Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Monday, October 17, 2016

Aktiviti Sukarelawan


Hai!
Terdetik pula dihati untuk menulis sedikit sebanyak pengalaman menjadi sukarelawan ni. Walaupun pengalaman tu tak banyak, tapi cukuplah disimpan buat kenang-kenangan (Ewah!).

1. Kuala Krau, Pahang

Penghujung tahun 2013 merupakan tahun pertama saya melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan di universiti (Semester 1). Bantuan yang diberikan adalah bantuan pascabanjir di Kuala Krau, Pahang. Pada masa yang sama, setiap sukarelawan telah diagihkan kepada keluarga angkat masing-masing. Kuala Krau tidak mengalami masalah banjir yang ketara dan bantuan yang diberikan  lebih kepada sumbangan makanan.

2. Guru Tuisyen

Sepanjang tahun 2014 (Semester 2 dan 3), saya  telah melibatkan diri sebagai sukarelawan untuk mengajar Matematik (Darjah 6) dan Bahasa Inggeris (Darjah 1-6). Pengalaman pertama mengajar tuisyen ini agak mencabar bagi saya kerana latar belakang pelajar boleh dikatakan agak complicated. Pernah suatu petang saya terkejar-kejar pulang dari kelas kerana belum menyediakan bahan untuk mengajar. Setelah saya memperoleh bahan dari internet dan buku, saya menunaikan solat Maghrib dan pergi ke kelas tuisyen. Bahan saya agihkan setiap seorang. Malangnya, seorang kanak-kanak perempuan berkata, “Cikgu, saya tak nak buat!”. Kertas ditolaknya ke tepi. Situasi yang berbeza daripada kanak-kanak yang sama, saya pernah mendapatinya meniru. Ya Allah! Saat tu cuma Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Hancur! Saya abaikan assignement dan tugasan lain seketika hanya untuk mengajar tetapi mereka ‘menolak’ untuk diajar. Tapi, saya tetap positifkan diri dan anggap inilah cabaran yang harus saya tempuhi. Kelas tuisyen ini bukanlah terhad kepada akademik sahaja tetapi mereka juga menjalankan aktiviti lain seperti kem dan program-program jemputan dari luar.



3. Sukarelawan Banjir 2.0

Pada tahun 2014, Malaysia juga pernah dilanda banjir yang dahsyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur sehingga memusnahkan banyak infrastruktur. Atas ajakan seorang sahabat baik, saya turut terlibat sebagai seorang sukarelawan meskipun ketika itu adalah minggu peperiksaan. Buat seketika kami abaikan urusan dunia. Segala sumbangan berbentuk pakaian kami uruskan di salah sebuah kolej di universiti. Pakaian yang disumbangkan adalah termasuk pakaian yang baru dan lama. Namun, saya dan beberapa orang sahabat agak kecewa dengan sumbangan yang diberikan kerana  ada yang sudah tidak elok dan berbau tidak enak (hancing). Bukan niat untuk mempertikaikan pemberian, namun alangkah lebih baik jika sumbangan pakaian yang diberikan adalah dalam keadaan yang elok dan bukanlah berdasarkan konsep untuk “mengosongkan stor rumah”. Setiap pakaian kami asingkan satu persatu. Kemudian, kami packing pakaian-pakaian yang elok dan masukkan ke dalam kotak untuk diagihkan.



4. Fasilitator & Humanitarion Mission for Homeless

Pada tahun 2015 (pengajian tahun akhir), saya terlibat sebagai fasilitator untuk sebuah program di rumah anak yatim di Kajang. Selain daripada menghulurkan bantuan kewangan, aktiviti sukan juga diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara fasilitator dan anak-anak yatim tersebut. Jujur saya katakan, program ini antara yang begitu dekat di hati.



Setelah selesai program ini yang berakhir pada tengah hari, saya meneruskan aktiviti sukarelawan pada hari yang sama untuk membantu gelandangan. Program ini juga salah satu anjuran universiti. Setiap kumpulan (terdiri daripada 5 orang) diberikan sebanyak RM200 untuk membeli barang keperluan bagi membantu gelandangan. Antara barangan yang dibeli termasuklah pakaian, makanan dan bantuan ubat-ubatan untuk diberikan kepada gelandangan di sekitar Jalan TAR, Masjid Jamek dan kawasan-kawasan di sekitarnya. Salah satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah untuk menjaga hati gelandangan. Ertinya, sekiranya di suatu kawasan terdapat lebih daripada seorang gelandangan, sumbangan yang diberikan haruslah  mencukupi tanpa mengabaikan yang lain.

***

Terlalu banyak kenangan, pengajaran dan pengalaman saya sepanjang menjadi sukarelawan bersama sahabat-sahabat baik saya. Pernah suatu ketika saya diuji sama ada untuk terlibat dengan aktiviti sukarelawan mahupun tidak kerana paper terdekat adalah pada dua hari lagi. Pada ketika itu saya berbelah bahagi sama ada hendak menelaah pelajaran atau turun membantu. Akhirnya saya dan sahabat karib saya turun ke tapak untuk membantu sehingga lewat malam. Alhamdulillah,  ia sama sekali tidak menjejaskan prestasi saya bahkan Allah  berikan ganjaran keputusan yang lebih cemerlang. Jika kita mudahkan urusan orang lain, Insya-Allah, Allah akan mudahkan urusan kita. :)

“Ijazah terbaik datangnya dari jalanan dari pengalaman bercakar dan bersalaman”

No comments: