri lain adalah tidak menimbulkan sebarang
masalah kerana raja pada zaman dahulu sememangnya ingin mengumpulkan rakyat
yang berjumlah besar. Hal ini demikian kerana, sudah menjadi tanggungjawab rakyat
untuk berkhidmat kepada raja melalui sistem kerah seperti membina istana,
bangunan serta terlibat dalam ketenteraan.
Sebagai
sebuah rantau maritim, pulau, laut, selat dan sungai telah memberikan pengaruh
yang besar kepada kehidupan penduduknya. Bagi rantau Melayu, laut dan sungai
merupakan konsep serta merupakan faktor yang berperanan sebagai pembentukan
sempadan selain daripada berfungsi untuk membekalkan sumbermakanan dan minuman
kepada penduduknya. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya penempatan awal negeri
Melayu adalah terletak di kawasan pinggir sungai. Selain itu, kerajaan Melayu
tradisional pada asasnya telah meletakkan kuala sungai sebagai pusat
pentadbiran. Apabila adanya penguasaan di kuala sungai, pihak yang mengasaskan
penempatan tersebut telah memperkenalkan sistem cukai kepada golongan yang
menggunakan jalan perhubungan sungai yang menuju ke kuala. Berikutan daripada
tindakan tersebut, institusi pentadbiran telah diperkemaskan dengan melantik
seorang ketua. Pengiktirafan tersebut telah mengekalkan kedudukan pembesar
tersebut sehinggalah wujudnya istilah “bandar diraja” yang terletak di muara
sungai seperti Negeri Pekan di Pahang, Negeri Klang di Selangor dan Negeri
Larut di Perak.[32]
Pembentukan
sesuatu sempadan adalah unik kerana kerajaan yang terlibat tidak mempunyai
sukatan atau ketepatan garis sempadan. Sebagai contoh, Pahang dan Johor telah
meletakkan Sungai Endau sebagai sebagai garis sempadan antara kedua-dua buah
negeri. Negeri-negeri tersebut juga telah memperlihatkan betapa pentingnya
sungai dalam pelbagai aspek. Antara kepentingan sungai pada zaman tradisional
adalah sebagai sempadan ekonomi, sempadan pentadbiran, sempadan laluan keluar
masuk bagi sesebuah negeri dan hulu sungai sebagai sempadan kuasa raja.[33] Kesusasteraan
Melayu tradisional telah menggambarkan bahawa negeri merupakan satu ruang
tertentu yang perlu dibezakan dengan ruang yang lain. Oleh itu, negeri dan
bandar sering dibezakan. Perbezaan tersebut boleh dilihat melalui Hikayat
Patani:[34]
“Maka baginda pun menyuruhkan orang
memongkar sauh, lalu berlayar ke Bandar.
Setelah sampai lalu naik berjalan ke dalam negeri…”
Pembukaan negeri dan bandar memerlukan
ciri yang khas seperti sebuah bukit dengan tanah lapang bagi negerinya manakala
sebuah sungai yang besar bagi bandarnya. Bandar dan negeri pula adakalanya
mempunyai nama yang berbeza, sebagai contoh, di Perak, negerinya ialah Pulau
Indera Sakti manakala bandarnya ialah Bandar Makmur.[35]
Selain
itu, negeri dan kuala turut dibezakan. Hikayat Hang Tuah turut menggambarkan
perbezaan antara negeri dan kuala. Berdasarkan hikayat tersebut:
“Kami medapati bahawa apabila ada ancaman
musuh terhadap orang di kuala, mereka
lari masuk ke negerinya.”[36]
Perbezaan dan pemisahan antara
ruang-ruang tersebut dapat dibuktikan dengan adanya tiga jawatan khas iaitu
Panglima Negeri, Panglima Bandar dan Panglima Kuala.[37]
Sempadan negeri dapat dilihat apabila di dalam Undang-undang Melaka, pemimpin
menyuruh gong dipalu dan haruslah mengelilingi negeri untuk menyampaikan
perintah atau berita apabila pencuri didapati bersalah. Sebagai contoh:
“Ia dinaikkan di atas kerbau balar, dibubuh
bunga raya dan berpayung tudung saji,
dicoreng mukanya dengan kapur dan harang dan kunyit, maka dicanangkan berkeliling negeri.”[38]
Pengenalpastian
sempadan oleh pemimpin negeri juga terdapat dalam Hikayat Pahang. Berdasarkan
hikayat tersebut, apabila orang Inggeris berada di Johor maka timbul isu
berkaitan sempadan antara Johor dan Pahang. Johor mengatakan bahawa Sungai Endau
adalah miliknya tetapi pemimpin Pahang telah menolak dakwaan tersebut dengan
mengatakan bahawa sempadan Pahang dan Johor adalah terletak di Tanjung Lebak.[39]
Pembukaan
sesebuah negeri pada zaman dahulu dikatakan bergantung pada sesebuah lokasi.
Keputusan untuk membuka satu negeri ditentukan oleh pembesar berdasarkan
kesesuaian lokasi iaitu tempat yang berdekatan dengan sungai, tanah rata yang
luas dan jumlah penduduk serta kemudahan untuk kelansungan hidup seperti
kawasan yang penuh dengan haiwan perburuan atau ikan. Selain itu,
kawasan-kawasan yang dipercayai mempunyai unsur luar biasa turut menjadi
pilihan raja atau pembesar. Contohnya kemunculan
binatang atau unsur-unsur luar biasa seperti pelanduk. Mereka mempercayai
kawasan yang mempunyai kuasa luar biasa mampu menjadikan negeri yang bakal
dibina menjadi maju. Misalnya, Temasek bertukar menjadi Singapura berikutan kemunculan
haiwan aneh iaitu ‘singa.
Kebiasaannya, sesebuah
negeri tidak dibuka di satu tempat yang telah didiami. Selepas peperangan,
tempat kediaman oleh pihak yang kalah tidak lagi digunakan untuk membuka sebuah
negeri yang baru. Hal ini kerana, tempat tersebut sudah tidak mempunyai tuah
dan sekiranya masih menetap di negeri tersebut, malang akan menimpa penduduk di
negeri tersebut. Mereka akan berpindah ke tempat yang baru. Biasanya jumlah
rakyat yang mengikuti pemimpin tidaklah ramai. Apabila sudah menjumpai tempat
yang sesuai untuk membuat negeri, seluruh tenaga kerja akan dikumpulkan. Tempat
tersebut yang kebiasaanya penuh dengan semak dan pokok-pokok akan ditebas oleh
rakyat di bawah pimpinan pemerintah. Sekiranya tenaga kerja tidak mencukupi,
pemerintah akan memohon bantuan dari negeri lain agar menghantar orang-orang
mereka. Keadaan ini pernah berlaku pada suatu ketika dahulu semasa negeri
Singapura dibuka oleh Seri Teri Buana yang meminta bantuan tenaga kerja dari
Ratu Pulau Bentan.[40]
4.0
KESIMPULAN
Kesimpulannya, teks-teks tradisional
Melayu telah mengungkap struktur dan ciri-ciri kenegaraan Melayu. Ciri-ciri
kenegaraan Melayu adalah merangkumi
sistem pemerintahan kerajaan, undang-undang dan sempadan. Raja dan
rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam melicinkan pentadbiran kerajaan.
Tanpa kerjasama dan kesepakatan, pembangunan negeri tidak akan dapat dicapai.
Setiap ahli masyarakat perlu menumpahkan taat setia kepada raja dan raja juga
perlu memanfaatkan konsep pertuanan dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat
dan negeri. Mitos turut membantu memberi
pengabsahan kepada raja dan kerajaannya. Teks-teks tradisional Melayu juga
adalah sebagai bukti tentang keagungan sejarah zaman lampau serta merupakan
gambaran kepada masyarakat yang hidup pada ketika itu.
Pemerintahan
dan situasi pada zaman tradisional seperti zaman keagungan Kesultanan Melayu
Melaka seperti yang tercatat dalam tek-teks lama seperti Sejarah Melayu sedikit
sebanyak telah mempengaruhi dasar pembentukan negara Malaysia baik dari segi
sistem politik, ekonomi dan sosialnya. Negara Malaysia sememangnya telah
melalui pelbagai proses untuk berada pada tahap yang dikecapi kini. Sememangnya
menjadi harapan bagi seluruh rakyat Malaysia supaya beroleh pencapaian yang
lebih gemilang pada masa akan datang.
5.0
RUJUKAN
A. Samad Ahmad (pngr.). 1979. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Abd. Jalil Borham. 2002. Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor.
Skudai: Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia.
Abdul Rahman Embong. 2001. Negara Bangsa: Proses dan Perbahasan.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Abdullah Siddik. 1975. Pengantar Undang-Undang Adat di Malaysia.
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
J.M. Gullick. 1970. Sistem Politik Bumiputera Tanah Melayu Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad (pngr.). 1993. Hikayat
Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Liew Yock Fang. 2003. Undang-undang Melaka. Kuala Lumpur:
Yayasan Karyawan.
Mohd. Taib Osman. 1988. Bunga rampai Kebudayaan Melayu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka.
R.O Winstedt. 1982. A History of Malaya. Kuala Lumpur: Marican & Sons (Malaysia) Sdn Bhd.
Siti Hawa Haji Salleh. 1998. Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur,
Yayasan Karyawan.
Tardjan Hadidjaja. 1964. ‘Adat Raja-Raja Melayu. Kuala Lumpur:
Penerbitan Pustaka Antara.
Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret
(pnys.). 1999. Di Sekitar Konsep Negeri. Kuala Lumpur: Ampang Press
Sdn. Bhd.
[1] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala
Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. xv.
[2] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala
Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 2.
[3] Ibid.,hlm 5.
[4] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala
Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 21.
[5] Mohd. Taib Osman, Bunga
rampai Kebudayaan Melayu, 1988, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pusataka,
hlm. 145.
[6] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 212.
[7] Siti Hawa Haji Salleh, Hikayat
Merong Mahawangsa,1998, Kuala Lumpur, Yayasan Karyawan, hlm. 111.
[8] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala
Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 36
[9] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 20.
[10] J.M. Gullick, Sistem Politik
Bumiputera Tanah Melayu Barat, 1970, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlm 72.
[11] Abdul Rahman Embong, Negara
Bangsa: Proses dan Perbahasan, 2001: Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia,
hlm 65.
[12] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 24.
[13] Ibid., hlm. 125.
[14] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 75.
[15] J.M. Gullick, Sistem Politik
Bumiputera Tanah Melayu Barat, 1970, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, hlm. 114.
[16] Abd. Jalil Borham, Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Johor,
2002, Skudai, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, hlm. 72.
[17] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 42.
[18] Ibid.
[19] Abd. Jalil Borham, Pentadbiran
Undang-undang Islam Negeri Johor, 2002, Skudai: Penerbit Universiti
Teknologi Malaysia, hlm. 72.
[20] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 162.
[21] Ibid., hlm. 74.
[22] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 45.
[23] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 45.
[24] Ibid, hlm 47
[25]Dr. Abdullah Siddik, Pengantar
Undang-Undang Adat di Malaysia, 1975, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya, hlm. 11.
[26] Tardjan Hadidjaja, ‘Adat
Raja-Raja Melayu, 1964, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, hlm. 82.
[27] Liew Yock Fang, Undang-undang
Melaka, 2003, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm. 62.
[28] R.O Winstedt, A History of
Malaya, 1982, Kuala Lumpur: Marican & Sons ( Malaysia) Sdn Bhd, hlm.
38.
[29] Liew Yock Fang, Undang-undang
Melaka, 2003, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm. 67.
[30] A. Samad Ahmad (pngr.), Sulalatus
Salatin (Sejarah Melayu), 1979, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm. 24.
[31] Ibid., hlm. 70.
[32] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala
Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 150.
[33] Ibid.
[34] Ibid.
[35] Ibid., hlm. 13.
[36] Kassim Ahmad (pnyl.), Hikayat
Hang Tuah, 1993, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 493.
[37] Ibid.
[38] Liew Yock Fang, Undang-undang
Melaka, 2003, Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan, hlm. 80.
[39] Wan Hashim Wan Teh & Daniel Perret (pnys.), Di Sekitar Konsep Negeri, 1999, Kuala
Lumpur: Ampang Press Sdn. Bhd., hlm. 15.
[40] Ibid., hlm. 59.
Subscribe to:
Posts (Atom)