Hai!
Terdetik pula dihati untuk
menulis sedikit sebanyak pengalaman menjadi sukarelawan ni. Walaupun pengalaman
tu tak banyak, tapi cukuplah disimpan buat kenang-kenangan (Ewah!).
1. Kuala Krau, Pahang
Penghujung tahun 2013 merupakan
tahun pertama saya melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan di universiti
(Semester 1). Bantuan yang diberikan adalah bantuan pascabanjir di Kuala Krau,
Pahang. Pada masa yang sama, setiap sukarelawan telah diagihkan kepada keluarga
angkat masing-masing. Kuala Krau tidak mengalami masalah banjir yang ketara dan
bantuan yang diberikan lebih kepada
sumbangan makanan.
2. Guru Tuisyen
Sepanjang tahun 2014 (Semester 2
dan 3), saya telah melibatkan diri
sebagai sukarelawan untuk mengajar Matematik (Darjah 6) dan Bahasa Inggeris
(Darjah 1-6). Pengalaman pertama mengajar tuisyen ini agak mencabar bagi saya
kerana latar belakang pelajar boleh dikatakan agak complicated. Pernah suatu petang saya terkejar-kejar pulang dari
kelas kerana belum menyediakan bahan untuk mengajar. Setelah saya memperoleh
bahan dari internet dan buku, saya menunaikan solat Maghrib dan pergi ke kelas
tuisyen. Bahan saya agihkan setiap seorang. Malangnya, seorang kanak-kanak
perempuan berkata, “Cikgu, saya tak nak buat!”. Kertas ditolaknya ke tepi.
Situasi yang berbeza daripada kanak-kanak yang sama, saya pernah mendapatinya
meniru. Ya Allah! Saat tu cuma Tuhan yang tahu bagaimana perasaan saya ketika
itu. Hancur! Saya abaikan assignement dan
tugasan lain seketika hanya untuk mengajar tetapi mereka ‘menolak’ untuk diajar.
Tapi, saya tetap positifkan diri dan anggap inilah cabaran yang harus saya
tempuhi. Kelas tuisyen ini bukanlah terhad kepada akademik sahaja tetapi mereka
juga menjalankan aktiviti lain seperti kem dan program-program jemputan dari
luar.
3. Sukarelawan Banjir 2.0
Pada tahun 2014, Malaysia juga
pernah dilanda banjir yang dahsyat khususnya di negeri-negeri Pantai Timur
sehingga memusnahkan banyak infrastruktur. Atas ajakan seorang sahabat baik,
saya turut terlibat sebagai seorang sukarelawan meskipun ketika itu adalah
minggu peperiksaan. Buat seketika kami abaikan urusan dunia. Segala sumbangan
berbentuk pakaian kami uruskan di salah sebuah kolej di universiti. Pakaian
yang disumbangkan adalah termasuk pakaian yang baru dan lama. Namun, saya dan
beberapa orang sahabat agak kecewa dengan sumbangan yang diberikan kerana ada yang sudah tidak elok dan berbau tidak
enak (hancing). Bukan niat untuk mempertikaikan pemberian, namun alangkah lebih
baik jika sumbangan pakaian yang diberikan adalah dalam keadaan yang elok dan
bukanlah berdasarkan konsep untuk “mengosongkan stor rumah”. Setiap pakaian
kami asingkan satu persatu. Kemudian, kami packing
pakaian-pakaian yang elok dan masukkan ke dalam kotak untuk diagihkan.
4. Fasilitator & Humanitarion Mission for Homeless
Pada tahun 2015 (pengajian tahun
akhir), saya terlibat sebagai fasilitator untuk sebuah program di rumah anak
yatim di Kajang. Selain daripada menghulurkan bantuan kewangan, aktiviti sukan
juga diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara fasilitator dan
anak-anak yatim tersebut. Jujur saya katakan, program ini antara yang begitu
dekat di hati.
Setelah selesai program ini yang berakhir pada
tengah hari, saya meneruskan aktiviti sukarelawan pada hari yang sama untuk
membantu gelandangan. Program ini juga salah satu anjuran universiti. Setiap
kumpulan (terdiri daripada 5 orang) diberikan sebanyak RM200 untuk membeli
barang keperluan bagi membantu gelandangan. Antara barangan yang dibeli
termasuklah pakaian, makanan dan bantuan ubat-ubatan untuk diberikan kepada
gelandangan di sekitar Jalan TAR, Masjid Jamek dan kawasan-kawasan di
sekitarnya. Salah satu aspek yang perlu diberi perhatian adalah untuk menjaga
hati gelandangan. Ertinya, sekiranya di suatu kawasan terdapat lebih daripada
seorang gelandangan, sumbangan yang diberikan haruslah mencukupi tanpa mengabaikan yang lain.
***
Terlalu banyak kenangan, pengajaran dan pengalaman saya sepanjang menjadi sukarelawan bersama sahabat-sahabat baik saya. Pernah suatu ketika saya diuji
sama ada untuk terlibat dengan aktiviti sukarelawan mahupun tidak kerana paper terdekat adalah pada dua hari
lagi. Pada ketika itu saya berbelah bahagi sama ada hendak menelaah pelajaran
atau turun membantu. Akhirnya saya dan sahabat karib saya turun ke tapak untuk
membantu sehingga lewat malam. Alhamdulillah, ia sama sekali tidak menjejaskan prestasi saya
bahkan Allah berikan ganjaran keputusan
yang lebih cemerlang. Jika kita mudahkan urusan orang lain, Insya-Allah, Allah
akan mudahkan urusan kita. :)
“Ijazah terbaik datangnya dari
jalanan dari pengalaman bercakar dan bersalaman”