Life is beautiful, if u make it beautiful.

Life is beautiful, if u make it beautiful.

Monday, November 30, 2015

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KONFLIK BOSNIA-HERZEGOVINA 1875-1878.

1.0 PENDAHULUAN
Bosnia-Herzegovina yang terletak di Semenanjung Balkan merupakan sebuah wilayah yang sering dilanda konflik yang berpanjangan ekoran daripada masalah dalaman dan juga luaran wilayah tersebut. Kedudukan negara penduduk Islam Bosnia yang secara rasminya dikenali sebagai Bosnia-Herzegovina ini dikatakan telah menjadi penghalang kepada perluasan Serbia dan Croatia.[1] Perkara tersebut dilihat sebagai punca utama terhadap tercetusnya konflik di rantau itu selain didorong oleh beberapa faktor yang lain. Jika ditelusuri dari sudut sejarah, Bosnia yang dikenali sejak Zaman Pertengahan merupakan sebuah kawasan yang telah menimbulkan konflik antara gereja Katolik dan Ortodoks kerana kedudukannya yang terletak di antara negeri Byzantium dan Frankish. Kemudian, telah munculnya sebuah gereja Bosnia di antara kedua-dua gereja besar ini dan akhirnya pada sekitar abad ke-14 dan ke-15, penganut gereja Bosnia telah memeluk Islam secara beramai-ramai.
             Apabila empayar Uthmaniah diperluaskan sehingga ke kawasan Balkan dan Eropah Tengah, maka timbulnya konflik di antara negara Eropah dan empayar Uthmaniah. Konflik dan perubahan sempadan telah membahayakan orang Islam Bosnia terutamanya yang menetap di sempadan empayar Uthmaniah. Pada abad ke-17 dan ke-18, berlakunya peperangan antara Austria dan Republik Vinetian dan juga empayar Uthmaniah di satu pihak yang lain manakala tentera yang berperang bagi kedua-dua belah pihak ialah orang Islam Bosnia, Serb, Croat dan Montenegro. Peperangan itu telah menimbulkan sekatan beragama dan lantaran itu berlakunya penghapusan kaum. Kawasan yang mempunyai ciri-ciri Islamik pula telah dihapuskan sepenuhnya. Penduduk yang terdiri daripada lelaki, perempuan dan kanak-kanak telah dipaksa untuk memeluk agama Kristian.
            Ketika perang Vienna yang berlaku antara tahun 1683-1699, kempen menghapuskan penduduk Islam Bosnia telah dilakukan dan pada ketika itu empayar Uthmaniah telah kehilangan wilayahnya di Hungary, Slavonija, Lika, Dalmatia, dan Boka Kotorska. Penghapusan kaum yang dilakukan adalah disebabkan oleh kehendak penganut dan penaung ideologi pemerintah di Balkan yang menginginkan agar terbentuknya sebuah wilayah tulen yang hanya terdiri daripada kaum mereka sahaja. Pada awal abad ke-18, penghapusan penduduk Islam ini pada awalnya juga dikatakan telah bermula di Montenegro apabila wujudnya polisi “hapuskan mereka yang menerima Islam”.[2] Seorang paderi ortodoks iaitu Peter II (1813-1851) telah memuatkan sentimen tersebut ke dalam sebuah sajak yang bertajuk The Mountain Wreath yang diterbitkan pada tahun 1847 dengan nama penanya iaitu Njegos.[3] Penghasilan sajak itu sedikit sebanyak telah menjadi asas kepada orang Serb dan Montenegro untuk menjalankan penghapusan orang Islam Bosnia. Oleh itu, berlakunya penghijrahan besar-besaran orang Islam Bosnia berikutan perlaksanaan polisi tersebut yang sama sekali mengancam kedudukan orang Islam Bosnia.
            Pada tahun 1878, Bosnia-Herzegovina telah diletakkan di bawah Autro-Hungary walaupun telah mendapat tentangan yang hebat daripada pejuang Islam Bosnia yang cuba mempertahankan hak dan kedaulatan mereka. Penaklukan tersebut akhirnya telah menyebabkan kebanyakan daripada penduduk Islam untuk berhijrah secara besar-besaran ke Turki. Perubahan tersebut telah merubah lanskap dan kedudukan orang Islam. Mereka yang dahulunya hidup dalam peradaban Islam telah berubah kepada peradaban Barat dan menjadi golongan minoriti yang tersisih. Mereka menjadi mangsa kepada penganiayaan dan pembunuhan yang berleluasa dan tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan menerima perubahan yang dibawa oleh penaklukan tersebut demi sebuah kelangsungan hidup. Di sesetengah daerah pula, mereka terus lenyap dan bukti peradaban mereka telah dihapuskan secara sistematik. Terdapat hanya beberapa peninggalan mereka yang tidak penting di perkampungan utara Sungai Sava di Serbia yang masih lagi wujud dan menjadi bukti tentang kewujudan mereka.

 2.0 PERSOALAN TIMUR / THE EASTERN QUESTION
Siri pemberontakan bersiri di dalam wilayah Turki telah dinamakan sebagai Persoalan Timur atau Permasalahan Timur (The Eastern Question). Pada ketika itu, berlakunya kebangkitan semangat kebangsaan daripada beberapa wilayah-wilayah di bahawa jajahan Turki.[4] Mereka menginginkan kebebasan dan keluar daripada pemerintahan Turki. Oleh itu, berlakunya pemberontakan bersiri yang melibatkan wilayah dibawah jajahan Turki seperti Greek (1830)[5], Serbia (1862)[6], Montenegro (Julai 1876)[7], Bulgaria (21 April 1876)[8], Rumania (1876)[9], Bosnia-Herzegovina (1875), dan Albania (1911)[10]. Pemberontakan-pemberontakan yang berlaku merupakan permasalahan yang tercetus di Semenanjung Balkan sebelum Perang Dunia Pertama[11]. Penulisan ini pula hanya akan memfokuskan kepada pemerintahan kerajaan Uthmaniah di Bosnia-Herzegovina sahaja.

3.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MENYEBABKAN KONFLIK BOSNIA-HERZEGOVINA 1875-1878
Konflik Bosnia-Herzegovina yang berlaku pada tahun 1875 adalah disebabkan oleh kebangkitan orang Kristian yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah di Bosnia-Herzegovina. Dalam tempoh tahun 1875-1878, telah berlakunya beberapa pemberontakan sehingga mencetuskan peperangan. Konflik di Bosnia-Herzegovina juga dilihat semakin parah apabila melibatkan campur tangan daripada kuasa-kuasa besar sehinggakan pada tahun 1878, Perjanjian Berlin 1878 telah dibentuk.[12] Melalui perjanjian itu,  akhirnya Bosnia-Herzegovina telah diletakkan di bawah pentadbiran Austria-Hungary. Oleh itu, terdapat pelbagai faktor yang akan dibincangkan di dalam bahagian ini bagi memahami dengan lebih mendalam tentang permasalahan dalaman dan luaran Bosnia-Herzegovina sehingga menyebabkan tercetusnya konflik tersebut.

3.1 ISU KELEMAHAN PENTADBIRAN KERAJAAN UTHMANIAH
Pemberontakan yang berlaku di Bosnia-Herzegovina telah dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran kerajaan Uthmaniah. Terdapat beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh orang Kristan mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan Uthmaniah dan antaranya ialah isu percukaian, isu pemilikan senjata, isu kehakiman dan perundangan serta isu ketidakadilan dalam Majlis Kerajaan Negeri. Isu-isu ini telah dijadikan sebagai faktor untuk orang Kristian menentang kerajaan Uthmaniah. Tambahan pula, kerajaan Uthmaniah yang berteraskan agama Islam telah menimbulkan suatu spekulasi yang negatif dalam kalangan orang Kristian khususnya pengikut Ortodoks dan Katolik yang melihat kerajaan Uthmaniah bersikap tidak adil dalam banyak perkara.

            3.1.1 Isu Percukaian
            Permasalahan yang berlaku dikatakan berpunca daripada golongan petani Kristian yang menentang tuan tanah Muslim pada Julai 1875.[13] Saksi dan pemerhati pemberontakan di Bosnia pada 1870-an telah menolak faktor etnik, agama dan juga politik sebaliknya meyakini bahawa pemberontakan tersebut wujud disebabkan rasa ketidakpuasan hati petani. Menurutnya:
            “All that I wish to point out is that this insurrection ... was in its origin    Agrarian rather than Political. It was largely an affair of tenant right.”[14]
            Pemberontakan tersebut berlaku disebabkan oleh syarat pertanian yang tidak bertimbang rasa dan cukai yang tinggi.[15] Orang Kristian telah membangkitkan isu percukaian kerana mereka melihat pungutan cukai yang dilaksanakan di Bosnia-Herzegovina merupakan suatu tindakan yang membebankan mereka. Mereka mendakwa bahawa pengukuran yang tidak adil telah dilakukan oleh pengutip cukai sehinggakan penduduk terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi berbanding dengan perkara yang telah diperuntukkan di dalam undang-undang. Berdasarkan undang-undang, setiap rakyat dikenakan cukai sebanyak 1/10 daripada pendapat yang perlu dibayar kepada kerajaan.[16]
            Keadaan menjadi bertambah rumit apabila majoriti golongan petani ialah orang-orang Kristian, bahkan mereka melihat tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan adalah suatu bentuk diskriminasi ke atas mereka. Petani perlu membayar sebanyak 1/3 daripada tanaman mereka kepada tuan tanah.[17] Mereka mendakwa bahawa mereka terpaksa membayar cukai yang tinggi kepada tuan-tuan tanah ke atas tanah yang mereka usahakan.[18] Hal ini jelas memperlihatkan rasa ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Kristian terhadap perlaksanaan sistem cukai pertanian di Bosnia-Herzegovina. Oleh itu, golongan petani ini telah meminta agar pihak kerajaan memansuhkan segala pungutan cukai terhadap tanaman dan ternakan.
            Namun begitu, harus diakui bahawa taraf hidup golongan petani pada tahun 1876 adalah jauh lebih baik berbanding dengan taraf kehidupan mereka pada 20 tahun yang lalu. Hal ini demikian kerana, undang-undang telah memberikan kepada golongan petani untuk membeli dan memiliki tanah.[19] Apabila mereka telah memiliki tanah sendiri, maka mereka tidak perlu untuk menyewa tanah daripada tuan-tuan tanah, sebaliknya mereka boleh mengusahakan tanaman mereka sendiri tanpa perlu terikat dengan tuan-tuan tanah. Pemilik tanah pula kebanyakkannya dalam kalangan orang Islam, manakala orang Kristian lebih berminat untuk terlibat dalam pertanian dan perdagangan.[20]
            Selain itu, tuan-tuan tanah juga dilihat tidak bersikap mengerah golongan petani sehingga membebankan mereka. Sebaliknya, golongan tuan-tuan tanah dilihat lebih bersikap bertimbang rasa dan dan menjaga kebajikan golongan petani. Buktinya, tuan-tuan tanah telah memberi kelonggaran kepada golongan petani agar dapat menikmati hasil tanah yang mereka usahakan.[21] Mereka telah diberikan 33% daripada bahagian yang diusahakan.[22] Tindakan tuan-tuan tanah ini juga merupakan suatu bentuk keadilan kepada para petani kerana golongan petani telah bekerja keras untuk mengusahakan tanaman dan pada masa yang sama, tuan tanah tidak mengenepikan mereka tetapi sebaliknya turut membenarkan golongan petani untuk merasai dan menikmati hasil daripada titik peluh mereka itu sendiri.
            Tuan tanah juga sedar bahawa dengan memusnahkan golongan petani, secara tidak langsung turut memusnahkan diri sendiri kerana pendapatan tuan tanah adalah diperolehi daripada tanah yang diusahakan oleh para petani.[23] Oleh itu, tuan tanah lebih bersikap bertolak ansur demi kebaikan dan keuntungan bersama. Rasa tidak puas hati dalam kalangan petani pada dasarnya bukanlah disebabkan oleh undang-undang percukaian kerana mereka tidak pernah lewat untuk membayar cukai pendapatan kepada kerajaan. [24] Sebaliknya, mereka menyimpan dendam kepada pemungut cukai kerana tidak melaksanakan tugasnya dengan baik. Hal ini jelas membuktikan bahawa pada hakikatnya mereka bukanlah memusuhi kerajaan Uthmaniah kerana mereka tidak menolak undang-undang kerajaan, tetapi mereka tidak menyenangi kakitangan kerajaan yang tidak melaksanakan tugas mereka dengan telus. Tindakan yang tidak bertanggungjawab daripada pihak kakitangan kerajaan tersebut ternyata telah mendatangkan kesan buruk dan akhirnya kerajaan Uthmaniah yang terkena tempiasnya.
            Selain daripada cukai pertanian, terdapat juga permasalahan dalam perlaksanaan cukai pengecualian ketenteraan. Orang Kristian enggan membayar cukai pengecualian ketenteraan kerana mereka menganggap bahawa cukai tersebut begitu membebankan mereka.[25] Hal ini demikian kerana, kerajaan Uthmaniah telah menetapkan bahawa rakyat yang telah cukup syarat iaitu sihat dan berumur 18-35 sama ada yang beragama Kristian mahupun Islam adalah diwajibkan untuk menyertai bidang ketenteraan.[26] Rakyat yang enggan melibatkan diri dalam ketenteraan pula akan dikenakan cukai pengecualian ketenteraan. Hal ini jelas membuktikan bahawa kerajaan Uthmaniah tidak membebankan rakyatnya sebaliknya, rakyat itu sendiri yang memilih untuk tidak terlibat dalam ketenteraan dan akhirnya mereka harus membayar cukai pengecualian ketenteraan kesan daripada tindakan mereka itu sendiri. Sekiranya mereka bersetuju untuk terlibat dalam bidang ketenteraan seperti yang telah ditetapkan, mereka tidak perlu berasa terbeban untuk membayar cukai. Oleh itu, tindakan mereka yang meletakkan sepenuhnya kesalahan ke atas kerajaan Uthmaniah adalah sama sekali tidak wajar.
            Kerajaan Uthmaniah juga dilihat sebagai sebuah kerajaan yang bertolak ansur dan menjaga kebajikan rakyatnya. Hal ini demikian kerana, mengikut undang-undang ketenteraan Islam, orang yang bukan beragama Islam adalah tidak dibenarkan sama sekali menceburi bidang ketenteraan kerana dikhuatiri akan mengancam keselamatan sesebuah kerajaan Islam.[27] Namun begitu, kerajaan Uthmaniah tidak menjalankan dasar ini kerana menginginkan hak kesamarataan diberikan kepada rakyatnya. Orang Islam pula menerima baik dasar tersebut kerana di dalam agama Islam, bidang ketenteraan adalah salah satu bentuk jihad kerana mempertahankan negara dan agama daripada serangan pihak musuh.
            Permasalahan berlaku apabila ramai orang Kristian sendiri yang enggan menceburi bidang ketenteraan dan lantaran itu mereka dikenakan cukai pengecualian ketenteraan. Oleh itu, orang Kristian merupakan golongan majoriti yang membayar cukai pengecualian ketenteraan. Tindakan kerajaan Uthmaniah yang cuba memberikan hak kesamarataan kepada rakyatnya sebaliknya telah dimanipulasi oleh golongan Kristian dengan memberikan alasan yang tidak bernas. Sekiranya kerajaan Uthmaniah menjalankan dasar yang mengharamkan orang Kristian terlibat dalam ketenteraan, tidak mustahil sekiranya mereka akan menggunakan alasan tersebut untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah, sebagaimana mereka menggunakan alasan pengecualian cukai yang dianggap sebagai satu bentuk ketidakadilan tersebut sebagai salah satu bentuk penentangan.

            3.1.2 Isu Pemilikan Senjata
            Isu pemilikan senjata turut dibangkitkan oleh orang Kristian bagi menggambarkan kelemahan pemerintahan kerajaan Uthmaniah. Orang Kristian tidak dibenarkan memiliki senjata tetapi sebaliknya bagi orang Islam. Orang Kristian menginginkan keadilan dengan menggesa kerajaan sama ada mereka dibenarkan untuk memiliki senjata atau orang Islam dilarang sama sekali untuk memiliki senjata.[28] Jika ditelusuri dari aspek kebudayaan, orang Islam telah lama memiliki senjata dan perkara tersebut merupakan salah satu budaya yang diamalkan oleh orang Islam di Bosnia-Herzegovina. Oleh itu, agak sukar bagi orang Islam untuk menerima cadangan yang telah dikemukakan oleh orang Kristian di Bosnia-Herzegovina kerana budaya tersebut sudah sebati di dalam diri mereka. Tambahan pula, oleh kerana pentadbiran di Bosnia-Herzegovina berteraskan agama Islam, hukum syariah telah menetapkan bahawa orang Kristian dikecualikan daripada memikul senjata atau berperang sebaliknya mereka akan dikenakan jizyah[29].
            Namun begitu, keinginan orang Kristian untuk memiliki senjata bukanlah semata-mata kerana menginginkan keadilan yang sama rata bagi orang Kristian dan Islam sebaliknya mereka mempunyai agenda yang tersendiri. Mereka mempunyai hasrat untuk menjatuhkan tentera kerajaan bagi memperoleh kebebasan untuk Bosnia-Herzegovina. Mereka juga sengaja membuat tuntutan tersebut kerana dipengaruhi oleh kejayaan yang dicapai dalam pemberontakan Greek (1830) dan Serbia (1862) yang menentang kerajaan Uthmaniah.[30] Oleh kerana tuntutan mereka untuk memiliki senjata tidak mendapat perhatian daripada kerajaan Uthmaniah, maka mereka telah menjadikan isu tersebut sebagai faktor untuk menjalankan pemberontakan ke atas kerajaan Uthmaniah.

            3.1.3 Isu Kelemahan Sistem Kehakiman Dan Perundangan
            Seterusnya, kelemahan kerajaan Uthmaniah juga dikaitkan dengan isu kelemahan sistem kehakiman dan perundangan. Kerajaan Uthmaniah didakwa tidak menjalankan sistem perundangan dan kehakiman seperti yang tercatat di dalam, Dikri Hatti Humayun.[31] Diktri Hatti Humayun[32] mula diperkenalkan pada tahun 1856 dan merupakan mixed tribunal iaitu sebuah perundangan yang menggabungkan undang-undang Islam dan Barat. Orang Kristian menerima baik undang-undang tersebut tetapi sebaliknya bagi orang Islam. Kerajaan Uthmaniah menolak untuk mengamalkan undang-undang tersebut kerana sebagai sebuah negara Islam, penggabungan antara undang-undang Islam dan Barat dilihat sebagai suatu tindakan yang tidak wajar. Hal ini demikian kerana, undang-undang sebuah negara Islam itu seharusnya berpandukan sepenuhnya kepada al-Quran, sedangkan terdapat undang-undang Barat yang terkandung di dalam diktri tersebut adalah menyalahi dan bertentangan dengan perkara yang ditetapkan di dalam al-Quran.
            Pertentangan ini jelas digambarkan apabila Dikri Hatti Humayun mengenepikan peranan Mufti[33] dalam perbicaraan sebaliknya lebih mengutamakan peranan hakim. Bagi sesebuah negara Islam, Mufti memainkan peranan yang penting dalam menjalankan perbicaraan dan sebarang keputusan daripada hakim haruslah melalui Mufti terlebih dahulu. Namun begitu, hal sebaliknya pula telah berlaku apabila diktri tersebut diperkenalkan. Diktri tersebut juga telah menghalalkan riba dalam pinjaman dan perniagaan yang selama ini adalah diharamkan di dalam agama Islam.[34] Hal ini sama sekali tidak disenangi oleh penduduk Islam di Bosnia-Herzegovina kerana perundangan yang jelas bertentangan dengan perkara yang termaktub di dalam al-Quran.
            Oleh itu, sebagai sebuah negara Islam yang menjadikan al-Quran sebagai pegangan utama, Dikri Hatti Humayun dilihat sebagai sebuah undang-undang yang tidak sesuai dengan negara yang mengamalkan sepenuhnya konsep Islam meskipun orang Barat melihat diktri tersebut sebagai sebuah undang-undang terbaik bagi orang Kristian dan orang Islam. Kaca mata orang Kristian pula melihat kerajaan Uthmaniah sebagai sebuah kerajaan yang tidak adil dan lemah kerana gagal melaksanakan sistem kehakiman dan perundangan mengikut Dikri Hatti Humayun. Oleh itu, kegagalan tersebut telah dijadikan sebagai faktor penentangan terhadap kerajaan Uthmaniah.

            3.1.4 Isu Ketidakadilan Dalam Majlis Kerajaan Negeri
            Seterusnya, isu ketidakadilan dalam Majlis Kerajaan Negeri turut dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran kerajaan Uthmaniah. Orang Kristian telah membangkitkan isu bahawa bilangan perwakilan orang Kristian di dalam Majlis Kerajaan Negeri adalah tidak seimbang dan bilangan orang Islam mendominasi Majlis Kerajaan Negeri. Oleh itu, orang Kristian menganggap situasi ini sebagai suatu bentuk ketidakadilan dan telah meminta agar kerajaan menyamaratakan jumlah perwakilan agar nasib serta kedudukan orang Kristian lebih terjamin.
            Namun pada hakikatnya, isu ‘ketidakadilan’ dalam Majlis Kerajaan Negeri adalah berpunca daripada sikap orang Kristian itu sendiri. Hal ini demikian kerana, kerajaan telah memberikan kebebasan dan membuka peluang untuk orang Kristian menduduki tempat di dalam Majlis Kerajaan Negeri bahkan turut dinasihatkan agar mengambil bahagian supaya dapat mewakili orang Kristian.[35] Namun begitu, sikap orang Kristian dilihat lebih mementingkan kepentingan diri sendiri berbanding ingin memelihara nasib bangsanya. Sebagai contoh, mereka tidak menyuarakan pendapat mereka di dalam Majlis meskipun mereka merupakan golongan terpelajar bahkan mereka pernah menolak tawaran untuk menduduki Majlis Kerajaan di Monastir.[36] Sekiranya benar mereka ingin memelihara nasib bangsanya, sudah pasti mereka akan menggunakan peluang yang diberikan dengan sebaik mungkin.
            Oleh itu, tindakan orang Kristian yang mengatakan bahawa wujud ketidakadilan di dalam Majlis Kerajaan Negeri adalah tidak wajar sama sekali. Mereka telah diberikan hak untuk menduduki Majlis Kerajaan Negeri namun, mereka lebih memilih untuk mengenepikan peluang tersebut dan akhirnya memanipulasikan keadaan lalu meyalahkan kerajaan Uthmaniah dengan menyatakan bahawa wujud ketidakadilan dalam kerajaan. Isu ini sengaja dicanang-canang agar dapat memburukkan kerajaan Uthmaniah. Pihak luar yang tidak mengetahui perkara yang sebenarnya pula sudah pasti akan menyalahkan kerajaan Uthmaniah lalu berpihak kepada orang-orang Kristian seolah-olah merekalah golongan yang tertindas dan teraniaya.

3.2 CAMPURTANGAN PIHAK LUAR
Selain daripada faktor dalaman, konflik Bosnia-Herzegovina juga turut dikaitkan dengan faktor luaran. Antaranya ialah campurtangan  daripada kuasa luar seperti Serbia dan Rusia. Tindakan orang Kristian yang menentang kerajaan Uthmaniah turut mendapat pertolongan dan sokongan daripada kedua-dua kuasa tersebut. Oleh itu, konflik yang berlaku di Bosnia-Herzegovina seakan sukar untuk menemui titik pengakhiran terutama sekali apabila kerajaan Uthmaniah mendapat penentangan daripada pelbagai pihak. Setiap pihak cuba untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah demi mencapai kepentingan dan matlamat masing-masing.

            3.2.1 Campurtangan Serbia
            Salah satu faktor yang menyumbang kepada konflik Bosnia-Herzegovina ialah peranan yang dimainkan oleh Serbia. Perjuangan untuk kebebasan politik bukan sahaja pemberontakan terhadap kelemahan pemerintahan Turki, tetapi juga bagi mencerminkan perasaan kebangsaan Serbia untuk menjadi lebih kuat.[37] Serbia telah lama menyimpan dendam dan berusaha untuk mencapai semula puncak kejayaan dengan mendapatkan semula Bosnia-Herzegovina. Hal ini demikian kerana, kerajaan Uthmaniah telah menakluki Serbia yang juga merupakan sebuah negeri di semenanjung Balkan sejak abad ke-14 lagi. Sebelum tahun  1389, Bosnia-Herzegovina pernah berada di bawah pentadbiran Serbia namun berikutan daripada peperangan Kosovo, Serbia telah tewas di tangan kerajaan Uthmaniah.[38] Oleh itu, Serbia mempunyai matlamat untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah di Semenanjung Balkan dan  ingin membentuk kerajaan Serbia Raya.[39] Serbia Raya pula sukar untuk dibentuk tanpa adanya penggabungan daripada negeri-negeri Slav khususnya Bosnia-Herzegovina. Peperangan telah tercetus dengan
            Kedudukan Bosnia-Herzegovina yang terletak berdekatan dengan Serbia juga telah menjadi faktor penarik bagi pembentukan Serbia Raya. Oleh kerana kedudukan Bosnia-Herzegovina yang berjiran dengan Serbia, masyarakat di kedua-dua tempat tersebut juga terdiri daripada rumpun yang sama iaitu rumpun Slav bahkan penduduk Kristian juga merupakan penduduk majoriti sama seperti Serbia. Selain itu, mereka juga mengamalkan ajaran Kristian Ortodoks dan menuturkan bahasa yang sama seperti orang Serb di Serbia.[40] Persamaan yang wujud di antara Bosnia-Herzegovina dan Serbia telah menguatkan lagi keinginan Serbia untuk mewujudkan Serbia Raya kerana kedua-dua tempat tersebut mempunyai latar masyarakat yang sama. Oleh itu, Serbia ingin membentuk Serbia Raya yang terdiri daripada satu bangsa dan satu agama. Melalui penggabungan ini, Serbia Raya akan menjadi sebuah empayar yang mampu berdiri kukuh kerana wujud penyatuan dalam kalangan masyarakatnya.
            Keinginan Serbia untuk memiliki Bosnia-Herzegovina juga semakin memuncak apabila menyedari bahawa wilayah tersebut mempunyai laluan keluar ke Laut Adriatik yang merupakan salah satu laluan strategik yang penting dalam bidang pertahanan dan perdagangan antarabangsa.[41] Kedudukan Bosnia-Herzegovina yang strategik itu dilihat akan mendatangkan keuntungan yang lumayan kepada Serbia sekiranya wilayah tersebut menjadi miliknya. Oleh itu, bagi mencapai keinginan Serbia untuk mewujudkan Serbia Raya, maka Serbia telah berusaha dengan pelbagai cara untuk mewujudkan permusuhan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Kristian terhadap kerajaan Uthmaniah.
            Akhbar Istok turut memainkan peranan dengan membakar semangat rakyatnya. Menurutnya:
            “Now is relatively favourable time to fulfil the national mission. Austria in             agreement with Russia is unfriendly toward Turkey; Germany is paralyzed by             France. Montenegro is always ready to shed blood for national liberation...             Serbia must be larger in order to secure her future!!”[42]
            Salah satu tindakan Serbia adalah dengan merancang satu bentuk konspirasi iaitu dengan mencetuskan pemberontakan di Bosnia-Herzegovina.[43] Pemberontakan tersebut telah tercetus pada Julai 1875 dan mendapat sokongan yang padu daripada Montenegro.[44] Pada luarannya, pemberontakan tersebut dilihat sebagai penentangan orang Kristian terhadap kelemahan kerajaan Uthmaniah dan didalangi oleh orang Kristian sendiri, sebaliknya pemberontakan tersebut didalangi oleh Serbia demi mencapai matlamat dan cita-citanya. Terdapat pelbagai tindakan dan pakatan yang telah dijalankan oleh Serbia secara rahsia. Antaranya, Serbia telah mengatur pertubuhan-pertubuhan sulit secara rahsia dalam kalangan penganut Kristian Ortodoks untuk menentang kerajaan Uthmaniah.[45]
            Di Serbia, akhbar-akhbar turut menyebarkan maklumat-maklumat palsu berkaitan dengan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Uthmaniah terhadap orang Kristian. Akhbar yang hanya dibenarkan terbit di Serbia ialah Srpske Novine (rasmi), Vidov Dan (konservatif) dan Istok (liberal). Istok telah meletakkan kesalahan terhadap pemerintahan kerajaan Uthmniah dan memomok-momokkan rakyatnya tentang keadaan yang akan berlaku. Menurutnya:
            “If the uprising should spread and Montenegro intervenes, and Serbia should             look on with folded hands, then Serbia’s future would be lost once and for             all”[46]
Rakyat Serbia sengaja dimomok-momokkan agar wujud semangat kebangkitan dalam kalangan rakyatnya. Akhbar-akhbar turut menuduh bahawa orang Bosnia-Herzegovina ingin menuntut hak autonomi ke atas wilayah tersebut.[47] Namun begitu, orang Bosnia-Herzegovina sebenarnya telah dipaksa menuntut hak autonomi daripada kerajaan Uthmaniah bahkan akhbar-akhbar tempatan di Bosnia-Herzegovina juga melaporkan bahawa rakyat di wilayah tersebut masih ingin kekal di bawah pentadbiran kerajaan Uthmaniah.[48]
            Hal ini jelas membuktikan bahawa Serbia cuba untuk memburuk-burukkan kerajaan Uthmaniah di mata masyarakat khususnya di mata kuasa-kuasa besar. Hal ini juga memperlihatkan bahawa kerajaan Uthmaniah seakan gagal untuk mentadbir serta gagal memberikan keadilan kepada rakyatnya dengan sebaik mungkin sehingga menyebabkan tercetusnya pemberontakan. Melalui tindakan seperti ini, Serbia berharap agar kuasa-kuasa besar akan mendengar masalah yang berlaku di Bosnia-Herzegovina dan pada masa yang sama bersetuju untuk menyerahkan wilayah tersebut kepada Serbia.[49]
            Tindakan Serbia tidak terhenti begitu sahaja, sebaliknya Serbia terus merancang pelbagai konspirasi termasuklah dengan memberikan bantuan senjata kepada pemberontak-pemberontak di Bosnia-Herzegovina.[50] Hal ini dapat dibuktikan apabila kem-kem pemberontak memiliki senjata-senjata serta alat kelengkapan perang yang berada dalam simpanan kerajaan Serbia. Serbia turut memberikan sokongan moral dan menaikkan semangat pemberontak-pemberontak dengan mengatakan bahawa mereka hampir mencapai kejayaan dalam menentang kerajaan Uthmaniah. Pengganas-pengganas Kristian juga sering diingatkan bahawa Rusia dan parti-parti persendirian di Serbia turut akan memberikan bantuan dan kerjasama untuk membangkitkan kekacauan di Bosnia-Herzegovina.[51]
            Tindakan licik yang dilakukan oleh Serbia telah menyebabkan kekacauan di Bosnia-Herzegovina terus berlarutan. Pemberontakan yang tercetus seakan berpunca daripada orang-orang Kristian Bosnia-Herzegovina sedangkan, segalanya telah dirancang oleh Serbia demi mencapai matlamatnya. Ketika Bosnia-Herzegovina sedang mengalami kekacauan, Serbia telah mengambil kesempatan dengan melatih angkatan tenteranya sebagai persediaan untuk menentang kerajaan Uthmaniah. Sejumlah wang yang besar juga telah diperuntukkan bagi menjayakan serangan tersebut termasuklah untuk membantu pemberontak-pemberontak di Bosnia-Herzegovina.[52] Pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Serbia demi mencapai cita-citanya untuk melihat kejatuhan kerajaan Uthmaniah. Sekiranya kerajaan Uthmaniah berjaya ditewaskan, kejayaan tersebut merupakan satu kemenangan yang besar kepada Serbia dan impiannya untuk meluaskan wilayahnya serta membentuk Serbia Raya akan tercapai.
             Pada bulan Ogos 1875, seramai 40 orang tentera Serbia yang dilengkapi dengan senjata dan ubat-ubatan telah dihantar untuk menyeberangi sempadan Bosnia-Herzegovina. Tujuan mereka adalah untuk menghulurkan bantuan kepada pemberon-pemberontak yang diketuai oleh lima orang tentera Serbia untuk menentang kerajaan Uthmaniah. Keadaan di Bosnia-Herzegovina diburukkan lagi apabila pemberontak-pemberontak yang terlatih ini telah membantu dan menggalakkan pemberontak-pemberontak Kristian tempatan untuk mencetuskan huru-hara di sana. Pada bulan Ogos 1875, seramai 10 000 orang tentera Serbia telah bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap kerajaan Uthmaniah.[53]
            Pada 30 September 1875, orang Serbia telah menyeberangi sempadan dengan membawa peralatan perang bahkan para pemberontak telah mengepung dan memusnahkan daerah Yenivarosh dan Preboi. [54] Ribuan pemberontak Serbia yang lain pula telah berkumpul di Tashlidge untuk mengadakan tunjuk perasaan terhadap kerajaan.[55] Keadaan di Bosnia-Herzegovina juga semakin tegang sehingga pemberontakan bertukar menjadi peperangan antara Kristian Slav dan kerajaan Uthmaniah. Apabila melihat keadaan di Bosnia-Herzegovina yang semakin kritikal, kuasa-kuasa besar telah menasihatkan dan meminta agar Serbia tidak memberikan tekanan kepada kerajaan Uthmaniah. Serbia pula terpaksa memberikan jaminan kepada Rusia bahawa mereka akan berkecuali dalam masalah Bosnia-Herzegovina pada tempoh masa yang tertentu. Namun begitu, Serbia telah bersiap sedia untuk melancarkan peperangan terhadap kerajaan Uthmaniah.[56]

            3.2.2 Campurtangan Rusia
            Campurtangan serta peranan Rusia sebagai faktor tercetusnya konflik di Bosnia-Herzegovina juga adalah tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini demikian kerana, Rusia sememangnya mempunyai minat secara langsung ke atas Semenanjung Balkan khususnya Bosnia-Herzegovina. Rusia telah menjadi penasihat kepada kumpulan pemberontak yang memberontak terhadap kerajaan Uthmaniah pada tahun 1875.[57] Sekiranya pemberontakan tersebut berjaya, penduduk Kristian telah dijanjikan bahawa Bosnia-Herzegovina akan disatukan dengan Serbia untuk membentuk sebuah negara Slav. Rusia juga telah melaung-laungkan bahawa mereka merupakan pelindung kepada orang-orang Kristian Ortodoks.[58] Propaganda yang dibawa oleh Rusia telah memberikan harapan kepada orang Kristian dan Serbia untuk mencapai matlamat tersebut.
            Semenanjung Balkan adalah yang terbesar daripada tiga semenanjung Eropah yang menjangkau ke laut Maditerranean. Semenanjung Balkan disempadani oleh Laut Ionian dan Adriatik di bahgaian barat, Laut Hitam di bahagian timur, dan Laut Aegan di bahagian selatan.[59] Tujuan Rusia adalah untuk menguasai Laut Hitam kerana Laut Hitam merupakan kawasan yang penting untuk ekonomi dan pertahanan Rusia.[60] Laut Hitam telah diletakkan di bawah jagaan kerajaan Uthmaniah dan telah diisytiharkan sebagai zon berkecuali bagi semua penempatan kapal-kapal asing. Oleh itu, Rusia berharap dengan berlakunya pemberontakan di Bosnia-Herzegovina, kerajaan Uthmaniah akan meminta kerjasama Rusia sebagai moderator kepada kerajaan Uthmaniah dan pemberontak. Sebagai balasannya pula, Rusia akan menuntut konsesi di Laut Hitam.[61]
            Tindakan agresif Rusia dapat dilihat apabila Rusia telah mengeluarkan arahan agar pemberontakan diteruskan meskipun para pemberontak sudah berada dalam keadaan yang tidak bermaya. Sir Consul Holmes iaitu wakil kerajaan Britain telah berjumpa dengan pemberontak dan beliau mendapati bahawa ramai pemberontak yang telah mengalami kecederaan parah namun masih bertindak untuk meneruskan pemberontak.[62] Para pemberontak menyatakan bahawa mereka tetap akan meneruskan pemberontakan serta menentang kerajaan Uthmaniah sehingga Rusia mengarahkan mereka untuk meletakkan senjata. Ternyata propaganda Pan Slav yang dibawa oleh Rusia telah berjaya meracuni fikiran orang Kristian sehinggakan mereka sanggup melakukan apa sahaja seperti yang diarahkan oleh Rusia untuk melihat kejatuhan kerajaan Uthmaniah.
            Rusia pula mempunyai hubungan yang baik dengan pemberontak Serbia kerana mereka pernah bekerjasama semasa Serbia melancarkan peperangan ke atas kerajaan Uthmaniah pada tahun 1862. Hubungan baik yang terjalin adalah kerana penduduk Serbia majoritinya merupakan penganut fahaman Kristian ortodoks yang serumpun dengan Serbia. Bagi menaikkan lagi semangat pemberontak Serbia, Rusia telah berjanji bahawa Rusia akan menyerahkan sebahagian daripada Bosnia sebagai ganjarannya. Impaknya, Serbia telah melancarkan perang ke atas kerajaan Uthmaniah pada 1 Julai 1876 dengan keizinan Rusia. Ternyata kelicikan Rusia dalam membangkitkan semangat Serbia telah menyebabkan kerajaan Uthmaniah menerima kesannya. Serangan demi serangan telah dilancarkan oleh Serbia untuk merealisasikan cita-citanya.
            Semasa kekacauan di Bosnia-Herzegovina masih di peringkat awal iaitu pada 13 Julai 1875, kerajaan Austria telah mengambil keputusan untuk mengembalikan keamanan di Bosnia-Herzegovina dengan mengambil keputusan untuk menutup sempadannya yang merupakan laluan ulang-alik kepada pemberotak.[63] Namun begitu, Rusia tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana berpendapat bahawa tindakan tersebut adalah terburu-buru. Hal ini jelas memperlihatkan bahawa Austria ingin mengembalikan keamanan di Bosnia-Herzegovina tetapi Rusia pula seakan melengah-lengahkan proses keamanan dan pada masa yang sama tidak membantah kekacauan yang berlaku. Tindakan ini sekali lagi membuktikan bahawa Rusia sememangnya menginginkan pemberontakan terus berlaku agar kerajaan Uthmniah berjaya dijatuhkan.
             Rusia juga telah memberikan bantuan kewangan dalam jumlah yang besar kepada pemberontak Serbia dan Montenegro bagi meneruskan kekacauan di Bosnia-Herzegovina.            Hal ini dapat dibuktikan dengan kiriman wang kepada pemberontak yang ditulis atas nama General Ignative.[64] Bantuan kewangan juga diberikan untuk melatih tentera Serbia.
            “The Panslavic Cherniaev was commanding the Serbian army while money for    the beleaguered Serbs poured in from Russian bank.”[65]
Hal ini jelas membuktikan bahawa Rusia sememangnya telah memberikan sumber kewangan bagi memastikan pemberontakan tersebut berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Selain itu, kedutaan Rusia juga telah menjadi ibu pejabat dan tempat pertemuan ketua-ketua pemberontak apabila mereka tiba di Ragusa.[66] Pelbagai rancangan yang telah diaturkan oleh meraka bahkan segala surat dan telegram telah diterima dan diedarkan untuk mendapat arahan tentang perjuangan mereka yang semuanya berada di bawah kekuasaan Duta Rusia.[67]

 3.3 PERANAN GEREJA KATOLIK
Konflik yang berlaku di Bosnia-Herzegovina 1875-1878 juga dapat dikaitkan dengan peranan gereja Katolik. Gereja Katolik telah memburukkan keadaan dengan membawa sentimen bahawa kerajaan Uthmaniah tidak memberikan hak yang sama rata serta layanan yang baik kepada orang Kristian. Perasaan dendam dan tidak puas hati terhadap kerajaan Islam yang memerintah negara-negara Kristian hampir 412 tahun telah menyemarakkan lagi rasa ketidakpuasan hati tersebut. Golongan paderi dan bishop telah memainkan peranan dalam menggerakkan rasa tidak puas hati orang Kristian. Seorang Bishop Katolik di Mostar telah menulis surat tentang dendam orang Kristian dan telah mendesak kuasa-kuasa besar Eropah agar memberikan jaminan serta membenarkan mereka untuk berkumpul dan mendapat layanan yang baik daripada kerajaan Uthmaniah.[68]
            Golongan paderi telah mengeruhkan lagi keadaan dengan mengaitkan orang Islam dengan kematian seorang paderi Katolik, iaitu Fra Lorenzo. Mereka mendakwa bahawa kematian tersebut telah dilakukan oleh orang Islam. Kematian tersebut akhirnya telah menyemarakkan lagi api permusuhan dan rasa dendam yang telah sekian lama terpendam dalam diri orang Kristian terhadap orang Islam. Kematian tersebut pula sengaja digembar-gemburkan untuk mendapat sokongan daripada pengikut gereja Katolik dan seterusnya meningkatkan keganasan terhadap orang Kristian. Namun begitu, hasil siasatan menyatakan bahawa kematian tersebut mungkin berpunca daripada pemberontak Kristian.
            Selain itu, sentimen keagamaan iaitu jihad juga telah digunakan. Seorang paderi yang bernama Nikifor telah membawa sentimen bahawa penentangan terhadap kerajaan Uthmaniah merupakan satu bentuk jihad. Sentimen keagamaan telah dipergunakan oleh golongan paderi untuk menaikkan semangat pengikutnya bagi memastikan kejatuhan Uthmaniah. Keegoan dan rasa dendam golongan paderi terhadap kerajaan Uthmaniah menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja dan menggunakan agama sebagai lesen untuk bertindak kejam. Kekejaman golongan paderi terserlah melalui peristiwa yang berlaku pada 12 September 1875. Pada ketika itu, telah berlakunya keganasan yang diketuai oleh bekas ahli persatuan Kristian, iaitu Juro Simovitch dari Nivessin dan Costa Prodau dari Trussina.[69]
            Ketika keganasan tersebut berlaku, golongan paderi telah melakukan pembunuhan termasuklah membunuh mereka yang tidak berdosa. Mayat bergelimpangan di sekitar kampung tanpa disemadikan. Kanak-kanak juga dipancung bahkan dihiris lehernya sehingga cedera parah.[70] Golongan paderi bertindak kejam dengan melakukan pembunuhan termasuklah kanak-kanak yang tidak berdosa hanya kerana kanak-kanak itu dilahirkan dan bernaung di bawah nama Islam.
            Satu lagi serangan ke atas orang Islam telah dilakukan pada 29 September 1875 yang diketuai oleh pemimpin gereja, iaitu Pope Simovitch dari Dabra, Pope Milenti dari Bilekia, Millichevitch dari Nivessin, Pope Zarko dari Galzko dan Pope Milo dari Piva.[71] Mereka telah bertindak dengan merampas ternakan dan memusnahkan tiga perempat daripada Bosnia-Herzegovina sehingga melumpuhkan aktiviti pentadbiran. Ternyata bahawa terdapat pelbagai bentuk keganasan yang telah dilakukan oleh golongan paderi ini. Tindakan seperti ini adalah sama sekali tidak berperikemanusiaan bahkan tidak selari dengan gelaran mereka sebagai seorang ‘paderi’. Mereka yang seharusnya membawa kepada keamanan sebaliknya telah menjadi pencetus kepada keganasan yang berlaku.

3.4 KEBANGKITAN SEMANGAT KEBANGSAAN DI SEMENANJUNG BALKAN
Kebangkitan semangat kebangsaan di semenanjung Balkan juga merupakan penyumbang kepada pemberontakan di Bosnia-Herzegovina. Negeri-negeri yang telah berjaya dalam pemberontakan menentang kerajaan Uthmaniah seperti Greek (1830) dan Serbia (1862) telah dijadikan inspirasi kepada pemberontakan tersebut. Pada ketika itu, negeri-negeri yang berjiran dengan Bosnia-Herzegovina juga sedang giat menjalankan pemberontakan ke atas kerajaan Uthmaniah seperti di Bulgaria (1876) dan Montenegro (1876).
             Pada bulan April 1876, pemberontakan telah berlaku di Bulgaria. Pemberontakan tersebut adalah didorong oleh Rusia selepas Perang Krimea (Crimean War)[72]. Ironinya, Bulgaria mula melihat gerakan nasionalis hasil daripada pendidikan di Sekolah Uthmaniah baru.[73] Montenegro pula telah mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Uthmaniah dan menandatangani pakatan dengan Serbia pada 10 Julai 1876.[74] Sekiranya kerajaan Uthmaniah tewas, Montenegro akan menerima sebahagian daripada Herzegovina, manakala Serbia akan memperoleh kawasan Serbia Lama dan Bosnia.[75]
            Oleh itu, jelaslah bahawa gerakan pemberontakan di Bosnia-Herzegovina sukar untuk mencapai titik kemuncak sekiranya bukan kerana dorongan dari semangat kebangsaan di semenanjung Balkan. Kebangkitan semangat kebangsaan di semenanjung Balkan juga telah berjaya membakar semangat untuk menjatuhkan kerajaan Uthmaniah. Melalui semangat dan dorongan tersebut, mereka semakin yakin untuk menentang kerajaan Uthmaniah dan melihat bahawa tidak mustahil sekiranya kemenangan berpihak kepada mereka seperti mana yang telah berlaku kepada wilayah-wilayah yang pernah menang ketika menentang kerajaan Uthmaniah.

3.5 SOKONGAN MASYARAKAT KRISTIAN ANTARABANGSA
Pemberontakan di Bosnia-Herzegovina tidak akan berpanjangan sekiranya tidak mendapat sokongan masyarakat Kristian antarabangsa. Sebaliknya, sokongan yang padu telah diberikan daripada negeri-negeri jiran bahkan berjaya menaikkan lagi semangat pemberontak untuk melakukan pemberontakan menentang kerajaan Uthmaniah. Sokongan rakyat Montenegro telah menggalakkan pemberontakan di Herzegovina. Orang Kristian Serb telah memuatkan desas-desus yang negatif terhadap pentadbiran kerajaan Uthmaniah dan telah memuatkannya di dalam penulisan jurnal di Zara dan Cettinge.[76]
            Di Dalmatia dan Croatia pula, penduduk Kristian sentiasa menyokong bahkan menghulurkan bantuan dengan membekalkan senjata, ubat-ubatan dan kelengkapan yang lain kepada pemberontak.[77] Golongan yang terkemuka dan golongan tentera di Austria juga memberikan pelbagai sumbangan kepada pemberontak. Akhbar-akhbar Britain turut menzahirkan rasa simpati terhadap masyarakat Kristian di Bosni-Herzegovina meskipun tidak jelas tentang tentang konflik yang sebenarnya berlaku di Bosnia-herzegovina.[78] Sokongan yang diberikan oleh masyarakat Kristian antarabangsa ini jelas memperlihatkan bahawa golongan pemberontak seakan mendapat simpati bahkan turut menggambarkan bahawa mereka seakan-akan merupakan golongan yang ‘teraniaya’ dan harus mendapat pembelaan.
            Apabila golongan pemberontak ini mendapat sokongan daripada masyarakat Kristian antarabangsa, mereka menganggap bahawa setiap tindakan yang mereka lakukan adalah benar dan bukanlah merupakan satu bentuk kesalahan. Oleh itu, para pemberontak terus menekan kerajaan Uthmaniah. Sekiranya mereka tidak mendapat sebarang bentuk bantuan mahupun sokongan, sudah pasti mereka tidak mampu untuk bertahan lama kerana mereka tidak memiliki kelengkapan senjata bahkan kewangan untuk menentang kerajaan Uthmaniah. Sebaliknya, sokongan dan bantuan yang diberikan telah menjadikan mereka semakin kuat dan mampu berdiri teguh. Justeru itu, pemberontakan terus berlarutan bahkan para pemberontak semakin yakin untuk menentang kerana mereka mempunyai tulang belakang yang sentiasa menyokong tindakan mereka.



3.6 FAKTOR GEOGRAFI
Faktor geografi juga adalah tidak terkecuali dalam menjayakan pemberontakan di Bosnia-Herzegovina. Hal ini demikian kerana, keadaan geografi Bosnia-Herzegovina yang berbukit bukau memudahkan pemberontakan untuk mendapatkan bantuan makanan, perubatan dan gerila daripada negeri-negeri jiran.[79] Tambahan pula, laluan tersebut merupakan laluan kebiasaan bagi para pemberontak. Oleh itu, mereka telah terbiasa dengan keadaan geografi tersebut dan pada masa yang sama perkara ini telah mudahkan setiap pergerakan dan perjalanan aktiviti mereka. Keadaan geografi tersebut juga telah menyebabkan pihak kerajaan sukar untuk membuat pengawasan secara menyeluruh dan pada masa yang sama memudahkan pihak pemberontak untuk melakukan persembunyian.



4.0 KESIMPULAN
Tuntasnya, jelaslah bahawa tedapat pelbagai faktor yang mendorong kepada pemberontakan Bosnia-Herzegovina 1875-1878. Kelemahan pentadbiran Uthmaniah telah dijadikan sebagai alasan utama sehingga tercetusnya pemberontakan tersebut. Namun begitu, alasan tersebut dilihat sebagai kurang relevan kerana pentadbiran dan pemerintahan kerajaan Uthmaniah tidaklah selemah seperti yang dicanang-canangkan. Oleh itu, harus diakui bahawa terdapat faktor lain yang mempengaruhi pemberontakan di Bosnia-Herzegovina sehingga telah menyebabkan pertumpahan darah.
            Pada luarannya, pemberontakan tersebut mungkin dilihat sebagai suatu bentuk penentangan orang Kristian terhadap kelemahan kerajaan Uthmaniah dan didalangi oleh orang Kristian itu sendiri. Sebaliknya, pemberontakan tersebut turut didalangi oleh kuasa luar seperti Serbia dan Rusia demi mencapai matlamat dan cita-cita masing-masing. Serbia telah lama menyimpan dendam dan berusaha untuk mencapai semula puncak kejayaan dengan mendapatkan semula Bosnia-Herzegovina. Rusia pula sememangnya mempunyai minat secara langsung ke atas Semenanjung Balkan khususnya Bosnia-Herzegovina. Oleh itu, pelbagai konspirasi yang cuba dilakukan oleh kedua-dua kuasa ini untuk melihat kejatuhan kerajaan Uthmniah.
          Peranan yang dimainkan oleh gereja Katolik pula semakin mengeruhkan lagi keadaan. Meskipun memegang gelaran gereja yang bertunjangkan keagamaan, sebaliknya golongan ini jugalah yang telah mencetuskan dan menyebabkan pertumbahan darah di Bosnia-Herzegovina. Kebangkitan semangat kebangsaan di semenanjung Balkan pula telah menyemarakkan lagi semangat golongan pemberontak selain daripada mendapat sokongan masyarakat Kristian antarabangsa. Simpati daripada pelbagai pihak telah menyebabkan mereka mendapat bantuan senjata, makanan, dan ubat-ubatan sehingga menyebabkan mereka mampu untuk memerangi kerajaan Uthmaniah dalam tempoh yang lama. Pada dasarnya, mereka dilihat sebagai golongan yang teraniaya, hakikatnya merekalah yang menganiaya sehingga menyebabkan ramai pihak yang memerangi kerajaan Uthmaniah.


[1] Alijah Gordon (pnyt.), Bosnia: Saksian Sah Jenayah-Jenayah Perang Dari Mulut Mereka Yang Pernah Menjadi Mangsa, 1994, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. & Badan Penyelidikan Kemasyarakatan Malaysia (MSRI), hlm. xv.
[2] Ibid., hlm. xviii.
[3] Tom Gallagher, Outcast Europe: The Balkans, 1789-1989 From The Ottoman to Milosevic, 2001, New York: Routledge, hlm. 58.
[4] L.L. Farrar, Jr., Realpolitik Versus Nationalpolitic: Rethinking Nationalism During The Eastern Crisis, 1875-1878, 1996, East European Quaterly, XXX, No. 1 Spring,  hlm. 28.
[5] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 60.
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Lord Evesley, The Turkish Empire: Its Growth And Decay, 1967, Lahore: Premier Book House, hlm. 330.
[9] M. S. Anderson, The Eastern Question 1774-1923: A Study in International Relations, 1966, London: Macmillan St. Martin Press, hlm. 194.
[10] Ibid., hlm. 292.
[11]Perang Dunia Pertama berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan bermula di Balkan. Pada 28 Jun 1914, Archduke Franz Ferdinand dari Austria-Hungary bersama isterinya telah terbunuh di SarajevoBosnia. Austria-Hungary menyerang Serbia pada 28 Julai 1914.
[12] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. x.
[13] Robert J. Rohrbacher, Bishop J.J Strossmayer’s Yugoslavia in The Light of The Eastern Crisis of 1875-1878 di dalam East European Quaterly, XXXV, No.3, 2001, Chicago: University of Illinois, hlm. 345.
[14] Neven Andjelic, Bosnia-Herzegovina: The End of A Legacy, 2003, London: Frank Cass Publishers, hlm. 9.
[15] Robert J. Rohrbacher, Bishop J.J Strossmayer’s Yugoslavia in The Light of The Eastern Crisis of 1875-1878 di dalam East European Quaterly, XXXV, No.3, 2001, Chicago: University of Illinois, hlm. 345.
[16] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 25.
[17] Ibid.
[18] Ibid., hlm. 28.
[19] Ibid. hlm. 29
[20] Ibid., hlm. 25.
[21] Ibid., hlm. 29.
[22] Ibid., hlm. 25.
[23] Ibid., hlm 29.
[24]Ibid.
[25] Ibid., hlm. 31.
[26] Ibid., hlm. 25.
[27]Ibid., hlm. 31.
[28]Ibid., hlm. 30.
[29] Jizyah ialah cukai yang dikenakan ke atas individu bukan Islam yang berlindung di negara Islam.
[30] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 30.
[31] Ibid., hlm. 32.
[32] Diktri Hatti Humayun merupakan perjanjian yang dirangka antara kerajaan Uthmaniah dengan kuasa-kuasa besar Eropah pada 18 Februari 1856. Melalui perjanjian ini, kerajaan Uthmniah berjanji untuk memperbaik kualiti sosial dan pentadbiran di seluruh empayarnya melalui reformasi yang akan diperkenalkan ke seluruh jajahannya. Tujuannya adalah bagi mengembalikan semula imej dan prestij kerajaan Uthmaniah.
[33] Mufti berperanan untuk membuat keputusan di mahkamah tetapi golongan ulama merupakan pakar rujuk untuk semua kes yang dibicarakan di mahkamah, sama ada kes yang memerlukan kefahaman tentang Islam mahupun tentang undang-undang sivil.
[34] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 32.
[35]Ibid., hlm. 33.
[36] Ibid.
[37] H.C Darby. Etc, A Short History of Yugoslavia: From Early Times To 1966, 1966, London: Cambridge University Press.
[38] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 42.
[39] Ibid.
[40] Ibid.
[41] Ibid.
[42] David Mackenzie, The Serbs and Russian Pan-Slavism 1875-1878, 1967, New York: Cornell University Press, hlm. 33.
[43] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 44.
[44] Branimir M. Jankovic, The Balkans In International Relations,1988, London: Macmillan Press, hlm. 83. 
[45] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 44 .
[46] David Mackenzie, The Serbs and Russian Pan-Slavism 1875-1878, 1967, New York: Cornell University Press, hlm. 33.
[47] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 45.
[48] Ibid.
[49] Ibid.
[50] Ibid.
[51] Ibid., hlm. 46. 
[52] Ibid.
[53] Ibid., hlm. 47. 
[54] Ibid.
[55] Ibid.
[56] Ibid.
[57] Azlizan Mat Enh, Krisis Bosnia-Herzegovina: Peranan dan Reaksi Kuasa Besar, 2010, Akademika 78 (Jan.- April) 2010: 47-57, hlm. 48.
[58] Halide Edib, Conflict of East and West In Turkey, 1935, Delhi: Jamia Millia, hlm. 45.
[59] Tom Gallagher, Outcast Europe: The Balkans, 1789-1989 From The Ottoman to Milosevic, 2001, New York: Routledge, hlm. 58.
[60] Azlizan Mat Enh, Krisis Bosnia-Herzegovina 1908: Peranan dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2010, Akademika 78 (Jan.- April) 2010: 47-57, hlm. 48.
[61] Ibid.
[62] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 47. 
[63]Ibid., hlm. 52. 
[64]Ibid., hlm. 55. 
[65] Charles Swallow, The Sick Man of Europe: Ottoman Empire to Turkish Republic 1789-1923, 1973, London:Ernest Benn Limited, hlm. 75.
[66] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 55. 
[67] Ibid.
[68]Ibid., hlm. 57. 
[69] Ibid.
[70] Ibid., hlm. 58.
[71] Ibid., hlm. 59. 
[72] Perang Krimea juga dikenali sebagai Perang Timur dan merupakan peperangan yang terjadi antara Empayar Rusia melawan sekutu yang terdiri daripada PerancisUnited KingdomKerajaan Sardinia, dan Empayar Uthmaniah.
[73] Charles Swallow, The Sick Man of Europe: Ottoman Empire to Turkish Republic 1789-1923, 1973, London:Ernest Benn Limited, hlm. 73.
[74] Robert J. Rohrbacher, Bishop J.J Strossmayer’s Yugoslavia in The Light of The Eastern Crisis of 1875-1878 di dalam East European Quaterly, XXXV, No.3, 2001, Chicago: University of Illinois, hlm. 351.
[75] Ibid.
[76] Azlizan Mat Enh, Bosnia-Herzegovina: Konflik 1875-1878 dan Reaksi Kuasa-kuasa Besar, 2009, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 61. 
[77] Ibid.
[78] Ibid.
[79] Ibid.

No comments: